My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Sunday, 8 January 2012

Isu-Isu Besar Negara: Peranan Para Da'ie Dan Aktivis Parti


Isu-Isu Besar Negara: Peranan Para Da'ie Dan Aktivis Parti

1) Pengenalan

Setiap muslim wajib memelihara diri dan ugamanya daripada diganggu gugat oleh anasir-anasir luar yang sentiasa berusaha merosakkan keaslian dan kekuatannya. Ketahanan dan istiqamahnya berada di jalan Allah yang lurus akan menjadi nilai yang besar di sisi Allah, bahawa muslim itu telah berjaya melalui rangkaian ujian Allah ke atasnya di dunia ini.

Justeru setiap muslim wajiblah berusaha mengenal musuh dan perancangan jahat mereka sebagaimana mereka juga wajib mengenal kawan dan saling bekerja sama ke arah kebaikan demi menjaga dan menyelamatkan kelompok yang beriman daripada dicerobohi tipu daya musuh.

Perancangan jahat musuh boleh dilihat dalam pelbagai sudut dan medan seperti memesongkan akidah dan ghaibiyat, sejarah kewujudan makhluk dan sejarah Islam, persoalan ilmu dan sains, adat dan budaya di samping menokok tambah atau mengurangkan kesempurnaan Islam. Ramai umat Islam sendiri yang terperangkap di dalam jerat para musuh disebabkan ketidak sediaan mereka dengan perisai yang kukuh bagi mendepani fitnah dan serangan jahat ini.

Di antara perancangan musuh yang paling mendapat tempat dan perhatian mereka di dalam meracuni pemikiran dan kesatuan umat Islam ialah 'mencetuskan dan mengeksploitasi isu-isu semasa masyarakat dan kehidupan' yang mampu mengeruhkan kejernihan dan melonggarkan kepercayaan sesama kelompok orang-orang yang beriman.

Maka, kemahiran menjawab, menolak, menangkis, mempertahan dan kembali menyerang musuh adalah satu senjata milik setiap muslim yang perlu sentiasa diasah dan ditajamkan. Dengan demikian, musuh akan mati kutu dan segala perancangan mereka akan menjadi sia-sia di hadapan kelompok beriman yang gagah perkasa.

2) Kategori Isu Dalam Masyarakat Dan Kehidupan

Ada tiga kategori isu yang sentiasa menghujani masyarakat dan negara;

1) Isu yang secara zahirnya menguntungkan pihak musuh atau kerajaan.

Ia pula samada perkara baik yang berlaku di dalam kem musuh atau perkara buruk yang berlaku di sebelah pihak yang beriman. Contohnya, kejayaan musuh atau pihak kerajaan mengelak pertembungan sesama mereka di dalam pembahagian kerusi pilihanraya umum. Begitulah sebaliknya jika pihak pembangkang gagal.

2) Isu yang secara zahirnya menguntungkan kem pihak pembangkang.

Ia juga samada perkara baik yang berlaku di dalam kelompok beriman atau perkara buruk yang berlaku di sebelah kem musuh. Contohnya, pengiktirafan pihak audit negara terhadap perjalanan kewangan negeri-negeri pembangkang sebagai terbaik di antara negeri-negeri. Begitu juga skandal peribadi atau kewangan yang melibatkan pemimpin kerajaan yang memerintah.

3) Isu yang untung ruginya bergantung kepada kebijaksanaan kedua-dua pihak mengeksploitasikannya bagi pihak masing-masing.

Antara contoh isu tersebut adalah isu perkauman, isu kemajuan pembangunan dan ekonomi negara, isu sosial, hiburan, anak muda dan lain-lain lagi yang dimainkan oleh kedua-dua pihak bagi meraih sokongan dan undi.

3) Kewajiban Menjawab Dan Mengurus Isu

Isu-isu masyarakat dan kehidupan adalah ujian Allah ke atas hambaNya di dunia. Justeru adalah menjadi kewajiban bagi setiap muslim, terutama orang-orang yang berilmu untuk bersegera menjawab dan mengurus isu-isu yang berlaku di dalam kehidupan seharian agar masyarakat Islam mampu memperolehi jawaban dan penyelesaian yang diredhai oleh Allah.

Kegagalan menangani isu mengikut meraca ugama akan membawa fitnah yang boleh merosakkan iman, akhlak dan kepercayaan umat Islam, apatah bukan Islam terhadap kebenaran dan kekuatan Islam sebagai cara hidup.

Kita dapat melihat melalui beberapa petunjuk di bawah bagaimana Islam telah mewajibkan umatnya, terutama para ilmuan dan pendakwah agar bersegera menyelesaikan isu dan permasalahan semasa demi menyelamatkan umat daripada tipu daya musuh.

1) Di dalam al Quran, Allah mengemukakan kekeliruan dan persoalan yang dicanangkan oleh musuhNya, lalu menjawabnya secara langsung. Ia memberi maksud jelas betapa segala isu yang melanda perlulah dijawab segera.

2) Allah merakamkan di dalam al Quran dialog para anbiya dengan musuh Allah dan keupayaan mereka menjawab dan mematahkan hujah musuh. Dialog nabi Musa dan Ibrahim dengan kaumnya termasuk raja mereka, Firaun dan Namrud sebagai contoh, telah diulang-ulang di dalam al Quran. Ia juga satu petunjuk jelas agar umat nabi Muhammad
صلى الله عليه وسلم terus belajar dan bersedia menghadapi serangan musuh dengan jawaban yang mematahkan hujah lawan.


3) Sirah RasuluLlah صلى الله عليه وسلم  dipenuhi dengan dialog, mujadalah dan penerangan yang berterusan dengan golongan kuffar. 13 tahun pertama dakwah baginda dihiasi dengan riwayat-riwayat yang menceritakan bagaimana baginda hidup dengan mengupas dan mendepani isu-isu yang disebarkan oleh musuh di dalam masyarakat Mekah.

4) Seruan Allah di dalam al Quran agar setiap muslim berfikir, mengkaji, belajar dan bertanya, selain nasihat, perbincangan dan melaksanakan sistem syura mengenai segala persoalan hidup adalah sebagai satu persiapan yang mencukupi agar setiap muslim mempunyai kemampuan untuk menghadapi serangan meragukan umat terhadap ugamanya.

5) Musuh hari ini memiliki segala kekuatan kebendaan yang begitu canggih di dalam melaksanakan propaganda memburuk-burukkan Islam melalui penguasaan media dan politik. Jika tanpa kekuatan yang sama, terutama kekuatan ilmu dan hujah, sudah pasti umat Islam akan begitu terdedah dengan racun-racun yang memenuhi atmosfera kehidupan. Justeru keupayaan menjawab isu adalah kewajiban semasa umat yang tidak boleh diabaikan lagi.

4) Bagaimana Menjawab Isu; Beberapa Contoh Semasa

Contoh 1; Isu akhlak dan etika pemimpin negara

Isu perbicaraan Anwar Ibrahim

- Kenali fakta kes : Tuduhan zina, liwat dan skandal akhlak yang buruk.
- Kategori isu : Satu isu yang zahirnya menguntungkan musuh atau kerajaan.
- Hukum Islam : Satu dosa besar apatah dilakukan seorang pemimpin. Satu dosa besar jika menuduh (qazaf) tanpa bukti atau menyebarkannya di dalam masyarakat. Termasuk dalam kes hukum hudud.
- Tasawwur dan situasi semasa : Anwar nafi. Hukum qazaf berlaku dan wajib bawa saksi ke mahkamah syariah. Kes dibicara di mahkamah sivil. Masyarakat terus diracuni dengan hukuman akhbar dan media.

Jalan penyelesaian memenangi isu :

Matlamat: Tukar isu agar memihak kepada kita dan senjata terhala kepada musuh.

Cara:
1) Hidupkan isu qazaf dan dosanya di sisi Islam dan besarnya dosa menyebarkan tuduhan zina.
2) Mesti dibicarakan di mahkamah syariah.
3) Lemah dan rapuhnya mahkamah sivil untuk mendengar penghujahan dan persaksian yang disyaratkan ugama.
4) Anwar mangsa konspirasi politik pemerintah.
5) Mengata dulang paku serpih. Bagaimana musuh menghadapi isu moral pemimpin mereka yang sentiasa terbongkar.
6) Islam jalan penyelesaian isu moral dan segala isu.


Contoh 2; Isu hukum Allah dan perlaksanaannya

Isu hukum Hudud

Kenali fakta kes: Halangan perlaksanaan hukum hudud oleh pihak kerajaan.
Kategori isu: Satu isu yang zahirnya menguntungkan pihak pembangkang.
Hukum Islam: Hukum jenayah syariah yang wajib dilaksanakan oleh negara Islam. Dosa besar menolak, mempersoal dan memperlekeh hukum hudud.
Tasawwur dan situasi semasa: Kelantan dan Terengganu telah luluskan enakmen perlaksanaan hudud. Kerajaan pusat menolak dan menghalang perlaksanaannya. Kerajaan pusat  jelas nyatakan tidak bersedia menerima dan melaksanakan hukum hudud. Majoriti rakyat muslim mahu hukum hudud dilaksanakan. Majoriti daripada minoriti non muslim menolak atau keliru tentang hudud. Pernah diusulkan di
parlimen dan pernah disaman oleh orang UMNO.

Jalan penyelesaian memenangi isu;

Matlamat: Memaksimumkan keuntungan menarik sokongan pengundi tanpa memberi peluang pihak memanipulasikannya.

Cara;
1) Jadikan bukti besar UMNO tolak Islam dengan menolak hudud.
2) Besarkan hukum menolak hukuman Allah yang difardhukan Allah.
3) Bincangkan maslahat dan hikmat hukum hudud dan semua hukum-hukum Allah.
4) Hak majoriti umat Islam di dalam negara Malaysia.
5) Menerangkan hak-hak bukan Islam dan jaminan kesejahteraan non muslim di dalam negara Islam.
6) DAP sudah sedia mendengar, sedangkan MCA terus menolak.
7) Bukti PAS konsisten memperjuangakan Islam


Contoh 3; Isu hak-hak asasi manusia

Isu RUU Perhimpunan Aman

Kenali fakta kes: Rang undang-undang baru sahaja diluluskan untuk menyekat hak rakyat berhimpun secara aman.
Kategori isu: Bergantung kebijaksanaan kedua-dua pihak mengeksploitasikannya.
Hukum Islam: Islam menjamin kebebasan rakyat bersuara dan mengharamkan pencabulan hak.
Tasawwur dan situasi semasa: Rakyat mahukan lebih kebebasan menegur pemerintah. Rakyat menolak kekacauan dan keganasan politik. Himpunan Bersih 2. Janji mansuh ISA. Permit berhimpun yang berat sebelah. Keganasan polis terhadap peserta demonstrasi. Kes mahkamah isu perhimpunan aman yang dimenangi pembangkang. Pilihan raya yang dipenuhi pemalsuan yang menyekat hak rakyat untuk bebas memilih.

Jalan penyelesaian memenangi isu:

Matlamat: Meyakinkan rakyat bahawa hak mereka telah disekat dan janji kebebasan bersuara oleh kerajaan adalah retorik dan palsu.

Cara:
1) Menerangkan bahawa Islam adalah agama kebebasan selepas persaksian bahawa perhambaan hanyalah kepada Allah.
2) Menerangkan hak kebebasan rakyat menegur pemerintah telah terlaksana di dalam sejarah Islam tanpa sekatan dan ugutan.
3) Dunia moden hari ini semakin membuka hak-hak rakyat memilih dan menegur pemerintah. Malaysia masih di takuk lama.
4) Akta ISA adalah tertolak oleh ugama dan hak asasi manusia.
5) Akta-akta lain yang mengongkong kebebaan maklumat kepada rakyat.
6) Janji kerajaan untuk membuka ruang kebebasan kepaa rakyat hanyalah tipu daya menghadapi arus pembangkang.


5) Sumber Untuk Memahami Isu Dan Jawaban

Para da'ie dan aktivis parti sering kali gagal menjawab dan menerangkan isu-isu yang berlegar di dalam masyarakat. Ini disebabkan beberapa faktor yang perlu di atasi. Antaranya kurang pendedahan terhadap sumber yang mampu memberi keterangan dan jawaban selain kurang minat untuk menyelami isu-isu yang berlaku dan sekadar bergantung kepada ilmu dan kefahaman asas agama Islam.

Justeru mereka hendaklah berusaha memperbaiki sikap tersebut dengan memahami kewajiban dakwah dan penerangan kepada hal ehwal dan isu -isu kemasyarakatan yang kebanyakannya dimanipulasi oleh musuh Islam untuk menyelewengkan umat Islam daripada ugamanya.

Berikut adalah sumber-sumber penting memperolehi maklumat dan jawaban di dalam mendepani isu-isu semasa;

1) Akhbar rasmi PAS iaitu Harakah di samping akhbar-akhbar rakan pembangkang yang lain. Sehingga kini, pembacaan akhbar Harakah di kalangan pemimpin dan aktivis parti masih sederhana dan belum menyeluruh.

2) Media baru seperti portal berita di internet, blog, FB dan lain-lain saluran dan gajet yang membantu menyebarkan maklumat secara lebih bebas dan berani. Media baru sebenarnya telah banyak membantu kejayaan pembangkang dalam pilihan raya umum yang terakhir baru-baru ini.

3) Ceramah-ceramah politik pembangkang. Cara tradisi ini banyak membantu memahami isu dengan lebih mudah dengan penerangan oleh para penceramah yang berwibawa.

4) Majlis usrah dan taklimat dalaman parti. Ini biasanya penting di dalam memahami isu-isu dalaman yang lebih eksklusif dan rahsia.

5) Sembang kedai kopi dan majlis kemasyarakatan. Ini merupakan sumber tidak formal yang banyak membantu masyarakat memahami isu secara mudah dan dekat.

Penutup

Pilihanraya umum kali ke 13 sudah menghampiri. Isu-isu akan bertambunan dihadapkan kepada masyarakat. Masyarakat akan memberikan perhatian khas memahami isu politik negara pada musim tersebut. Pihak kerajaan akan mengerahkan segala jentera kerjanya membeli undi dengan tipu daya yang pelbagai. Maka keadaan adalah mendesak ke atas para da'ie dan aktivis parti untuk segera membedah isu dan memahaminya dengan baik. Semoga pengorbanan dan jihad semua diberkati Allah taala. Allahu akbar.

Kertas ringkasan disediakan oleh,

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Untuk,

Multaqa Da'ie Dan Aktivis Islam Negeri Kedah,
06/01/2012

No comments:

Post a Comment