My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Tuesday, 30 October 2012

KK Dasar -Tasawur Islam-


Kewajiban Merealisasikan Islam Sebagai Addin Yang Syamil.


MUQADDIMAH.
الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق, ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون. أشهد أن لآ اله الا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد, وهو حى لا يموت, وهو على كل شيء قدير, والصلاة والسلام على أشرف الأنبيياء والمرسلين سيدنا ومولانا محمد,  وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم باحسان الى يوم الدين, وبعد   
Islam sebagai agama yang paling sempurna diatas muka bumi Allah yang melengkapi semua aspek kehidupan manusia. Sebagai sebuah Addin, Islam membuktikan kejayaan yang amat gemilang di setiap zaman perlaksanaannya sama ada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan para tabi’en. Kejayaan ini bukan saja mencakupi urusan duniawi dan ukhrawi malah ianya diberkati dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.lantaran itulah Allah Mewajibkan keatas setiap hambanya untuk terus berjuang dan memastikan syariatnya sentiasa diamalkan diatas muka bumi Allah SWT ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah Ayat 33:
Yang bermaksud : Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) Dengan membawa petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

PENGERTIAN ADDIN DARI SUDUT BAHASA.
Addin dari sudut bahasanya disebut oleh ahli-ahli bahasa dengan berbagai-bagai pentafsiran. Pentafsiran ini boleh disimpulkan kepada tiga pengertian yang utama iaitu:
1)    Di ambil dari perkataan (  دانه دينا ) yang membawa makna penguasaan, penghakiman, pengurusan, perhitungan keatas sesuatu perkara. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al fatihah Ayat 4 :

Yang bermaksud : Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

2)    Dari perkataan (دان له أو الدين لله   ) yang membawa makna taat dan patuh.
3)    Dari perkataan (   دان بالشىء    ) yang membawa makna pegangan agama atau mengambil sesuatu ajaran untuk dijadikan pegangan.
Semua ini membawa erti seseorang yang patuh dan tunduk kepada ajaran dan agama tertentu yang membawa kepada pengabdian diri untuknya.

PENGERTIAN ADDIN DARI KACA MATA ISLAM.
Perkataan addin dari sudut istilah yang dipakai dalam Islam ialah agama yang dicipta oleh Allah SWT untuk manusia sejagat sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Aali Imran Ayat 19 :
Yang bermaksud : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.

Firman Allah SWT lagi dalam surah yang sama Ayat 85 :
Yang bermaksud : Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.
Firman Allah SWT lagi dalam surah al Nisa’ Ayat 171 :
Yang bermaksud : Wahai ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar

Firman Allah SWT lagi dalam surah Al A’araf Ayat 51:
Yang bermaksud : (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan Yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang Yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan kami.
Kesimpulannya, perkataan Addin tidak boleh di khususkan kepada agama Islam yang benar semata-mata kerana perkataan ini diguna pakai juga oleh Allah SWT kepada agama yang tidak benar yang wujud di atas muka bumi ini.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran Ayat 85:
Yang bermaksud : Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.
Firmannya lagi dalam surah al nisa’ Ayat 171:
Yang bermaksud : Wahai ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! janganlah kamu melampaui batas Dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan Yang benar

KEWAJIBAN MENEGAKKAN ISLAM SEBAGAI ADDIN YANG SYAMIL.
Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang paling sempurna yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hambanya, maka sudah tentu Allah SWT memfardukan kepada seluruh hambanya untuk mengamalinya. Berdasarkan kepada nas-nas yang amat banyak didalam Al Quraan dan Al Sunnah jelas menunjukkan bahawa setiap individu muslim mestilah berusaha untuk menegakkan syariat Islam dimana jua mereka berada. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf Ayat 56:
Yang bermaksud : Dan Demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang Kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja Yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja Yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang Yang berbuat kebaikan.
Firmannya lagi dalam surah al Qasas Ayat 5:
Yang bermaksud : Dan Kami hendak berihsan Dengan memberikan pertolongan kepada kaum Yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang Yang mewarisi (Apa Yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
Firmannya lagi dalam surah al Hajj Ayat 41 :
Yang bermaksud : Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.
Rasulullah SAW juga banyak menyebut didalam hadis baginda tentang urusan perjuangan Islam ini. Antara lainnya sabda Baginda SAW:
تلزم جماعة المسلمين وامامهم
Maksudnya:
Hendaklah kamu bersama-sama jamaah Islam dan pemimpinnya.
عليكم بالجماعة, فمن شذا شذا في النار
Maksudnya:
Wajib keatas kamu bersama-sama dengan jamaah Islam, berang siapa yang mengasingkan diri dengannya maka dia akan disisih 0leh Allah SWT kedalam neraka.
يد الله مع الجماعة
Maksudnya:
Pertolongan Allah SWT sentiasa bersama dengan jamaah.
Ayat-ayat dan hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa setiap individu yang beriman kepada Allah SWT mestilah menggabungkan diri mereka dengan perjuangan Islam untuk menegakkan syariat Allah SWT.
KEPENTINGAN NEGARA ISLAM YANG BERDAULAT.
Pemerintahan Islam merupakan perkara asas dalam Islam. Dengan wujudnya Negara Islam maka hukum hakamnya akan dapat dilaksanakan. Oleh itu usaha untuk mewujudkan sebuah Negara Islam merupakan agenda terbesar gerakan Islam. Pentingnya pemerintahan Islam ini kerana dengan adanya Negara Islam maka umat Islam akan mempunyai kedaulatan dan kemuliaan. Rasulullah SAW sangup melakukan apa saja demi untuk mempastikan Islam tertegak di atas muka bumi Allah ini kerana dengan adanya negara Islam maka hukum Allah akan dapat dilaksanakan dengan teratur dan sekali gus Islam akan dapat dilihat oleh semua manusia. Antara kesan dari wujudnya negara Islam ialah:
1)    Pelembagaan negara berasaskan syariat Islam dapat dinobatkan.
2)    Seluruh sistem hidup manusia akan berasaskan kepada AlQuraan, Al Sunnah, Ijma’ dan Qias.
3)    Urusan amar makruf dan nahyi mungkar akan terlaksana secara menyeluruh.
4)    Jaminan keselamatan dan keamanan kepada semua kaum adalah terjamin.
5)    Ekonomi negara akan selamat dan tidak berlaku penyelewengan berterusan.
6)    Jaminan sistem pendidikan bermoral untuk semua kaum.
7)    Memiliki kekuatan ketenteraan yang berasaskan kepada semangat jihad fi sabilillah.
8)    Jaminan kebebasan beragama dan kebebasan bersuara dikalangan penganut manoriti.
9)    Lain – lain jaminan yang sentiasa akan di beri oleh ahlul al hal wal aqd.
PENDEKATAN BERSTERATEGIK MEMPERKENALKAN ISLAM SEBAGAI ADDIN YANG SYAMIL.
Bagi sebuah parti Islam yang memperjuangkan Islam PAS meletakkan sasaran kepada manusia sejagat adalah sasaran paling besar dan utama dalam programnya.Dengan adanya ruang demokrasi yang ada walaupun penuh dengan penipuan, PAS bukan saja melihat aspek kemenangan dalam pilihanraya bahkan PAS meletakkan matlamatnya yang lebih jauh yaitu untuk memperkenalkan dasar perjuangannya (Islam) kepdada masyarakat umum disamping matlamat untuk menyelamatkan akidah manusia didunia ini. Diantara medan dakwah yang perlu ditumpukan oleh pendakwah-pendakwah PAS antara lainnya ialah:
Dakwah fardiyah
Dakwah fardiyyah memainkan peranan yang besar dalam menyelamatkan akidah manusia.Tugas dan tanggongjawab ini mesti diambil oleh para alim ulama PAS agar tanggong jawab dakwah Islamiah benar-benar terlaksana dalam PAS. Penulis ingin tegaskan disini bahawa lapangan dakwah kepada madu’u luar terutamanya kepada masyarakat non muslim masih ditahap lemah dalam parti kita. Maka peluang berdakawah yang amat luas yang dianugerah oleh Allah ini mesti direbut oleh setiap pendakwah dan ia adalah fardu ain keatas mereka. Hubungan individu dengan sasaran amat mustahak dan mesti dirancang dengan rapi. Firman Allah S.W.T dalam surah al Baqarah Ayat 143 :
Yang bermaksud : Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan Yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu
Dakwah melalui lisan dan tulisan.
Gabungan PR pada hari ini amat baik dan semakin erat.Program-program bersama antara pimpinan PAS dengan rakan-rakan dalam pakatan rakyat menjadi kebanggaan bersama. Semangat menganjurkan program bersama ini merupakan medan terbaik yang boleh digunakan untuk memberi penjelasan Islam untuk semua. Penampilan PAS pada hari ini untuk member penjelasa isu-isu semasa yang berasaskan kepada Islam diterima baik oleh semua pihak.

Dakwah secara lisan dan tulisan ini bukannya suatu yang senang, bahkan ianya memerlukan penguasaan ilmu islam yang tinggi disamping memiliki hikmah dan bijaksana agar ianya tidak member kesan buruk didalam percaturan politik semasa.

Dakwah melalui tauladan
Qudwah dan tauladan merupakan elimen penting didalam dakwah Islamiah. PAS sebagai parti politik dakwah yang telah menjangkau usia yang matang sudah pastinya tampil dengan matang ditengah-tengah kancah politik. Pengalaman PAS bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah, CCC dan Barisan Alternatif sudah cukup untuk PAS menunjukkan qudwahnya kepada umum.PAS yang tak pernah mengkhianati rakan-rakan pakatannya sebelum ini meyakinkan semua pihak untuk bekerjasama dengan kita.PAS juga tidak ada rekod melompat parti dalam era kepimpinan ulama.Semua ini adalah berpunca dari PAS mempunyai prinsip Islam yang jelas.Gambaran ini jelas member isyarat dakawah kepada semua pihak.
PENDEKATAN MELALUI TINDAKAN POLITIK.
Sejarah pilihanraya yang diceburi oleh PAS sebanyak 12 penggal ternyata belum lagi mencapai kemenangan diperingkat persekutuan.Kemenangan yang dicapai di beberapa negeri belum lagi dapat dilaksanakan Islam secara menyeluruh.Lantaran itulah kemenangan PAS secara menyeluruh amat-amat mustahak dalam isu perlaksanaan Islam yang menyeluruh ini. Pengalaman PAS menghadapi pilihanraya secara persedirian sudah beberapa kali dan gabongan pas dengan parti-parti politik lain sebelum ini sudah masak untuk PAS membuat ketetapan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat untuk pilihanraya kali ke 13 akan dating. PAS melalui Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama telah berbincang masak dalam perkara pakatan yang unik ini. Melalui cara pertandingan dua parti utama ini menampakkan kepada PAS lebih cerah untuk meraih kemenangan dan lebih mudah untuk melaksanakan Islam di Malaysia secara syumul. Parti-parti lawan yang bergabong dibawah Barisan Nasional juga melihat munculnya Pakatan Rakyat ini sebagai cabaran hebat yang menggerunkan mereka.
KERAJAAN ISLAM ADALAH SYARAT UTAMA UNTUK MENEGAKKAN ISLAM SEBAGAI ADDIN YANG SYAMIL.
Kesyumulan Islam yang mencakupi setiap urusan kehidupan manusia di dunia dan juga dihari akhirat maka Allah SWT telah menetapkan bahawa Syariatnya didunia ini menjadi kayu pengukur kejayaan manusia dihari akhirat.Hubungan manusia dengan Allah dan juga sesama manusia didunia ini mestilah digerakkan melalui penguatkuasaan sebuah kerajaan Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dizaman Madinah Al Munawwarah.

PERJUANGAN MEWUJUDKAN NEGARA ISLAM MESTI MELALUI JAMAAH ISLAM YANG SATU.
Tidak ada satu teori yang mampu melahirkan sebuah negara Islam kecuali melalui sebuah perjuangan yang panjang yang dipelopori oleh sebuah jamaah Islam. Rasulullah SAW, walaupun seorang rasul, baginda tetap mengumpulkan kekuatan bersama dengan para sahabat lain untuk menguruskan perjuangan Islam yang penuh dengan ujian dan dugaan.Ujian dalam perjuangan tidak mungkin dapat diatasi secara individu dan tidak pernah berlaku dalam sejarah perjuangan Islam. Malah sekiranya seorang pejuang Islam dibunuh maka siapakah yang akan menggantikan perjuangannya?.
Kesatuan dalam harakah Islamiah juga terlalu mustahak untuk diambil kira oleh semua pejuang-pejuang Islam kerana dengan kesatuan ini umat Islam akan menjadi kuat, manakala perpecahan atau ta’ddud jamaah akan melemahkan perjuangan Islam itu sendiri. Sejarah telah banyak membuktikan perkara ini, malah Allah SWT banyak memaparkan firmannya dalam Al Quraan al Karim. Firmannya dalam surah al saf Ayat 4:
Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
Sabda Rasulullah SAW:
كانت بنو اسرائيل تسوسهم الأنبياء, كلما هلك نبي خلفه نبي,  فاني لا نبي بعدي فسيكون خلفاء فيكثرون, فقالو فما تأمرونا يا رسول الله, قال فوا ببيعة الأول فالأول.
Maksudnya:
Adalah bani Israil itu disusuli oleh nabi-nabi yang ramai, setiap nabi yang dibunuh akan diganti nabi lain oleh Allah SWT. sesungguhnya aku ( Rasulullah) adalah nabi paling akhir. Tidak ada lagi nabi selepas ku, akan tetapi akan ada pemimpin (kumpulan) yang banyak. Bertanya sahabat, sekiranya kami berkesempatan dizaman itu apa tindakan yang harus kami lakukan?. Jawab Rasulullah, hendaklah kamu berbaiah (meberi wala’) kepada kumpulan (jamaah) yang pertama itu lebih utama.

PENUTUP.
Ternyata Islam adalah agama penyelamat untuk manusia sejagat sebagaimana ianya pernah berlaku disepanjag pemerintahan Islam sejak zaman berzaman.Islam telah menyelamat manusia dizaman jahiliyyah dar sistem perhambaan kepada keadilan, darpada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam, daripada kemunduran kepada permodenan dan daripada perhambaan manusia kepada kehambaan kepada Allah SWT.Kepincangan yang berlaku pada hari ini sewajarnya menyedarkan manusia bahawa sistem yang diamalkan di Malaysia adalah sistem rekaan manusia yang gagal dan tak mungkin berjaya memerlukan kepada penggantian sistem yang terjamin iaitu Islam yang syumul.

BIBLIOGRAFI:
1)    AL QURAAN AL KARIM.
2)    TERJEMAHAN AL QURAAN PIMPINAN AL RAHMAN.
3)    SAHIH AL BUKHARI.
4)    SAHIH MUSLIM
5)    DR YUSUF AL QARADAWI, ADDIN WASIASAH.
6)    DAIRAH AL MAARIF AL ISLAM AL MUTARAJJIMAH.
7)    MUHAMMAD ABDULLAH DRAZ, ADDIN.
8)    ABU AL BALQA’, AL KULIYYAT.
9)    ABDUL KARIM ZAIDAN, USUL AL DAKWAH.
DISEDIAKAN OLEH:
Saudara kamu dalam Islam,
NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH,
1/12/2010.

No comments:

Post a Comment