My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Monday, 1 October 2012

Siri Tarbiyah Kawasan - 11 RIYA’ DAN SUM‘AH (BHG.2)




Firman Allah SWT;

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya’ kepada manusia...”                                                                                    (al-Anfal:47)

MUQADDIMAH

Penyakit yang sering melanda para aktivis dalam gerakan adalah riya’ dan sum‘ah. Islam telah memberikan gambaran penyakit ini dengan jelas, baik pengaruh mahupun jalan menjauhkan diri daripadanya.

TANDA-TANDA RIYA’ DAN SUM’AH
Agar seorang Muslim mengetahui posisinya dalam hal riya’ dan sum‘ah, ada beberapa parameter yang dapat dikenali, di antaranya:

1.            Aktif dalam beramal dan meningkat semangatnya jika ada pujian tetapi malas jika ada celaan.
2.            Aktif dalam beramal dan meningkat semangatnya jika bersama orang lain, tetapi malas dan kurang ghairah jika sendirian atau jauh dari orang lain
3.            Menjaga dan memperhatikan kesucian-kesucian Allah jika sedang bersama orang lain tetapi menodai dan melukai-Nya jika sedang bersendirian atau jauh dari orang lain. Petunjuk ini telah diisyaratkan oleh Nabi S.A.W dalam sabdanya:

“Aku benar-benar akan mengetahui orang-orang dari umatku ketika mereka datang di hari kiamat membawa berbagai kebaikan seperti gunung-gunung Tihamah yang putih lalu Allah menjadikannya debu berterbangan. Mereka itu saudara-saudara kalian dan dari jenis kalian sendiri bahkan juga melakukan qiyamullail seperti halnya kalian. Akan tetapi mereka adalah orang-orang yang jika sedang sendirian mereka menodai kesucian-kesucian Allah.”





PENGARUH RIYA’ DAN SUM’AH

Riya’ dan sum‘ah menimbulkan pengaruh berbahaya dan akibat yang tidak dapat diubah, baik terhadap para aktivis mahupun amal Islami. Berikut dinyatakan pengaruh dan kesannya;

a ) Pengaruh terhadap aktivis
Di antara pengaruhnya terhadap para aktivis adalah:

1.        Terhalang dari hidayah dan taufiq
Hanyalah Allah yang memiliki hidayah dan taufiq dan hanyalah Dia yang memberikan keduanya kepada sesiapa sahaja dikehendaki dan menghalangi  sampainya taufiq dan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Orang yang riya’ atau sum‘ah telah merosakkan keikhlasan dan telah mensia-siakan kejujuran. Bagaimana mungkin ia bakal mendapat hidayah dan taufiq? Maha Benar Allah ketika mengatakan:

“Maka ketika mereka menyimpang Allah pun menyimpang hati mereka dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada suatu kaum yang fasik.”

2.        Kesempitan atau kegundahan hati
Orang riya’ atau sum‘ah, dalam melakukan setiap perkara hanya untuk mencari keredhaan manusia dan mengharapkan perkara sesuatu yang ada di tangan mereka. Kadang keputusan dan takdir Allah menghalangi kehendaknya, kerana segala hal ada dalam kekuasaan-Nya, berjalan sesuai dengan takdir-Nya.

Pada saat itulah ia merasa kesempitan dan kegundahan hati, tidak mendapatkan keredhaan Allah SWT, tetapi juga tidak memperolehi sesuatu yang diharapkannya dari orang lain.

“Dan barangsiapa berpaling dari mengingati-Ku maka baginya kehidupan yang sempit. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang sangat berat.”

3.        Menghilangkan kewibawaan
Demikian itu kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa menanamkan rasa hormat di hati sesiapa sahaja di antara hamba-hamba-Nya yang ia kehendaki. Sementara orang yang riya’ atau sum‘ah telah mensia-siakan jaminan ini sehingga Allah pun mensia-siakan kewibawaannya dan mencabutnya dari hati orang lain sehingga ia menjadi hina di hadapan mereka.

“Dan barangsiapa dihinakan Allah maka tidak ada yang dapat memuliakannya.”


4.        Ditinggalkan orang dan tidak berpengaruh
Hati begitu kuat penting dan berharga bagi seseorang insan, sedang hati itu di tangan Ar-Rahman, dibolak balik-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki. Sesiapa yang riya’ dan sum‘ah dalam beramal, bererti telah memutuskan hubungan antara dirinya dengan Allah. Akhirnya apabila dia berbicara bicaranya tidak lagi didengari, jika ia mengarahkan arahannya tidak akan diikuti.

5.        Tidak itqan dalam beramal dan bekerja
Demikian itu kerana orang riya’ atau sum‘ah bermuraqabah kepada makhluk bukannya kepada Allah. Sedangkan makhluk itu, betapa pun kekuatan dan kemungkinannya tidak mampu mengawasi setiap tempat dan waktu, dalam setiap peluang dan saat. Ketidakmampuan mereka ini menyebabkan orang yang riya’ atau sum‘ah tidak itqan dalam beramal, lalu hilanglah kepercayaan orang kepadanya. Keadaan itu menghanyutkan dirinya dari hal yang seharusnya memberi manfaat atau mendukung kepentingannya. Maha Benar Allah yang berfirman:

“Dan suatu makar buruk tidak akan menimpa kecuali pelakunya.”

Allah S.W.T telah mengisyaratkan hal ini ketika berbicara mengenai orang-orang munafik:

“Dan apabila mereka berdiri solat mereka melakukannya dengan malas, riak kepada manusia dan tidak mengingati Allah kecuali sedikit.”

6.        Dimalukan di dunia dan dihadapan para saksi di hari kiamat
Orang yang riya’ atau sum‘ah hanya bermaksud menipu orang lain agar mereka diberikan urusan dan diserahkan tugasan hanya kepada mereka. Namun Allah S.W.T tidak akan mengizinkan kerana orang riya’ atau sum‘ah itu adalah termasuk orang yang melakukan kerosakan di atas mukabumi.

Sebab itulah Allah memalukannya di atas muka dunia biarpun setelah beberapa waktu hingga orang berwaspada terhadapnya dan tidak terpedaya dengan kejahatannya. Sementara di akhirat nanti malu yang akan dihadapi olehnya adalah lebih besar sebagai balasan dan siksaan ke atasnya.

7.        Terjerumus dalam lembah kebanggaan terhadap diri, terpedaya, kemudian takabur
Hal ini adalah kerana orang riya’ atau sum‘ah menipu banyak orang dalam masa yang lama. Selama itu lidah dan hati orang mendendangkan pujian dan sanjungan kepadanya. Kadangkala hal ini menjadikannya ia berbangga dengan dirinya, kemudian terpedaya lalu menjadi takabur seterusnya meluaskan kerosakan di atas mukabumi. Kemudian akan menekan dan menindas setiap siapa saja yang menyalahi pendirian dan pendapatnya. Maha Benar Allah yang berfirman:

“Tidakkah kau perhatikan orang-orang yang menggantikan nikmat Allah dengan kekafiran serta menjerumuskan kaumnya ke jurang kehancuran Jahannam, mereka terbakar di atasnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

8.        Membatalkan iman
Sunnatullah yang berlaku kepada makhluk-Nya ialah Dia tidak akan menerima sesuatu amal melainkan yang tulus murni untuk-Nya dan hanya bertujuan untuk memperoleh  keredhaan-Nya.

“Kerana itu sesiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia melakukan amal soleh dan tidak menyekutukan ibadah Tuhannya dengan sesiapapun.”

Sementara orang yang riya’ hanya menjadikan amal itu ialah untuk dirinya. Mustahil Allah akan menerima amal darinya atau memberi pahala kepadanya. Maha Benar Allah yang berfirman:

“Dan tunduklah semua wajah (dengan merendah diri) kepada Tuhan Yang Maha Hidup Kekal lagi sentiasa mengurus (makhluk-Nya). Dan sesungguhnya rugilah orang yang melakukan kezaliman. Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu berterbangan.”

PENUTUP

Akhirnya, orang yang riya’ amalnya akan terhapus, semementara di akhirat nanti siksaan yang menantinya adalah siksaan yang sangat pedih. Siksaan itu bermacam-macam di mana paling utama terdapat dalam dua bentuk:

Pertama, ia menjadi orang yang pertama kali dibakar api neraka. Kerana sebagaimana Allah berfirman bahawa kayu bakar api neraka adalah manusia dan batu:

“Hai orang-orang beriman jagalah diri dan keluargamu dari api neraka yang kayu bakarnya adalah manusia dan batu.”                   (at-Tahrim:6)

Nabi S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya yang pertama mendapat keputusan adalah orang mati syahid. Ia didatangkan lalu Allah memperkenalkan nikmat-Nya kepada orang itu sehingga ia pun mengenalinya, lalu Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan berkenaan dengannya?” Ia menjawab, “Aku berperang kerana-Mu hingga aku mati syahid.” Allah menjawab, “Kau dusta, kau telah berperang agar dikatakan sebagai pemberani dan itu sudah dikatakan,” kemudian diperintahkan agar wajahnya dikoyak dan dicampakkan ke dalam neraka. Lalu didatangkan orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya dan membaca al-Qur‘an, Allah memperkenalkan nikmat-Nya kepada orang itu hingga ia pun mengenalinya. Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan berkenaan dengannya?” Ia menjawab, “Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Qur‘an kerana-Mu.” Allah membantah, “Kau dusta, kau telah mempelajari ilmu untuk dikatakan sebagai ulama, kau telah membaca al-Qur‘an juga supaya dikatakan bahawa engkau seorang qari’, itu sudah pun dikatakan.” Kemudian Allah memerintahkan untuk dikoyak wajahnya lalu dicampakkan ke neraka. Lalu didatangkan pula orang yang diberi kelapangan kepadanya, diberikan pelbagai harta lalu Allah memperkenalkan nikmat-Nya kepada orang itu sehingga ia mengenalinya. Allah bertanya, “Apa yang kau lakukan dengan harta itu?” Ia menjawab, “Aku tidak pernah meninggalkan suatu jalan yang Kau suka apabila aku infak kepadanya kecuali aku infak padanya kerana-Mu.” Allah berkata, “Kau dusta! Kau melakukan itu agar dikatakan bahawa engkau adalah dermawan. Itu sudah dikatakan.” Kemudian Allah memerintahkan agar wajahnya dikoyak kemudian dicampak ke neraka.”[1]

Nabi S.A.W bersabda:

“Seseorang didatangkan pada hari kiamat lalu dicampakkan ke neraka hingga terburailah usus-usunya lalu berputar dengan usus itu seperti keldai yang berputar pada alat penggiling hingga penghuni neraka pun mengerumuninya lalu bertanya, “Hai fulan, mengapa engkau ini? Bukankah engkau dahulu menyuruh kepada makruf dan mencegah kepada mungkar?” Ia menjawab, “Benar, dahulu aku menyuruh kepada makruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku mencegah mungkar tetapi aku melakukannya.”[2]






[1] Hadis oleh Muslim dalam As-Shahih Kitab Al-Imarah, bab orang yang berperang kerana riya’ dan sum‘ah mendapat neraka 3/1513, 1514 no.1905 dari hadith Abu Hurairah R.A secara marfu’. An-Nasai dalam As Sunan kitab jihad bab orang yang berperang agar disebut sebagai pemberani, 6/23 dan 24.
[2] Hadis oleh Muslim dalam As-Sahih Kitab Zuhud dan Raqaaiq bab hukuman bagi orang yang menyuruh kepada makruf namun tidak melakukannya 4/2290-2291 no.2989 dari hadis Usamah bin Zaid R.A secara marfu’.

No comments:

Post a Comment