My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Thursday 20 March 2014

31 Januari 2014 PERANAN TARBIAH UNTUK MENGGERAKKAN ORGANISASI PAS



OLEH : UST. HAJI IDRIS HAJI AHMAD
            Ahli Jawatankuasa PAS Pusat 2013-2015

1.         Muqaddimah​

            Kejayaan PAS sehingga dapat mencapai umur 62 tahun berada dipersada politik tanahair negara sebagai sebuah parti politik pembangkang amat membanggakan kita. Sukar hendak mencari sebuah parti politik pembangkang yang mampu bertahan sehingga kini. Parti yang seangkatan dengannya sudah menyembah bumi dan terpadam dalam lipatan sejarah. Kehebatan ini hasil daripada kejayaan tarbiah PAS yang diberikan kepada ahlinya dan pemimpinnya. PAS bergerak dengan bermodalkan semangat dan  motivasi balasan di akhirat tanpa bergantung kepada kekuatan benda. Justeru itu peranan tarbiah jangan dipandang remeh untuk menggerakkan organisasi kita. Pemahaman aspek tarbiah yang tepat akan menghasilkan organisasi yang mantap dalam gerak kerja jamaah.

2.         Takrif tarbiah
            Ialah pendidikan yang dilakukan oleh ahli jamaah supaya dapat meresapkan budaya Islam ke dalam dirinya dan mejelmakan semula budaya tersebut di tengah masyarakat  sehingga keperibadian Islamnya terserlah di tengah masyarakat samaada dalam bentuk fikrah, perasaan, amalan harian yang mencerminkan kehidupan seorang Muslim. Sehingga aktiviti hidupnya mencerminkan watak anggota jamaah  yang bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota yang bertugas untuk menggerakkan jamaah Islamiah.

3.         Pembahagian Tarbiah:

3.1      Pertama Tarbiah Ruhiah

            Ialah untuk mendidik anggota jamaah supaya beriltizam dengan ibadah, menanamkan perasaan lazatnya beribadah dan melahirkan jiwa yang puas. Program ini dapat diperolehi melalui ibadah solat, puasa, sedekah, zikir yang ma’thur, tilawah al-Quran, solat malam dan amalan-amalan sunat, melatih tawakkal kepada Allah serta sabar dalam menghadapi tentangan.  Bentuk Tarbiah ini di praktikkan oleh Rasulullah SAW dengan para sahabatnya sewaktu peringkat permulaan Islam. Arahan Allah  dalam Surah Al-Muzammil
Bermaksud
“Hai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah untuk sembahyang di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), iaitu seperduanya atau kuranglah dari seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat” (29:1-5)

3.2      Kedua Tarbiah Thaqafiah

            Tarbiah ini supaya anggata gerakan bertindak waras dan selaras dengan kaca mata Islam. Tarbiah ini akan memberi kesan terutama kepada pendokong gerakan. Bagaimana mungkin seorang itu hendak melakukan ibadah ruhiah jika ia sendiri dalam keadaan jahil dalam perkara ibadah. Malahan kadang-kadang ia menipu orang lain dan menipu diri sendiri. Pengisian ilmu ini bukan sahaja ilmu fardu ain, tetapi juga segala bentuk ilmu yang bertaraf fardu kifayah, agar ahli harakah berpandangan luas dalam hal ekonomi, politik, kebudayaan dan kemasyarakatan. Samaada ilmu yang diperolehi melalui pembacaan atau datang ke majlis ilmu. Tarbiah thaqafiah  ini penting terutama zaman maklumat, kerana pertarungan sekarang ini ialah pertarungan maklumat dan siapa yang paling banyak menguasai maklumat maka ia akan menang.

3.3      Ketiga  Tarbiah Badaniah

            Ini bertujuan ahli Jamaah berada di dalam keadaan sihat dan segar. Apabila sihat ia mudah untuk melakukan tugas dan tanggungawab. Apa akan terjadi sekiranya anggota jamaah yang sering sakit dan tidak sihat. Oleh itu tarbiah badaniah boleh dilakukan dengan apa cara sekalipun selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.

3.4      Keempat Tarbiah Siyasiah

            Ia bertujuan untuk mendidik para anggota agar mempunyai padangan yang tepat terhadap politik semasa. Kita tidak mahu jahil dalam sepak teranjang politik. Walaupun kita  mengetahui bahawa politik sekular ini jahat tetapi ia tidaklah bererti kita terpaksa meninggalkan politik.  Dan menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menjernihkan semula suasana politik ini untuk menjadi putih. Dalam konteks muwajahah silmiah yang  PAS ambil maka tektik dan strategi plihanraya adalah perlu kita garapkan dalam kehidupan kita. Justeru itu apabila  menjelang pilihanraya program tarbiah kita lebih menjurus kepada tarbiah siasiah untuk mengetahui secara teratur mengenai susun atur gerak kerja pilihanraya.

4.         Hubungan Tarbiah Dengan Organisasi
            Konsep Tarbiah mesti dihayati dengan seimbang supaya dapat menggerakkan organisasi dengan cemerlang. Akibat pemahaman tarbiah hanya berkisar kepada pembinaan peribadi sahaja tanpa dititik beratkan kepada pembinaan jamaah maka ia akan mendatangkan fitnah yang besar pada jamaah. Seolah-olah apabila organisasi tidak bergerak yang dikambing hitamkan kepada tarbiah bukan kerana penghayatan yang tidak betul.

            Organisasi secara mudah boleh ditakrifkan sebagai kumpulan ahli yang dipimpin oleh kepimpinan menuju kearah suatu matlamat yang diikat melalui prosedur dan struktur perlembagaan. Dalam konteks jamaah PAS yang jelas tertera dalam perlembagaan parti yang meletakkan asas yang kukuh dan jelas untuk dicapai oleh PAS.

5.         Fasal 3. Dasar PAS ialah ISLAM.

            Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah Islam yang lengkap, merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. PAS mahu memperjuangkan Din wa daulah (agama dan Negara)

6.         Di Dalam fasa 5. Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan  hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
(2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. ​ ​

            Di dalam fasal ini jelas bahawa PAS berusaha untuk mewujudkan pemerintahan Islam (Negara Islam) sejak dari awal penubuhan lagi yang tidak pernah PAS berkompromi (bertolak ansur) untuk menggugurkan matlamat Negara Islam walaupun pimpinan PAS silih berganti.  Justeru itu gerak kerja PAS adalah satu perjuangan yang suci dan merupakan satu jihad yang memperolehi ganjaran daripada Allah SWT InsyaAllah.

            Secara keseluruhan isu organisasi boleh dilihat sebagai isu kemanusiaan dan mentadbir organisasi adalah mentadbir manusia. Dalam membincangkan faktor kejayaan organsiasi penumpuan akan diberikan kepada faktor manusia tersebut iaitu ahli dan pemimipin.

• Ahli yang bertindak sebagai manusia biasa ia akan rancak bekerja apabila hasil daripada kefahaman tarbiah yang sebenar. Apabila ia merasakan ujudnya unsur-unsur penilaian ke atas dirinya dan pengiktirafan atas usahanya. Kebiasaan dalam konteks PAS ahli PAS merupakan orang yang cukup taat dan patuh kepada oragnisasi dan jamaah. Beberapa usaha untuk merancakkan gerak kerja parti untuk memastikan ahli dapat bergerak dengan baik ialah melalui kegiatan usrah. Usrah merupakan satu saluran yang terbaik untuk memantau dan membuat penilaian atas usaha ahli. Usrah boleh dijadikan sebagai satu medan untuk membincangkan konflik organisasi dan mengurangkan masalah.
• Semua dari kalangan tenaga parti perlu diberi penjelasan tentang objektif suatu program dan tindakan. Kebanyakan kelemahan dalam mana-mana organisasi ialah tergendalanya maklumat (komunikasi) atau tidak ada maklumat. Maka perkara ini yang perlu dititik beratkan oleh tenaga parti. Justeru itu proses tarbiah yang berkesan sahaja yang mampu memperbaiki keadaan ini terutama melalui pertemuan, munaqasyah, liqa’ fikri, tamrin, muhasabah dan sebagainya. Sistem komunikasi yang baik boleh diwujudkan dengan

a. Memberi peluang ahli menyuarakan pendapat
b. Memberi saluran maklumbalas dari ahli untuk pemimpin
c.  Memberi ruang untuk menjelaskan suatu arahan/polisi/dasar.
d.  Memberi maklumat-maklumat yang diperlukan oleh ahli/pimpinan

• Perkara yang lumrah berlaku dalam jamaah ialah konflik antara anggota dan pimpinan. Maka tarbiah berperanan menyelesaikan konflik organisasi. Konflik organisasi berlaku kerana perbezaan nilai, perubahan matlamat, permusuhan peribadi, cemburu, pergelutan kuasa, pertelingkahan kepentingan dan sebagainya. Dari perspektif Islam, konflik organisasi dilihat sebagai krisis kemanusiaan di mana wujud di kalangan manusia anggota organisasi yang gagal menghayati sifta-sifat unggul samaada peringkat pimpinan mahupun di kalangan ahli.

• Melahirkan mereka yang iltizam terhadap Islam dan jamaah. Kesungguhan ini adalah lambang kejayaan mana-mana organisasi terutama jamaah Islam seperti PAS. Kita menoleh sejarah para sahabat Rhidwanullah ‘Alaih yang terkorban syahid dan ada di kalangan mereka yang diseksa namun hati mereka tidak berubah untuk meninggalkan perjuangan Islam. Seperti yang berlaku kepada Yasir dan isterinya Summayyah  Rhadiallahuanhuma, Bilal Bin Rabah, Khabbab. Mereka menggadaikan nyawa dan kesucian Islam dan iltizam mereka yang sangat tinggi dan tidak luntur sedikit pun. Dalam sejarah perjuangan PAS lahirnya mereka yang syahid di Memali seramai 14 orang dan Ustaz Osman Talib petugas PAS dalam pilihanraya kecil Padang Terap ini adalah lambang kerberhasilan PAS dalam melahirkan mereka yang komited dengan gerak kerja PAS.

• Tarbiah membolehkan mereka meletakkan kepentingan jamaah melebihi daripada kepentingan peribadi. Mereka meletakkan bahawa Islam dan jamaah adalah segala-galanya sehingga mereka tidak kisah apa yang ada pada diri mereka. Jika mereka sebagai seorang pekerja dengan kerajaan mereka tidak menghiraukan soal kepentingan pangkat dan kedudukan yang penting jamaah adalah diutamakan dari segalanya. Terpaksa mengorbankan kenaikan pangkat dalam profesion yang diceburi walaupun kita mempunyai merit untuk naik. Tetapi dasar pilih kasih dan tidak demokratik perkara ini perlu dilupakan sahaja. Banyak yang nampak untuk membina kerjaya terpaksa berundur dan melupakan perjuangan walaupun pada asalnya begitu bersemangat. Firman Allah SWT
Bermaksud
​“Alif Laam Mim, Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). (Al-Ankabut: 1-2)

• Kesan dari tarbiah melahirkan sifat taat di kalangan ahli kepada perjuangan . Ini adalah satu faktor yang penting. Tidak ada apa-apa makna jika kita mempunyai ahli yang ramai tetapi tidak mentaati arahan jamaah dan kepimpinan. Seperti yang berlaku kepada Bani Israil yang tidak taat kepada arahan Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada mereka. Malahan lebih jijik lagi mereka bunuh dan menyiksa Nabi yang diutuskan kepada mereka seperti nabi Allah Zakaria dan Yahya A.S. Kisah yang ditunjukkan oleh Khalid Ibn Walid yang dipecat oleh Saidina Umar dengan diganti dengan Ubaidah bin Jarrah adalah satu pengajaran yang cukup bermakna. Walaupun pelucutan itu berlaku ketika menghadapi peperangan dengan Parsi , lantas Khalid dengan rela hati menyerahkanya dan rela sebagai tentera biasa . Apabila ketaatan yang dihayati di kalangan ahli jamaah maka ia memudahkan untuk melakukan gerak kerja dan menerima arahan dengan mudah dengan ini segala perancangan berjalan dengan lancar.

• Peranan tarbiah melahirkan amilin yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan untuk mengerakkan jamaah di negara ini. Jamaah tidak boleh bergerak seandainya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah PAS sehingga mereka berjuang bukan kerana individu tetapi kerana Islam dan jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa PAS telah berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh PAS. Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi  PAS yang telah mengkhianat perjuangan namun ahli PAS tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian daripada tarbiah untuk melihat sejauhmanakah mereka yang telah tahan diuji semasa dalam perjuangan. Pemimpin PAS yang keluar daripada PAS hidup menderita apabila mereka melihat sejak ketiadaan mereka PAS semakin berkembang bukan semakin lemah. Ini yang menambahkan barah perasaan dan mental di dalam diri mereka. Fanatiknya ahli-ahli PAS kerana perjuangan dan dasar PAS. Prinsip perjuangan yang tidak pernah luntur daripada Islam. Selain daripada itu keikhlasan yang ada di kalangan ahli-ahli PAS jugalah merupakan sebab Allah mengekalkan PAS dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan, 
seperti mana wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,

“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa,  mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya  lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada  diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita” (Mewarisi Kepimpinan Anbiya’ 1991: 7)

Tan Sri Samad Idris pernah membayangkan
“Faktor fanatik kepada perjuangan PAS tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan PAS, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Dato’ Mohd. Asri dan Mohd. Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap  melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

            Justeru itu jika di kalangan ahli yang menyertai PAS mempunyai hajat yang lain, orang ini tidak kekal lama dalam perjuangan. Diperingkat ahli, keikhlasan memang tidak dapat dinafikan kerana merekalah tenaga penggerak PAS. Ahli PAS yang datang daripada berbagai peringkat dan darjat. Ahli-ahli PAS ada yang berkelulusan Phd hinggalah yang buta huruf. Mereka menyertai PAS bukan hendak dapat benda tetapi kerana cintakan Islam. Mereka sanggup menerima risiko yang berat daripada pihak yang berkuasa seperti tidak diberikan sabsidi, anak tidak dapat biasiswa, dipotong bantuan kebajikan. Semuanya mereka sanggup menerima  kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Kehadiran mereka dalam program ceramah atau program parti tanpa diupah dan disuruh, sanggup untuk berbelanja berbelas-belas ringgit semata-mata untuk mendengar ucapan pemimipin mereka yang dicintai dan menderma kepada perjuangan  walau hidup mereka kais pagi makan pagi. Keadaan inilah yang memeningkan kepala pemimpin Umno sebagaimana ceramah yang dianjurkan oleh mereka tidak mendapat sambutan walaupun disediakan dengan berbagai kemudahan. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana perjuangan PAS serasi dengan tabiat Islam yang ada pada  setiap insan.

• Wehdah adalah satu daripada perkara yang perlu dalam menggerakkan organisasi. Sekiranya berlaku perpecahan dikalangan anggota jamaah menyebabkan jamaah tidak boleh bergerak. Ia hanya boleh bertindak apabila hati-hati-yang dipupuk dan diikat dengan kekuatan akidah di kalangan anggota. Di sinilah letaknya peranan tarbiah dalam menggerakkan jamaah. Apabila sistem tarbiah berjalan dengan baik maka matlamat  bagi setiap kegiatan dinyatakan dengan jelas agar wujud kepaduan dalam tindakan dan objektif. Dengan penglibatan yang bermakna dari ahli dan memberikan rangsangan yang berterusan untuk terus bekerja. Seorang pemimpin mengetahui kehendak-kehendak pengikutnya (dalam setengah suasana, bukan dalam semua keadaan) dan  berusaha untuk memandu pengikut-pengikut  kearah matlamat yang direncanakan. Dengan adanya hubungan baik antara pemimpin dan pengikut sudah tentu dapat mewujudkan kejayaan bagi sebuah organisasi atau pertubuhan.

• Untuk menjamin kejayaan dan keberkesanan berterusan sesebuah organisasi maka perlu dipupuk sifat kerjasama dan toleransi antara pemimpin dan pengikut maka tarbiah adalah jalannya. Pemimpin mesti memainkan peranan penting dalam proses membuat keputusan untuk mempengaruhi orang lain berpelakuan selaras dengan oreintasi jamaah. Barulah orang yang berkerja dalam jamaah merasakan PAS ini adalah hak bersama, jatuh bangun mereka akan bersama. Selain dari itu pemimpin juga berperanan memastikan suatu matlamat atau objektif yang hendak dicapai itu bersifat kolektif. Aspek ini penting kerana tanpa adanya kata sepakat dalam satu-satu organisasi , sudah tentu tidak wujudnya keberkesanan dalam menyusun aktiviti-aktiviti organisasi,

Maka tarbiah boleh memainkan peranan untuk mencapai matlamat tersebut  dengan cara
​a.  Menemukan matlamat organisasi dengan aspirasi individu
   Maksud Hadis
  “Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain  laksana satu binaan, saling kuat menguat di antara setengah dengan setengah yang lain”

b.  Mewujudkan ukhwah sehingga terbukanya ruang nasihat-menasihati dan ingat mengingati di atas dasar iman.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu” (A-Hujurat: 10)
c. Membangunkan ahli sebagai insan dengan menyuburkan sifat-sfat mahmudah dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah.​

• Tarbiah berperanan untuk melatih kader-kader dakwah dan petugas parti. Daripada sinilah dapat  di bangunkan potensi yang ada  pada diri masing-masing. Contohnya dalam usrah seorang naqib akan dapat mengetahui bagaimanakah tahap kemampuan ahli usrahnya dan meletakkan di posisi yang layak untuk ditempatkan. Secara tidak langsung boleh merancang, menyelia dan menilai prestasi setiap tugasan yang diberikan kepada anggota organisasi. Pemimpin mesti berkebolehan dalam berbagai aspek kepimpinan, bijaksana dan mempunyai keyakinan diri untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Dengan ini dapat mewujudkan ahli yang boleh memimpin dengan mempunyai daya kreatif dan inovasi untuk merancang program yang boleh menarik orang kepada perjuangan PAS.  Pergerakannya lahir dari dirinya sendiri. Sentiasa berfikir, bergerak dan melakukan sesuatu yang baru di dalam pergerakkannya. Bukan menunggu orang lain menggerakkannya

• Tarbiah melahirkan sifat pengorbanan antara pemimpin dan ahli bawahan. Seorang pemimpin yang baik ia tahan lasak dan bersusah payah dengan ahli dan orang bawahan. Sentiasa insaf dengan kesusahan pengikutnya dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib dan cita mereka. Dengan ini akan melahirkan gerakan yang dinamik untuk menggerakkan organisasi. Orang bawahan akan melihat bagaimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh pimpinan atasan maka mereka tidak sayang pula untuk menghabiskan wang, tenaga dan buah fikiran untuk jamaah. Mereka merasakan kejayaan dan kegagalan adalah hak bersama, tetapi ia akan berlaku sebaliknya apabila pimpinan tidak menampakkan sifat pengorbanan dan bersifat elit.

• Peranan tarbiah melatih diri seorang supaya ia menghilangkan sikap ego ketika memimpin PAS dengan merai ahli PAS yang berbagai latar belakang. Walaupun beliau bijak macam mana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja secara sukarela bukan ada gaji. Apabila ini dapat dibuktikan dalam jamaah insyaAllah ia akan merancakkan organisasi. Sekiranya memimpin PAS dengan sifat ego dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak akan boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang ego dan sombong tidak boleh hidup baik dalam jamaah dan menggerakkan jamaah dengan lebih cemerlang. Malahan akan memalapkan usaha dan perancangan jamaah

• Peranan Tarbiah melahirkan mereka yang menjaga waktu, kerana kejayaan dalam suatu organisasi banyak bergantung kepada soal pengurusan masa yang tepat dan tidak membuang masa. Mereka yang ditarbiah merasakan tidak ada masa untuk melakukan perkara yang lagha (sia-sia). Mereka merasakan bahawa kerja lebih banyak daripada waktu yang ada. Mereka akan menggunakan masa yang seoptima mungkin supaya tidak membazir. Inilah yang diajar dalam program tarbiah dengan dimulai dengan surah al-Asr.

• Tarbiah berperanan untuk mewujudkan ahli dan amilin yang berdisiplin, kerana ia adalah faktor yang penting  untuk menggerakkan jamaah. Tanpa disipilin walaupun kita berada di atas jalan benar akan menemui kegagalan. Peristiwa kegagalan tentera Islam dalam perang Uhud kerana tidak ada disiplin. Kerjasama yang baik dan semangat yang baik dan bertindak secara berjamaah. Walaupun kita mempunyai kekuatan dan kelebihan iatu kekuatan ahli yang ramai, ahli yang taat, kekuatan jihad yang tinggi tetapi jika tidak mempunyai disiplin ia akan menemui kegagalan. Pengusaha-pengusaha kemungkaran boleh bersatu dan berdisipilin untuk menentang Islam dan perjuangannya. Usaha yang bertatatertib bererti seluruh jentera gerakan bertindak menurut peraturan  yang telah ditetapkan oleh gerakan itu sendiri.


Saidina Ali menyatakan “Kebenaran tanpa penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”
• Tarbiah melahirkan anggota yang sedia menegur dan menerima teguran. Jamaah akan lentur apabila tidak ada tegur menegur di kalangan anggota.  Cuma cara teguran itu perlulah ada seni dan adab. Suatu jamaah yang hanya mempunyai pak turut (mengikut apa sahaja dengan buta tuli) ia akan meresapi dengan kesilapan-kesilapan walaupun mereka melalui jalan yang benar. Ini adalah kerana mereka tidak ada orang yang berani menegur. Satu jamaah akan hancur apabila budaya ini  ditutup. Kita melihat apabila Islam menggalakkan tegur menegur di kalangan mereka maka  Islam telah berkembang dengan hebat. Islam berkuasa sehingga dapat menakluki Parsi. Kisah Saidina Umar dengan seorang rakyatnya yang hendak membetulkan kesalahan Umar dengan pedang dan teguran wanita kepada beliau mengenai mahar yang hendak dihadkan patut dijadikan iktibar oleh kita jika mahu parti kita maju. Satu tanggapan yang salah apabila adanya teguran dalam mesyuarat atau muktamar  orang menganggap bahawa ini tidak beradab dan bersopan. Sebenarnya orang yang menuduh demikian adalah orang yang tidak berakhlak Islam dan tidak mengerti tentang Feqh Jama’i. Alhamdulillah budaya tegur menegur dalam PAS masih subur tidak seperti mana parti Umno yang terpaksa metakkan penapis santan dalam mulut para perwakilan untuk ditapis. Kesemuanya ampu dan bodek sahaja semata-mata hendak menjaga kepentingan “rice cooker”. Angapan bahawa pimpinan maksum tidak boleh dikritik ini adalah satu fahaman yang salah.

            Apabila kritikan tidak dibenarkan maka jamaah dan pimpinan  akan mengekalkan kesilapan berpanjangan kerana kesalahannya dilindungi. Tiada perkara lain yang boleh menjejaskan kesihatan sebuah jamaah melainkan apabila semangat tegur menegur  (nasihat menasihati) di dalamnya telah berkubur. Teguran membina ialah alat yang terpenting untuk mengesan segala kesilapan dengan cepat. Dengan demikian usaha untuk mengatasinya pun dapat dilaksanakan dengan cepat. Kita harus ingat bahawa syarat terpenting bagi satu teguran  bukan dengan tujuan untuk mencungkil kesilapan dan menjatuhkan air mata seorang. Sebenarnya teguran akan membawa pembaharuan iaitu perubahan kearah kebaikan.

            Bagi penegur mereka juga perlu kepada disiplin ketika hendak menegur kesilapan seorang. Mereka tegur dengan ikhlas, dan mereka sama-sama membantu mengatasi kesalahannya, jangan merasakan ia hebat dan orang yang ditegur tidak hebat, Teguran mereka ini tidak ada yang lain melainkan hanya untuk kebaikan jamaah. Seandainya akhlak ini tidak ada ia bukan menambah kebaikan malahan akan mendatangkan kemudaratan yang lebih parah kepada orang yang menegur.
Demikianlah pesanan Allah dalam surah al-Asr
“Berpesanlah dengan kebenaran dan berpesanlah dengan kesabaran” (al-Asr 103:3)



Kesimpulan

Peranan tarbiah amat penting untuk menyubur dan merancakkan gerak kerja jamaah. Kerana tarbiah bukan sahaja untuk kita membina peribadi Muslim yang baik tetapi melebihi daripada itu adalah untuk mengukuhkan jamaah supaya dapat menegakkan panji-panji Islam di Negara ini. Semua unsur pengukuhan dalam sebuah organisasi seperti perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian boleh dilaksanakan dengan baik dalam konteks penghayatan tarbiah yang sebenar . Wassalam.

Dibentang pada 31 Januari 2014
Bertempat di Kompleks PAS Negeri Kedah 

No comments:

Post a Comment