ISLAM RISALAH ‘ALAMIN
(Bhg. 2)
Firman Allah yang bermaksud;
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”
MUQADDIMAH
|
Sudah tiada sebab lagi bagi setiap
yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam
al-Quran untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang
berlaku. Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di
atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, dan adalah
suatu yang tidak sepatutnya berlaku bilamana umat Islam hanya memikirkan
tentang kepentingan dan keseronokkan dirinya semata-mata sewaktu kekejaman yang
melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang
beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan permasalahan yang
berlaku yang berupa kebokbrakan idealogi, pembunuhan, kekejaman, kebuluran, dan
kebejatan masalah sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia
ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran.
Pengetahuan tentang perkara tersebut telah meletakkan suatu tanggungjawab besar
di atas bahu umat Islam iaitu menerangkan tentang ajaran Islam dan
keindahan-keindahan yang dibawa olehnya dan menyebarkan ajaran moral yang
terkandung di dalam al-Quran. Kita seharusnya menyakini bahawa hanya dengan
kebangkitan Islam sahajalah dunia ini akan diliputi dengan kesejahteraan dan
keamanan.
KEBANGKITAN ISLAM DAN KEMATANGANNYA
|
Kebangkitan ini tidak seharusnya
tergendala di tengah jalan. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menggariskan langkah-langkah
menuju kematangan kebangkitan Islam atau membimbing kebangkitan Islam dari
zaman kekeliruan kepada pencerahan. Berikut adalah langkah yang diutarakannya :
1-
Dari format dan symbol kepada hakikat
Ada di antara manusia yang
memerhatikan aspek luaran yang bersifat formaliti daripada isi kandungan, hanya
mementingkan bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah
memanjangkan janggut, memendekkan pakaian, membawa siwak, mengharamkan semua
jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita. Umat Islam seharusnya perlu
mencurahkan perhatiannya kepada roh ajaran Islam itu sendiri daripada
mengutamakan format dan bentuk. Islam sebagai akidah, ruhnya adalah tauhid,
sebagai ibadat ruhnya adalah keikhlasan, sebagai tuntutan moral ruhnya adalah
kasih sayang, sebagai syariat ruhnya adalah keadilan, sebagai peradaban ruhnya
adalah keseimbangan. Al-Qaradawi membawa contoh golongan yang suka kepada
pengetahuan teori semata-mata, terlalu banyak bergelut dengan hal yang
mengundang perbezaan daripada yang menjadi kesepakatan dalam topik keimanan
kepada Allah. Beliau menyeru supaya hanya ibadat hati yang perlu didambakan.
Mereka perlu mencurahkan usaha untuk meraih hal itu dengan cara beriman,
bertawakal dan mengharap rahmat-Nya. Menurutnya, banyak pendakwah Islam
melupakan aspek ini yang merupakan ruh agama serta bahagian terpenting
daripada keimanan.Mereka lebih mementingkan perbuatan kasar yang dilakukan oleh
tubuh badan.Hal semacam itu memang penting tetapi ia tidak bermakna apabila
tidak disertai dengan perbuatan hati. Padahal perbuatan hati ini merupakan asas
mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.
2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan
2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan
Di antara sikap negative yang perlu
dihindari ialah bangga dengan sejarah lampau tanpa mengubahnya dalam
bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan masa kini dan mengembangkannya ke arah
yang lebih baik. Membicarakan sejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendorong
untuk terus memacu kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus
hanya berbangga dengan sejarahnya sahaja. Termasuk dalam sikap ini juga ialah
tenggelam dalam kenangan pahit lalu dan tidak melakukan usaha positif untuk
mengatasinya atau mengatasi kemungkinan berulangnya tragedi yang sama. Termasuk
dalam sikap ini juga ialah membicarakan kesalahan orang lain, perdebatan yang
tidak sihat dalam persoalan yang tidak memberi apa-apa faedah selain ia
melahirkan kesombongan diri dan membuang waktu. Oleh itu, umat Islam perlu
berusaha untuk melakukan amalan yang lebih baik dan memiliki matlamat dan
tujuan yang jelas. Orang Islam tidak pernah hidup tanpa tujuan serta tidak
melakukan sesuatu secara melulu. Kita harus menentukan jalan untuk menuju
matlamat tersebut sesuai dengan keadaan dan kemampuan yang kita miliki. Di samping kita mencurahkan perhatian utama
kepada bidang politik semata-mata, kita tidak boleh melupakan bidang
pemikiran, pendidikan dan sosial. Kita tidak boleh bercakap seperti golongan
yang hidup di menara gading di dalam dunia teori yang idealistik tetapi tidak
pernah turun ke medan
masyarakat untuk bertindak..
3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.
3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.
Seorang muslim pasti dapat mengawal
perasaan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan
ilmiah,ia tidak bersikap ekstrem dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam
dunia khayalan dan kecenderungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa
berusaha untuk memerhatikan perkara yang benar. Manifestasi sikap emosional ini
juga adalah sikap melupakan sunnatullah yang berlaku ke atas alam dan kehidupan
manusia. Kita tidak sepatutnya berlebih-lebihan dalam menggambarkan sesuatu,
baik yang bersifat material ataupun kerohanian. Oleh itu, gerakan Islam perlu
bangun dalam tradisi ilmiah dan perencanaan masa depan. Gerakan Islam perlu
membebaskan diri daripada kecenderungan emosional kepada rasional, objektif
dalam menilai sesuatu aktiviti, memahami realiti dan sejarah dalam menentukan
sesuatu keputusan. Antara ciri-ciri ilmiah ialah melihat segala sesuatu
kejadian dan perkataan secara objektif tanpa terpengaruh dengan identiti
pelakunya, menghormati kepakaran seseorang dalam bidangnya, mampu melakukan
muhasabah diri dan mengakui kesalahan yang terlanjur serta berusaha
mengambil pengajaran daripadanya dan menghormati adab perbezaan pendapat. Semangat
ilmiah harus terus subur dalam gerakan Islam dan menjadikan pola berfikir
berdasarkan ilmu seharusnya menjadi aspek yang dominan dalam semua aspek
kehidupan kita. Pandangan ilmiah dijadikan sebagai ukuran penentu dalam
mengeluarkan pandangan dan keputusan gerakan. Orang yang beriman hidup dalam
keadaan keyakinan, menolak perasaan sangkaan dan mengikut taklid buta atau
sikap gaya
jumud.
4. Dari orientasi masalah
cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama
Menurut al-Qaradawi perkara utama
gerakan Islam kini ialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan
kaderisasi. Pada hematnya, aktivis gerakan Islam tidak seharusnya menyibukkan
diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang bersifat makruh sehinggakan
daam waktu yang sama yang menitikberatkan perintah yang bersifat fardu atau
larangan-larangan yang bersifat haram. Seorang muslim perlu memperuntukkan
fikiran dan waktu untuk melaksanakan perkara-perkara yang wajib dahulu, barulah
amalan sunat. Antara kesilapannya ialah bersikap keras dalam masalah sunat
sehingga menganggapnya sebagai wajib serta mengutamakan ibadat sunat daripada
ibadat fardu. Gerakan Islam perlu keluar dari lingkungan persoalan khilafiyah
yang mengandungi potensi polemik kepada persoalan-persoalan yang disepakati bersama
sehingga boleh merumuskannya menjadi agenda yang besar. Perkara yang merosakkan
iklim kebangkitan Islam adalah adanya golongan yang cenderung memberi perhatian
kepada persoalan-persoalan yang tidak disepakati oleh para ulamak dalam masalah
penghalalan atau pengharaman. Mereka menjadikan persoalan khilafiah ini sebagai
ukuran dan penilaian terhadap tindak tanduk sesama manusia. Seolah-olah perkara
khilafiah ini merupakan pokok keimanan dan landasan utama ibadat. Menurut
al-Qaradawi perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap pendapat yang
mereka pegang dalam masalah khilafiah sebagai kebenaran yang tidak mungkin
salah, kurang memperhatikan persoalan-persoalan agama yang telah disepakati,
suka berdebat dan menyakiti orang lain sehingga memecah-belah umat, takabbur
dan bangga pada diri sendiri yang merupakan titik tolak kepada kehancuran diri.
5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira
Islam merupakan agama rahmat kepada
manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara
dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj
yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan
menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang
menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah
menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat
Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan.
Firman Allah SWT yang bermaksud;
Allah menghendaki kamu beroleh
kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran (Al-Baqarah: 185)
Namun, seruan kepada kemudahan
bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang
pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum
dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi,
sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan
kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para
aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa
depannya. Kita tidak perlu lagi mengatakan dunia Islam kini seburuk-buruknya
dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah
dan kezaliman akan bermahajalela. Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat
Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan
yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.
PENUTUP
|
Ambillah iktibar dari sejarah. Kita
adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan
daripada selainnya, kita akan dihina oleh Allah . Umat yang tidak mahu menoleh
kepada sejarah adalah umat yang teramat rugi. Umat yang tiada sejarah adalah
umat yang tiada baginya masa depan. Sesungguhnya kita mesti menjejak kembali
perjalanan semalam yang telah dilupakan. Sejarah adalah modal besar untuk umat
Islam kembali ke persada politik yang bersifat lebih global. Di dalam konteks Malaysia, PAS mesti menjadi kelompok yang
disedari kewujudannya oleh masyarakat malah diperlukan oleh massa. Dengan cara ini sahajalah sokongan
yang padu terhadap perjuangan PAS boleh ditingkatkan di dalam konteks Malaysia
sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Semoga mendung hitam yang
membaluti tanahair ini akan tersisih pergi bersama mentari kebangkitan Islam
yang bakal disaksikan nanti. Allahu Akbar!!!
No comments:
Post a Comment