My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Saturday 31 January 2015

30 Januari 2015 - ERATKAN UKHWAH KUKUHKAN JAMAAH

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat/ Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat.

MUQADDIMAH
            Apabila Baginda Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, tiga perkara asas yang baginda lakukan iaitu mendirikan masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, menegakkan syariat Allah. Ukhwah diberi perhatian yang lebih kerana ia adalah tonggak kepada pembinaan sebuah negara. Negara goyang jika ukhwah longgar, begitu juga di dalam jamaah. Oleh sebab itu jika perkara ini diabaikan ia mendatangkan musibah yang tidak baik kepada perjalanan jamaah.

PENTINGNYA UKHWAH DI DALAM JAMAAH.

1-        Boleh merapatkan saf kepimpinan di dalam jamaah. Bila ukhwah renggang banyak kerja jamaah akan terencat. Sebab itu ikatan ukhwah mesti dipelihara demi kelangsungan perjuangan. Perjalanan jamaah bergerak secara sukarela, bukan dengan paksa. Bagaimana jamaah hendak bergerak jika perasaan mahabbah tidak ada di kalangan anggota.

2-        Hilang perasaan buruk sangka sesama sahabat, kerana syaitan gagal menghasut. Sebarang keraguan terus mendapat penjelasan dan penerangan. Kerana punca hubungan renggang berpunca daripada sangka buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain" Al-Hujurat 49:12.

3-        Mengelak daripada musuh jamaah dapat bertapak di dalam parti. Mereka gagal untuk berlakon dan menjadi virus pemusnah di dalam jamaah, kerana segala tingkah laku mereka sentiasa diperhati di kalangan ahli. Semua ahli akan mengawal daripada semua sudut menjadi SB jamaah untuk melaporkan kalau ada pengkhianat dalam parti.

SEBAB UKHWAH MUSNAH

1-        Tidak ada program yang disusun oleh jamaah.  Akhirnya ahli membawa cara fikir dan tindakan menurut kehendak masing-masing. Maka jadilah kapal yang banyak nakhoda.

2-        Mendengar pandangan orang lain, tanpa mengambil kira pandangan  sesama jamaah. Seorang itu lebih percaya orang luar daripada ahli sendiri. Maka akan berlakulah jamaah dalam jamaah.

3-        Zaman media baru, pandangan jamaah tidak dipedulikan. Kadang-kadang ahli lebih percaya kepada persepsi yang berjaya dibentuk. Maklumat yang diperolehi kadang-kadang daripada ejen musuh yang berlakon ahli PAS. Mereka inilah yang membuat adu domba sehingga kita berselerak dan ukhwah hancur. Inilah dilema gerakan Islam seluruh dunia ketika menghadapi zaman langit terbuka. Ia juga menimpa kepada Gerakan Islam di dunia hari ini. Rujukan mereka ialah Face book, portal dan blog. Akhirnya musuh bertepuk tangan.

4-        Ahli tidak sedia untuk mengikuti program khusus seperti usrah, tamrin, liqa al-fikri. Mereka lebih selesa ikut program umum daripada program khusus.

5-        Apabila jarang bertemu dan bersua mata, maka banyak maklumat diambil daripada media baru, akhirnya membentuk persepsi negatif kepada jamaah dan pimpinan.

6-        Pimpinan tidak turun ke peringkat akar umbi untuk memberi pengisian dalaman dan dialog terbuka bersama ahli.

7-        Masalah ahli yang tidak suka dirinya ditarbiah. Puncanya kerana merasa dirinya sudah hebat. Akhirnya timbul sikap ego di dalam jamaah. Sinilah bibit ukhwah rosak di dalam jamaah.


CARA HENDAK ATASI

1-        Bacalah kisah-kisah sahabat yang menunjukkan ukhwah yang mantap melalui madrasah Rasulullah SAW. Terutama orang Ansar dan Muhajirin, sehingga Allah merakamkan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan orang-orang (Ansar) dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Muhajirin) , atas dirinya sendiri meski pun mereka juga memerlukan" ( Al-Hashr 59:9)

2-        Mesti tanamkan di dalam diri ahli PAS di semua peringkat bahawa perpecahan di dalam jamaah akan menguntungkan pihak musuh.  Firman Allah SWT
"Janganlah kamu bertelingkah, nanti akan hilang kehaibatan kamu"

3-        Kita mesti mengelak untuk mewujudkan faktor-faktor yang boleh merenggangkan ukhwah di kalangan ahli. Contohnya di dalam mesyuarat kalau  tidak bersetuju biarlah dengan bahasa yang beradab. Jangan menghina pandangan ahli mesyuarat. Tidak bersetuju tidak mengapa tetapi jangan menghina. Biarlah mesyuarat dengan suasana penuh ukhwah bukan 'adawah (permusuhan). Jadikan mesyuarat tempat untuk subur kasih sayang. Biarlah ahlinya seronok untuk datang mesyuarat, bukan bosan apabila hadir mesyuarat.

4-        Segera mendapat maklumat daripada batang tubuh sahabat jika beliau adalah orang yang dituduh. Supaya penjelasan ini akan menamatkan  tuduhan dan fitnah kepada setiap ahli.

5-        Program kerohanian mesti dirancakkan di dalam organ parti. Kerana manhaj tarbiah PAS merangkumi pembinaan akal, jasmani dan rohani. Kadang-kadang terlepas pandang, sehingga sudut tarbiah ruhiah dikesampingkan akhirnya bibit-bibit perpecahan mudah menyerap masuk di dalam jamaah.

6-        Usrah yang menjadi tunggak kepada gerakan PAS perlu diaktifkan daripada peringkat Pusat hingga ke cawangan. Usrah merupakan siri pertemuan di kalangan ahli  dengan skala kecil, tetapi mempunyai impak yang besar. Seboleh mungkin pertemuan mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Usrah akan  mengikat talian ukhwah yang tinggi di kalangan ahli yang hadir. Komunikasi dua hala akan berlaku dengan mudah. Tidak bosan, kerana ia boleh berpeluang tukar pandangan, bertanya, berdialog. Segala kekusutan dalam jamaah akan dapat diatasi dengan mudah. Sebagai mana kita maklum, permasalahan di dalam jamaah berlaku akibat daripada kekusutan kecil tidak diselesaikan di peringkat awal sehingga merebak besar. Usrah adalah satu daripada mekanisme yang boleh mengurangkan ketegangan dalam jamaah.

7-        Usah gunakan media untuk mengkritik sesama ahli, walaupun kita rasakan pandangan kita betul. Orang awam melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Mereka tidak melihat permusuhan itu bersifat peribadi antara si Mamat dengan si Dolah, tetapi mereka menempelak kenapa sesama ahli pun bergaduh. Perlu diingat jika kita menggunakan media, maka rakan kita satu jamaah juga akan menggunakan media. Hasilnya orang awam akan menghukum kita.


TERUS BERISTIQAMAH

Di susun dan disampaikan oleh,

YB Ustaz Idris Bin Haji Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat

Dalam Liqa' Al-Fikri PAS Kedah
kali ke-4 sesi 2014/2015
30 Januari 2015 / 9 Rabiul Akhir 1436

No comments:

Post a Comment