My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Monday, 19 September 2011

Siri Tarbiyah Kawasan 1


Siri  Tarbiyah Kawasan 1

MEMPERKUKUHKAN SAF JAMAAH
(Bhg.1)


Firman Allah yang bermaksud;

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh – ( As-Saf: 1-4)
MUQADDIMAH
Menurut Al-Imam Al-Mawardi surah As-Saf diturunkan di Madinah. Di dalam ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa setiap makhluk yang berada di tujuh lapis langit dan bumi tunduk di bawah uluhiyyah dan rububuyyah-Nya. Dia maha perkasa untuk membalas dan mengambil tindakan terhadap setiap makhluk yang mengkufuri-Nya serta menyalahi perintah-Nya. Dia juga menegaskan bahawa Ia amat bijak untuk mentadbir setiap urusan makhluk-Nya.
Di dalam ayat ini juga Allah SWT menegaskan betapa Dia sangat memurkai siapa saja yang tidak menterjemahkan apa yang diucapkannya di dalam bentuk amalan dan praktikal. Asbab nuzul ayat ini diturunkan adalah untuk mencela orang yang telah bertanya Rasulullah SAW mengenai amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, namun apabila diberitahu oleh Allah SWT bahawa amalan yang paling disukai Allah SWT selepas daripada beriman dengan Allah dan Rasul-Nya ialah berjihad menentang musuh-musuh Allah, mereka merasa benci. Dalam waktu yang sama kefardhuan jihad yang difardhukan dirasa membebankan diri mereka.
Demikian juga Allah SWT melalui pembentangan ayat-Nya di atas telah mensifatkan kepada kita betapa mulianya saf di dalam peperangan dan perjuangan, sehingga ia disamakan saf di dalam solat. Apa yang hendak diberi pengajaran oleh Allah kepada setiap mujahid ialah mereka hendaklah tetap di dalam saf perjuangan, tidak berganjak dan tidak meninggalkan posisi masing-masing sama seperti mereka tetap di dalam saf mereka ketika bersembahyang, kecuali di atas sebab-sebab yang tertentu yang diperlukan.
REALITI PERJUANGAN PAS
PAS terus mara berjuang sejak beberapa dekad dan kelangsungannya telah bertali arus sepanjang beberapa generasi hinggalah ke hari ini. Kita terus beriman dan beristiqamah dengan aqidah dan ciri-ciri parti Islam yang ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Di atas asas inilah PAS ditubuhkan oleh para alim ulama dan cendekiawan Islam lebih setengah abad yang lalu.

Inilah syarat yang menjadi ketetapan Allah kepada Parti Islam yang bercirikan kesinambungan risalah Islam sebenar, dan inilah sebabnya kita menerima ketetapan Allah yang mewajibkan kumpulan Islam sebenar menjadi penerus risalah agama ini, berhadapan dengan pelbagai mehnah dan fitnah.

Firman Allah yang bermaksud:
"Alif Laam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. [29:1-3]

PAS bergerak di atas landasan kesempurnaan ajaran Islam, dengan bercirikan kepimpinan ulama dan kepimpinan berbagai keilmuan, pengalaman, didokong oleh seluruh aktivis PAS di pelbagai peringkat untuk memenuhi segala perintah Allah SWT. Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti siasah Islam, gerakan dakwah dan tarbiah terus menerus mendokong nilai-nilai Islam yang kekal dan dinamis serta nilai-nilai yang tidak bersifat perkauman.
UKHUWWAH MEMPERKUKUHKAN SAF
Konsep Ukhwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah yang mana ianya merupakan kurniaan atau pemberian daripada Allah swt. Dia melontarkannya kepada hati-hati hambaNya yang ikhlas dan suci. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)
Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Harakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.
Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata
FIQH UKHUWWAH ISLAMIYAH
1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:
“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.
Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan”.
2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:
“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini”. (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).
3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.
4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).
5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. (Hadis riwayat Tirmizi).
KESATUAN AQIDAH, AMAL DAN MATLAMAT
Kesatuan aqidah merupakan faktor terasas dalam pembentukan Wahdatul Amal dan Wahdatul Fikr. Tumpuan utama dalam menyatupadukan aqidah ialah dengan mentauhidkan Allah kerana tuntutan tauhid adalah bertunjangkan Rububiyyah dan Uluhiyyah. Tauhid yang diimani inilah yang menjadi asas kefahaman yang jelas yang seterusnya melahirkan amal Islami yang ikhlas. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang engkar kepada taghut lalu mereka beriman kepada Allah, seungguhnya mereka telah berpegang kepada tali Allah yang amat kuat dan tidak akan ia putus. Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”  (al-Baqarah : 256)
Berdasarkan Sirah Rasulullah SAW, pada permulaannya Baginda telah menjalankan kerja dan  usaha untuk memperbetulkan aqidah masyarakat daripada kekotoran syirik dan kufur, ke arah mengesakan Allah SWT bagi mencapai kesatuan ummah.  Seterusnya, hasil daripada kesatuan fikrah dan kefahaman, maka akan lahirlah pula kesatuan amal dalam jemaah ke arah matlamat yang satu. Apa yang paling penting dalam merealisasikan kesatuan amal dan matlamat adalah wala’ dan taat yang mutlak kepada Allah dan Rasul serta ketaatan yang benar kepada pimpinan. Segala yang diputuskan oleh pimpinan wajib ditaati selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat. Keengkaran kepada perkara tersebut dan saling merasa hebat akan mewujudkan perpecahan dalam jemaah biarpun wujudnya kesatuan fikrah di dalamnya.
PENUTUP
Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.



Wednesday, 14 September 2011

TAQWA


Firman Allah SWT;
واتقوا الله واعلموا أن الله مع المتقين
Maksudnya;
Dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa ( Al-Baqarah: 194)
MUQADDIMAH
Taqwa adalah jalan untuk mencapai matlamat kerohanian di dalam Tarbiyah Ruhiyyah. Ia penting demi keberkesanan petugas dakwah menjalankan kerjanya untuk membimbing manusia ke jalan Allah. Bahkan ia penting untuk memastikan perjuangan Islam akan dibantu oleh Allah SWT.
PENGERTIAN TAQWA
Perkataan taqwa berasal daripada kata nama 'ittiqa' dengan erti menjadikan dirinya terselamat daripada apa yang ditakuti atau daripada kata nama 'waqayah' dengan erti menjadikan sesuatu itu sebagai perisai penyelamat daripada sesuatu. Dari sudut istilah (syarak) taqwa ialah usaha menjaga diri daripada sesuatu yang merosakkan atau yang membawa kepada celaan, kemurkaan dan seksaan. Ini termasuk faktor yang membawa kepada perkara terbabit. Pengertian taqwa boleh disimpulkan; sifat yang tetap pada diri seseorang, yang terbentuk daripada perasaan takut kepada Allah, perasaan pengabdian kepada-Nya, berasa penuh tanggungjawab terhadap-Nya atas segala gerak laku perbuatan yang lahir mahupun batin.
KEPENTINGAN TAQWA DI DALAM PERJUANGAN
Kepentingan aspek ruhi dan maknawi ini telah menghadirkan Saidina Umar al-Khattab yang berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, komander tentera Islam yang meruntuhkan kerajaan Parsi. “Amma ba’du, sesungguhnya aku memerintahkanmu untuk bertaqwa kepada Allah atas segalanya. Sebab, taqwa kepada Allah adalah persiapan paling sempurna menghadapi musuh dan tipu daya dalam pertempuran. Aku perintahkan kamu dan orang yang menyertaimu untuk selalu menjaga diri dari perbuatan maksiat yang berasal dari diri kalian sendiri daripada maksiat musuh-mush kalian. Sebab, dosa tentera kita lebih aku takutkan daripada kekuatan musuh.Ketahuilah bahawasanya kemenangan kaum muslimin disebabkan perbuatan maksiat musuh-musuh mereka terhadap terhadap Allah . Kalau bukan demikian, kita tidak punya kekuatan apa-apa kerana jumlah kita tidak sebanyak mereka dan persiapan tempur tidak selengkap mereka. Jika kita berbuat maksiat, maka mereka memiliki keunggulan kekuatan (kerana jumlah dan persenjataan yang lebih canggih). Kita bisa menang kerana keutamaan kita (meninggalkan maksiat)”.
PENUTUP
Dunia selalu tercengang melihat ’keajaiban’ tentera Islam yang sedikit mampu mengalahkan ratusan ribu musuh-musuh Allah . Kesimpulannya, syarat pertama untuk menang adalah taqwa kepada Allah dan menjaga diri dari maksiat.

Tarbiyah Salafus Soleh Dalam Pembinaan Diri Muslim

Permasalahan Ummah

Disebabkan berlaku polemik dan perselisihan di antara harakah "salafiyah" dan gerakan Ikhwan Muslimun maka mereka yang membesar dan tergolong di antara kedua-dua kelompok ini masing-masing bersikap fobia dan sensitive dalam mengambil manfaat di antara satu sama lain atau apa kebaikan yang wujud di antara kedua-duanya.

Ketika berbincang bersama Al-Fadhil Haji Ismail Omar (Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara) yang menziarahi saya di rumah, kami mencapai persetujuan bahawa kelompok yang mengaku salafi di mana-mana sangat kacau bilau dan faudho (istilah merujuk kepada arab badwi yang tidak bersistem) apabila dakwah salafiyah atau lebih senang kami sebutkan sebagai seruan mengajak kembali kepada Islam menurut pemahaman ahlul sunnah wal jamaah (salaf soleh) tidak dilaksanakan secara tersusun, bersistem, bermanhaj sebaliknya kelam-kabut mengikut perangai dan fe'el (tabiat) tok guru masing-masing.

Sesetengah tok guru salafi yang mengambil keputusan menyertai parti pemerintah akan menjadi ikutan anak-anak muridnya, demikian yang baki ada yang mengambil keputusan menyertai kumpulan NGO pula akan menjadi ikutan anak-anak muridnya dan sebahagian tok guru yang lain pula sibuk membangunkan sekolah dan markaz ilmu sehingga diikuti oleh anak-anak muridnya yang sibuk mahu mengaji dan mahu menjadi semacam tok gurunya yang alim, boleh mentafsir al-qur'an dan hadis, boleh kritik itu dan ini dengan hujah serta dalil kata mereka dengan bangga.

"Mana pi ubudiyah ?" kata Tuan Haji Ismail dengan nada kecewa, lalu mengungkit kisah beliau sewaktu belajar kitab Ubudiyah bersama Syeikh Dr Safar Al-Hawali ketika awal-awal belajar di Mekah dahulu. Hairan, umat Islam tidak lagi mahu maju ke depan menguasai bidang mikrocip dan elektronik, bidang sains dan teknologi di samping amalan agama dan kewajipan syarak ditunaikan menurut rujukan yang sahih menurut kehendak al-qur'an dan as-sunnah. Tidak perlu semua harus tahu mentafsir Al-Qur'an tetapi semua wajib tahu macam mana cara untuk berubudiyah (beribadah mengabdikan diri ) kepada Allah swt baik dalam apa situasi dan kerjaya. Disebabkan itu tarbiyah (pendidikan & Asuhan) penting diwujudkan oleh para tok-tok guru sunnah untuk melahirkan para muslim yang bermanhaj, bersistem yang boleh berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslim yang bermanhaj iaitu muslim yang professional, mengetahui hala tuju, cekap dan aktif dalam kerja yang disebut oleh Islam sebagai "itqan" (berkualiti dalam melakukan kerja), mereka inilah yang perlu dilahirkan supaya Islam dapat diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas, mempunyai wala' (ketaatan) yang jelas pada agama, berkualiti dalam kerja (professional) dan amal untuk Islam sehingga usaha dakwah itu benar-benar memanfaatkan Islam bukan menambah lagi fitnah kepada agama.

Tidak terhasil segala hasrat ini melainkan dengan tarbiyah iaitu disebut melalui didikan dan asuhan, malangnya para tok guru sunnah disebabkan anti dan benci kepada Ikhwan Muslimun kerana mengecop mereka sebagai kelompok ahlul bid'ah lalai akan proses yang Maha penting ini yang pernah dilaksanakan oleh rasulullah salallahualaihiwasalam sendiri untuk membina generasi sahabat yang agung.

Juga tidak menyenangkan apabila golongan Ikhwan Muslimun yang bangga dan mengecohkan diri di sana sini dengan pelbagai kebaikan, lalai akan kepentingan aqidah yang sahih dan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang perlu diterapkan dalam gerakan dan ummah bukan sibuk mengumpulkan ahli, atau sibuk mencari populariti agar dapat menang dalam pilihanraya atau tercelaru dengan matlamat singkat mahu memerintah di dalam negeri tetapi mengadaikan segala prinsip dan harga diri.

Wajarlah golongan Ikhwan Muslimun di tanahair juga bersatu dan mencari nilai dalam perjuangan agama mereka bukan hanya menumpang nama dengan pergerakan salafi yang semakin berkembang di tanahair dengan secara tiba-tiba Ikhwan Muslimun yang pernah menerima ramai pimpinan sufi tidak mengendahkan langsung seruan kembali kepada hadis sahih atau sebagainya yang bagi mereka ketika itu hal yang remeh berbanding maslahat yang hendak dibawa oleh mereka yang lebih besar kemudian hari ini tiba-tiba mengaku bahawa manhaj mereka ialah salafi.

Di Malaysia sendiri Ikhwan Muslimun dianggap sebagai wira agama dan masing-masing gerakan dakwah sewaktu dahulu mahu menganggap mereka ialah "Ikhwan Muslimun" yang lebih tulen berbanding yang lain. Sejarah pergaduhan pergerakan PAS dan pergerakan JIM serta pertubuhan ABIM di pelbagai pusat Universiti sukar dilupakan bahkan oleh saya sendiri juga. Wajarlah harakah Islam di mana-mana pada hari ini mencari nilai perjuangan mereka dan mengembalikan teras dasar perjuangan kepada aqidah yang sahih, pembentukan ummah yang berteraskan kepada Kitab dan Sunnah disebalik apa sekalipun label dan jenama mereka.

Sangat zalim menghukum gerakan Ikhwan Muslimun hari ini dengan hukuman yang diberikan oleh ulama' Islam ketika dahulu dan juga tidak wajar orang yang hidup hari ini pula menghukum harakah Ikhwan Muslimun berdasarkan perbuatan mereka dahulu. Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan namun selama mereka mencari kebaikan dan kebenaran maka setiap ikhwan (persaudaraan) Islam wajar diberi bantuan. Disebabkan itulah maka perjuang sunnah atau muslim yang berubudiyah kepada Allah swt menurut panduan kitab dan sunnah akan boleh berada di dalam pelbagai gerakan, kumpulan dan mereka tetap teguh berdiri di atas kalimah Allah swt .

Disebabkan itulah kepentingan memahami aqidah yang sahih, keperluan memahami tuntutan ubudiyah disisi Islam menjadi aulawiyat yang sangat mendesak kepada setiap muslim lalu darinya kita boleh memilih untuk melazimi mana-mana kumpulan atau gerakan yang memudahkan kita menunaikan kewajipan sebagai muslim di waktu dan situasi yang berbeza bagi setiap muslim. Lalu pergaduhan di antara setiap pergerakan dakwah dan harakah boleh dielakkan apabila setiap muslim yang berada di dalamnya menyedari di manakah nilai pergerakan mereka, apakah keutamaan dan fokus tujuan harakah mereka yang perlu dicapai bagi menunaikan kewajipan berubudiyah.

Pemahaman, pembentukan aqidah yang sahih, penjelasan fokus dan penumpuan ubudiyah kepada Allah swt bagi setiap muslim hanya akan tercapai melalui tarbiyah dan proses pendidikan dan pengajian yang berterusan dan berperingkat sehingga melahirkan muslim yang memahami tugas dan kewajipan untuk agama serta beramal dan hidup memenuhi segala perintah dan tuntutan Islam secara sempurna.

Hakikatnya tarbiyah bukanlah hanya wujud di dalam Ikhwan Muslimun atau dipopularkan oleh mereka tetapi sebenarnya Islam sendiri yang datang dan diturunkan oleh Allah swt sebagai manhaj atau sistem hidup dan kemudiannya mengangkat rasulullah salallahualaihiwasalam sebagai seorang rasul, guru, pendidik, dan pentarbiyah bagi mendidik dan mengasuh manusia dengan tarbiyah Islam.