Adab
Kita Berjamaah
Ustaz Idris Haji Ahmad
27/3/14
Ikhlas kerana Allah.
Sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam PAS.
Sudah pasti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika
kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan perolehi apa yang kita hajat.
Jika kita sertai PAS kerana hendak bertanding di dalam pilihanraya, belum tentu
nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua
atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli PAS di
satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa
yang diizin oleh Allah SWT yang bermaksud "Pada hal mereka hanya
diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas dengan mentaati perintah
agamaNya" (Albayyinah 98:5)
Ikut Arahan Jamaah
Tidak
molek, jika bersama dengan jamaah, tiba-tiba tidak mahu ikut arahan jamaah.
Apabila kita berintima' dengan jamaah maka wajib kita mengikut arahan jamaah.
Sebuah jamaah tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri,
tanpa mahu ikut arahan jamaah. Mana-mana jamaah akan mengalami masalah jika
mempunyai ahli sedemikian rupa. Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama
jamaah. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya
manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut
arahan. Peringatan Nabi SAW
"Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan
bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku , maka ia derhaka kepada Allah. Dan
barang siapa yang taat kepada Amir ( Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan
barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku"
(Muttafaqun Alaih)
Tidak Mengabaikan Amanah Jamaah
Apabila kita menyertai jamaah PAS maka kita mempunyai
tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jamaah. Jika kita tidak
melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan
amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah jamaah, maka
akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti. Di atas dunia lagi kita
melakukn jenayah dengan jamaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah,
kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu PAS dengan
melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Umno,
sedangkan kita sendiri membantu Umno secara tidak langsung.
Merasakan Jamaah Milik Bersama.
Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jamaah melebihi
segala-galanya. Pada kita PAS bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden,
tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan PAS atas daya usaha kita
(biiznillah). Jika ada perasaan ini jamaah akan selamat. Kita akan terasa jika
ada yang memfitnah PAS, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya
kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan
tentang perjuangan PAS, jika tidak kita?.
Kerja Dengan Penuh Tekun.
Sabda Rasulullah SAW "Sesungguhnya Allah suka kepada
seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan". Kita mesti yakin bahawa
bekerja di dalam jamaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita
mesti rasa malu dengan penegak munkar yang tidak jemu-jemu mencari formula
bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka
tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka merancang dengan penuh strategik untuk
menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota jamaah
perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah
Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak
berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana
kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah "Kebenaran tanpa penyusunan akan
ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi".
Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin.
Hidup berjamaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna
dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap
pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah.
Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada
kita di mana pengikut kita pula anggap kita pula bodoh. Masing-masing ada
tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat
cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan
munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa
menurut ijtihad kepimpinan.
Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara
kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan
kadang-kadang besar, kadang - kadang kecil, contohnya Tahaluf Siasi. Mereka
yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan PAS sudah menyelewing. Pada hal
keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan
kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia
politik yang bergerak pantas. Jika jamaah gagal membuat keputusan yang cepat
untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman. Jika keputusan hendak
dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu
kita ketinggalan dan jamaah tidak maju. Pemimpin PAS tidak rela untuk
diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan PAS dan ahli.
Menjaga Rahsia Parti.
Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak
isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang
oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan
jamaah, bila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat. Lebih parah lagi
yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarata untuk membuat keputusan,
bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini
bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum
yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya. Lebih kurang ajar
lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai
perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita
memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah. Sebenarnya di
dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita
sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai
rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang
canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu perhatikan dengan siapa yang kita
berbicara. Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak
sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk
merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.
No comments:
Post a Comment