MAUIDZAH TUAN GURU NIK ABD AZIZ NIK MAT
HARAKAH
6-8 RABIUL AWWAL 1434 / 18-20 JANUARI 2013
FIKRAH M/S 9
PERSAUDARAAN
SUATU NIKMAT AGUNG
Tidak terlindung
natijah daripada perangai yang elok itu ialah sifat “ulfah” (jinak berjinak),
tiada peragai negatif seperti iri hati , dengki dan sebagainya yang terbit
daripadanya.
Dinyatakan Al-Quran,
hadis Nabi S.A.W serta atsar (kata-kata sahabat dan tabiin), tentang memuji
pekerti ulfah. Lebih-lebih lagi andainya hubungan mereka berdasarkan
agama,takwa serta kasih sayang kerana Allah S.W.T . Sebagaimana firman Allah
S.W.T yang bermaksud : “ …Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu
dahulu (ketika jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara
hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara .”
(Surah Ali Imran ayat 103)
Melalui ayat
tersebut Allah S.W.T pamer nikmat-Nya yang besar. Dalam begitu banyak ayat-Nya
ada ayat yang hendak membangkit nikmat yang telah dikurniakan. Itulah hak
istimewa Allah S.W.T untuk tujuan menyedarkan hamba-Nya
Allah S.W.T
murka terhadap perbuatan mengungkit budi yang diberikan manusia sesamanya,
meskipun untuk menyedarkan mereka supaya mengenang budi.
Kenang budi
atau tidak terserah kepada Allah S.W.T untuk menilainya. Ada kalanya manusia perlu disedarkan dengan membangkit
nikmat-Nya, misalnya firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Dan Allah
mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun,
dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah
An Nahl ayat 78).
Membangkit kurnia
Allah S.W.T melalui ayat tersebut , untuk menyedarkan bahawa bayi yang
dilahirkan dalam situasi tidak tahu suatu apa pun.
Allah S.W.T
mekarkan kuntum kasih sayang di hati ibunya, dan menerbitkan susu ibu sebagai
rezeki khusus untuk bayinya.
Tetapi jika
Tuhan tidak kurniakan bayi itu perasaan ingin menghisap susu ibu, nescaya ia
akan kebuluran meskipun susu ibu penuh tepu.
Kerana ibu
tidak upaya mendatangkan perasaan tersebut kepada bayinya , kecuali Allah S.W.T
yang berkuasa mengurniakan perasaan istimewa
itu kepada bayi yang tidak tahu apa pun.
Terlalu bayak
ayat bentuk membangkit bongkar di dalam Al-Quran. Apabila membacanya dan
bertemu dengan ayat-ayat sedemikian , sewajarnya ada perasaan; adakah ayat
Allah S.W.T itu, sedang membangkit kurnia-Nya kepada manusia yang banyak
dinikmatinya.
Manusia menitiskan
air mata keinsafan mengenangkan kurnia Allah S.W.T, yang telah menjadikan
manusia bertukar daripada bermusuhan jadi bersahabat setia, apabila didatangkan
Nabi dan Rasul akhira zaman dengan membawa agama Allah (habibillah).
Inilah nikmat-Nya
yang besar, menukar para penentang Islam menjadi pendukungnya yang gigih. Seperti
terjadi kepada Umar Al-Khattab dan Abu Shufian, ramai lagi yang tercatat dalam
sejarah Islam.
Masing-masing
hidup bersatu padu berpegang dengan agama Allah (Islam). Setelah sekian lama
bermusuhan lantaran menganut pelbagai fahaman sesat.
Firman-Nya
yang bermaksud : “ Berpegang teguhlah
kamu dengan tali Allah (Islam) dan jangan kamu berpecah belah.” (Surah Ali
Imran ayat 103).
Sejarah perpecahan
dikalangan manusia itu akan berulang melanda masyarakat, sekiranya manusia
tidak berpegang teguh dengan ‘tali (agama)Allah’.
Sebaliknya manusia
kembali berpegang dengan aneka fahaman ciptaan ; seperti sosialis, nasionalis, komunis,
demokrasi dan sebagainya, yang menjerumuskan mereka kepada peperangan sesama
sendiri di dunia kini.
Sabda Rasulullah
S.A.W yang bermaksud : “Orang yang paling rapat dengan majlisku (syurga) di
akhirat kelak ialah manusia yang berakhlak mulia, iaitu mereka yang sanggup
merendahkan diri, orang yang berjinak-jinak (ulfah) kepada orang lain dan
sebaliknya.”
Banyak dalil
Al-Quran dan hadis serta atsar dekemukakan, agar manusia hidup bersifat ‘ta-aluf’
(berjinak-jinak) dan ‘tawaffuk’ (bekerja sama) bukan masing-masing membawa
diri.
Seorang alim
besar bernama Qubael bin Iyadh berkata; setiap manusia berhasrat untuk memasuki
syurga Allah S.W.T, tetapi apakah amalan
makruf yang telah dilakukan untuk layak
memasukinya.
Beliau mengemukakan
soalan yang minta dijawab, misalnya sepanjang hayat berapa kali kamu telah
tinggalkan perkara idaman nafsu. Berapa
kali kamu marah orang lain,sedangkan kamu mampu mengekang perasaan itu.
Seterusnya berapa
kali kamu menentang perkara mungkar yang dilakukan kaum keluarga dan saudara
karibmu sendiri? Berapa ramai orang jauh yang tidak kamu kenali, tetapi kamu
jadikan mereka umpama waris sendiri kerana mereka taat kepada Allah S.W.T?
Oleh kerana
perasaan kasih adalah suatu yang bersifat rahsia di hati sukar dimengerti,
Allah S.W.T sendiri adalah Zat yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala.
Perasaan kasih
dan cinta, sulit untuk dihuraikan. Begitu juga rasa kasih kepada Alllah S.W.T,
Zat yang tidak dapat dijamah sukar hendak dijelaskan. Justeru itulah hakikat
kasih sesama insan kerana Alllah S.W.T,
tidak kerana yang lain.
No comments:
Post a Comment