Nasrudin bin Hassan at Tantawi
September 2008
Taqwa:
Objektif Madrasah Ramadhan
Merujuk kepada Ayat 183 surah al
Baqarah :
يا يها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام
كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Wahai orang yang
beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas
orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt.
( Surah al
Baqarah : Ayat 183 )
Ayat di atas jelas menegaskan bahawa
perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difadhukan ini ialah
Taqwa. Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai
objektif yang dikehendaki oleh Allah swt.
Maksud yang seerti dengannya ialah
puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di
sepanjang bulan Ramadhan ini . Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam
sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif
perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai . Inilah yang iasa disebut sebagai
management by objective .
Prof. Doktor Wahbah az Zuhaili . (
di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua /muka surat 130 . Cetakan Darul Fikri
Damsyik ) ketika menafsirkan ayat ini menyebut nahawa Ibadah Puasa melahirkan
ketaqwaan kepada Allah swt melalui beberapa faktor :
1. Puasa mendidik jiwa untuk takut
kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa
yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. (
Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar dihadapan manusia tetapi tidak
dihadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)
2. Mengekang keterlanjuran syahwah
dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan
gelora nafsu .)
3. Mencetus naluri yang peka (
sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . ( Lapar
sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak
bernasib baik )
4. Ibadah puasa memahamkan kita
pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi
Allah swt.)
5. Meletakkan kehidupan Insan dan
pengurusannya di atas system ( yang benar dan menepati fitrah ) dan
mendisiplinkannya.
6. Memulihkan struktur dalaman tubuh
, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang
memudharatkan jasad .
Definisi Taqwa :
Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah
mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan
memudaratkan.
Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti :
“Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan
melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi
larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.[1]
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan
hakikat taqwa dengan sabda baginda :
أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ
“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.
( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )[2]
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.
Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.[3]
Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.[4]
Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[5]
Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[6]
Martabat Taqwa .
Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;[7]
Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .
Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :
“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”.
( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )
Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.[8]
Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.
Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.
Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;
“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).”
( Surah Ali Imran. Ayat : 102 )
Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa .
Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .
Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .
Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak , moral dan aqidah.
Saksikanlah , bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah , sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia .
Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .
Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .
Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .
Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa
1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat
Pejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti.
“….maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan”.
( Surah Al – Maidah. Ayat : 100 )
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan”.
( Surah An-Naba’: Ayat 31 )
Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu gugat oleh musuh – musuh Allah swt.
Renungkanlah firman Allah ini :
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.
( Surah Al-A’raf : Ayat 96 )
Menurut para mufassirin , yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan.
Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah.[9]
Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah Aali Imran : Ayat 133 )
“Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh keni`matan”.
( Surah al-Maidah: Ayat 65 )
2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh Allah
Antara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya.
Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.
(Surah al-Anfal: Ayat 29 )
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta`ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.
( Surah Al-Ahzab: Ayat 71 )
Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan (السيئات) yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka (الصغائر), dan adapun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar (الكبائر).[10]
Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ (السيئات) ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ (الذنوب) ialah dosa-dosa besar.
Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat”.[11]
3. Pejuang yang bertaqwa sentiasa akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah
Orang-orang bertaqwa akan senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah. Mereka senantiasa berada di atas jalan yang benar dan terhindar dari kesesatan atau membuat pilihan yang salah dalam urusan hidup mereka. Firman Allah;
“Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah…”.
( Surah Al-Anfal: Ayat 29 )
“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya (yakni hidayah dan pertunjuk) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
( Surah Al-Hadid: Ayat 28 )
Kata Imam Ibnu Kathir; “Orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya, ia akan diberi taufik (pertunjuk) oleh Allah untuk mengenal yang hak dari yang batil.
Inilah yang menjadi punca ia beroleh kemenangan, keselamatan dan jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) dalam urusan-urusan duniawinya serta menjadi punca kebahagiaannya di akhirat, jua punca pelupusan segala dosa-dosanya dan punca ia beroleh pahala yang besar dari Allah”.[12]
Kitab al-Quran yang diturunkan Allah hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk darinya. Ini kerana hanya mereka sahaja yang menyedari betapa tingginya nilai al-Quran dan bagaimana untuk mengambil manfaat dari ajaran dan hukum-hakamnya.[13]
“Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”.
( Surah al-Baqarah: Ayat 2 )
“(Al Qur'an) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah Aali Imran: Ayat 138 )
4. Pejuang yang bertaqwa akan sentiasa dibantu dan diberi pertolongan oleh Allah
Orang-orang bertaqwa adalah kekasih Allah. Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan mereka; membimbing, menjaga, memelihara dan membantu mereka.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah At-Taubah : Ayat 4)
“…dan ketahuilah bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah At-Taubah : Ayat 36 )
Orang yang menjadi kekasih Allah, ia
tidak akan diabaikan Allah. Apabila ia berada dalam kesusahan atau kesempitan,
Allah akan mengurniakan pertolongan kepadanya dan membuka jalan penyelesaian
yang terbaik bagi masalah yang dihadapinya.
Bahkan orang-orang bertaqwa dikurniakan rezki oleh Allah dari jalan-jalan yang tidak disangkanya.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.
( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”.
( Surah Yunus : Ayat 62-63 )
Kata Ibnu Abbas; “Orang yang
bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyelamatkannya dari segala bala dan
kesusahan dunia dan akhirat”.
Menurut Abu ‘Aliyah; “Orang yang bertaqwa , Allah akan bukakan untuknya jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) bagi segala macam kepayahan/kesusahan yang dihadapinya”.[14]
Apabila berhadapan dengan musuh, orang-orang bertaqwa akan sentiasa dinaungi dan dijaga oleh Allah sehingga perancangan jahat dan tipu-daya musuh-musuh mereka tidak akan mampu memudaratkan mereka sedikitpun.
“Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan”.
( Surah Aali Imran: Ayat 120 )
[1] Mempertajam Mata Hati, Ibnu Athoillah As-Sakandari (Penggubah; Abu Jihaduddin Rifqi Al-Hanif), hlm. 76.
[2] Lihat hadis ini dalam Tafsir al-Qurthubi : ayat 102, surah Ali Imran dan kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.
[3] Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah .
[4] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[5] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[6] Tafsir al-Qurthubi (ayat 2, surah al-Baqarah).
[7] Al-Muqthathaf min ‘Uyun at-Tafasir, karangan al-Allamah Mustafa al-Khairi, hal. 27.
[8] Lihat tafsir al-Jalalain.
[9] Tafsir ‘Abrul Athir, Ahmad Sonhadji Mohamad, juz 9, hlm. 29-30.
[10] Tafsir an-Nasafi, Imam Abi al-Barakat Abdullah bin Ahmad an-Nasafi (surah al-Anfal, ayat 29).
[11] Tafsir Ibnu Kathir (Surah al-Ahzab, ayat 70)
[12] Tafsir Ibnu Kathir (surah al-Anfal, ayat 29)
[13] Al-Muqtathaf min ‘Uyun at-Tafasir (surah al-Baqarah, ayat 2)
[14] Radhatul Muttaqiin (Syarah Riyadhus Salihin), jil 1, bab at-Takwa, hal. 113.
No comments:
Post a Comment