Mukaddimah
Yang
dihormati Dato' Pengerusi Tetap, YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Mursyidul 'Am, Sohibul Fadhilah Dato' Timbalan Mursyidul 'Am, Ashab al
Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden,
Dato' Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan
Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah
Persekutuan, Pengarah Muktamar dan ahli Jawatan kuasanya,
sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil
Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan
muslimat yang dikasihi sekalian.
Selamat
datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan taulan
seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang
sudi memeriahkan Muktamar PAS kali ke 59 ini.
Pertamanya
marilah sama-sama kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT
yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang
kita imani, menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di
hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT. Dengan
Iman dan Islam inilah kita mesti beristiqamah di atas jalan perjuangan
yang dirintis oleh para Nabi dan Rasul A.S. sejak zaman berzaman,
berdepan dengan cabaran dan dugaan yang menguji iman kita sehinggalah
kita bertemu dengan Allah SWT nanti. Marilah kita sama-sama menghayati
firman Allah SWT :
Maksudnya :
"Dan
sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar ternyata yang Kami
mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan
agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu." [Muhammad :31]
Hadirin-hadirat sekalian,
MUKTAMAR KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA
1.
Kita berkumpul pada hari ini, dalam Muktamar Agung Tahunan kali yang ke
59, dengan tema "RAHMAT UNTUK SEMUA" adalah berpaksikan kepada
keyakinan kita bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS menerusi
wadah tarbiyah-dakwah-siyasah yang tidak berpisah, membawa mesej Islam
yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul A.S. yang di khatam (tamat) dan
disempurnakan dengan Nabi Muhammad S.A.W. bagi membawa RAHMAT ke seluruh
alam. Firmah Allah SWT :
"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" [al-Anbiya : 107]
2.
Marilah sama-sama kita memahami, bahawa apa yang kita bawa ini bukan
bersifat retorik dan bukannya suatu janji-janji indah yang ingin
mengaburi pandangan manusia atau mengelirukan kefahaman. Maudu' kita
adalah ISLAM yang berteraskan kepada keyakinan yang dipahat dengan
tegas dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS. Inilah Islam yang yang nyatakan
oleh Rasulullah S.A.W. membawa RAHMAT adil kepada masyarakat majmuk yang
bersaudara di atas kemanusiaan yang di isytiharkan oleh Allah :
Sesungguhnya
Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan
membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa
yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah
Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat. [An Nisa' : 105]
Bukannya
Islam mengikut takrifan sekularisma yang memberikan makna Islam itu
sebagai agama yang tidak mempunyai kaitan antara kehidupan dunia dan
akhirat.
3.
Dasar Islam dan mesej inilah yang menjadi RAHMAT kepada semua manusia,
termasuklah kepada semua makhluk dan alam ciptaan Allah SWT. Oleh yang
demikian, kerahmatan yang ingin dibawa oleh PAS untuk semua pihak ini
berlaku apabila PAS adalah sebuah gerakan islah dan tajdid, berbeza
dengan kumpulan Islam lain yang menjadi saudara seperjuangan mengikut
medannya yang terhad. Tugas kita ialah membetulkan fahaman salah dalam
masyarakat dan negara yang dipengaruhi oleh pemikiran asing yang pernah
menjajah umat Islam. PAS memperjuangkan rahmat Allah daripada ajaran
Islam yang membawa keadilan sejagat.
4.
Untuk membawa mesej ini, maka organisasi parti kita hendaklah
menyediakan rangka kerja yang berstruktur, mempunyai objektif dan
sasaran kerja yang konstruktif, pejabat yang lengkap, sistem pengurusan
konflik, petunjuk prestasi dalam mencapai sasaran jamaah, dan bukannya
sekadar retorik ucapan semata-mata.
5.
Sebagaimana yang selalu saya pertegaskan, bahawa PAS bukanlah parti
politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang
bergerak dalam jalur tarbiyah – dakwah – siyasah mewarisi cita-cita
perjuangan yang menjadi tugas kita sebagai khilafah di atas muka bumi
ini yang meletakkan politik menjadi agenda penting yang tidak boleh
dipisahkan daripada agama Islam. Maka tentulah menjadi satu kesilapan
sekiranya menyamakan PAS dengan parti-parti dan kumpulan Islam yang
lain.
Hadirin – hadirat sekalian,
SOROTAN PRU KE-13
6.
Muktamar ke-59 pada tahun 2013 ini diadakan pada penghujung bulan
November 2013, di luar kebiasaan muktamar tahunan PAS yang biasanya
diadakan pada bulan Jun atau Julai setiap tahun. Penangguhan ini adalah
untuk memberi ruang yang seluasnya kepada persiapan dan gerakerja
menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang baru sahaja berlalu pada bulan
Mei lalu.
7.
PAS bersama Pakatan Rakyat telah turun ke gelanggang PRU-13 di padang
yang tidak sama rata dengan Barisan Nasional, kerana proses demokrasi
pilihan raya sesebuah negara yang merdeka bukan sahaja aktiviti
berkempen dan hari pembuangan undi atau pun urusan keputusan pilihan
raya sahaja. Pilihan raya juga bukanlah semata-semata janji jalanraya
dan rumah, tiang elektrik, tilam – bantal, basikal percuma dan
sebagainya, tetapi adalah medan rakyat memilih parti yang akan
menjalankan amanah memimpin negara.
8.
Kita terus berdepan dengan media arus perdana yang tidak berlaku adil,
betapa parahnya rasuah wang ringgit dan projek segera yang dijanjikan
kepada rakyat, sedangkan projek terdahulu ada yang belum pun nampak
tandanya, penggunaan jentera dan agensi kerajaan dalam aktiviti
berkempen, dan berbagai lagi bentuk penyalahgunaan serta kepincangan
yang merendahkan taraf pemikiran rakyat malah mengancam sistem demokrasi
di negara kita.
9.
Dalam keadaan kekurangan ini, alhamdulillah kita masih mampu
bertahan dalam keadaan undi popular di kalangan rakyat yang bertambah
sehingga kerajaan BN yang ada di hari ini adalah kerajaan minoriti
sokongan pengundi, dan hanya mempunyai majoriti jumlah kerusi parlimen,
disebabkan sistem first past the post yang diamalkan dalam sistem
pilihan raya. Kita kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Kerajaan Persekutuan BN minoriti rakyat ini pula hanya mampu memperolehi
46.53% sokongan pengundi, berbanding Pakatan Rakyat yang mencapai
sokongan 49.96% melalui jumlah undi keseluruhan.
10.
Kedudukan kita yang sedemikian ini, hendaknya sedikit pun tidak
melemahkan semangat kita semua untuk terus berjuang. Kekalahan kita yang
menyebabkan hilangnya kerajaan negeri Kedah pula, wajar diteladani,
tetapi janganlah sehingga melemahkan semangat sehingga kita lupa erti
sebenar perjuangan. Kita masih menjadi pilihan rakyat di DUN Sungai
Limau Kedah, dalam Pilihan raya Kecil yang baharu sahaja berlalu. Kita
wajib muhasabah diri sendiri secara dalaman, bukan hanya menjadikan
lawan sahaja sebagai penyebab kekalahan kita. Semua itu wajar menjadi
sempadan dalam lipatan sejarah dalam kita bergerak ke hadapan. Allah
berfirman kepada generasi awal yang tewas dalam peristiwa Uhud :
(Patutkah
kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu
ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi
seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan
kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya
(kemalangan) ini? "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah
dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)".
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al - Imran : 165]
Hadirin – hadirat sekalian,
11.
Alhamdulillah, kita juga ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera parti, rakan – rakan dalam
Pakatan Rakyat, dan rakyat yang memberikan respon positif dengan benih
sulung PAS menerusi PRU-13 lalu di Melaka iaitu di kerusi DUN Bukit
Baru, dan lain – lain tambahan kerusi DUN dan Parlimen yang baharu
dimenangi di seluruh negara.
12.
Kepada ahli PAS yang dipikulkan amanah kemenangan dalam PRU-13,
seterusnya memegang tampuk kuasa pemerintahan dalam sebuah kerajaan,
termasuklah yang dilantik ke jawatan penting seperti Ahli Dewan Negara,
Ahli Majlis Perbandaran dan Daerah, Ketua Kampung dan Ahli Lembaga
Pengarah; marilah sama-sama kita menghayatinya dengan membaca firman
Allah SWT :
"Dan
Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia
meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa
derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu.
Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang" [al – An'am :165]
Semua
di kalangan mereka ini perlulah sabar dengan ujian, melakukan persiapan
rapi, bermaklumat, mendampingi rakyat tanpa penat lelah; insyaAllah
semua amalan yang dilakukan dengan ikhlas ini akan diberikan kebaikan
oleh Allah SWT.
link ke laman yang memaparkan teks penuh ucaptama tersebut : http://muktamar59.pas.org.my/index.php/ucaptama/presiden-pas
VIDEO UCAPTAMA TUAN GURU PRESIDEN
sila tekan sini
No comments:
Post a Comment