Siri
Tarbiyah Kawasan 1
MEMPERKUKUHKAN SAF
JAMAAH
(Bhg.1)
Firman
Allah yang bermaksud;
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh – ( As-Saf: 1-4)
MUQADDIMAH
Menurut Al-Imam Al-Mawardi surah As-Saf
diturunkan di Madinah. Di dalam ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa setiap
makhluk yang berada di tujuh lapis langit dan bumi tunduk di bawah uluhiyyah
dan rububuyyah-Nya. Dia maha perkasa untuk membalas dan mengambil tindakan
terhadap setiap makhluk yang mengkufuri-Nya serta menyalahi perintah-Nya. Dia
juga menegaskan bahawa Ia amat bijak untuk mentadbir setiap urusan makhluk-Nya.
Di dalam ayat ini juga Allah SWT menegaskan
betapa Dia sangat memurkai siapa saja yang tidak menterjemahkan apa yang
diucapkannya di dalam bentuk amalan dan praktikal. Asbab nuzul ayat ini
diturunkan adalah untuk mencela orang yang telah bertanya Rasulullah SAW
mengenai amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, namun apabila diberitahu
oleh Allah SWT bahawa amalan yang paling disukai Allah SWT selepas daripada
beriman dengan Allah dan Rasul-Nya ialah berjihad menentang musuh-musuh Allah,
mereka merasa benci. Dalam waktu yang sama kefardhuan jihad yang difardhukan
dirasa membebankan diri mereka.
Demikian juga Allah SWT melalui pembentangan
ayat-Nya di atas telah mensifatkan kepada kita betapa mulianya saf di dalam
peperangan dan perjuangan, sehingga ia disamakan saf di dalam solat. Apa yang
hendak diberi pengajaran oleh Allah kepada setiap mujahid ialah mereka
hendaklah tetap di dalam saf perjuangan, tidak berganjak dan tidak meninggalkan
posisi masing-masing sama seperti mereka tetap di dalam saf mereka ketika
bersembahyang, kecuali di atas sebab-sebab yang tertentu yang diperlukan.
REALITI PERJUANGAN PAS
PAS terus mara berjuang sejak beberapa dekad dan kelangsungannya
telah bertali arus sepanjang beberapa generasi hinggalah ke hari ini. Kita terus
beriman dan beristiqamah dengan aqidah dan ciri-ciri parti Islam yang
ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Di atas asas inilah PAS
ditubuhkan oleh para alim ulama dan cendekiawan Islam lebih setengah abad yang
lalu.
Inilah syarat yang menjadi ketetapan Allah kepada Parti Islam yang bercirikan kesinambungan risalah Islam sebenar, dan inilah sebabnya kita menerima ketetapan Allah yang mewajibkan kumpulan Islam sebenar menjadi penerus risalah agama ini, berhadapan dengan pelbagai mehnah dan fitnah.
Firman Allah yang bermaksud:
Inilah syarat yang menjadi ketetapan Allah kepada Parti Islam yang bercirikan kesinambungan risalah Islam sebenar, dan inilah sebabnya kita menerima ketetapan Allah yang mewajibkan kumpulan Islam sebenar menjadi penerus risalah agama ini, berhadapan dengan pelbagai mehnah dan fitnah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Alif
Laam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan
demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada
mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang
diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. [29:1-3]
PAS bergerak di atas landasan kesempurnaan ajaran Islam, dengan bercirikan kepimpinan ulama dan kepimpinan berbagai keilmuan, pengalaman, didokong oleh seluruh aktivis PAS di pelbagai peringkat untuk memenuhi segala perintah Allah SWT. Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti siasah Islam, gerakan dakwah dan tarbiah terus menerus mendokong nilai-nilai Islam yang kekal dan dinamis serta nilai-nilai yang tidak bersifat perkauman.
PAS bergerak di atas landasan kesempurnaan ajaran Islam, dengan bercirikan kepimpinan ulama dan kepimpinan berbagai keilmuan, pengalaman, didokong oleh seluruh aktivis PAS di pelbagai peringkat untuk memenuhi segala perintah Allah SWT. Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti siasah Islam, gerakan dakwah dan tarbiah terus menerus mendokong nilai-nilai Islam yang kekal dan dinamis serta nilai-nilai yang tidak bersifat perkauman.
UKHUWWAH MEMPERKUKUHKAN SAF
Konsep Ukhwah
Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan
mardhatillah yang mana ianya merupakan kurniaan atau pemberian daripada Allah
swt. Dia melontarkannya kepada hati-hati hambaNya yang ikhlas dan suci. Firman
Allah swt yang bermaksud:
“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang
beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi,
nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka,
akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia
Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)
Ukhuwwah atau
persaudaraan di dalam Islam merupakan ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di
atas dasar ketaatan kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia
merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan
ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan
marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam
Ahmad).
Harakah Islamiah
sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini
diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi,
satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang
apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota
yang lain akan turut menanggung penderitaannya.
Bagi memastikan
hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan
dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak
dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan
bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar
ucapan di bibir atau teori semata-mata
FIQH UKHUWWAH ISLAMIYAH
1. Ukhuwwah (yang
terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah
menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai
membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:
“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah
mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia
terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu)
memperingatkannya ia akan menolongnya”.
Teman setia yang
baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang
mengatakan:
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di
kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan
di waktu kesusahan”.
2. Di sudut
kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai
keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan
tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:
“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan
memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari
baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam
masjidku ini”. (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia
mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).
3. Persaudaraan
juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya
Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang
memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan
memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan
rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di
akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.
4. Ukhuwwah
adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang
ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu
dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu
maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta
nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan
bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit
hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal
dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).
5. Ukhuwwah juga
bererti kemesraan, kasih sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan
perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu
saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan
janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah
yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya
(yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat
Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
6. Ukhuwwah
menurut ajaran Islam ialah setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah
akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. (Hadis riwayat Tirmizi).
KESATUAN AQIDAH, AMAL DAN MATLAMAT
Kesatuan aqidah merupakan
faktor terasas dalam pembentukan Wahdatul Amal dan Wahdatul Fikr. Tumpuan utama
dalam menyatupadukan aqidah ialah dengan mentauhidkan Allah kerana tuntutan
tauhid adalah bertunjangkan Rububiyyah dan Uluhiyyah. Tauhid yang diimani
inilah yang menjadi asas kefahaman yang jelas yang seterusnya melahirkan amal
Islami yang ikhlas. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah
jelas jalan yang benar dan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang engkar
kepada taghut lalu mereka beriman kepada Allah, seungguhnya mereka telah
berpegang kepada tali Allah yang amat kuat dan tidak akan ia putus. Dan Allah
itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah : 256)
Berdasarkan Sirah
Rasulullah SAW, pada permulaannya Baginda telah menjalankan kerja dan usaha untuk memperbetulkan aqidah masyarakat
daripada kekotoran syirik dan kufur, ke arah mengesakan Allah SWT bagi mencapai
kesatuan ummah. Seterusnya, hasil
daripada kesatuan fikrah dan kefahaman, maka akan lahirlah pula kesatuan amal
dalam jemaah ke arah matlamat yang satu. Apa yang paling penting dalam
merealisasikan kesatuan amal dan matlamat adalah wala’ dan taat yang mutlak
kepada Allah dan Rasul serta ketaatan yang benar kepada pimpinan. Segala yang
diputuskan oleh pimpinan wajib ditaati selagimana ia tidak bercanggah dengan
syariat. Keengkaran kepada perkara tersebut dan saling merasa hebat akan
mewujudkan perpecahan dalam jemaah biarpun wujudnya kesatuan fikrah di
dalamnya.
PENUTUP
Marilah kita mengurus
kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan
itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin
memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah
mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam
segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan
rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam
disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.
No comments:
Post a Comment