Oleh:
Izwan Abdul Halim
19 MAC 2014 / 17 JAMADIL AWWAL 1435
Pengenalan
Perbincangan mengenai Pasca-Islamisme
nampaknya begitu kuat diwacanakan para sarjana pro-Barat yang giat mengasak
dunia untuk menerima doktrin paksaan mereka itu. Tidak sedikit kelompok Islam
mulai terpesona dengan benih kesesatan yang ditabur dengan gaya ilmiah,
rasional dan kononnya menjejak arus kontemporari global. Secara khusus, Gerakan
Islam yang menjadi sasaran utama desakan ini dilihat seakan akur untuk
menerimanya atas nama pembaharuan. Malangnya, tanpa menilai secara kritis
mainan licik para pencatur politik dunia, mereka tidak sedar betapa Barat yang
diwayangkulitkan oleh agenda Yahudi dan Nasrani sedang membenam fikrah perosak
ke arah usaha menghapuskan Islam itu sendiri. Islam bagai diberi amaran keras,
andai mahu terus wujud di atas muka bumi ini, mesti sujud patuh dengan tampil
berdasarkan wajah yang dirupakan oleh Barat.
Wacana Sarjana Pro-Barat
Mungkin kita telah membaca pelbagai takrifan
berhubung maksud Pasca-Islamisme yang kini galak dijadikan ‘teks usrah’ baharu
golongan terpedaya. Tetapi, dalam memahami pasakan yang sedang disusun ini, ada
baiknya diteliti antara teks-teks sarjana pro-Barat sebagai usaha mendalami
strategi mereka atas kerangka Pasca-Islamisme tersebut. Seterusnya menentukan
langkah timbal balas dan pemulihan agar racun ini tidak terus menjalar ke tubuh
umat Islam.
Ali Eteraz
meletakkan Pasca-Islamisme sebagai masa depan pembaharuan Islam dan merupakan
satu pengiktirafan politik daripada agama kepada kebajikan dalam hidup ini.
Menurutnya, terdapat konsensus universal yang meletakkan pemerintahan Islam itu
sebagai diktator, akar kejahatan, memusnahkan budaya politik, penindasan dan
menimbulkan keganasan.
Beliau cuba menggambarkan bahawa era Islamisme
cenderung melahirkan pemerintah yang bersifat sama ada diktator atau teokratik.
Apabila menggabungkan agama dengan politik, maka keputusan mesti dirujuk kepada
agama. Kononnya, kelas warak pertengahan sedar bahawa agama sahaja tidak dapat
memberi keprihatinan untuk kehidupan sosial mereka. Jadi pada Pasca-Islamisme,
agama kekal memberi keselamatan hidup akan datang dan politik memberi kebajikan
ketika ini.
Beliau memberikan contoh Hizb ul-Wasat yang
ditubuhkan pada tahun 1996 di Mesir adalah sebagai parti Pasca-Islamisme.
Katanya, berbanding Ikhwan ul-Muslimin, Wasat lebih terbuka menerima orang
Kristian dan orang sekular, selain membiarkan penganut agama lain mengamalkan
agama mereka secara bebas. Wasat juga dipuji kerana memperjuangkan jaminan
perasingan kuasa, menolak diskriminasi keagamaan dan berasaskan jantina dan
secara jelas meminta kemajmukan dan persamaan antara lelaki dengan wanita.
Malah, Ali Eteraz melihat tindakan Wasat tidak meletakkan kuasa khas kepada
ulama sepertimana Ikhwanul Muslimin sebagai perkara paling penting dalam
perbahasannya.
Beliau turut meletakkan perbincangan ini
kepada sudut masa dengan mendakwa politik Islam sedang memasuki generasi
ketiganya. Katanya, Pusingan Pertama adalah revolusioner dan kejam; Pusingan
Kedua masih wujud, telah teratur tetapi masih dominasi orientasinya serta
dianggap mulia. Sedangkan Pusingan Ketiga adalah komitmen kepada proses
demokratik satu gerakan agama yang mengangkat landasan politik awam.
Menurutnya, liberalisasi ekonomi akan
menguatkan kelas warak pertengahan yang kemudiannya mendesak kesederhanaan
politik Islam. Kononnya, kehadiran Pasca-Islamisme ini bermatlamat untuk
membantu golongan Muslim yang tidak bersuara atau minoriti kerana pembaharuan
Islam memerlukan kekuatan politik dan bukan sekadar agama.
Seorang Profesor Sosial paling sensasi dalam
membicarakan tajuk ini ialah Asef Bayat. Beliau menyatakannya sebagai
kemunculan dari pemberontakan yang menyelubungi dunia Arab. Kononnya, ia
revolusi orang muda yang menjadi pemain utama dan menyelamatkan rantau mereka dari
menjadi teokrasi seperti Iran. Dengan menganggap model di Iran sebagai pertama
dan terakhir, baginya, Pasca-Islamisme membuka jalan kepada satu perubahan
demokrasi di mana Islam inklusif boleh menggerakkan peranan penting melahirkan
refolusi (reformasi + revolusi) Pasca-Islamisme.
Beliau menafikan Pasca-Islamisme sebagai anti
Islam atau sekular, tetapi satu pergerakan yang mendukung agama dan
mempertahankan ketinggian hak warganegara dengan hasrat melahirkan masyarakat
beriman dalam negara demokratik. Secara terbuka, Asef memuji Wasat di Mesir,
AKP di Turki dan PJD di Maghribi. Beliau juga membela motif tunjuk perasaan di
Tunisia semata-mata mahu mewujudkan kerajaan demokratik. Begitu juga di Mesir,
revolusi itu untuk perubahan, kebebasan dan keadilan sosial.
Asef Bayat mengklasifikasikan Iran sebagai
gagal memenuhi keperluan asas warganegaranya berbanding Turki yang berjaya
menyesuaikan diri dalam realiti politik serta kedudukannya dengan Eropah. Dia
mendakwa, ketika belia-belia Mesir mulai condong ke arah Pasca-Islamisme,
Ikhwanul Muslimin pula masih meneruskan agenda Islamisme. Manakala di Arab
Saudi dan Pakistan, dikatakan bahawa Pasca-Islamisme muncul untuk membetulkan
mudarat dari Islamisme yang telah menyusahkan masyarakat dan kepercayaan.
Menurut Asef Bayat, sejak Revolusi Islam 1979
di Iran, politik Islam atau Islamisme telah menjadi fokus perhatian para
sarjana, pembuat polisi dan orang awam. Banyak telah dikatakan mengenai Islamisme
sebagai satu politik dan moral atau aliran beretika tetapi kurang memberi
perhatian kepada pembangunan berterusan. Baginya, Pasca-Islamisme adalah
perubahan dan amalan baru Gerakan-gerakan Islam di mana belia dan golongan
wanita adalah watak utama yang berjuang membebaskan sosial mereka dari
lingkungan Islamisme.
Manakala bagi, Nuray Mert pula seakan
melontar amarannya pada AKP Turki bahawa sokongan kepada Morsi boleh mengundang
kehancuran Pasca-Islamisme. Dia menuduh rampasan kuasa oleh tentera sebagai
kegagalan Ikhwanul Muslimin yang bersifat autokratik dan kononnya menutup
kritikan dari para penunjuk perasaan Tahrir dengan tuduhan ‘anarkis’.
Kekeliruan Yang Dikagumi
Nyata pada petikan seputar ringkas wacana para
sarjana tersebut dapat disimpulkan betapa mereka jauh dari memahami makna Islam
itu sendiri. Lalu dengan melebelkan Islam sebagai satu fahaman (Islamisme),
mereka mengira ia satu faham dan anutan yang mesti berasimilasi secara patuh
pada desakan-desakan massanya. Tidak ada satupun markah positif diberikan
kepada Islamisme melainkan ianya sebagai agama, sebaliknya semua terma negatif
ditonjolkan sebagai bongkah besar Islamisme dan mengaitkannya secara jelas
dengan politik Islam semata-mata. Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan bahawa
terdapat unsur dendam dan kurang senang terhadap Islam itu sendiri.
Anehnya, ialah umat Islam yang menerima semua
mengenai Islam ini atas pentas akademik tetapi tidak mempertikaikan kewajaran
perbahasan tanpa disertakan dalil al-Quran dan as-Sunnah. Setidak-tidaknya
membandingkan secara adil pada teras sumber Islam yang nyata di atas muka bumi
ini iaitulah zaman dan generasi pimpinan Rasulullah SAW. Inilah malangnya umat
Islam termasuk dari kalangan anggota gerakan Islam apabila mereka telah merasa
manis tegukan karya para sarjana pro-Barat tanpa syak terhadap siyasah
dalang-dalang dunia ini.
Membentuk Kerangka Pemikiran
As-Syahid Imam Hasan al-Banna pernah
menyatakan:
“Sudut paling merbahaya sekali dalam suatu
umat yang sedang membangun terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan
kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan,
bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur
disamping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin.
Semua ini hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang
sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju. Menyedari
hal inilah, maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa
perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan asasi yang mesti dilakukan
oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.”
Hakikatnya, pemikiran baru Pasca-Islamisme ini
adalah sebahagian dari pertembungan azali antara iman dan kufur. Secara
ringkasnya, pertembungan ini dapat dibahagikan kepada tiga peringkat:
1. Islam lawan Kufur
(Abad 7 – 14) bersenjata
2. Islam lawan Sekular
(Abad 15 – 20) pemikiran dan pemerintahan
3. Islam lawan Islam
(Abad 21) pemikiran dan persaingan
Faktor dicaturkan pertembungan sedemikian rupa
adalah rentetan dari kegagalan sekularisme, sebaliknya Islamisme khususnya
Gerakan Islam pula berjaya diruang demokrasi ciptaan Barat. Menyedari Islamisme
yang dipimpin Gerakan Islam tidak mampu disekat kebangkitannya menuju kembali
kepada matlamat Daulah Islamiyah, maka Barat menyusun dua strategi baru di abad
ke-21 ini.
Dua strategi tersebut ialah; Pertama
menegakkan fahaman pembentukan Khalifah Islamiyah tanpa demokrasi dengan menaja
pembentukan kumpulan Hizbut Tahrir dan Kedua, mengembangkan fahaman penampilan
demokrat tanpa syariat iaitulah dengan menaja pembentukan kumpulan Islam
Liberal. Kedua-duanya saling bertentangan dan cuba mengheret umat Islam kepada
satu pilihan. Maka, wacana Pasca-Islamisme mengaruskan pilihan kepada Islam
Liberal yang dilihat lebih lunak, inklusif dan plural.
Demikian itu, pasakan baru ditanam dalam
pemikiran kebanyakan bahawa Islam mesti ‘dijenamakan semula’ kepada tiga rupa
iaitu:
·
dilahirkan
dengan wajah lain (tidak ortodok);
·
sesuai dengan
perubahan zaman; dan
·
berorientasikan
masa depan.
Menelusuri Islam Liberal
Pengembangan pemahaman Islam Liberal menjadi
‘tarbiyah’ utama kepada Pasca-Islamisme. Ia adalah cetakan semula dari ajaran
Kristian yang pernah mengalami pengalaman sama dalam sejarah penyelewengannya.
Ahli Falsafah Barat mempelopori tiga elemen iaitu kemanusiaan, individu dan
realistik sebagai asas wacana mereka. Asas pemikiran yang dibentuk itu
antaranya ialah:
·
mementingkan
peranan akal fikiran dan budi pekerti;
·
mengutamakan
kehendak manusia;
·
manusia
mestilah menentukan masa depan;
·
menekankan
analisis rasional.
‘Kebangkitan’ Eropah itu mengembleng asas
sosial masyarakat dengan tumpuan kepada tiga dimensi utama; iaitu mengutamakan
sains dan keterbukaan dalam pendidikan; pasaran bebas dan memenuhi
kekayaan pada aspek ekonomi; serta tumpuan kepada hal asasi dan
pembentukan negara pada aspek politik. Pemikiran baru yang dikenali
sebagai ‘protestan’ ini membawa doktrin bahawa untuk mencapai semua tuntutan
ini, maka gereja dan agama mesti ditolak.
Dalam sejarahnya, Protestan mengalami situasi
di mana segala hal berkaitan dunia mesti dipisahkan dari agama. Selain itu
dikembangkan pemikiran ‘civil religion’ dan ‘global theology’, sementara dalam
disiplin pengajian Bible wujud subjek Hermeneutika iaitu ilmu mengkritik
Bible yang dipelopori Friedrich Schleiermacher. Aliran individualisme
dikembangkan seluasnya hingga membentuk keupayaan dan kesungguhan manusia hanya
untuk hal ehwal dirinya semata.
Menjengah masa, Islam Liberal berkembang
dengan lebih luas apabila terus mengalirkan penolakan terhadap Islam
Fundamental, menyatakan jihad sebagai ekstrem, menonjolkan isi Islam
semata-mata, menggesa penafsiran baru al-Quran, menggagaskan kebebasan
berijtihad dan memberi interpretasi baru kepada Islam. Selain itu meluaskan
tuduhan bahawa syariat adalah ciptaan ulama selain menyatakan bentuk negara
yang ada ketika ini sudah memadai. Lebih dahsyat, Nabi Muhammad SAW didoktrin
hanya sebagai pemimpin biasa dan bersikap menolak hadis.
Pendekatan Islam ‘Jadian’
Selain dikembangkan Islam Liberal kononnya
sebagai variasi dari Islam itu sendiri, pembentukan pelbagai jamaah serta
pendekatan Islam juga dijadikan citra baru yang mesti disesuaikan dengan
tuntutan tersebut. Di saat Gerakan Islam tulin sedia ada dihodohkan wajahnya,
saingan dilahirkan supaya menjadi alternatif atau memindahkan kecenderungan
kepada Islam jadian yang baru itu. Misalnya pendekatan kosmetik yang pernah
dibuat oleh Kerajaan BN Malaysia ialah pengenalan “Penerapan Nilai Islam”,
“Masyarakat Madani”, “Islam Hadhari” dan kini “Wasatiyah”.
Manakala pengaruh yang pelbagai dicapahkan
seluasnya hingga menimbulkan gagasan-gagasan kepada mewujudkan front baru
Jamaah Islam. Antara keupayaan yang membantu ke arah itu adalah hasil pemikiran
liberal dari golongan berpendidikan Barat atau menerima pendidikan Islam di
universiti Barat. Selain itu disuntik kekaguman melampau terhadap tokoh
tertentu yang berbicara mengenai reformasi Islam. Dicipta momokan Barat
terhadap Islam dan masyarakat Islam digesa menafikan tuduhan tersebut. Diperkukuhkan
dengan kononnya sebaran ilmiah menerusi institut-institut pemikiran Islam dan
pembentukan pemikiran mengenai Islam di universiti-universiti Barat. Dijadikan
kejayaan kelompok Islam Demokrat seperti Rachid Gonoushi (An-Nahdhah-Tunisia)
dan Racep Tayib Erdogan (AKP-Turki) sebagai pemangkin untuk dicontohi.
Pengaruh Ke Atas Gerakan Islam
Dari Islamisasi dalam konteks kehidupan
individu Muslim, ia kemudian menjalar ke perdu sosial masyarakat dan Gerakan
Islam. Pengasingan individu dan kelompok dari institusi politik berubah kepada
penyertaan dan keterlibatan ke arena dunia politik. Sikap ini jelas terlihat
pada semua Jamaah Islam yang ada di Malaysia kebelakangan ini seperti ABIM,
JIM, IKRAM, ISMA dan lain-lain menunjukkan sama ada penyertaan secara terbuka
kepada komponen atau parti politik tertentu atau kecenderungan memihak, mahupun
yang telah berlaku secara infiltrasi dan penyerapan bermula dari isu-isu
semasa.
Maka, PAS sebagai Gerakan Islam yang secara
rasmi merupakan sebuah parti politik tidak terlepas mengalami keadaan tersebut,
bahkan mungkin sasaran utama. Demikian itu, segala desakan dan perubahan itu
cuba mempengaruhi PAS dengan memberi warna baru kepada kanvas pendekatannya,
lalu sedikit demi sedikit mulai melonggarkan keteguhan dasarnya.
PAS Berubah?
Saat virus ini mulai menjangkiti PAS, ia disuburkan
menerusi pelbagai program dan konsep. Antara yang dipopularkan ialah dialog
antara agama di mana diskusi ini tidak menjurus kepada meletakkan ketinggian
martabat, kehebatan dan penyelesaian Islam sebagai dakwah kepada bukan Islam.
Sebaliknya, ia seolah-olah medan menarik sokongan terpilih apabila meletakkan
Islam dan agama lain pada satu tahap yang sama dengan mendakwa tujuan agama
semuanya untuk kebaikan. Malah, Islam bagaikan diberi kata dua agar tidak
bersikap eksklusif dengan mendakwa bahawa ia sahaja agama yang baik dan benar. Inilah
pluralisme dan inklusif yang tidak diterima dalam aqidah Islam, bahkan
merendahkan keseluruhan ketinggian Islam itu.
Keghairahan menarik sokongan politik dari kalangan
bukan Islam khususnya dalam realiti politik Malaysia menyebabkan lahirnya
pendekatan ‘Islamisasi Tanpa Negara Islam’. Maksudnya, semua kerangka Negara
Islam termasuk syariah, hatta nama berkaitan sekalipun, dikesampingkan dari
menjadi mesej dengan alasan ia menakutkan sasaran sokongan. Akhirnya,
perjuangan PAS dengan doktrin seperti ini sebenarnya bersifat kulit yang hanya
bermatlamatkan kemenangan. Sedangkan, kemenangan dalam pilihan raya adalah batu
loncatan atau alat ke arah mewujudkan Negara Islam dan melaksanakan syariat.
Lebih nyata, sikap itu menunjukkan ketundukan
dan penurutan terhadap kehendak atau kedaulatan rakyat, bukannya patuh kepada
perintah Allah yang menyuruh pelaksanaan Islam ke atas masyarakat. Kontradik
ini secara perlahan sebenarnya telah membuang dasar PAS dari perjuangannya dan
membuktikan kegagalan menyampaikan dakwah, selain menunjukkan Islam hanya
menjadi label semata-mata. Kerangka ini bermakna PAS hanya menuju menjadi
‘juara’ rakyat dan bukannya hamba dan khalifah Allah.
Kesan dan Penyelesaian
Kesan semua pendekatan itu ditanggapi sebagai
perubahan prinsip asas dan dasar PAS. Doktrin-doktrin ini hakikatnya melahirkan
wabak baru apabila penyertaan kepada PAS dilihat sebagai sokongan politik
semata dan bukannya sebuah intima’ dan iltizam terhadap seluruh keteguhan PAS
sebagai Gerakan Islam. Setiap individu dianggap mempunyai hak untuk bersuara
dan menyatakan pendapat hingga membuat keputusan secara bebas, tanpa adanya
ikatan wala’ dan bai‘ah. Lebih menggusarkan apabila berasimilasi secara mesra
dengan isme yang lain seperti Komunisme, Sosialisme, Liberalisme dan lain-lain.
Ulama bukan lagi individu atau kelompok
penting dalam menuju kebahagiaan dunia akhirat dan pembimbing dasar berpolitik,
bahkan dianggap pula sebagai penghalang dan penyebab kelemahan PAS. Sebaliknya
siapa sahaja yang dilihat mampu menggembleng tarikan sokongan perlu diangkat
sebagai ketua dan pemimpin.
Fokus dakwah ke arah menjadikan manusia tunduk
patuh kepada suruhan dan larangan Allah juga bukan lagi keutamaan, sebaliknya
soal keimanan adalah urusan individu. Hilangnya pembinaan keperibadian muslim,
sebaliknya berkembang kebebasan pada banyak aspek diri hingga tidak terbit lagi
jati diri qudwatun hasanah.
Akhirnya secara perlahan, hala tuju kepada
syariat dan Negara Islam juga menjadi angin lalu. Maka, PAS ketika itu tiada
bezanya lagi dengan parti-parti politik lain, melainkan mungkin berimej Islam
sahaja.
Sekarang isme ini sedang meresap ke segenap
aspek dalam Gerakan Islam PAS. Tidak ada jalan lain untuk terus memelihara
kelestarian PAS sebagai Gerakan Islam yang tulin melainkan pasakan tarbiyah
unggul berteraskan al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qias secara mapan kepada
anggotanya serta peneguhan dakwah kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment