My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Friday, 20 April 2012

kertas kerja tamrin qiyadi PAS Kedah-Jamaah Diutamakan Kemenangan Berganda-






Jamaah Diutamakan Kemenangan Berganda[1]
Idris Haji Ahmad
Pengarah Jabatan Tarbiah Dan Perkaderan Pas Pusat

Pas sebagai sebuah gerakan Islam dan gerakan politik memerlukan ahli yang mengutamakan jamaah bagi mencapai cita-cita suci dalam perjuangannya. Mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada mendapat kemenangan. Kerja mesti digandakan sewaktu menang, kerana kerja jamaah dan kerajaan mesti seiring, berbanding dengan tidak ada kerajaan.  Perkara ini tidak akan tercapai jika ahli Pas daripada pimpinan tertinggi sehinggalah ahli biasa tidak mempunyai sifat ini.  

Sifat Ahli Yang Mengutamakan Jamaah

1.Setiap ahli Pas apabila telah mengisi borang dan diterima sebagai ahli dan berbaiah untuk bersama menegakkan Islam dan wadah PAS. Maka ia perlu patuh dan taat kepada apa yang terkandung dalam perlembagaan Pas. Ia perlu melaksanakan tuntutan sebagai ahli  Parti Islam dan seiring dengan dasar perjuangan parti.

2.Dia mesti memahami bahawa kewajipan ia bersama dengan perjuangan Islam untuk memastikan kesyumulan Islam ditegakkan. Selagi tidak tertegak adalah wajib berusaha kearah itu. Dan berdosa jika membiarkan syariat Allah dicabul.

3.Dia  mesti yakin  dan percaya dengan kemestian amal dan usaha untuk membangkitkan iman di dalam jiwa manusia supaya muslimin dapat mengembalikan semula kekuatan  dan kehebatan mereka. Mereka mesti merasa perlu mendirikan syariah  yang hilang

4.Dia mesti mengetahui bahawa kewajipan membangunkan masyarakat Islam tidak mungkin terlaksana dan tercapai hanya dengan usaha individu. Tetapi mesti dilakukan dengan amal jama’i untuk memikul bebanan agung ini. Berdasarkan qaedah Usul Feqh” Sesuatu yang tidak sempurna perkara yang wajib kecuali dengannya,  maka ia menjadi wajib”

5.Dia mesti melatih dan tahan sabar menanggung bebanan di jalan yang penuh kesusahan dan kepenatan. 

6.Setiap anggota sentiasa merasa pengintipan kehadiran Allah (muraqabatillah). 

7.Dia hendaklah mengingati dan membuat persediaan untuk hari akhirat. Terapkan keyakinan, bahawa kerja-kerja jamaah adalah menjadi bekalan di hari akhirat.

8.Dia mesti bertaqarrub  (menghampirkan) diri kepada Allah dengan melakukan sunat nawafil seperti Qiamullail berpuasa sunat, membanyakkan zikirullah, sentiasa berdoa dengan khusuk kepada Allah dengan membaca doa ma’thurat.

9.Wajib mencintai Allah dengan sebenar cinta. Cinta yang menjadikan hati itu sentiasa merasa rindu dan terikat dengannya. Kecintaan ini mendorong menambahkan amalan-amalan kebaikan, bekorban dan berjihad di jalannya  sepanjang masa. Walaupun hidup dalam kemewahan dan kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatut menghalang  daripada mencintai Allah. Apabila kecintaan kepada Allah mengatasi semuanya maka tidak ada apa yang boleh diganti dengan dunia dan pangkat. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah; jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq” (Surah al-Taubah 9:24)

10.Kita tidak sepatutnya menumpukan kepada  kegiatan di dalam pentadbiran semata-mata dengan mengabaikan tarbiah ruhiah  yang menjadi asas kepada perjuangan. Kalau berterusan  demikian , amal akan berubah menjadi kerja rasmi yang hanya kulit, tetapi kosong ruh dan jiwa yang menyebabkan timbul pergolakan yang tidak diingini dalam jamaah.

11.Wajib meluangkan waktu tertentu untuk membaca al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya. Banyak kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran untuk diambil pengajaran dan menjadi rangsangan kepada kita untuk berjuang dengan lebih gigih. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabbur, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah SAW
 
 Bermaksud,
 “Sesungguhnya al-Quran diturunkan dalam keadaan duka cita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut”

12.Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat (perkara yang samar) diantara halal dan haram. Kita mesti menjaga makanan, minuman yang samar dari segi halal dan haram supaya kita terpelihara dari jatuh kepada perkara yang haram. Sabda Rasulullah SAW

“Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara dari agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa  jatuh pada perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam  yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan , hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.  Ketahuilah! Bahawa larangan Allah  ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati” (Bukhari Muslim)

13.Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara seIslam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) samaada yang miskin mahupun yang kaya. Kita mesti sedar bahawa ahli Pas terdiri dari berbagai lapisan masyarakat dan status. Kita tidak hanya bergaul dengan orang kaya sahaja dengan meninggalkan orang miskin dan susah. Kerana perbuatan ini tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari sifat takbur. Baginda bersabda

“Tidak akan memasuki syurga siapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur” (Riwayat Muslim)

14.Kita mesti menunjukkan contoh teladan yang baik selari dengan Islam yang menjadi dasar Pas. Akhlak  ahli Pas mesti selari dengan al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia akan memberi kesan kepada perjuangan Pas. Kita percaya contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Maka kita pastikan diri kita, keluarga kita mesti menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada,kerana kita akan menjadi duta kepada Pas untuk melebarkan pengaruh Pas kepada masyarakat. Seperti kata Hukama'

“Lisanul Hal (tindakan) lebih baik dari lisanul Maqal (berkata-kata)”

15.Suami isteri  mesti mendidik anak-anak serasi dengan acuan Islam. Kita perlu sedar orang sentiasa memerhati rumahtangga ahli Pas supaya selari dengan prinsip perjuangan yang di bawa.  Kita bimbang orang tidak berminat dengan Pas apabila melihat rumahtangga ahli Pas yang tidak tepat dengan kehendak Islam. Pastikan isteri  menutup aurat mengikut syariat, anak menutup aurat dengan mengikut syariat. Kita tidak mahu anak isteri menjadi fitnah pada perjuangan Pas.  Kita mahu orang  berminat dengan Pas apabila mereka melihat rumahtangga Islam yang dibina dalam rumah ahli Pas. Firman Allah SWT

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan” (Al-Tahrim 66:6)   

16.Berkawan dengan mereka yang berjiwa besar (bersemangat juang). Jika kita rapat dengan mereka yang malas maka ia juga menjadi diri kita pemalas.

*Sering memerhati sirah perjuangan Nabi SAW dan sahabat untuk mengambil semangat mereka.

*Sentiasa bersama dengan jamaah dan hadir ke program jamaah kerana di sana terdapat sahabat yang berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuagan.

17.Rapatkan diri dengan markaz Pas kerana di sana ialah mereka yang sentiasa memikirkan tentang masa depan Pas

18.Jangan kita memperkecilkan parti kita di tempat awam, dengan ini akan memberi mudaharat kepada jamaah.

19.Jangan dedahkan rahsia dan masalah dalaman parti kepada media, samaada media cetak atau internet.

20.Sentiasa menjalankan kerja dakwah fardiah untuk mengembangkan sayap perjuangan kita

21.Kita mesti menjadi duta Pas untuk melebar jaringan Pas kepada orang lain.

22.Menangkis segala fitnah yang disebarkan terhadap Pas dan memurnikan kembali segala tohmohan ini.
23.Cuba melatihkan diri sebagai jentera penerangan Pas secara sendiri, dengan mencetak 10 keping seminggu risalah atau keratan akhbar yang boleh dijadikan sebaran maklumat untuk orang atas pagar. Edarkan CD dan berikan secara percuma pada mereka yang menjadi sasaran kita.

24.Letakkan akhbar alternatif seperti Harakah,  Keadilan di kedai-kedai kopi untuk orang ramai membaca.

Kesimpulan

Pas sebagai sebuah gerakan Islam dan gerakan politik perlukan amilin yang bergerak dan produktif. Tidak ada siapa lagi yang akan mempertahankan kesucian Islam melainkan ahli yang haraki sahaja. Maka jadilah kita sebagai Ansarullah. Kita sebagai ahli Pas, mesti bersifat haraki (bergerak) bukan hanya menjadi ahli yang berada di pinggir perjuangan tetapi mesti menjadi penyumbang kepada kemenangan Islam. Di dalam apa keadaan, jamaah mesti diutamakan. Semoga ia menjadi amal soleh bekalan sewaktu bertemu dengan Allah SWT dan menjadi bahan penyejuk di padang mahsyar.


[1] Bentang  pada  Tamrin Qiadi Badan Perhubungan Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah Batu 9 ,  20 April 2012

No comments:

Post a Comment