My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Thursday, 31 January 2013

TEKS USRAH BULAN JANUARI 2013




DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH

Siri Tarbiyah Pemuda 5 (13)

UJIAN PELENGKAP PERJUANGAN

MUQADDIMAH
Maksudnya :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah ( sebagaimana yang diketahui NYA) orang-orang yang berjihad antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman ? Dan (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan (At-Taubah :16)

Setiap kita yang menggerakkan perjuangan Islam wajar mengetahui dan memahami bahawa perjuangan yang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T. Justeru itu setiap gerak kerja yang dilakukan hendaklah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya. Selain itu adalah suatu yang wajar difahami oleh para petugas gerakan ialah bahawa perjuangan ini tidak akan terlepas daripada mehnah dan tribulasi.

MEHNAH DAN TRIBULASI
Mehnah berasal daripada perkataan arab yang membawa maksud ujian atau cabaran. Tribulasi pula berasal daripada perkataan Inggeris tribulation yang membawa maksud kesengsaraan atau kesusahan. Tribulasi juga boleh membawa maksud ujian, cuma ia adalah dalam bentuk kesusahan.
Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah, para pejuang di perjalanan ini pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas di dalam jalan yang benar ini tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Rasul dan siapa yang bersama mereka, para ulama’ pewaris Nabi dan sekalian da’ie telah membenarkan janji Allah bahawa jalan ini sentiasa beronak dan berduri. Secara pastinya, ujian pasti akan datang menguji . Hal ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada perjuangan Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.


PARA RASUL DAN MEHNAH
Sejarah perjuangan Islam bermula dengan lahirnya Nabi Adam a.s. Perjuangan berserta mehnah dan tribulasi ini kemudiannya terpaksa dihadapi oleh Rasul-rasul dan pejuang-pejuang selepasnya. Nabi Musa a.s yang menghadapi kezaliman Fir’aun dalam melaksanakan dakwahnya seperti mana yang diceritakan di dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakn” (Surah Al-Qasas : 4)

Nabi Luth a.s juga menghadapi cabaran dalam menyebarkan dakwahnya apabila baginda di lengkongi umatnya yang tidak mahu mengikut sunah kejadian manusia. Mereka hidup dalam kemungkaran apabila mengamalkan tabiat homoseksual. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud :
“Luth berkata : “Sesungguhnya mereka adalah tamuku, maka janganlah kamu memberi malu (kepadaku). (Surah Al-Hijr : 68)

Rasulullah SAW juga tidak terlepas daripada menerima tentangan musuh-musuh Islam yang mengengkari  dakwah yang baginda sampaikan . Segala bentuk komplot, penghinaan, cacian dan penghinaan, fitnah dan penyeksaan fizikal serta mental baginda diuji. Namun, segala cabaran dan mehnah yang datang tidak pernah menggentarkan Rasulullah SAW untuk terus menyebarkan risalah Islam bersama para sahabatnya.

MEHNAH DAN UMAT ISLAM
Umat Islam dewasa ini menghadapi mehnah dalam pelbagai bentuk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Orang mukmin sentiasa di ambang 5 dugaan yang susah ; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.
Terdapat pelbagai cabaran yang membentang menuju puncak kegemilangan dan keagungan Islam. Di antaranya ialah ;
a)      Perancangan Yahudi (Zionis) untuk menghancurkan Islam
b)      Umat Islam lupa diri dan berada jauh dari nilai-nilai Islam yang sebenar
c)       Kelemahan pemikiran umat Islam
d)      Keruntuhan  akhlak dan iman umat Islam

TUNTUTAN DALAM MENGHADAPI MEHNAH
Seperti mana telah dijelaskan bahawa perjuangan Islam yang telah kita mulai langkah-langkahnya ke mercu kemenangan ini tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Kita akan sentiasa diuji sepanjang perjalanan ini. Allah SWT tidak akan membiarkan perjuangan ini berlalu tanpa ujian. Setiap mereka yang menggerakkan perjuangan pasti akan diuji. Hanya dengan ujian dapat dibuktikan siapa yang benar dalam perjuangan dan siapa yang dusta
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah Al-Ankabut :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ . وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ .
Maksudnya :
Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan : “Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji . Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.

Dari ayat ini jelas kita fahami mengapa sebenarnya difardhukan jihad. Hikmah daripada kefardhuan jihad adalah suatu iktibar dan ujian daripada Allah untuk dibuktikan siapa yang sebenar-benar sebagai hamba yang mentaatiNya dan siapa pula yang menderhakaiNya. Justeru itu tahan ujian adalah tuntutan yang wajib dalam perjuangan

HIKMAH DARI MEHNAH
Antara hikmah mehnah dan tribulasi yang akan dapat dikecapi oleh para Mukmin termasuklah :
·         Menunjukkan sifat kehambaan, tanggungjawab serta pergantungan kepada Allah SWT
·         Menampakkan yang haq dan yang batil
·         Sebagai satu bentuk pentarbiyyahan diri
·         Melahirkan individu yang berjiwa besar untuk kebangkitan Islam
·         Membersihkan diri orang-orang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap
·         Mendidik generasi menjadi sabar, tangkas dan mempunyai azam yang kuat

BAGAIMANA MENGHADAPI MEHNAH
Mehnah akan dapat dilepasi dengan :
·         Ikhlas dalam perjuangan
·         Mendidik jiwa dan ketahanan menerusi latihan kerohanian
·         Berada dalam jemaah
·         Meletakkan cita-cita tertinggi “syaheed dalam perjuangan” sebagai matlamat utam

PENUTUP
Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan ketikanya apabila lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Semoga noktah akhir kehidupan ini akan berakhir dengan hakikat bahawa kita tertulis sebagai hamba yang diredhaiNya, justeru kita telah berjaya dan lulus di dalam medan perjuangan Islam yang maha suci ini. Allahu Akbar!!!

No comments:

Post a Comment