USRAH DAN KEPENTINGAN DALAM GERAKAN PAS
Muqaddimah
Tonggak kepada Gerakan Islam ialah usrah. Tanpa usrah maka gerakan akan
menjadi jumud dan tidak dapat melahirkan pekerja dan tenaga pelapis. Tanpa
usrah yang betul maka tidak akan dapat mencapai matlamat yang perlu ada pada
mana-mana gerakan. Segala keputusan akan dapat dilaksanakan dengan baik apabila
konsep usrah dipraktikkan dalam gerak kerja jamaah. Usrah juga bukan majlis
ilmu semata-mata tetapi ia satu majlis untuk meningkatkan komitmen kepada Islam
dan memperjuangkan Islam di atas muka bumi ini. Usrah juga merupakan majlis
untuk membincang masalah organisasi
dalam jamaah. Kesilapan memahami fungsi usrah menyebabkan perjalanan usrah
menjadi lesu dan tidak bermaya dan tidak memberi apa-apa kesan pada peribadi
dan juga pergerakan jamaah.
Difinisi Usrah
Usrah bermakna keluarga. Rapatnya
hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang lebih akrab daripada
hubungan saudara sekeluarga.
Manakala istilah yang disebut oleh ulamak gerakan ialah kumpulan
individu Muslim yang beriman kepada Allah yang berusaha untuk membina fikrah
Islam dalam diri dan membina peribadi Muslim, berusaha untuk tolong menolong
sesama mereka untuk memahami ajaran Islam dan melaksanakan amanah yang
dipikulkan kepada mereka di atas muka bumi ini untuk mengajak manusia
mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan pengabdian kepada manusia dan
taghut.
Kesimpulannaya usrah adalah proses untuk mengikat hubungan yang lebih
mantap di kalangan ahli jamaah untuk melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur
menegur antara sesama ahli dan nasihat menasihat adalah asas kekuatan jamaah.
Kemanisan berjamaah akan terasa apabila pelaksanaannya menepati dengan kehendak
usrah.
SASARAN USRAH
- Ahli-ahli PAS daripada muda hingga tua
- Peringkat pimpinan di semua peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat.
REALITI YANG PERLU DIFAHAMI (PENTING SEBAGAI
PERINGATAN)
- PAS sebagai sebuah Harakatul Ummah yang menerima semua ahli daripada latar belakang yang berbagai. Kita bukan gerakan elit. Justeru itu jangan gelabah dalam menguruskan usrah di kalangan ahli PAS.
- Kertas ini adalah ideal untuk usrah yang menepati dengan piawaian gerakan Islam yang lain.
- Bukan semua ahli mampu mengikut bentuk usrah yang ideal, oleh itu beberapa penyesuaian dengan waqi’ tertentu perlu dilakukan, yang penting adalah ahli tersebut dapat memahami hakikat Islam, menghayati Islam dan memperjuangan Islam (buat kerja parti).
- Pihak naqib boleh ikut kesesuaian ahli usrah. Jangan kerana usrah, masyarakat tidak mahu mendekati PAS kerana terlalu regid (mengikat).
- Perkara yang penting dalam perlaksanaan usrah ialah mencapai matlamat usrah iaitu untuk menjadi ahli PAS yang faham Islam, menghayati dan mengembangkan Islam.
- Kadang-kadang perkara ini boleh tercapai melalui kuliah umum, tazkirah, menghimpunkan dalam majlis Yasin dan sebagainya. Apa yang penting ahli PAS dapat mengambil sebahagian daripada matlamat usrah. Jangan kerana usrah yang ideal tidak dapat dilaksanakan maka kita terus tidak mahu melaksanakan program pembinaan ahli. Kaedah usul “Jangan tidak boleh ambil semua maka kita tinggal semua”
SATU PENEGASAN
MENGENAI USRAH
Proses
tarbiyah Islamiyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan
semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah
yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan
satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang
dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Bila
mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna
penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan
menyeluruh.
Penekanan
terhadap unsur-unsur yang akan menlahirkan peningkatan dalam kefahaman dan
penghayatan terhadap Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi
melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan
demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok
pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar
mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak
menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah
sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan
yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di
atasi oleh kebatilan yang tersusun.
Sehubungan
itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar
keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan jamaah.
BENTUK USRAH
1.
Usrah umum ia dihadiri oleh semua ahli di peringkat cawangan.
Ia lebih kepada bentuk kuliah haraki dan indoktrinasi fikrah jamaah dan menanam
kesedaran Islam. Naqib lebih banyak bercakap, ahli agak pasif, walau
bagaimanapun soal jawab boleh dibuat. Cara ini agak kurang berkesan dari segi peningkatan
ahli dan perkaderan ahli. Ia tidak dapat mengetahui potensi diri yang ada pada
ahli. Inilah yang banyak dilaksanakan. Usrah ini boleh dibuat sebagai permulaan
untuk membawa ahli kepada usrah yang lebih khusus.
- Usrah dalam bentuk ini juga
diadakan sempena dengan mesyuarat .
2.
Usrah khusus ( inilah bentuk usrah yang kita bincang pada hari
ini ).
BENTUK USRAH KHUSUS .
- Sebaik – baik usrah adalah yang dibentuk dari tiga orang anggota dan tidak lebih dari 12 orang dengan seorang naqib yang berwibawa.
- Ia dibawa secara berterusan bukan bermusim oleh seorang naqib.
- Usrah tersebut pula sewajarnya dianggotai oleh individu tertentu berasaskan kepada kriteria. Jika ia berada dalam marhalah takrif, takwin dan tanfiz. Supaya adanya keseragaman fahaman dan pencapaian.
- Keahliannya bukan berdasar kepada hiraki parti tetapi ia dipilih berdasarkan kebolehan dan komitmen pada parti.
Tujuan Usrah
1.Mendidik hati para anggota untuk menjadi manusia yang taat kepada
Allah swt.
2. Menghubungkan anggota secara langsung dengan ajaran al-Quran dan
al-sunnah.
3.Mengiltizamkan anggota dengan akhlak al-Quran supaya dapat mematuhi
perintah Allah dan larangannya.
4. Menjadikan Rasul dan para sahabat ikutan dalam kehidupan seharian
5. Supaya berfikiran dan bertindak selari dengan apa yang diajar oleh
Allah dan Rasul
6. Sentiasa dapat bermulazamah dengan al-Quran dan Hadis.
7. Melahirkan keikhlasan kepada Allah dalam setiap amalan
8. Dapat membentuk peribadi Muslim dan keluarga Muslim dan masyarakat
Muslim
9. Merapatkan ukhwah dan kasih sayang di kalangan anggota.
10. Menghidupkan budaya nasihat menasihati di kalangan anggota.
11. Menanamkan semangat cintakan agama Allah
12. Meningkatkan motivasi ahli yang menyertai usrah. Manusia hidup
dengan cita-cita, harapan dan kepercayaan yang diyakini. Penekanan yang tepat
kepada konsep keimanan kepada Allah dan Rasul akan melahirkan iltizam serta
pengorbanan yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal erti kecewa.
13. Membuka saluran komunikasi dalam sebuah organisasi. Sistem usrah
boleh digunakan untuk mewujudkan satu sistem komunikasi yang baik di samping
mewujudkan arahan sebutang (one button mobilisation)
14. Dapat menguji bakat dan kebolehan anggota masing-masing
15. Dapat memahami peribadi anggota dengan lebih dekat, seperti pemanas,
pemurah , penakut, gopoh, lembab dan
sebagainya
Rukun Usrah
1. Taaruf
iaitu berkenalan sesama anggota, seperti nama, pekerjaan, umur, latar
belakang pendidikan, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pengalaman yang
dilalui selama ini sehingga masing-masing merasakan bahawa setiap anggota adalah sebahagian dari dirinya. Asas kepada
gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula daripada pengenalan yang
mendalam antara dua saudara. Oleh itu Taaaruf hendaklah berkenal-kenalan serta
berkasih sayang dengan semangat cintakan agama Allah. Taaruf ini hendaklah
daripada dua belah pihak, memberi dan menerima.
Apabila pengenalan telah berputik maka ia akan menghasilkan buah yang
baik dalam pergaulan.
Sabda Rasulullah saw
Bermaksud,
“Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bagunan yang sebahagiannya
memperkuatkan sebahagian yang lain”
Sabdara Rasulullah SAW
Bermaksud,
“Orang muslim ialah saudara bagi Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya
dan juga membiarkannya”
Sabda Rasulullah SAW
Bermaksud,
” Perbandingan orang-orang mukmin dalam ertikata kasih sayang mereka,
dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam persimpatian mereka adalah
laksana badan yang satu”
2. Tafahum
Saling bersefahaman sesama anggota didalam beramal dan bertindak.,
Persefahaman ini penting kerana ikatan tidak akan dapat dibentuk sekiranya
tidak ada persefahaman yang mantap di kalangan anggota. Apabila persefahaman
ini wujud maka segala nasihat menasihati menjadi baik. Apabila persefahaman
terpaut sesama anggota maka ia akan membuah kasih sayang antara mereka.
Perasaan syak wasangka hilang, perasaan hasad dengki terhindar. Dua saudara
tidak mengambil hati apabila ia ditegur oleh sahabat. Rukun tafahum ini berkait
rapat dengan ukhwah, kerana ukhwah tidak dapat dilaksanakan kecuali sudah ada
persefahaman di kalangan mereka.
3. Takaful
Dalam kumpulan usrah hendaklah ada perasaan tolong menolong dan bantu
membantu di kalangan saudara yang lain dalam menghadapi apa suasana yang
memerlukan bantuan moral dan meterial samaada bersifat peribadi mahupun
keluarga. Oleh itu saudara hendaklah bersungguh-sungguh untuk memikul bebanan
sesama sendiri. Dasar Takaful ini merupakan tunjang iman dan intipati ukhwah
sejati. Saudara hendaklah bertanya khabar , ziarah menziarahi dan berganti
kebajikan dengan cara tolong menolong antara satu sama lain. Jangan biarkan
saudara seperjuangan terlantar tanpa apa-apa berita dan terbela.
Renunglah Hadis Rasulullah mengenai kelebihan perkara tersebut:-
Bermaksud,
”Kaluar seorang dari kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya
adalah lebih baik baginya ia beriktikaf selama sebulan dalam masjid aku”
Adab-Adab Usrah
-Mengikhlaskan niat kerana Allah. Hati yang tidak tulus tidak bermakna
ketika datang kedalam majlis usrah. Hati yang kotor juga tidak boleh menerima
kesan yang baik daripada usrah.
Maksudnya
”Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah
Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuknya semata-mata, berdiri
lurus dan menegakkan solat serta menunaikan zakat dan demikian itulah agama
yang benar” (Al-Bayyinah:5)
Sabda Rasulullah saw
Maksudnya:
“Sesungguhnya setiap amalan dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang
itu apa yang diniatkan”
-Berazam untuk mendapatkan ilmu yang diberkati sepanjang berada di dalam
usrah
-Membaca dahulu sebelum datang ke majlis, supaya perbincangan nanti
lebih teratur dan bernas
-Memberi salam apabila bertemu
-Ketaatan kepada ketua atau naqib apabila diarahkan membuat sesuatu.
Ketidak patuhan kepada naqib, bermakna tidak ada kesan dalam usrah.
-Meminta izin untuk keluar apabila ada keperluan.
-Berbincang dengan suara yang rendah dengan kadar yang boleh didengari
oleh ahli-ahli usrah
-Jauhkan daripada bertengkar, kerana usrah bukan medan perdebatan, bukan
tempat untuk mencari menang, bukan tempat untuk menyakit hati sahabat. Kerana
banyak pertengkaran berakhir dengan longgar ikatan kasih sayang yang dibina
selama ini.
-Jauhkan bergurau dan ketawa yang melampau, kerana masih banyak
penderitaan yang dialami oleh saudara kita yang lain.
-Duduk dengan beradab dan tertib
-Menunaikan tanggungjawab apabila diamanahkan untuk membentang di dalam
usrah
Setiap anggota hendaklah membawa bersamanya :-
-Al-Quran atau terjemahannya
-Kitab hadith yang berkaitan dengannya
-Kitab zikir Ma’thurat
-Nota dan alat tulis
-Setiap anggota hendaklah berkasih sayang di antara satu sama lain
sehingga merupakan satu keluarga.
-Hendaklah hadir pada waktu yang telah ditetapkan kecuali uzur syar’i.
Lambat hadir menyebabkan tergagnggu masa orang lain dan membuang masa.
- Beritahu segera kepada naqib sekiranya ada keuzuran supaya ahli usrah
tidak tertunggu-tunggu.
-Hendaklah menyimpan rahsia perbincangan dan tidak dibocorkan keluar.
-Mengadakan muhasabah terbuka supaya yang merasa salah kembali ke
pangkal jalan.
-Sentiasa berpesan di kalangan anggota dengan kebenaran dan hak. Jangan
-pula memandang rendah terhadap saudara yang dinasihatinya itu. Orang yang
memberi nasihat jangan pula memandang rendah terhadap saudara yang
dinasihatinya dan menganggap dirinya mulia bahkan ia hendaklah memberi nasihat
dengan cara tidak melahirkan terang-terangan akan kesilapan saudaranya. Saudara
yang diberi nasihat jangan pula degil dan keras kepala untuk tidak berubah.
PENGISIAN DAN PERBINCANGAN DALAM USRAH
- Solat Fardu secara berjamaah
- Membaca zikir ma’thurat dan doa.
- Membaca al-Quran
Menyemak
hukum tajwid dan tafsir surah dan ayat pilihan.
- Huraian hadis.
Huraian
Hadis yang menerangkan mengenai ilmu, iman, amal, akhlak, jihad dan lain-lain.
- Al-Seerah an-Nabawiyah
Membaca, mengkaji seerah Rasulullah SAW dan
sahabat-sahabatnya pada umumnya di zaman Makkiyah, dengan dititik beratkan
tentang ibtila’, pulau memulau dan dipilih beberapa kisah seperti Bilal, Ammar
bin Yasir dan keluarganya, hijrah ke Madinah dan lain-lain. Banyak perkara yang
boleh diambil pengajaran daripada kisah tersebut kerana mereka yang melalui
jalan dakwah akan mengalami seperti orang yang terdahulu daripada mereka.
- Fikrah Islam
Ia bertujuan memahamkan ahli usrah mengenai konsep
Islam dan kewajipan mereka sebagai seorang muslim. Penyampaiannya mengikut
tahap kefahaman ahli supaya mereka merasa ada kelazatan berusrah. Justeru itu
pihak naqib hendaklah menyampai menurut abjadiat supaya mereka memahami fikrah
Islam dan mengahayati konsep usrah.
- Muhasabah
Dalam sesi ini penekanan diberikan oleh naqib
kepada ahli usrah terhadap pembentukan akhlak dan penyakit hati (sifat
mazmumah), ukhwah, ikhlas, ajal maut sebagai kelengkapan para da’i.
- Perbincangan Am
Mebentangkan kesulitan kepada ahli usrah dengan ini
akan meningkatkan tali ukhwah di kalangan
kita. Sabda Rasulullah S.A.W :
“Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya”
Mengenai fardu ain dan fardu kifayah.
Masalah semasa anggota-anggota
Perbincangan hasil kajian dan pembacaan yang ditugaskan
Nasihat dan arahan
Membincang projek dan aktiviti luar usrah
Menentukan usrah akan datang, tempat, masa.
Membincang masalah organisasi
- Isu Semasa
Fakta-fakta dan peristiwa setempat, kebangsaan dan
antarabangsa.
Implikasi isu semasa kepada Islam, umat serta
harakah.
Peranan yang yang harus dimainkan untuk kepentingan
perjuangan.
Sediakan tabung usrah untuk melatih ahli usrah
menderma walaupun sedikit.
- Bersurai
Membaca tasbih kaffarah dan
al-Asr.
- Program tambahan
Dalam usaha mengukuhkan ikatan persaudaraan
di kalangan ahli usrah, maka perkara tersebut perlu diambil berat :
a)
Mengadakan lawatan ke tempat-tempat
bersejarah dan sebagainya.
b)
Mengadakan perkelahan riadhah pada
setiap bulan.
c)
Berpuasa dan berbuka bersama-sama
seminggu atau dua minggu.
d)
Sembahyang berjemaah bersama-sama di
surau/masjid
e)
Berusaha untuk bermalam beramai-ramai
dan berqiamullail.
PANDUAN PERLAKSANAAN USRAH
Pembahagian Masa
- Quran atau hadisl-Quran 20 minit
- Perbincangan bahan usrah(fikrah) 45 minit
- Isu-isu semasa/perkara berbangkit 15 minit
- Muhasabah 10 minit
Jumlah 130 minit
Nota:
Waktu usrah boleh dimulakan dengan solat Isya’
berjamaah di tempat usrah.
Tempat Usrah
- Sebolehnya buat di rumah ahli, kerana secara tidak langsung kita dapat menziarahi sahabat dan mengeratkan sillaturrahim.
- Kita juga boleh memerhati suasana persekitaran keluarganya samada menghayati Islam atau tidak. Ini pun kalau tidak keberatan
- Jangan disediakan makan, hanya minuman sahaja. Banyak usrah mati kerana masalah menyediakan makan.
- Perjumpaan bulanan boleh dibuat di Markaz PAS.
Jadual Kekerapan (cadangan)
- Peringkat cawangan setiap minggu
- Peringkat kawasan dua minggu sekali
- Peringkat negeri sebulan sekali (diadakan dengan mesyuarat sekali)
- Peringkat pusat sebulan sekali (di adakan dengan mesyuarat sekali)
Kearah Memantapkan Pelaksanaan Usrah (PENTING)
- Sebolehnya pengerusi Lajnah Tarbiyah di kalangan Dewan Harian supaya ia menampakkan kepentingannya.
- Mesti menjadikan salah satu agenda mesyuarat untuk memantau pelaksanaan usrah.
- Pengerusi Lajnah Tarbiyah Kawasan menjadi naqib kawasan setiap bulan. Di dalam pertemuan ini semua naqib akan mengemukakan masalah dan laporan usrah masing-masing. Di sinilah bahan-bahan baru diedarkan untuk usrah yang akan datang.
- Perkara yang sama juga dilakukan di peringkat negeri dan pusat. (semua pengerusi LTK dan LTN akan hadir dalam pertemuan tersebut). Program ini boleh dijalankan dalam program berkala.
- Semua maklumat ahli usrah hendaklah dilengkapkan, satu salinan hendaklah disimpan di pejabat PAS cawangan, kawasan, Negeri dan Pusat. Maklumat ini penting pada jama’ah sebagai data base pada parti. Maklumat ini hendaklah diserah dalam mesyuarat bulanan kawasan, negeri dan pusat
Kesimpulan
Perjalanan usrah yang mengikut method yang sebenar akan berjaya
melahirkan mereka yang unggul dari segi peribadi dan agresif dalam melaksanakan
kerja-kerja jamaah. Perlaksanaan usrah yang berkesan banyak bergantung kepada
kehebatan naqib yang mengendalikan usrah, kerana ia adalah tunjang kepada
perlaksanaan usrah. Sekiranya perlaksanaannya tidak tepat seperti yang
dikehendaki oleh usrah ia tidak akan dapat memberi apa-apa kesan yang baik
untuk peribadinya dan juga jamaah. Kelazatan akan dirasai mereka yang
mempraktikkan apa yang diarahkan di dalam usrah.
No comments:
Post a Comment