Ustaz Idris Haji
Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS
Pusat/Pengarah Jabatan Tarbiah Pas Pusat
20/9/12
Muqaddimah
Pas sebagai sebuah gerakan Islam dan parti
politik. Dasarnya Islam, rujukannya Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Penyertaan
kita di dalam Pas bukan kerana hanya mengisi masa lepang tetapi ia adalah wajib
untuk penerusan kepada perjuangan Islam di negara ini. Apabila kita mengisi
borang sebagai ahli Pas maka di sana bererti ia sudah berbaiah untuk mematuhi
peraturan dan tatacara sebagai seorang ahli Pas. Ertinya segala tindakan kita
sudah berada di dalam kawalan jamaah, ini adalah lumrah mana-mana organisasi.
Contonya kita bekerja di kilang Samsung berbeza kerja dengan kilang
Proton. Peraturan setempat mesti diikuti, jika kita tidak boleh ikut, kita kena
buka kilang sendiri.
Dari Segi Aqidah
1. Saya
mestilah beriman bahawa Allah yang maha esa menciptakan manusia bukan sia-sia
sahaja. Dan mesti beriman bahawa manusia akan di kembali dan disoal oleh Allah
SWT setiap amalan yang dilakukan di atas dunia. Justeru itu saya
tidak boleh leka dengan dunia sehingga lupa tanggungjawab untuk menegakkan
agama Allah SWT kerana ini merupakan perkara yang berkaitan dengan akidah.
Firman Allah SWT
“Maka apakah kamu mengira, bahawa
sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu
tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang
Sebenarnya tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang
mulia” (Al-Mukminun 23:115-116)
2. Mesti
beriman bahawasanya Allah SWT telah mengutuskan Rasul-Rasul dan diturunkan
untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah
dan memahami matlamat kejadian mereka. Kita mestilah mempertahankan Sunnah dan
ajaran baginda daripada dinodai. Di antara Sunnah yang wajib saya pertahankan
ialah menegakkan syariat Allah dan hukumnya seperti yang baginda
tegakkan di Madinah.
Firman Allah SWT
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul
pada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah
Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh
Allah dan ada pula diantaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya.
Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan
orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul)” (Surah al-Nahl 16:36)
3. Wajib beriman
bahawa ganjaran bagi orang yang beriman yang taat kepada Allah ialah syurga.
Manakala balasan ke atas orang yang tidak beriman dan durhaka ialah api
neraka. Janji syurga inilah yang menjadi perangsang dan semangat untuk kita
membanyakkan amal dan berusaha untuk mempertahan agama Allah daripada dinoda.
Kita mesti berusaha untuk menjauhkan diri dari kelompok yang membawa kebinasaan
dan dihumban ke dalam api neraka jahanam.
Firman Allah SWT
“…Satu golongan memasuki syurga
manakala satu golongan lagi memasuki neraka sa’ir” (Surah al-Syura 42:7)
4. Wajib
beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah SWT.
Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelakanginya. Apa yang boleh
dilakukan oleh ulama’ ialah berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas
syarak yang dibenarkan. Kita mesti beriman bahawa haram menukarkan hukum yang
telah dinaskan secara qat’i oleh Al-Quran dengan hukum manusia.
Menukarkan kesalahan zina dengan denda wang berlawanan dengan Allah
perintahkan dengan disebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan direjam
sampai mati bagi yang sudah berkahwin.
Firman Allah SWT
“Tentang sesuatu apapun kamu
berselisih, maka keputusannya (terserah)kepada Allah (yang mempunyai
sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku, KepadaNyalah aku bertawakkal dan
kepadaNya aku kembali” (Surah Al-Syura 42:10)
5. Mestilah takut
hanyalah kepada Allah dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut
menyebabkan kita menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya. Kita
mesti yakin bahawa semua tindakan, diperhati oleh Allah SWT samaada
sewaktu sunyi atau terang.
Seperti mana yang Allah menjelaskan
“Sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya
serta takut dan bertaqwa kepadaNya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat
kemenangan” (Surah Al-Nur 24:52)
6. Wajib
mencintai Allah dengan sebenar cinta. Cinta yang menjadikan hati kita sentiasa
merasa rindu dan terikat dengannya. Kecintaan ini mendorong menambahkan
amalan-amalan kebaikan, bekorban dan berjihad di jalannya sepanjang masa.
Sekalipun hidup dalam kemewahan dan kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya
tidak sepatut menghalang kita daripada mencintai Allah. Apabila kecintaan
kepada Allah mengatasi semuanya maka tidak ada apa yang boleh diganti dengan
dunia dan pangkat. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:
“Katakanlah; jika bapa-bapa, anak-anak,
saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya
dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan
keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq” (Surah
al-Taubah 9:24)
7. Sentiasa
beristighfar memohon keampunan kepada Allah SWT. Istighfar ini akan
membersihkan hati dan melimpahkan ketenangan hati dan jiwa. Kita tidak akan
memohon ampun selain daripada Allah SWT.
“Dan barang siapa yang mengerjakan
kejahatan atau menzalimi diri sendiri kemudian beristighfar memohon keampunan
nescaya ia dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah al-Nisa’
4:110)
Dari Sudut Ibadah
1. Kita mestilah
memastikan ibadah kita menepati dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah
SAW. Wajib menjadikan ibadah sebagai penghubung dengan Allah SWT kerana Allah
sebagai tempat untuk mengadu hal kepadanya dan merasai kehadiran Allah SWT
dengan melupakan kesibukan dunia.
Sabda Rasulullah SAW
“Allah SWT tidak memandang kepada sembahyang
seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya”
2. Mesti mengambil
berat terhadap ibadah qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri
melakukannya sehingga menjadi satu kebiasaan. Kerana qiamullail
adalah sumber kekuatan yang memantapkan Iman. Sebagai anggota Pas yang
memperjuangkan Islam sudah tentu akan menerima berbagai ujian maka kekuatan
rohani amat penting untuk merempuh halangan ini. Kekuatan ini yang tidak
dipunyai oleh musuh walaupun mereka memiliki kekekuatan fizikal dan kewangan
yang lain.
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya bangun di waktu malam
adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan (al-Quran) pada waktu itu lebih
berkesan” Al-Muzammil 73:6)
3. Mesti
meluangkan waktu tertentu untuk membaca al-Quran dengan cara merenungi maksud
dan pengajarannya. Banyak kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran dapat
diambil pengajaran dan menjadi rangsangan kepada kita untuk berjuang dengan
lebih gigih. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabbur, merenunginya dengan
khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah SAW
Bermaksud,
“Sesungguhnya al-Quran diturunkan dalam
keadaan duka cita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan
kedukacitaan tersebut”
4. Menjadikan doa
sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah
otak segala ibadah. Kerana itu saya akan memilih doa-doa yang ma’thur dari
Rasulullah SAW. Doa adalah senjata bagi orang mukmin ketika berhadapan dengan
musuh.
Firman Allah SWT
“Mintalah doa kepadaku, nescaya aku akan
memperkenankan permintaanmu” (Ghafir, 40: 60)
Sudut Akhlak
1. Bersifat
warak dengan menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara syubhat (perkara
yang samar) diantara halal dan haram. Kita mesti menjaga makanan, minuman yang
samar dari segi halal dan haram supaya terpelihara dari jatuh kepada
perkara yang haram.
Sabda Rasulullah SAW
“Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang)
dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran,
yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangn siapa yang
memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara dari
agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh pada perkara kesamaran
jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang
mengembala di sekeliling kawasan larangan , hampir sangat (ternakannya) makan
di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.
Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya.
Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah
badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah
yang dikatakan hati” (Bukhari Muslim)
2.Mesti memelihara penglihatan dari melihat
pada perkara yang haram, kerana dengan pandangan ini akan merangsang syahwat
yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat.
Firman Allah SWT
“Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki
supaya memelihara pandangan mereka” (Surah al-Nur 24:30)
3.Mesti memelihara lidah dari menutur
kata-kata yang tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor,
percakapan kosong, mengumpat dan mengadu domba. Perbuatan ynag tidak
menggambarkan akhlak muslim yang tidak layak ada pada anggota jamaah.
Sabda Rasulullah SAW
“Bukanlah ia seorang mukmin (jika) ia suka
menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan bercakap keji”
4.Mesti bersifat malu dalam setiap keadaan.
Namun begitu sifat tersebut tidak seharusnya
menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat malu ia tidak masuk
campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak
meninggikan suara ketika becakap, dan perkara yang dianggap menjatuhkan maruah
peribadi seorang.
Sabda
Rasulullah SAW
“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau
enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illah (tidak ada
tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri
dari jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman” (Baihaqi)
5.Mesti tekun dan sabar, kerana kerja-kerja
Islam akan berhadapan dengan macam-macam perkara yang tidak menyenangkan, malah
jalan dakwah penuh dengan liku-liku kepayahan penyiksaan, penindasan, tuduhan,
ejekan, persendaan yang memalukan. Kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil,
orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang
mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang
yang mudah tersingung.
Firman Allah SWT
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan
berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu” (Surah al-Nur
24:22)
6.Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan
diri khususnya terhadap saudara seIslam dengan cara tidak membezakan (dalam
memberi layanan) samaada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah SAW sendiri
memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari sifat takbur.
Baginda bersabda
“Tidak akan memasuki syurga yang di dalam
hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur” (Riwayat Muslim)
7.Mesti menjauhi sangka buruk,
mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Sebaliknya lebih
banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada dihadapkan kepada orang
lain. Sangka buruk, sifat yang tidak baik dan boleh mendatangkan keburukan
kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh oleh ahli Pas. Jangan lah ia
memburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan ruang untuk
berpecah akan bertambah luas.
Firma Allah SWT
“Hai orang-orang yang beriman jauhilah
kebanyakan dari perasangka, sesungguhnya sebahagian dari perasangka itu
adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah
sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara
kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima
Taubat lagi Penyayang.” (al-Hujurat 49:12)
8.Mestilah bersifat benar dalam semua hal dan
keadaan. Mesti benar pada diri dan tidak takut pada celaan orang lain. Sifat
dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk
syaitan dan iblis, membawa kehinaan pada peribadi insan. Kita mesti benar dalam
kata-kata, benar ketika menyampaikan prinsip perjuangan parti dan benar ketika
meyatakan sesuatu kepada orang lain. Tidak layak seorang anggota Pas yang
berdusta ketika berbual dengan orang lain dan bertindak secara dusta.
Sabda Rasulullah SAW
“Sesungguhnya sifat benar membawa
kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga.
Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai
seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman
(kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang lelaki yang sentiasa
berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta” (Mutafaqun
‘Alaih).
9.Mesti menunjukkan contoh teladan yang
baik agar sama dengan Islam yang menjadi dasar Pas. Akhlak kita mesti selari
dengan al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia akan memberi kesan kepada perjuangan
Pas. Kita percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang
lain untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Maka kita pastikan
diri, keluarga dengan menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja
kita berada,kerana kita akan menjadi duta kepada Pas untuk melebarkan pengaruh
Pas kepada masyarakat.
Seperti kata hukama’
“Lisanul
Hal (tindakan) lebih baik dari lisanul Maqal (berkata-kata)”
Sudut Rumahtangga
1. Mesti
memastikan perkahwinan kita adalah kerana Allah untuk membina rumahtangga
Muslim bagi melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu
menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW
“Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong
mereka, orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba mukatib (yang berjanji
untuk menebus diri untuk menunaikan bayarannya dan orang yang berkahwin kerana
ingin memelihara dirinya” (Tirmizi).
2.Kita mesti memilih wanita yang baik
akhlaknya dan pegangan agamanya sekalipun tidak punya harta kekayaan dan
kecantikan kerana
sabda Rasulullah SAW
“Janganlah kamu mengahwini wanita
kerana kecantikannya, kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya,
janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaanya, kerana mungkin kekayaan itu
merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya.
Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama”
(Ibn. Majah).
3.Perhubungan suami isteri tidaklah terbatas
kepada hubungan untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja, malah hubungan antara
kita mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran,
kejiwaan dan kasih sayang. Kita sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari
ibadah bersama-sama turut mengatur urusan rumah tangga dan meluangkan waktu
untuk bergurau senda. Kita mestilah sama-sama memikirkan bagaimana untuk
memajukan perjuangan yang di bawa oleh Parti Pas. Sekiranya persefahaman tidak
wujud antara suami dan isteri ia akan menjejaskan gerak kerja jamaah.
4.Suami isteri mesti mendidik anak-anak
serasi dengan acuan Islam. Orang ramai sentiasa memerhati rumahtangga ahli Pas
supaya selari dengan prinsip perjuangan yang di bawa. Kita bimbang orang tidak
berminat dengan Pas apabila melihat rumahtangga ahli Pas yang tidak tepat
dengan kehendak Islam. Pastikan anak isteri menutup aurat mengikut syariat.
Kita tidak mahu anak isteri menjadi fitnah pada perjuangan Pas.
Biar orang berminat dengan Pas apabila mereka melihat rumahtangga Islam
yang dibina dalam rumah ahli Pas.
Firman Allah SWT
“Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu
dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu,
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan tidak mendurhakai Allah terhadap
apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan”
(Al-Tahrim 66:6)
Kewajipan Khusus Sebagai Ahli PAS
1. Mematuhi
arahan pimpinan parti selagi tidak bertentangan dengan Islam.
2. Mesti mengikut
semua manhaj perjuangan Pas tanpa berbelah bagi.
3. Menghadiri program
ilmu untuk menambahkan pengetahuan Islam.
4. Menghadiri program
tarbiyyah supaya dapat membina fikrah dan keperibadian Muslim sejati.
5. Menjaga akhlak
sebagai seorang anggota parti.
6. Mesti pastikan
keluarga kita menutup aurat seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW kerana ini
adalah penilaian pertama orang kepada ahli Pas.
7. Menghadiri program
yang diarahkan oleh pimpinan parti di semua peringkat.
8. Membayar yuran
tahunan ahli.
9. Menghadiri
mesyuarat agung parti setiap tahun
10. Memastikan isteri/suami
menjadi ahli Pas supaya sama-sama memahami konsep perjuangan Islam
11. Memastikan anak-anak
yang sudah aqil baligh menyertai Pas supaya tidak ada unsur-unsur perosak dalam
rumah kita. Dengan ini anak kita akan merasakan Pas adalah jamaahnya maka sukar
pihak musuh hendak menariknya.
12. Menyeru kaum keluarga,
sahabat handai dan orang awam untuk menyertai PAS.
13. Menjawab segala fitnah yang
dilemparkan oleh musuh terhadap PAS
14. Menerangkan dasar Pas dan
perbezaan dasar Umno kepada orang ramai.
15. Boleh menegur pimpinan
dan memberi pandangan dengan cara yang beradab.
Perkara Yang Perlu Dijauhi Sebagai Ahli
PAS
1. Melakukan perkara
yang haram di sisi agama
2. Melakukan perkara
yang bersalahan dengan dasar parti.
3. Tidak mahu
mengikut arahan pimpinan
4. Melahirkan
perasaan marah di tempat awam seperti di kedai kopi kerana di sana banyak ejen
musuh yang sedang memerhati dan mendengar.
5. Tidak mahu
membayar yuran tahunan
6. Tidak mahu datang
mesyuarat agung tahunan.
7. Tidak melaksanakan
amanah yang diberikan
8. Malas untuk
menghadiri program dan kursus anjuran parti.
Penutup
Sedarlah bahawa penyertaan kita sebagai
anggota Pas bukan satu perkara yang sia-sia. Penglibatan dalam Pas bukan
kerana marah kepada mana-mana individu musuh, tetapi sebagai
tanggungjawab untuk melanjutkan kerja-kerja yang mulia setelah para Rasul tidak
ada lagi sedangkan kemungkaran dan kemaksiatan masih berluasa. Siapa lagi
yang akan mempertahankan agama yang suci ini jika kita sebagai hamba
Allah tidak sanggup untuk memperjuangkan agama Allah. Perlu sedar bahawa hidup
dan mati kita hanya diserah kepada Allah SWT dan yakin bahawa masa depan dunia
berada di tangan Islam. InsyaALlah.
No comments:
Post a Comment