Mesir : Detik Hitam Sedang Berulang
 
 Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku
 di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang 
berulang semula dalam sejarah Mesir. 
 
 Saya menyaksikan sidang 
media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa 
Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong 
rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad
 Mursi. Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri 
lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di 
mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. 
Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan 
jamiman seseorang ulama itu celik politik.
 
 Sheikh al-Azhar 
ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh 
penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki 
oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak 
menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga
 dengan jawatan mufti. Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali 
menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang 
hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba 
masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah 
mereka. 
 
 Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan
 perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihanraya yang
 sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalanraya. Jika Hugo Chavez, 
Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu 
namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, 
saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator 
bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.
 
 Insya-allah, 
sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi 
kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi 
zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada 
hari ini!
 
 Doa dan solidariti untuk Mesir.
 
 HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
 Al-Mursyidul Am,
 Parti Islam Semalaysia (PAS)
 
 Bertarikh : 25 Syaaban 1434H bersamaan 4 Julai 2013M
 
 
No comments:
Post a Comment