YB.Dato’
Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Muqaddimah
Kemantapan
sebuah Harakah Islamiah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip
perjuangannya dan keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkatterhadap aqidah
dan prinsip itu sehingga membuahkan wala' dan melengkapkan diri dengan akhlak
dan disiplinnya.
Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar
hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang sebenarnya tanpa membina peribadi
dengan akhlak berjamaah, oleh itu di bawah ini dikemukakan beberapa perkara
yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk
dijadikan perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.
Akhlak
Berjamaah
Supaya
perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah s.w.t dan mendapat pertolongan
daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:
1.
Ikhlas
Pejuang
Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut
keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.
عَنْ أَبِى مُوسَى قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ
- صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ حَمِيَّةً وَيُقَاتِلُ
شَجَاعَةً وَيُقَاتِلُ رِيَاءً ، فَأَىُّ ذَلِكَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ « مَنْ
قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِىَ الْعُلْيَا ، فَهْوَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ
»
Abu Musa Al-Ashaari
menceritakan: Seorang Arab
Badwi datang menemui Rasulullah, dia berkata: “Orang yang berperang kerana mahukan harta
rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya',
maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang berperang supaya 'kalimatullah'
itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah”.
(Bukhari
6/2714 no 7020, Muslim 3/1512 no 1904)
Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan
Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihanraya sehinggalah
berperang di negeri, tidak ada caralain daripada mestilah dengan niat yang
ikhlas.
Firman Allah dalam surah Al-Bayyinah Ayat 5:
Maksudnya: “pada hal mereka tidak
diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat
kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan
sembahyang serta memberi zakat. danyang demikian itulah ugama yang benar”.
Apabila mengikhlas niat kerana Allah s.w.t
semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang
merosakkan niat seperti riya’, 'ujub dan sum'ah.
2. Istiqamah
Mestilah
berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya
dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus,
jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah s.w.t berfirman
kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s yang menghadapi Firaun dalam menegakkan
Islam di zamannya:
Firman Allah dalam
surah Yunus Ayat 89 :
Maksudnya: Allah berfirman: “Sesungguhnya
telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan
perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang Yang tidak
mengetahui (peraturan janjiKu)”.
عَنْ
سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الثَّقَفِىِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ
قُلْ لِى فِى الإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ - وَفِى
حَدِيثِ أَبِى أُسَامَةَ غَيْرَكَ - قَالَ « قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِمْ »
Apabila AbuSufian bin
Abdullah berkata kepada Rasulullahs.a.w:“Katakanlah kepada saya dengan
kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang
lain darimu”; Sabda Rasulullah: “Katakanlah
aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah”.
[Muslim
1/194 no 168 ]
Para Rasul dan Sahabat adalah orang yang
paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini
menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan,
kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan
orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia.
Rasulullah s.a.w
bersabda:
عَنْ أَبِى
هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ «
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ » . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا
هُنَّ قَالَ « الشِّرْكُ بِاللَّهِ ، وَالسِّحْرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِى
حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ
الْيَتِيمِ ، وَالتَّوَلِّى يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ
الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ »
Yang
bermaksud: Hadis Abu Hurairah
r.a:Rasulullah telah bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan
kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah”. Para
sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?” Rasulullah
bersabda: “Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan
sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak,
memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan
memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta
menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan
perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan
fitnah melakukan perbuatan zina”.
(Bukhari
10/142 no 2766, Muslim 1/64 no 272)
3. Taat
Ketaatan
lahirdaripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut,
apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang
sebenardan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.
Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di
masa senang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak
maksiat.
Firman Allah dalam Surah An Nisa' Ayat 59 :
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu
perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran)
dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu),
dan lebih elok pula kesudahannya”.
Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan
kepada para sahabatnya dengan melakukan bai'ah.Di antaranya ialah“Baitul
'Aqabah” yang terkenal sebelum melakukan hijrah.
Di dalam
Bai'ah itu Rasulullah bersabda:
قال جابربنعبدالله: فقلنا:
يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلاَمَا نُبَايِعُكَ قَالَ «
تُبَايِعُونِى عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِى النَّشَاطِ وَالْكَسَلِ والنَّفَقَةِ
فِى الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ وَعَلَى الأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْىِ عَنِ
الْمُنْكَرِ وَأَنْ تَقُولُوا فِى اللَّهِ لاَ تَخَافُونَ فِى اللَّهِ لَوْمَةَ
لاَئِمٍ وَعَلَى أَنْ تَنْصُرُونِى فَتَمْنَعُونِى إِذَا قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ
مِمَّا تَمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ وَأَزْوَاجَكُمْ وَأَبْنَاءَكُمْ وَلَكُمُ
الْجَنَّةُ »
Yang bermaksud: “Berbai'ahlah kepadaku di atas
kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa
susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari
kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela,
sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan
aku …”.
[Masnad
Ahmad 30/364, no 14830]
Ketaatan
Yang Dituntut
a) Ketaatan itu
membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan, tidak bertindak
sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan
adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza
dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan
atau jamaah dalam parti.
b) Ketaatan itu
membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap
parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijejaskan oleh
pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga
jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.
c) Ketaatan
juga yang dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam
parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan ‘advance’, ada orang yang
terlalu lambat dan ada yang sederhana.
4. Wala'
Kita melihat
betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk
yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan
nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.
Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi
perhatian ialah peningkatan wala' dan disiplin dalam jamaah yang dapat
memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah.
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Maidah Ayat 55 :
Maksudnya: “Sesungguhnya Penolong kamu
hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang Yang beriman, Yang mendirikan
sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung
perintah Allah)”.
Wala dan hubungannya
dengan Harakah Islamiah (PAS)
Dalam aspek
ini perlu dibahagikan wala' itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan
penekanan.
a) Wala'
terhadap aqidah perjuangan.
Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan
RasulNya. Wala' dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak
kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar
melainkah Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman
kepada rasul yang wajib dengan sifat- sifat kerasulannya.
Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala'
kepada Allah dan rasul secara mutlak ini ialah taat dan wala' secara mutlak
kepada Al-Quran dan Al-Hadith yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi
Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia.
b) Wala' kepada
Jamaah.
Menurut rukun dan hukum berjamaah haram
kepada ahli yang telah memberi bai'ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala'
kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang
bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan
jamaah, strategi dan jenteranya.
Adapun wala' kepada jamaah itu bergantung
kepada wala'jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi
kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.
c) Wala' kepada
pimpinan
Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah
satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah.Oleh
yang demikian wala' kepada pemimpin dalam pengertian kasih dan taat mestilah
diberi dengan penuh tanggungjawab.Wala' ini mesti diberi di semua peringkat
pimpinan.la juga bergantung kepada prinsip perjuangan parti atau jamaah.
5. Disiplin
Firman Allah dalam Surah Ali Imran Ayat 200 :
Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara
Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran
musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di
daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu
berjaya (mencapai kemenangan)”.
Perkara yang
ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaimana berikut:
1) Tatatertib
dan kelakuan diri.
2) Peraturan
yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
3)
Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang
ditetapkan.
4)
Hukuman atau denda kerana melanggar
peraturan.
Harakah
Islamiah (PAS) telah menetapkan perkara-perkara ini secaramenetapkannya di
dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara
yang dinamakan tatatertib:
1) Taat kepada
hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah.
2) Patuh kepada
perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya.
3)
Taat kepada arahan dan perintah jamaah.
4)
Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang
ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya yang boleh.
5)
Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah.
6)
Beramal dengan akhlak Islam.
7)
Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang
tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah.
Penutup
Akhlak dan
disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan jamaah.Setiap ahli mesti
berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan
kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu ahlinya
menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan jentera dalaman yang baik
bagi mentadbir segala kegiatannya.
Wala’
Bai’ah
Harakah Islamiah
Jamaah
Aqidah
Muhasabah
Riya’
Kalimatullah
Sabda
'ujub
Sum'ah
Rasul
Sahabat
Istiqamah
Hadis
Syirik
Amal jamaie
Zakat
Rujukan
Al-Quran Al-Karim
Al-Mukhtasar Al-Jami’ Al-Sahih,
Muhammad bin Ismail Al-Bukhari, Dar Ibn Katsir, Yamamah, Beyrut, 1987, ta’aliq
Dr Mustafa Bugha.
Sahih Muslim, Muslim bin Al-Hajjaj
Al-Qusyairiy Al-Nisaburiy, Dar Ihya’ Al-Turath, Beyrut, tahqiq Dr Fuad Abd
Baqi.
Musnad Ahmad, Abu Abdillah Ahmad bin
Muhammad bin Hanbal, Kementerian Wakaf Mesir.
No comments:
Post a Comment