My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Wednesday 2 November 2011

Siri Tarbiyah Kawasan 4 ISLAM RISALAH ‘ALAMIN (Bhg. 1)


Siri  Tarbiyah Kawasan 4

ISLAM RISALAH ‘ALAMIN
(Bhg. 1)


Firman Allah yang bermaksud;

Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

MUQADDIMAH

Nabi Isa a.s. adalah ‘khatamul Anbiya’ di kalangan Bani Israil. Pada masa kerasulannya Baginda telah bangun di khalayak Bani Israil membuat pengisytiharan dan menyampaikan berita gembira dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang merupakan ‘khatamul anbiya wal mursalin’.
Rasulullah SAW adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasul bagi seluruh umat manusia di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad  SAW merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga yang mengetuai angkatan tentera, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajar tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT. Walaupun diketahui bahawa Nabi SAW merupakan  Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam namun golongan Yahudi dan Nasrani enggan mengiktiraf Rasulullah SAW  sebagai Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad SAW adalah merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa alaihimassalam.
RISALAH ISLAM YANG SYUMUL
Surah Al-Anbiya, ayat 107

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Al-Anbiya’: 107)

     Apabila risalah ini tidak terbatas kepada masa dan generasi, maka sedemikian pulalah ia tidak terbatas kepada satu tempat, atau segolongan umat atau satu bangsa atau satu kelas masyarakat tertentu, sesungguhnya ia adalah risalah sejagat yang merangkumi setiap umat, setiap jenis manusia, setiap bangsa dan setiap kelas di dalam masyarakat. Ia bukan risalah bagi satu bangsa yang tertentu, yang mendakwa bahawa bangsanyalah pilihan Tuhan dan seluruh manusia mesti tunduk kepadanya. Ia bukan risalah bagi kawasan tertentu sehingga kawasan-kawasan lain terpaksa mengakuinya supaya ia dapat menarik keuntungan daripadanya. Ia bukan risalah bagi satu kelas tertentu dalam masyarakat supaya ia dapat memerintah kelas-kelas yang lainnya berkhidmat untuk kepentingannya atau mengikut kemahuannya ataupun ia dapat mengekploitasinya.

MELEBAR RISALAH ISLAM

Sesungguhnya Islam adalah risalah untuk manusia seluruhnya, bukan untuk kepentingan satu golongan daripada mereka. Dan tidaklah menjadi hak monopoli satu golongan tertentu untuk memahamkan, menafsirkan serta mendakwahkan Islam seperti yang disalah-fahamkan oleh sebahagian orang. Sesungguhnya ia adalah hidayah Tuhan manusia kepada setiap manusia dan rahmat Allah bagi setiap hamba Allah.
  
Firman Allah yang bermaksud;

“Katakanlah: Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada Mu semua.” (Al A’raaf: 158)
 

Bertitik tolak daripada keistimewaan dan ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh Islam ini, Rasulullah s.a.w telah mengumumkan semasa Haji Wada’ di khalayak umum firman Allah;

Firman Allah yang bermaksud;

Hari ini Aku sempurnakan kepada kamu agamamu, dan Aku lengkapkan nikmatKu keatas kamu dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai agama. (Al-Maidah: 3)

Sebagaimana ditegaskan kepada umat Islam di kebanyakan munasabah bahawa Rasulullah s.a.w telah meninggalkan mereka di atas cahaya yang terang, malamnya adalah seperti siang, tidak terpesong daripadanya seorangpun kecuali dia merupakan seorang yang celaka.

Ditegaskan juga bahawa apabila mereka berpegang teguh dengan kitab dan sunnah, mereka tidak akan sesat buat selama-lamanya. Apabila mereka terpesong daripada syariat Allah dan mengabaikan syariat-Nya maka Allah akan menimpakan azab-Nya yang pedih kepada mereka. Bahkan musuh akan menguasai mereka lalu merampas sebahagian daripada apa yang ada di dalam genggaman mereka.

1. Rasulullah s.a.w telah melaksanakan tugasnya menyampaikan risalah. Sewaktu baginda menemui Allah Taala, Islam telah tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan sampai ke Tahamah dan Najran, memasuki Yaman dan Bahrain dan berakhir ke Syam.

2. Di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin: Lembayung Islam telah meluas ke dua buah kuasa besar iaitu Parsi dan Rom. Lembayungnya juga telah meluas ke Negara China di Timur dan ke negara Rumania dan Selatan Rusia. Keadilannya juga telah memasuki negara Syam, Mesir, Kepulauan Tripoli dan Afrika. Semuanya itu berlaku hanya dalam jangka masa tiga puluh lima tahun.

3. Menjelang tahun 102 hijrah: Di zaman pemerintahan Bani Umaiyah, Islam dan kerajaannya telah meluas sehingga ke Sri Lanka dan sebahagian besar Negara India, Turkistan dan sempadan negara China di Timur. Ia telah meluas ke Barat hingga ke Sepanyol yang terletak di Eropah.

Begitulah Islam telah membekalkan dunia dengan kekuatan, kehidupan dan keharmonian, menguasai bumi dengan cepat dan hebat seperti perubahan malam dan siang.

Khalifah kerajaan Abbasiah Harun ar-Rasyid telah berupaya menggambarkan kepada dunia tentang keluasan kerajaan Islam dan meluasnya kekuasaannya di muka bumi apabila baginda berkata kepada awan yang lalu di atasnya tetapi tidak menurunkan hujan padanya; “Turunlah (wahai hujan) di mana sahaja yang engkau mahu, sesungguhnya hasil keluaranmu akan di bawa kepada kami”.

PENUTUP

Musuh-musuh Islam sangat terkejut dengan tapak-tapak kaki umat Islam yang telah memijak bumi Eropah. Tentera-tentera Islam telah sampai sehingga ke sempadan Perancis. Orang-orang Eropah telah terkejut daripada tidurnya dan berkata: "Sungguh pelik, agama apakah ini yang telah menguasai dunia dengan kekuatan dan ketangkasan yang mengkagumkan? Ia telah memerangi Rom, memasuki Itali, menawan Sepanyol dan kemudian cuba untuk merentasi Gunung Perancis untuk mengusai Perancis.

Akhirnya musuh-musuh Islam mula berfikir dan merancang. Umat Islam tidak boleh dibiarkan dengan urusan mereka mengembangkan Islam, membuka negara demi negara dan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia, nanti sudah pasti tampuk pemerintahan dunia akan berada di tangan mereka, bahkan manusia seluruhnya akan berada di bawah kerajaan dan kepimpinan Islam.

Dengan itu mereka telah mengambil keputusan untuk berperang dengan umatt Islam. Mereka membentuk tentera dan mengadakan persiapan peperangan serta bersatu di bawah satu panji-panji agar mereka berupaya menghapuskan Islam. Menurut tanggapan mereka menghapuskan umat Islam hingga ke akar umbinya akan menghasilnya umat Islam tidak akan bangkit lagi walaupun untuk hanya sebentar.

Namun tanggapan mereka yang dengki terhadap Islam itu telah meleset, mereka telah  menerima kekalahan demi kekalahan, kehinaan dan keaiban di dalam peperangan Salib yang berturut-turut  dalam perang Hittin di tangan pahlawan Islam yang terkenal Solahuddin al-Ayyubi. Mereka telah ditewaskan dengan teruk dan telah kembali ke negara mereka dengan penuh kehinaan dan penyesalan.

Serangan demi serangan yang hebat ini telah menguatkan keimanan, keberanian, keazaman dan keyakinan umat Islam kepada agama mereka dan pertolongan Allah. Ini disebabkan seruan Allahu Akbar adalah laungan mereka, jihad adalah jalan mereka dan mati syahid di jalan Allah adalah setinggi cita-cita mereka.



No comments:

Post a Comment