My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Sunday, 5 February 2012

Siri Tarbiyah Kawasan 8 IMAN DAN JIHAD(Bhg. 2)


Siri Tarbiyah Kawasan 8

IMAN DAN JIHAD
(Bhg. 2)


Firman Allah yang bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman, mahukah aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi diri kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Dengan itu Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang berupa taman-taman yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘And. Itulah suatu kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia Allah yang kamu sukai, iaitu petolongan  dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan ini kepada orang-orang yang beriman. (As-Saf: 10-13)

MUQADDIMAH
Perjuangan Islam tidak pernah sepi daripada cabaran dan ujian. Kalah dan menang silih berganti sepanjang kita berada di medan perjuangan ini. Pada waktu kita ditimpakan oleh Allah dengan kegagalan, kita amat memahami bahawa itu bukanlah kekalahan mutlak kepada kita, ia adalah ’perhentian sementara’ untuk kita berhenti menyempurnakan persediaan jamaah untuk melangkah seribu langkah kehadapan. Kita begitu yakin dengan janji Allah bahawa Islam akan menang dan kita akan berjaya untuk meletakkan al-Quran dan as-Sunnah menjadi perlembagaan yang tinggi dalam negara, seperti firman Allah yang bermaksud;
”Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedangkan Allah tidak mengkehendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (akan yang demikian)”-At-Taubah: 32)
Kejayaan dan kemenangan perjuangan Islam banyak berkait dengan para pendokong dan pejuangnya, sejauh mana mereka memberi komitmen dan beriltizam dengan perjuangan dan perinsipnya. Cabaran dalam perjuangan Islam terbahagi kepada dua bentuk, luaran dan dalaman.
CABARAN LUARAN DAN  BAGAIMANA KITA MENGHADAPI MUSUH
Cabaran luaran ialah cabaran yang datang daripada golongan yang tidak pernah merasa senang dengan risalah yang diperjuangkan di dalam gerakan Islam. Cabaran dalam bentuk ini adalah suatu yang pasti. Menghadapi golongan ini adalah sunnah yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan ia adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Kalau pun pertentangan dalam bentuk fizikal tidak tidak berlaku, namun pertentangan dalam bentuk serangan aqidah, budaya, ekonomi, pendidikan dan politik tetap akan berlaku. Terkadang situasi sebegitu dirasakan lebih mencabar daripada bentuk pertentangan secara fizikal. Menyedari hakikat ini petugas gerakan wajar untuk membuat persediaan yang secukupnya, bahkan mempertingkatkan pengorbanan adalah suatu yang pasti agar perjuangan ini tidak kecundang di pertengahan jalan.
Musuh-musuh Islam bergerak dengan berstrategi. Mereka begitu memahami bahkan sentiasa mengkaji di mana kekuatan dan kelemahan kita. Lalu apa yang kita rasakan ialah betapa sukar untuk menghadapi mereka, sedangkan mereka begitu mudah memperkotak-katikkan kita. Inilah suatu hakikat yang berlaku, sedangkan kita berada di pihak yang benar, sementara mereka berada di pihak yang bathil.
Untuk itu mengkaji dan mempelajari tindakan dan strategi musuh adalah suatu yang penting di dalam perjuangan. Kekuatan jihad kita hendaklah digerakkan secara maksima. Ia melibatkan kekuatan tenaga, masa, wang ringgit bahkan jiwa untuk memastikan perjuangan kita akan berjaya.
Realiti yang kita sedang hadapi pada saat ini ialah musuh datang dari arah kiri dan kanan kita, depan dan belakang dalam bentuk yang pelbagai. Setiap gerakan musuh berdepan dan menghadapi kita perbagai strategi yang sungguh rapi. Sesungguhnya kita tidak akan dapat menghadapi mereka kecuali kita memenuhi ciri-ciri yang dikendaki oleh Allah bagi setiap pejuang Islam yang melibatkan soal keikhlasan, aqidah, komitmen dan kesungguhan, dan juga keyakinan terhadap perjuangan.
CABARAN DALAMAN DAN TINDAKAN KITA
Cabaran dalam bentuk dalaman adalah cabaran yang lebih sukar untuk kita hadapi berbanding cabaran yang bersifat luaran. Seandainya kita gagal melepasi cabaran ini, bertukarlah kita menjadi ujian dan cabaran kepada jamaah dan perjuangan Islam. Dalam erti kata yang lain, kita menjadi sebab dan penghalang kepada kejayaan dan kemenangan Islam.
Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS adalah mata-rantai yang telah sambung menyambung dengan perjuangan Islam yang terdahulu, yang telah digerakkan oleh generasi sebelum kita. Sesungguhnya kita telah diamanahkan untuk menyambung perjuangan Islam yang terdahulu untuk mendaulatkan Islam sebagai kuasa pemerintah di dalam negara. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa PAS dilihat sebagai gerakan yang paling ditakuti oleh pemerintah.
Kekuasan kerajaan yang ada hendaklah ditamatkan. Begitu juga kedurjanaan dan kesombongan mereka hendaklah diakhirkan. Persoalannya mengapa kita belum berjaya nenewaskan mereka? Sesungguhnya perjuangan kebathilan itu tidaklah kuat, bahkan kekuatan yang ada kepada mereka tidak lebih daripada seumpama hanya seperti sarang labah-labah sahaja. Sebenarnya kitalah yang menjadi sebab Islam masih belum dapat dimenangkan, bahkan kitalah yang menjadi sebab musuh belum dapat ditumbangkan. Masih banyak kelemahan-kelemahan kita yang perlu kita atasi demi untuk harga sebuah kemenangan.
MUHASABAH TERHADAP JIHAD KITA
Di dalam saat kita sangat memerlukan kita dianugerahkan kemenangan oleh Allah SWT ini, marilah kita bermuhasabah terhadap kerja-kerja perjuangan dan jihad yang sedang kita gerakan ini.

a- Keikhlasan
Keikhlasan adalah asas yang penting kita ditolong dan dibantu oleh Allah SWT. Penyelewangan terhadap niat yang ikhlas mengapa kita menggerakan kafilah perjuangan ini akan menjadi virus yang merbahaya terhadap kelangsungan perjuangan. Mengambil mudah terhadap penyakit ini akan melahirkan petugas;
i-              yang cepat putus asa di dalam perjuangan kalau bahtera perjuangan diuji oleh Allah dengan kekalahan. Bagi mereka kemenangan ialah diukur menang di dalam pilihanraya, bukan pada istiqamah, mampu meletakkan diri berjihad dan berjuang tanpa henti sehingga ke akhir hayat.
ii-             yang cepat merajuk sekiranya apa yang diharapkan di dalam perjuangan tidak berhasil, atau tidak bersetuju dengan rakan seperjuangan. Mereka lebih mengharapkan keredhaan makhluk lebih daripada keredhaan Allah SWT. Seandainya mereka ditegur, sikap yang diambil ialah menarik diri dari perjuangan.
iii-            Yang beragan-angan memperoleh kepentingan dunia melalui perjuangan. Seandainya habuan dunia tidak diperolehi, jamaah akan ditentang dan dimusuhi.
iv-           Berlagak seperti golongan sekular dalam gerak kerja politik. Mereka tidak memberi keutamaan terhadap penghayatan akhlak Islam di dalam gerak kerja perjuangan.
b- Keyakinan Terhadap Perjuangan
Islam yang kita perjuangkan ini pasti akan berakhir dengan kemenangan. Dalam erti kata yang lain Islam akan Malaysia. Namun adakah kita benar-benar yakin terhadap hakikat ini? Seandainya kita tidak yakin terhadap perjuangan ini, maka apa yang berlaku ialah kita tidak sungguh-sungguh berjuang. Penglibatan kita di dalam perjuangan ialah ibarat seperti melepaskan batuk ditangga sahaja. Kalaulah kita yang memperjungkan Islam ini tidak yakin atau sekurang-kurangnya kurang yakin terhadap perjuangan, bagaimana kita hendak menyakinkan rakyat terhadap perjuangan kita?
c- Kerja Yang Berkualiti
Itqan dan kualiti kerja amat dititikberatkan oleh Islam. Kelemahan kita di dalam sudut ini mengakibatkan kita bertindak dan berkerja tidak memcapai sasaran. Yang lebih malang apabila kerja kita tidak berkualiti, kerja yang begitu mudah pun menjadi begitu payah untuk dilaksanakan. Akhirnya jamaahlah yang menerima resiko dan kesan daripada sikap petugas yang menjalankan kerja yang tidak berkualiti.
d- Sikap Terhadap Keputusan Jamaah
Menyanggahi keputusan jamaah adalah eleman yang akan melemahkan jamaah, sehingga ia akan menimbulkan perpecahan dan membunuh kelangsungan perjuangan. Sikap ini dikira tidak memberi wala’ dan kepatuhan kepada jamaah dan pimpinannya. Realiti ini dapat dilihat apabila sikap ahli jamaah yang tidak konsisten terhadap arahan-arahan persiapan menghadapi pilihanraya, tidak menghadiri mesyuarat dan usrah yang merupakan elemen paling penting dalam gerakan Islam. Apa yang lebih malang dan mengaibkan ialah menyanggahi jamaah dalam isu pemilihan calon yang dicadangkan oleh jamaah. Apa yang lebih malang ialah mereka tidak berkerja untuk memenangkan calon yang diputuskan oleh jamaah.

e- Perpaduan Kita Dalam Jamaah
Mewujudkan kelompok-kelompok dalam jamaah adalah suatu yang sangat merbahaya. Musuh kita yang sebenar dalam arena politik Malaysia ialah Umno dan Barisan Nasional. Sikap kita terhadap rakan sejamaah ialah bersatu dan berpadu. Kita tidak boleh menganggap rakan dalam jamaah ialah saingan politik kita. Setiap anggota jamaah hendaklah membuang sejauh-jauhnya menganggap rakan sejamaah ialah sebagai musuh politik. Sekali lagi sikap sebegini akan menimbulkan perpecahan dan perbalahan di dalam jamaah.
PENUTUP
Iman adalah syarat kita kita bakal ditolong dan dibantu oleh Allah SWT. Jihad adalah amal soleh yang menjadi syarat kembar  di samping keimanan. Kedua-dua eleman penting di dalam perjuangan ini hendaklah sentiasa dimuhasabahkan. Di samping itu semua kelemahan kita hendaklah dikenalpasti dan diatasi. Begitulah juga semua kekuatan yang ada kepada kita hendaklah digunakan semaksimanya. Kemudian yakinlah bahawa kemenangan akan menjadi milik kita. Amin.

No comments:

Post a Comment