Siri Tarbiyah Kawasan 7
IMAN DAN
JIHAD
(Bhg. 1)
Firman Allah yang bermaksud;
Wahai orang-orang yang beriman, mahukah aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi diri kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Dengan itu Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang berupa taman-taman yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘And. Itulah suatu kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia Allah yang kamu sukai, iaitu petolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan ini kepada orang-orang yang beriman. (As-Saf: 10-13)
MUQADDIMAH
Iman adalah tasdiq fil qalbi (membenarkan
dengan hati ). Iaitu benar-benar yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Tasdiq ialah keyakinan yang tidak bercampur dengan syak dan tidak ragu-ragu.
Juga tidak ada rasa tidak puas hati, rasa tidak layak, rasa lapuk dan rasa
was-was terhadap ad-din atau sistem Allah SWT, atau terhadap hukum-hukum Allah
SWT. Ini adalah keimanan yang penuh dengan yakin dan tidak bergoncang lagi.
Firman Allah swt yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman
hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya kemudian mereka
tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka
pada jalan Allah, mereka itulah orang orang yang benar.” (Al-Hujurat:49)
KESAN KEIMANAN
Keimanan seperti inilah yang akan melahirkan
jihad dengan harta benda dan jiwa di jalan Allah SWT.
Hati yang telah memiliki iman akan merasa
puas hati, tetap dan mantap. Hati ini akan mendesak pemiliknya untuk
melaksanakan perintah-perintah Allah SWT. Hati ini mendesak supaya ia melaksanakan
Islam di dalam diri, masyarakat dan realiti hidupnya. Inilah tanda bahawa iman sudah
bertakhta di hati. Iman seperti ini tidak menimbulkan kejumudan. Apa yang
dirasakan di dalam hati hendaklah disepadukan dengan amalan-amalan dalam kehidupan.
Jika berlaku di dalam hati lain dan di luar lain maka itulah yang dinamakan
nifaq.
Iman yang hakiki ialah man yang tidak
sabar-sabar untuk berjuang dan beramal. Iman yang tidak rela atau tidak sanggup
untuk memisahkan apa yang berada di dalam jiwa dengan praktikal hidup seharian.
Jika seseorang itu cuma mendakwa bahawa ia beriman
kepada Allah SWT, namun masih ada peraturan-peraturan Allah SWT yang dirasakan
tidak berpuas hati, tidak mahu dilaksanakan, rasa tidak sesuai, rasa sudah
ketinggalan zaman atau rasa tidak perlu, maka itu bukannya iman yang hakiki
kerana ia tidak menyatukan apa yang ada di dalam jiwa dengan tindakan di luar.
Sekarang, sebahagian besar praktik hidup
masyarakat berjalan tanpa di pandu oleh iman. Mengapa terjadi sedemikian?
Mungkin hati-hati mereka menerima syahadah, tetapi syahadah itu tidak masuk dan
tidak meresap ke dalam hati dan jiwa. Jika sekiranya terdapat amalan-amalan
yang berlawanan dengan ajaran Allah, maka itu bermakna apa yang ada di dalam
hati dengan amalan dan tindakan luaran tidak dapat disatukan. Tindakan-tindakan
yang salah itu menandakan iman yang lemah atau iman palsu. Ini kerana orang
yang beriman pasti tidak sanggup memisahkan apa yang ada di dalam hati dengan
apa yang ada di luar kerana pemisahan ini amat menyeksakan jiwanya.
Inilah sifat orang-orang yang beriman. Jika
ia tidak dapat melaksanakan Islam maka apa yang terasa ialah sakit dan
tersiksa. Apabila wujud perasaan sebegini, maka akan lahirlah usaha-usaha
jihad. Seseorang yang beriman dengan iman yang hakiki akan mara ke hadapan,
bila-bila masa sahaja untuk berjihad dengan harta benda, jiwa dan amalan.
Inilah perasaan fitrah atau dorongan
semulajadi yang terdapat dalam jiwa orang yang beriman. Ia merasakan suatu keperluan
untuk melaksanakan tasawur atau gambaran Islam yang terang dan jelas itu ke
dalam jiwanya dan diterjemahkan ke dalam kehidupannya. Sesungguhnya tasawwur
Islam cukup jelas dan terang dalam jiwanya itu menjadikan tidak ada lagi suatu
ruang pun di dalam dirinya yang terselindung, seterusnya menjadikan ia tidak
sabar lagi untuk melihat Islam berjalan di dalam kehidupannya.
IMAN DAN JAHILIYYAH
Permusuhan antara orang mukmin dengan
jahiliyah adalah permusuhan semulajadi yang terpancar daripada perasaan tidak
sanggup lagi bersekutu dengan jahiliyah. Ia tidak sanggup lagi bercampur baur,
bertolak ansur atau berkompromi dengan jahiliyah. Dari sebab itu, berlakulah
permusuhan antara Islam dengan jahiliyah. Kalau seseorang itu beriman tetapi
dia tidak menolak jahiliyah, maka itu menunjukkan imannya sudah tidak berfungsi
. Kalau ia merasa seronok dan mesra dengan jahiliyyah, seperti apabila melihat
keluarga sendiri yang terlibat dalam jahiliyah ia masih membatu, maka ini
adalah alamat bahawa jiwanya sudah berpenyakit.
Kita mestilah melawan dan menentang
jahiliyah. Sesungguhnya jahiliyah cuma boleh di runtuhkan dengan iman. Iman
tidak pernah bersatu dengan jahiliyah sehinggalah jahiliyah itu tunduk di bawah
telunjuk iman.
Sesungguhnya iman pasti menang. Apabila
kemenangan sudah berpihak kepada iman maka barulah Allah mengakui kita sebagai
orang-orang yang benar iaitu As-Sadiqun, iaitu orang-orang yang benar di dalam
aqidah. Dakwaannya juga benar sepertimana amalannya.
Orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang
yang beriman dengan Allah dan Rasulnya, kemudian mereka ini tidak ragu-ragu.
Mereka tidak ragu dalam semua hal yang di turunkankan oleh Allah. Mereka tidak
ragu dalam semua hukum dan amalan yang telah di tentukan oleh Allah. Inilah
iman yang benar, iman yang sahih dan iman yang mesti dipraktikkan di dalam
kehidupan. Ia bukan hanya perkara yang hanya bermain di bibir, tetapi mesti
berlaku dalam waqi’ harian.
Seseorang yang rasa-ragu terhadap Allah, maka
keraguannya itu dicerminkan dalam amalan kehidupannya. Ia ragu terhadap
hukum-hakam yang ditanzilkan Allah SWT dan ragu terhadap sunnah Rasullullah
SAW.
Apabila seseorang menerima peraturan hidup
yang lain daripada peraturan hidup Allah, maka itu bermakna dia ragu-ragu
terhadap peraturan Allah. Jika seseorang mendakwa beriman kepada Allah tetapi
masih berminat dan suka kepada yang lain daripada apa yang Allah tanzilkan maka
ini bukan sahaja dikira ragu-ragu bahkan dikira sudah meninggalkan iman.
PENUTUP
Allah SWT peringatkan kita semua dengan
ayat-ayat-Nya supaya kita sedar dengan perkara-perkara yang bolah memesongkan
kita daripada iman yang sebenarnya. Dalam realiti sekarang, banyak perkara yang
boleh meragukan dan memutarbelitkan kita. Jueteru itu kita perlu tetapkan
perjalanan tarbiyyah kita agar betul-betul berlandaskan apa yang telah
ditetapkan Allah sehingga kita sampai kepada keyakinan yang bulat kepada sistem
Allah, tanpa syak lagi.
No comments:
Post a Comment