My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Wednesday, 25 January 2012

Januari 2012 PERANAN TARBIAH KEPADA PETUGAS PILIHANRAYA


PERANAN TARBIAH KEPADA PETUGAS PILIHANRAYA

Muqaddimah
Pilihanraya adalah satu medan amal untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan Islam di negara ini. PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang sudah lama bertapak di negara ini, telah mengambil pendekatan pilihanraya sebagai satu uslub. Penyertaan dalam pilihanraya adalah wajib bagi memastikan Islam berdaulat dan berkuasa. Islam tidak boleh hanya berlegar di dalam masjid dan berdakwah semata-mata, tanpa ada kuasa untuk menghalang sesiapa yang zalim di atas muka bumi ini. Islam yang hendak diperjuangkan oleh PAS tidak ke mana kalau hanya bersandar di tiang seri masjid, tetapi ia mesti bersandarkan kepada tiang negeri. Maka kerja amal yang kita lakukan ini adalah satu jihad untuk memastikan kedaulatan ini tercapai.
Maka pilihanraya adalah medan untuk kita beramal dan berdakwah untuk mengajak manusia kembali kepada jalan Allah SWT.

Walaubagaimanapun peranan tarbiah kepada petugas pilihanraya PAS adalah menjadi keistimewaan kepada petugas PAS yang tidak boleh memisahkan dengan tarbiah walaupun dalam apa jua suasana. Kerana tarbiah memberi sumber kekuatan roh kepada petugas walaupun kita mempunyai kekurangan yang lain.
Petugas pilihanraya yang berjaya ialah mereka yang mempunyai kekuatan hubungan dengan Allah SWT. Bukan senang hendak menarik sokongan masyarakat kepada PAS, kerana kita tidak mempunyai tawaran kebendaan.
Kerja ini memerlukan kemampuan dan semangat yang waja, dan memerlukan beberapa pra syarat untuk berjaya. Di sinilah letaknya peranan tarbiah kepada petugas pilihanraya

1.    Beriman Dengan Fikrah Perjuangan Islam
Seorang petugas yang baik beriman dengan fikrah perjuangan yang dibawa oleh PAS seperti yang terkandung yang di dalam perlembagaan PAS Fasa 3 “ Dasar PAS ialah ISLAM”. Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah islam yang lengkap, merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu memperjuangkan Din  wa daulah            ( Agama dan Negara)

Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah satu ajaran  yang menyeluruh seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Ia bukan satu tempelan dalam perkara tertentu dan meninggalkan pada perkara tertentu. Jika Rasulullah SAW dan para sahabat berjihad untuk mendaulatkan agama Allah atas muka bumi ini maka kita sebagai orang yang kasih kepada baginda mesti melaksanakan arahan ini seperti yang baginda lakukan selama ini. Nabi kita Muhammad SAW tidak perlu berhijrah jika Islam yang hendak ditegakkan hanya kepada Islam yang sempit seperti yang diajar dan diamalkan oleh negara ini. Maka PAS berusaha untuk  menegakkan Islam berdasarkan realiti di negara ini bagi memastikan matlamat ini tertunai. Maka kerja ynag dilakukan oleh PAS, adalah merupakan satu jihad.
Sekiranya Islam tidak didaulatkan maka selagi itulah Islam dihina dan dipermainkan oleh musuh yang akhirnya fitnah dan kekufuran berkuasa di bumi ini. Penghinaan terhadap apa yang Allah perintah secara qat’ie tidak boleh dilaksanakan kerana Islam berada dibawah kuasa orang lain. Maka usaha untuk menegakkan kuasa inilah satu kerja jihad.

Di dalam fasa 5. Tujuan PAS ialah:
1)    Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
2)    Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.



Di dalam fasal ini jelas bahawa PAS berusaha untuk membentuk masyarakat Islam sejak dari awal penubuhan lagi.
Meletakkan dalam dirinya senang sahaja berjuang. Memikirkan untuk menarik sokongan orang kepada perjuanagn Islam seperti hendak kempen barang jualan langsung, adalah tanggapan yang silap. Sebaliknya apa yang berlaku sukar dan payah.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Alif Lam Miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “ kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguiji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar benar beriman dan sesungguhnya dia mnegetahui orang-orang yang berdusta”
Al – Ankabut : 1-3

2.    Memahami Agama Islam Dengan Baik

Petugas pilihanraya mesti memahami agama dengan baik, akan dapat memberi petunjuk  kepada orang lain. Justeru itu, ia perlu menguasai tentang agama Allah kerana ianya tidak akan dapat memberikan petunjuk ke jalan Allah, jika beliau sendiri gagal untuk memahami Islam yang sebenar. Sekurang-kurangnya perkara asas ia mesti mengetahui kerana ia hendak meyakinkan orang kepada perjuangan yang kita bawa adalah perjuangan suci yang bukan menjanjikan benda, sebaliknya menjanjikan perkara sam’iyat . Sekiranya ia jahil tentang agama bagaimana ia hendak menguasai fikrah masyarakat. Seperti kata pepatah Arab “ seseorang yang fakir tidak boleh memberikan sesuatu”

Sedangkan golongan sekular di negara ini memperalatkan agama dan memutarbelitkan agama demi kelangsungan perjuangan batil mereka. Mereka mencari orang-orang agama yang boleh dijadikan kuda tunggangan supaya menghalalkan segala bentuk kezaliman dan perkara yang bertentangan dengan agama yang suci. Maka petugas pilihanraya mesti menguasai ilmu ini sebagai  benteng pertahanan untuk menangkis diayah ini. Memperalatkan agama bukan perkara baru dalam UMNO dan BN, semua ini memerlukan keyakinan, tawakal kepada Allah disamping ilmu pengetahuan. Tanpa senjata ini petugas PAS akan kecewa dan meraba-raba dalam melakukan tugas yang berat ini. Program untuk memahamkan masyarakat ini boleh dijalankan melalui dakwah “amah (umum) seperti kuliah, ceramah, muzakarah, risalah. Mesejnya jelas iaitu untuk memahamkan mereka kepada mereka tentang Islam yang syumul bukan sahaja Islam hadhari yang tidak bertolak daripada asas akhidah, sekarang “Islam Wasatiah.” Maka diharapkan kepada semua petugas untuk menguasai ilmu secara berterusan dan tidak boleh berpada dengan apa yang ada sahaja.

Di zaman serba bermaklumat dan dunia tanpa sempadan maka penguasaan ilmu dan pemahaman agama yang mantap adalah asas. Zaman mu’tazilah moden yang pakai akal tanpa wahyu, rasional tanpa Al-quran, logik tanpa al-sunnah. Maka petugas yang tegar dengan pegangan agama  sahaja yang mampu untuk melawan kesesatan ini.
Oleh itu, semua petugas di jalan Allah daripada semua peringkat samada yang bergelar pemimpin sampai pengikut biasa hendaklah bersedia mendalami ilmu agama untuk meyakinkan mereka  apa yang kita bawa. Kita hendaklah berusaha daripada semasa ke semasa tanpa jemu. Kerana ilmu hari ini berkembang seperti kilat sekiranya kita tidak bersedia untuk “up to date” maklumat, maka kita akan tertinggal ke belakang.
Petugas pilihanraya mesti bersedia untuk memenuhi majlis ilmu yang diadakan di mana sahaja, supaya kita dapat menjadi ahli PAS yang mempunyai nilai tambah. Guru yang kita hendak menadah kitab biarlah mereka yang mursyid yakni guru yang boleh memberi petunjuk kepada perjuangan, bukan hanya berteori di dalam surau dan masjid sahaja. Kita tidak mahu mereka hanya berteori dan tidak turun bergelomang dengan perjuangan yakni bersama meneroka medan dan kerja lapangan di dalam jemaah. Minimum standard biarlah mereka membimbing kuliah dan menjadi naqib di dalam program PAS, kalu pun mereka tidak mahu berada di atas pentas PAS untuk berceramaah. Ataupun sekurang-kurangnya mereka ini memimpin cawangan dan terlibat dalam organisasi parti. Guru seperti inilah baru kita dapat melihat bagaimana ruh jihad akan menular kepada muridnya.
  1. Bersifat Ikhlas
Kerja pilihanraya tidak boleh bergerak sekiranya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah PAS sehingga mereka berjuang bukan kerana  individu tetapi kerana Islam dan Jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa PAS telah berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh PAS. Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang telah mengkhianati perjuangan namun ahli PAS tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian daripada tarbiah untuk melihat sejauh manakah mereka yang telah tahan diuji semasa dalam perjuangan. Pemimpin PAS yang keluar daripada PAS hidup menderita apabila mereka melihat sejak ketiadaan mereka PAS semakin berkembang bukan semakin lemah. Ini yang menambahkan barah perasaan dan mental di dalam diri mereka. Fanatiknya ahli-ahli PAS kerana perjuangan dan dasar PAS. Prinsip perjuangan yang tidak pernah luntur daripada Islam. Selain daripada itu, keikhlasan yang ada dikalangan ahli-ahli PAS jugalah merupakan sebab Allah mengekalkan PAS dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seperti mana wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,

“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik, pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas dengan apa yang kita perjuangkan. Kita suci tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”
                            Mewarisi Kepimpinan Anbiya’ 1991 : 7
  1. Muraqabah Dengan Allah SWT
Kerja yang dilakukan penuh dengan cabaran yang berliku maka petugas pilihanraya mesti melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalam sunat, beruzlah dari kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberikan kekuatan dalam menjalankan dakwah. Inilah senjata yang paling utuh perlu diterap dalam jiwa petugas terutama menghadapi suasana yang getir pada waktu sekarang ini. Kita mesti meletakkan perjuangan menghadapi kezaliman sekarang tidak boleh lagi berada di zon selesa. Semua para petugas perlu memperbanyakkan amalan fardhiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca Al-Quran, berzikir, solat sunat kesemuanya ini akan membuahkan keikhlasan dalam diri para petugas.
  1.  Qudwah Hasanah
Suri contoh teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang kepada perjuangan. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.
Kisah seorang Yahudi bernama Zaid bin Saanah yang memberi hutang kepada Rasulullah SAW. Sebelum 2 atau 3 hari tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang ada waktu itu hendak memancung lelaki tersebut. Baginda melarang sebaliknya menyuruh Saidina umar menjelaskan hutang dan ditambah 20 gantang tamar. Maka yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? Maka Saidina Umar memberitahu sebagai ganti kjepda perbuatanku yang telah menggerunkan engkau . Akhirnya yahudi tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekahkan kepada umat Muhammad SAW.
Kita pernah mendengar bagaimana seseorang masuk PAS kerana melihat Al—Marhum Ustaz Fadhil Nor sebagai Presiden PAS berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang menjemput beliau memotong giliran.
Bagaimana orang hendak ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik, dengan ini mendatangkan rugi kepada jamaah. Bahasa badan (lisanul hal) lebih berkesan daripada bahasa percakapan
  1. Bekerja Secara Berjamaah
Tarbiah mengajar kita supaya bekerja secara berjamaah. Tugas yang berat ini tidak dapat dicapai jika bekerja secara personal (fardi) ia memerlukan kepada tugas yang dipikul bersama dengan anggota lain. Kerana musuh kita juga bekerja secara berjamaah untuk mematikan cahaya Islam. Apabila kita bekerja dengan cara organisasi maka ia akan memberi keselesaan bergerak sesama dengan kita. Bukan senang untuk mengajak manusia untuk beriman dengan Islam dan fikrah perjuangan yang dibawa oleh PAS. Kita akan kecewa sekiranya kita gagal. Tetapi dengan bekerja secara berjamaah ia akan menjadi penawar kepada petugas jamaah. Petunjuk yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri dengan para sahabat dalam menyusun strategi perjuangan bersama-sama dengan jamaah yang dibentuk pada peringkat awal. Baginda boleh bekerja seorang diri sekiranya baginda ingin melakukan tetapi baginda mengajar para sahabat untuk bekerja dalam satu pasukan yang hendak mencapai satu objektif untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Bagaimana hebat dan pandai seorang petugas pilihanraya, ia tidak mampu bekerja seorang diri.
  1. Sabar
Menarik manusia ke jalan perjuangan adalah bukan suatu perkara yang senang, kesemua ini memerlukan kesabaran.
Oleh itu, para petugas pilihanraya perlu bersabar dalam menjalankan amanah ini. Amat payah untuk memberi kesedaran dalam jangka masa yang singkat. Maka sifat sabar akan menjadikan petugas itu tetap menyatakan Islam tanpa mengira jangka masa. Kerana dalam menjalankan kerja Islam itu terpaksa berdepan dengan pelbagai telatah tingkah laku yang menggoncang perasaan, kerana orang yang tidak faham Islam itu bercakap apa sahaja dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk memuaskan hawa nafsunya.
Sepanjang menjalankan kerja, petugas pilihanraya perlu juga sabar dengan petugas yang lain.
  1. Kepentingan Meletakkan Jamaah Melebihi Kepentingan Peribadi
Mereka meletakkan bahawa Islam dan jamaah adalah segala-galanya sehingga mereka tidak kisah apa yang ada pada diri mereka. Seorang petugas pilihanraya yang baik ia tahan lasak dan bersusah payah dengan ahli dan orang bawahan. Sentiasa insaf dengan kesusahan pengikutnya dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib dan cita mereka. Dengan ini, akan melahirkan gerakan yang dinamik untuk menggerakkan organisasi. Orang ramai akan melihat bagimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh petugas, yang tidak sayang pula menghabiskan wang, tenaga dan buah fikiran untuk Islam.
  1. Bersikap Tawadhuk
Sifat yang penting untuk kita mudah mendekati masyarakat ialah rendah diri. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia malahan menjadi asing di kalangan masyarakat.
Tanda-tanda sifat takbur:
  1. Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya lebih suka mendekati golongan yang kaya
  2. Memberatkan soal pakaian secara berlebihan
  3. Tidak mahu berucap kecuali terdapat ramai hadirin yang datang
  4. Bahasa berbunga dan sukar difahami. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih kata-kata dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih rumput dengan lidahnya”.                     
Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi
  1. Bangga dengan Ilmu sendiri dan memperbodohkan orang lain.

Orang yang tawadhuk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan kasih semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada orang bukan minta khidmat mereka. Beliau sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka. Walaupun beliau bijak macammana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin adalah 1 jamaah Islam, bukan badan kerajaan ataupun swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja sukarela bukan ada gaji. Jika ini dapat dibuktikan InsyaAllah ia akan merancakkan gerak kerja dan melebarkan pengaruh PAS kepada orang luar.

Sekiranya petugas pilihanraya memimpin PAS dengan sifat ego, dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang yang mempunyai sifat ego dan sombong akan memalapkan usaha dan perancangan Jamaah. Kita mesti ada perasaan merendah diri apabila bertugas, kerana ia akan menarik perhatian orang ramai untuk bersama dengan perjuangan kita.
  1.  Disiplin Dalam Jamaah
Disiplin adalah perlu untuk menggerakkan Jamaah terutama sewaktu pilihanraya. Tanpa disiplin walaupun kita berada di atas jalan yang benar akan menemui kegagalan. Peristiwa kegagalan tentera Islam dalam perang Uhud kerana tidak ada disiplin. Kerjasama yang baik dan semangat yang baik dan bertindak secara Jamaah. Walaupun kita mempunyai kekuatan dan kelebihan ahli yang ramai , ahli yang taat, kekuatan jihad yang tinggi tetapi jika tidak mempunyai disiplin ia akan menemui kegagalan.
Saidina Ali menyatakan yang bermaksud
“Kebenaran tanpa penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”
  1. Lemah Lembut dan Pembelas Kasihan
Tidak ada manusia yang suka kekerasan. Kita bukan sahaja hendak melontarkan fikrah semata-mata untuk mereka menerima, tetapi juga menyelami permasalahan mereka. Kita mengemukankan hujah kepada orang ramai supaya membolehkan mereka ini mendapat hidayah Allah. Di sinilah perlunya kita bersikap lemah lembut supaya mereka mudah menerima seruan dakwah.
Kita wajib kasihan terhadap masyarakat yang derita akibat dicengkam dan dizalimi dengan sistem jahiliah yang ada pada masa sekarang sehingga mereka merempat di bumi sendiri. Kita sebagai penyelamat, mestilah bermuamalah dengan mereka dengan pandangan rahmah bukan bermusuhan dan mesti berusaha untuk memindahkan mereka kepada nikmat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud
“Orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan maafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan”                                                                       
Al-Imran : 134
  1. Memudahkan Bukan Menyusahkan
Menerangkan Islam dengan bentuk yang mudah supaya ia nampak rahmahnya Islam. Elakkan pendekatan yang menghukum, lebihkan pendekatan yang positif supaya ia merasa perlu Islam disokong kerana menyelamatkan dunia dan mendatang kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
“Kamu permudahkan dan jangan persusahkan, berilah khabar gembira dan janganlah kamu liarkan”
                                                                                                            Riwayat Al-Bukhari
  1. Manis Muka
Manis muka dan indah tutur kata amat mudah untuk menarik perhatian dan menguasai pengundi.
Muka lambang apa yang ada dalam diri seseorang. Muka yang manis melambangkan kelembutan dan ketenangan. Manakala muka yang masam melambangkan keserabutan dan kesempitan dada.
Wajah yang manis bukan bererti muka yang cantik dan keindahan rupa paras, kerana boleh jadi rupa paras cantik tetapi tidak terdapat padanya kemanisan, boleh jadi rupa yang tidak cantik tetapi penuh kemesraan dan keriangan.
Kita mesti melatih dan membiasakan wajah meskipun kita tengah sarat dengan masalah.
  1. Pemurah
Lebar tangan dan suka menolong orang ramai merupakan tanda kuat yang menunjukkan kemurahan hati seseorang.  Manakala sifat bakhil tamak dan haloba menunjukkan kebakhilan dan ketamakan. Apabila sifat bakhil bertakhta di hati maka orang akan menjauhi kita dan memandang serong dengan dakwah yang kita seru.
Kekadang dalam sesetengah keadaan kita hendak menarik sokongan masyarakat amat memerlukan wang untuk dibelanjakan supaya dapat menjinakkan mereka kepada kita. Kerana mahalnya nilai manusia kepada kita maka kita terpaksa untuk membelanjakan wang yang agak lebih berbanding dengan yang lain.kita jadikan harta sebagai alat memberi hidayah dan dakwah bukan sebaliknya. Tidak ada siapa yang papa kerana dia pemurah untuk kepentingan Islam.
Sikap suka menjamu makan adalah salah satu pendekatan yang perlu dilakukan sebagai tanda pemurah.
  1. Memberi khidmat kepada orang lain
Kerja Islam bukanlah untuk menyampaikan idea dan arahan semata-mata malah pendakwah menukarkan diri sehingga membolehkan ia menghayati penderitaan orang ramai dan sama-sama memikul keperitan yang diamali oleh mereka dengan menghulurkan khidmat bakti untuk meringankan beban.
Sesetengah masyarakat yang hidup susah sukar untuk menerima seruan dakwah kerana mereka hanya memikirkan keperluan hidup mereka sahaja. Kecuali orang yang sudah bersedia menerima perjuangan Islam seperti orang PAS tegar. Kita mesti membuka tembok pemisah antara kita denagn mereka melalui khidmat yang dicurahkan kepada mereka. Pejuang yang sebenar adalah ia hidup untuk orang lain bukan hidup untuk dirinya. Mereka bekerja untuk kerehatan orang lain walaupun dirinya sendiri terpaksa mengorbankan kesenangan dirinya. Mereka akan bahagia apabila melihat orang lain bahagia dan merasa senang melihat orang lain senang.

Sebenarnya inilah cara berkesan untuk menarik sokongan untuk orang menerima seruan perjuangan kita. Sebenarnya inilah medan berkesan daripada pidato semata-mata dan gerak kerja dakwah bukan berbentuk ucapan semata-mata. Maka amilin mestilah hidup bersama mereka, berbincang dan berbual bersama dengan mereka samaada program rasmi ataupun tidak.
Rasulullah bersabda bermaksud
“ Di antara perkara yang memastikan mendapat keampunan daripada Allah SWT ialah dengan engkau memasukkan kegembiraan kepada saudaramu yang muslim”
Riwayat At-Tabrani

Program Tarbiah Kepada Petugas
  • Ikhlaskan hati kerana Allah
  • Berusaha meninggalkan dosa besar dan tidak mengejal dosa kecil
  • Sentiasa berwuduk
  • Solat berjamaah di masjid mahupun surau
  • Membaca mathurat
  • Membaca yasin
  • Hidupkan malam dengan solat tahajud, solat hajat
  • Membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 1 muka surat
  • Menjaga muamalat lelaki dan perempuan ketika bertugas serta lain2 keadaan
  • Pelihara aurat dan dilarang bertabaruj keterlaluan
  • Perbanyakkan muhasabah diri,
  • Bersedia menerima teguran
  • Berlapang dada dengan sahabat ketika bertugas
  • Elakkan bersikap mando/ bos kerana yang datang adalah sukarela
  • Wujudkan suasana mahabbah dan ukhwah sepanjang masa.
  • Elakkan bertengkar
  • Kurangkan senda gurau
Kesimpulan / penutup
Tarbiah memainkan peranan yang penting samada di waktu tenang mahupun di waktu peperangan..maka pelaksanaan adalah penting untuk memastikan perjuangan menegakkan baldatun toiyibatun warabul ghafur tercapai. InsyaAllah kita mengharapkan dengan tarbiah yang PAS berikan selama ini kepada ahlinya, ia akan mampu menyelamatkan parti daripada kemusnahan. Mereka yang mnghayati dan memahami konsep tarbiah dan mengikut manhaj jamaah sahaja yang mampu untuk hidup bersama dengan perjuangan Islam. InsyaALLAH.


No comments:

Post a Comment