Siri Tarbiyah Kawasan 9
PEMBELA AGAMA
ALLAH
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang (As-Saf:14)
MUQADDIMAH
Kita sebagai generasi umat Islam di akhir zaman ini, mestilah menyedari bahawa
detik dan saat untuk kita berjihad dalam bentuk yang khusus pasti akan datang.
Pada saat itu di hadapan kita hanya ada dua pilihan; samada rela terkorban
sebagai seorang syuhada atau mati tanpa ada harga dan nilai disisi Allah SWT.
Untuk itu marilah kita mempelajari bagaimana kita sepatutnya menyelusuri jalan
ini untuk kita berjuang dan berjihad untuk sampai ke nokhtah terakhir sebagai
muslim yang diredhai oleh Allah di dalam perjuangan ini.
Menjadi sunnatullah pada setiap kurun, zaman dan
waktu yang bergerak pantas, akan ada kumpulan yang menjadi pembela kepada agama
Allah. Mereka hidup dengan haruman catatan perjuangan berterusan daripada
generasi ke generasi serta saling bersambungan umpama suatu mata rantai yang
tidak putus hingga ke akhir zaman.
Lakaran kisah mereka dimulakan dengan kedudukan
orang tua mereka bernama Adam. Saidina Adam melahirkan zuriat yang ramai dan
ada antaranya meneruskan risalah nubuwah yang ditinggalkannya. Kemudian lahir
Nabi dan Rasul yang dikelilingi kaumnya yang setia, membela dan menjaga risalah
perjuangannya. Begitulah ketetapan Tuhan. Mereka adalah manusia paling
beruntung kerana dipilih untuk misi dan visi dakwah-Nya.
Bagaimanakah dengan kita yang hidup pada zaman
serba canggih ini. Apakah ada manusia yang layak mendapat sebutan sebagai
Penolong Agama Allah, Ansarullah? Bagaimanakah hendak memenuhi syarat bagi
memastikan barisan Ansarullah ini menjadi pilihan kita? Layakkah kita berdiri
memegang mata rantai dakwah yang pernah digenggam lelaki perkasa dan wanita
tegar di sepanjang jalan Allah sebelum kita?
CIRI-CIRI PEMBELA AGAMA ALLAH
Sesungguhnya al-Quran telah
menggariskan panduan kepada umat Islam beberapa ciri yang perlu ada kepada
golongan pembela agama Allah, antaranya:
1. Cara untuk mendapat
keberuntungan, dunia dan akhirat seperti yang Allah firmankan menerusi surah
~Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu
segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan
mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”
2. Memiliki ciri umat manusia
yang terbaik, seperti dalam ayat 110 surah ~Ali Imran : “Kamu adalah umat yang
terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan
mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab
beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang
beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
3. Memiliki dasar-dasar
pembangunan akhlak solehah seperti dalam surah ~Ali Imran ayat 114 maksudnya :
“Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang
makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan)
pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.”
4. Memikul serta menjalankan
tugas mulia para Nabi sejak dulu, ia dijelaskan menerusi surah al-A’raf ayat
157 : “(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang umi yang (namanya)
mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang
menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan
yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan
bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan
belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman
kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang
diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
5. Berusaha agar adanya
sebab-sebab turunnya rahmat daripada Allah SWT, perkara ini dijelaskan Allah
dalam surah at-Taubah ayat 71: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang
lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar,
mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan
Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
6. Memiliki sifat seorang
mukmin sejati, Allah menjelaskan dalam surah al-Hajj ayat 41: “(Iaitu)
orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya
mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf
dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala
urusan.
7. Melaksanakan kewajipan yang
diperintahkan Allah SWT tanpa sebarang keraguan dalam hati, perkara ini
dijelaskan dalam surah Luqman ayat 17: “Hai anakku, dirikanlah solat dan
suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada
perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
MUHASABAH
SEBAGAI ANSARULLAH
Antara lain ciri-ciri Ansarullah yang layak memikul
tugas membela agama Allah ialah:
a-Memanfaatkan potensi diri untuk agama Allah.
Sesiapa yang menggunakan penanya untuk menegakkan kalimah Allah maka dia adalah pembela agama Allah. Sesiapa yang menghulurkan hartanya untuk membela kebajikan kaum muslimin maka dialah Mujahid Allah. Sesiapa yang menggunakan tenaga dan fikirannya mendidik generasi Islam, jika dia mati pada jalan itu, maka dia bergelar Syahid fi Sabilillah. Sesiapa yang menunjukkan kebaikan, dia mendapat pahala sama seperti pahala orang yang mengerjakannya tanpa dikurangi sedikit pun.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang
siapa melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya, apabila dia tidak
sanggup ubahlah dengan lidahnya, apabila ia tidak sanggup maka ubahlah dengan
hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Membela aqidah yang kita imani tidaklah semudah
yang kita bayangkan, jika kita tiada keyakinan mengenainya dan tiada kecintaan
kepadanya maka tidak akan tergerak hati kita untuk membelanya. Seperti orang yang
aktif menggerakkan suatu perniagaan, untuk mendapat kejayaan, dia mesti faham
selok-beloknya, mengkaji dengan penelitian yang tepat dan berani mencuba kerana
yakin akan mendapat keuntungan berlipat ganda.
Begitu pula halnya dengan orang yang berniaga pada
jalan Allah. Dia mesti mengikut proses perjalanan dakwah dengan ilmu dan
kepakaran, tenaga dan usaha, harta dan jiwanya untuk memenangi agama Allah.
Seperti firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Taala sudah membeli
daripada orang mukmin, diri dan harta mereka dengan nilaian syurga.” (Surah
Al-Taubah:111)
Dan firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Dan apa saja kebaikan yang kamu
usahakan bagi diri kamu, sudah tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah.”
(Surah Al-Baqarah:110)
b- Menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin sebagai
penolong.
Ciri pembela agama Allah termaktub dalam firman-Nya
yang bermaksud:
“Sesungguhnya penolong kamu
hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang beriman, yang mendirikan sembahyang
dan menunaikan zakat seraya tunduk kepada Allah, dan sesiapa yang menjadikan
Allah dan Rasul-Nya dan orang yang beriman menjadi penolongnya, maka
sesungguhnya pendokong Allah itulah yang pasti menang.”
Seorang pembela agama akan menyerahkan hatinya hanya
untuk Allah, Rasul dan orang beriman. Dia tidak disibukkan dengan urusan
remeh-temeh yang boleh menghabiskan masa dan tenaga. Hari-harinya diisi kerja
yang bermanfaat untuk ummah. Kekuatan seorang pembela agama terletak pada
kuatnya ibadat kepada Allah yang disebutkan dalam ayat ini, sembahyang dan
zakat.
Sembahyang membekalkan tenaga rohani yang boleh
melonjakkan daya kekuatan jasmani, mencerahkan pemikiran dan mententeramkan
perasaan. Semua itu sememangnya diperlukan seorang yang sentiasa dicabar di
atas jalan dakwah.
Sementara zakat pula mendidik jiwa untuk merelakan
harta, sesuatu yang paling disayangi untuk membuktikan kebenaran imannya.
Kedua-dua ibadat itu tidak akan sempurna tanpa persekitaran yang baik, iaitu
sokongan orang mukmin yang membentuk jemaah umat Islam.
c- Tidak berdukacita dengan tribulasi dakwah.
Hanya orang yang sabar menahan sakit boleh menang
dalam setiap pertempuran. Bukan atas sebab siapa lebih kuat dan perkasa. Sesungguhnya
jalan dakwah adalah jalan sengsara dan penderitaan yang pedih. Di sana hadir
penentang dan musuh yang akan memerangi syiar agama Allah. Mengapa Allah
tentukan jalan yang sukar dilalui oleh Rasulullah SAW untuk mendapat
kemenangan? Mengapa tidak langsung diberikan kemenangan itu dengan cepat dan
mudah?
Ketentuan itu berlaku atas hikmah supaya pembela
agama Allah diuji siapa yang paling baik amalannya dan jalan dakwah itu juga
adalah suatu proses mematangkan iman seseorang. Supaya Allah mengetahui
siapakah yang benar imannya dan siapakah yang berdusta. Sesungguhnya sudah
ramai yang terkorban di jalan Allah, tidak kurang juga ada juga menyerah kalah
dan meninggalkan jalan-Nya ataupun terpesong dari matlamat perjuangan. Siapakah
pembela yang istiqamah? Al-Quran menjanjikan kemanisan bagi kita yang teguh
dalam perjuangan.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang
menyatakan: Tuhan kami ialah Allah dan kemudian meneguhkan pendirian mereka
maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: Janganlah kamu berasa
takut dan janganlah kamu berasa sedih dan bergembiralah dengan memperoleh
syurga yang dijanjikan Allah kepada kamu.” (Surah Fussilat: 30)
PENUTUP
Dalam situasi perjuangan yang
semakin tragis dan mencabar ini, marilah kita beristiqamah mempertahankan
prinsip perjuangan Islam yang maha suci ini. Walau apa pun keadaan dan ujian
keduniaan yang berada di hadapan kita, mengalah dan berundur daripada prinsip
tidak akan ada sama sekali dalam kamus perjuangan kita. Yang kita tahu hanyalah
mengimani bahawa kita sanggup berkorban dan terkorban demi prinsip perjuangan
yang kita perjuangkan. Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment