NEGARA BERKEBAJIKAN: TAWARAN PAS
Sesungguhnya
Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada
kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan
mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya
ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. (al-Nahl: 90)
PENDAHULUAN
Setelah 53 tahun mengecapi
kemerdekaan dan bergelar negara yang berdaulat, kini kita masih menghadapi kemelut
dan krisis yang tidak berkesudahan. Cita-cita membina sebuah negara bangsa yang
bersatu-padu, makmur dan sejahtera rakyatnya masih gagal. Gejala salahguna
kuasa, penyelewengan dan rasuah semakin membarah di kalangan mereka yang
berkuasa. Ekonomi negara terus dibebani dengan kegagalan dalam meningkatkan
kualiti hidup rakyat, jurang perbezaan kaya miskin yang semakin melebar,
pembaziran dalam berbelanja, ketirisan perbelanjaan dan peningkatan hutang
negara yang semakin membimbangkan. Masyarakat Malaysia terus menghadapi
peningkatan permasalahan sosial termasuklah peningkatan kadar jenayah dan
keruntuhan akhlak.
Dalam mendepani kemelut dan
krisis ini, PAS tampil menawarkan paradigm baru dan model penyelesaian yang
bukan sahaja menjanjikan yang lebih baik tetapi paksinya dibina di atas landasan
yang unik lagi berbeza. Memulihkan sesebuah negara yang sedang mengalami
kemelut dan krisis yang berpanjangan, bukanlah satu usaha yang mudah. PAS
mengambil sikap bersabar lagi bijaksana dalam melakukan usaha tersebut dengan
menekankan betapa pentingnya latarbelakang sejarah masyarakat Malaysia menjadi
pemandu kepada pembinaan sebuah Malaysia baru. PAS berkeyakinan, Islam yang
telah menjadi latarbelakang budaya dan cara hidup sejak lebih 800 tahun yang
lalu di rantau ini, perlu menjadi tonggak ke arah mewujudkan sebuah
pemerintahan yang beramanah, adil dan bersih ke arah sebuah Negara
Berkebajikan.
ISLAM SEBAGAI RAHMAT UNTUK SEMUA
Sebagai kitab suci yang
terakhir diturunkan kepada umat manusia, al-Qur’an mengandungi panduan-panduan
terkini sesuai untuk masyarakat moden, termasuklah dalam persoalan berkaitan
sistem politik kenegaraan yang menjadi teras untuk mengatur urusan negara dan
manusia. Teladan yang ditampilkan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi panduan
penting kepada generasi manusia di sepanjang zaman dalam mewujudkan
pemerintahan yang beramanah, adil dan bersih.
Sebagai satu cabang dalam Fiqh,
sistem politik di dalam Islam mengandungi perkara-perkara yang tetap meliputi
aspek-aspek berkaitan dengan prinsip (thawabit) dan perkara-perkara yang
berubah (mutaghayyirat) berkaitan dengan aspek-aspek perlaksanaan. Menyedari
hakikat tersebut, PAS berkeyakinan bahawa Negara Berkebajikan adalah
penyerlahan dan penterjemahan paling wajar terhadap aspek-aspek berkaitan
perlaksanaan di dalam sistem politik Islam masa kini.
Dasar Negara Berkebajikan yang
dikemukakan oleh PAS menghayati semangat kebersamaan dan permuafakatan politik
Pakatan Rakyat (PR) sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Bersama PR di
dalam Buku Jingga dan dipersetujui dalam Konvensyen PR yang Pertama, iaitu:
·
Demokrasi yang telus dan
tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat.
·
Memacu ekonomi berprestasi
tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara
adil.
·
Keadilan sosial bagi
menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
·
Hubungan persekutuan-negeri
dan dasar luar negara yang adil-setara.
Oleh
sebab itu, dasar Negara Berkebajikan turut menghayati tiga perkara pertama yang
diangkat dalam Dasar Bersama PR iaitu:
·
Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi
Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di
mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan
anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah
kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
·
Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja
berperlembagaan.
·
Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca
serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum,
serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing
Malaysia di peringkat global.
Negara Berkebajikan bermatlamat
untuk menegakkan keadilan dan menyebarluaskan kebajikan bagi seluruh rakyat
Malaysia. Demi mencapai matlamat tersebut, Negara Berkebajikan yang dikemukakan
adalah sebuah negara yang berdiri di atas landasan berikut:
·
Menghayati Islam sebagai
agama persekutuan yang mendukung sistem kehidupan yang sempurna menuju
kesejahteraan, dengan mengaturkan tatacara bernegara yang keseluruhannya
bermatlamat untuk mencapai kebajikan bagi manusia tanpa mengira agama dan
keturunan bahkan bagi seluruh komponen alam yang lain.
·
Menghubungkaitkan
pemerintah dan pemerintahan dengan peranan manusia sebagai khalifah Allah di
atas mukabumi dan juga pemegang amanahNya yang bertanggungjawab memakmurkan dan
mensejahterakan bumi seluruhnya.
·
Mencapai tujuan
kemaslahatan manusia dengan menjadikan pemerintahan negara sebagai wahana dan
juzuk penting dalam tata-kelola dan urus-tadbir kehidupan sekaligus memenuhi
tujuan penurunan shari`at itu sendiri yang seluruhnya adalah untuk membawa
kebajikan kepada kehidupan dan menjauhkan dari kemudaratan.
·
Menjaga dua matlamat utama
pemerintahan dari perspektif Islam, iaitu memelihara agama dan mengatur urusan
kehidupan dunia dengan bersendikannya.
·
Mengaplikasikan seluruh
paksi-paksi penting berkaitan dengan Usul al-Fiqh seperti Maqasid
al-Shari`ah, Siayasah al-Shar`iyyah dan lain-lain bagi memenuhi
tuntutan semasa dalam menggubal polisi-polisi berkaitan sosial, ekonomi dan
politik.
·
Mematuhi tuntutan nilai-nilai
murni sejagat yang dijunjung oleh Islam dalam melaksanakan tata-kelola dan urus-tadbir
pemerintahan demi menghindarkan gejala-gejala buruk seperti salahguna kuasa,
rasuah dan ketidakadilan.
KONSEP NEGARA BERKEBAJIKAN
Negara Berkebajikan adalah model
bernegara sebagaimana yang diiktibarkan daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan
sejarah kegemilangan umat Islam, dengan berpandukan konsep “Baldatun
Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” bermaksud “Negara yang sejahtera dan (mendapat
keampunan) Tuhan yang Maha Pengampun. Dengan penegasan lain, bingkai Negara
Berkebajikan ini ialah `Ubudiyyah yang bermaksud pengabdian manusia kepada Pencipta mereka bagi mencapai kejayaan (al-Falah) bukan
sahaja untuk kehidupan di dunia, bahkan juga untuk kehidupan di akhirat.
Berasaskan bingkai tersebut,
Negara Berkebajikan ditakrifkan sebagai kerajaan beramanah yang berpaksikan
prinsip-prinsip adil dan ihsan (al-`Adl wa al-Ihsan) di dalam seluruh
sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik,
ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah
masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al-Khayrat) dan
saling bekerjasama (al-Ta`awun) ke arah kejayaan (al-Falah)
pemerintah dan rakyat di dunia dan akhirat.
TERAS-TERAS UTAMA
Di atas paksi `Ubudiyyah
itulah sebuah Negara Berkebajikan dibina sebagai menyempurnakan tuntutan untuk
membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya dengan menegakkan perkara-perkara
baik (al-Maaruf) dan menghindarkan perkara-perkara buruk (al-Munkar).
Maka dengan sebab itu, teras-teras utama kepada Negara Berkebajikan yang
diusahakan oleh PAS ialah:
·
Menjadikan prinsip adil dan
ihsan (al-`Adl wa al-Ihsan) sebagai teras terpenting pemerintahan, yang
termasuklah di dalamnya menjunjung nilai-nilai kemanusiaan yang murni demi
untuk mencapaikan kebajikan bagi seluruh masyarakat berpandukan kepada suri
teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
·
Memakmurkan bumi dan
mensejahterakan rakyat dengan meletakkan matlamat penjanaan kekayaan dan
pengagihannya bertujuan untuk membina insan yang merdeka, bebas dan mendapat
peluang yang saksama.
·
Membina Masyarakat Madani
sebagai ciri terpenting masyarakat Malaysia yang ditegakkan atas kesepakatan,
kerelaan dan pemuafakatan, di samping menjunjung nilai-nilai dan kepentingan-kepentingan
bersama atas tuntutan ‘Kontrak Sosial’.
·
Mewujudkan pemerintahan
yang menjamin kesaksamaan (al-Musawah), dengan pengertian pemerintah
mempunyai pertanggungjawaban pimpinan yang tinggi terhadap rakyat sebagai
timbal balik ketaatan rakyat terhadap pemimpin yang didasarkan atas lunas-lunas
kebajikan serta amanah.
·
Memastikan kedaulatan
Undang-Undang (al-Siyadah al-Qanuniyah) sebagai teras terpenting yang
mengikat hubungan sesama rakyat tanpa mengira status kedudukan mereka, dengan
penegasan kesemua warganegara tertakluk di bawah undang-undang tanpa ada
perbezaan.
·
Mendukung prinsip-prinsip
yang mengutamakan keperluan dan kelayakan bagi mereka yang berhak
memperolehinya (al-Aslahiyyah) demi menghindarkan amalan nepotisme,
kronisme dan dasar-dasar yang menyekat persaingan yang sihat.
·
Melaksanakan pemerintahan
yang berteraskan urus-tadbir yang baik atau good governance selari
dengan prinsip kempetensi (al-Itqan), pertanggungajawaban (al-Amanah)
dan ketelusan serta keterbukaan (al-Shafafiyyah al-Hukumah) supaya seluruh
manfaat atau faedah dapat diperolehi oleh manusia, kehidupan yang lain dan alam
sekitar.
·
Menjunjung peraturan-peraturan
yang Maha Pencipta dalam mengatur perjalanan alam semesta seluruhnya termasuk
fitrah kejadian manusia sebagai makhluk berakal yang turut tertakluk kepada
peraturan-peraturan tersebut.
·
Mendukung prinsip-prinsip demokrasi
yang selari dengan konsep Shura di dalam sistem politik Islam sebagai
tunjang utama kepada perlantikan pemimpin-pemimpin negara di semua peringkat
dengan turut memperkukuhkan sistem semak-imbang yang bertujuan mencegah salahguna
kuasa.
·
Mengukuhkan hubungan
antarabangsa dengan negara-negara lain berdasarkan kepada semangat persaudaraan
Islam dan hubungan kemanusiaan demi mencapai keamanan sejagat.
POLISI-POLISI UMUM
10 teras tersebut dijadikan
sebagai prinsip kepada penggubalan polisi-polisi umum pemerintahan di samping
mengambil kira faktor-faktor semasa yang digarap melalui dasar-dasar Fiqh
dan kebijaksanaan manusia sebagai makhluk yang berakal. Demi mencapai matlamat
penting Negara Berkebajikan iaitu menjamin kemaslahatan bagi manusia dan
menolak kemudaratan, polisi-polisi berkaitan politik, ekonomi dan sosial akan
digubal berteraskan prinsip-prinsip berikut:
POLITIK
a. Sistem politik yang mengembalikan sistem pengasingan kuasa
sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan supaya tidak berlakunya pemusatan
kuasa kepada sesuatu kumpulan tertentu demi menjaga kepentingan rakyat.
b. Kewujudan pelbagai parti politik dibenarkan dan diiktiraf
sumbangnya dengan peluang yang saksama dan terbuka untuk dipilih dalam sesuatu
pilihanraya.
c. Pilihanraya dikendalikan oleh badan yang benar-benar bebas,
dilihat bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
d. Setiap parti politik berhak memperolehi peruntukan tahunan
daripada dana negara sekaligus mengelakkan hubungan yang tidak sihat antara
ahli-ahli politik dan golongan korporat.
e. Setiap parti politik boleh menerbitkan media dan menyiarkan
penyiaran masing-masing dengan bebas dan bertanggungjawab.
f.
Masyarakat diberi ruang
untuk menunaikan hak awam mereka untuk tidak bersetuju dengan kerajaan (civil
disobedience) selama mana dilakukan secara tertib dan aman.
2. Ekonomi
a. Tujuan kegiatan ekonomi yang paling utamanya adalah untuk
memenuhi keperluan hidup manusia dan menjamin keupayaan generasi akan datang
memperolehi keperluan mereka.
b. Keperluan yang paling asas kepada hidup manusia antaranya ialah
air, makanan, tenaga, pekerjaan, penginapan, pendidikan dan kesihatan, mestilah
berada di bawah pengawasan
kerajaan dan tidak dimonopoli oleh golongan tertentu.
c. Tujuan utama pembangunan ekonomi ialah peningkatan kualiti hidup
rakyat seperti taraf pendidikan yang baik, alam sekitar yang bersih, jaminan
keselamatan sosial di samping turut menekankan aspek kuantiti.
d. Ukuran pencapaian ekonomi adalah seimbang yang mengambil kira aspek-aspek
keadilan ekonomi dan pengagihan kekayaan supaya kemakmuran ekonomi benar-benar
dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.
e. Amalan persaingan, pasaran bebas dan meminimumkan campurtangan
kerajaan digalakkan dalam kegiatan ekonomi melainkan jika kebajikan dan kepentingan
rakyat teramai tergugat.
f.
Semua rakyat tanpa mengira
agama dan kaum mempunyai peluang yang adil dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan, bagaimanapun program-program
pengupayaan perlu terus diberikan kepada kelompok masyarakat yang terpinggir
dan tertinggal.
g. Mengupayakan ekonomi rakyat menjadi keutamaan dengan tujuan untuk
melahirkan komuniti-komuniti masyarakat dan keluarga-keluarga yang boleh
berdiri sendiri.
h. Rakyat berhak untuk turut serta secara langsung dan tidak
langsung dalam menentukan keperluan sesuatu pembangunan ekonomi di persekitaran
mereka.
3. Sosial
a. Dasar-dasar berkaitan sosial dalam Negara Berkebajikan adalah
disasarkan untuk menjaga keharmonian masyarakat dengan memelihara unit asasnya
yang terpenting iaitu institusi keluarga.
b. Menjamin keselamatan sosial adalah agenda terpenting pihak
kerajaan demi menjaga kepentingan rakyat teramai termasuklah dalam perkara-perkara
yang berkaitan dengan moral.
c. Perpaduan rakyat berteraskan kepada “bersatu dalam kepelbagaian”
bukannya mewujudkan satu identiti yang sama dengan menghakis jatidiri kaum,
budaya dan adat resam yang telah sedia ada.
d. Elemen kepentingan bersama (common needs) bagaimanapun
perlu menjadi perkara-perkara yang diutamakan untuk mengikat hubungan antara
warga dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.
e. Rakyat berhak untuk menjalankan kegiatan-kegiatan sosial mereka
melainkan sekiranya ia mencabul dan mengganggu hak-hak orang lain serta
menyalahi peraturan-peraturan alam tabi’i.
f.
Semangat kesukarelaan
(volunteerism) di atas prinsip Takaful al-Ijtima`i perlu disuburkan
menjadi elemen penting yang mewujudkan kerjasama setiap anggota masyarakat.
10 AGENDA-AGENDA PERMULAAN
Sekiranya PAS diberi
kepercayaan bersama-sama PR untuk memerintah negara, PAS berazam untuk menterjemahkan
konsep Negara Berkebajikan ini dengan melaksanakan dahulu 10 agenda-agenda utama berikut sepanjang
penggal pertama pemerintahan PR:
Agenda 1: Kerajaan Beramanah, Adil
dan Bersih
a. Mengkaji semula peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan
Malaysia untuk memperkasakan kembali amalan ‘Pemisahan Kuasa’ antara Legislatif,
Kehakiman dan Eksekutif supaya pelaksanaan demokrasi berfungsi dan berkesan
serta tidak dicerobohi dan dipintas oleh pihak Eksekutif.
b. Menjamin sistem pilihanraya yang bebas, adil dan bersih dengan
melaksanakan reformasi sistem dan proses pilihanraya secara menyeluruh seperti
yang dituntut oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH).
c. Memulihkan agensi-agensi awam seperti SPRM, Jabatan Peguam
Negara, PDRM dan lain-lain supaya badan-badan ini bebas daripada cengkaman
eksekutif dengan meletakkan pertanggungjawabannya
kepada parlimen.
d. Menghapuskan dan meminda peruntukan-peruntukan yang bercanggah dengan prinsip keadilan
yang ada di dalam akta-akta seperti ISA, EO, OSA, AUKU dan lain-lain yang bukan
sahaja bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan Islam tetapi juga
berlawanan dengan Piagam Hak Asasi Manusia.
e. Mewujudkan satu suruhanjaya berkaitan siasatan awam (public
inquiry) untuk bertindak terhadap aduan-aduan rakyat termasuklah
bertanggungjawab mengadakan pungutan suara (referandum) yang diletakkan di
bawah parlimen.
Agenda 2: Masyarakat Penyayang, Aman
dan Bersatupadu
a. Memperbanyakkan kewujudan badan-badan masyarakat madani dan
organisasi perniagaan sosial (social enterprise) yang membantu kerajaan
menjaga kebajikan rakyat melalui pemberian insentif-insentif tertentu.
b. Menyemak semula jumlah pengurangan dan perlepasan cukai dengan
matlamat untuk meningkatkan penyertaan individu dan syarikat ke arah mewujudkan
masyarakat yang penyayang dan prihatin.
c. Mewujudkan pasukan Polis Bantuan di bawah pihak berkuasa
tempatan untuk memperkasakan operasi pencegahan jenayah yang dapat menjamin
keselamatan awam.
d. Menyemak semula dasar-dasar yang berkaitan dengan perpaduan agar
dapat diperkukuhkan dengan sikap saling hormat-menghormati selaras dengan
nilai-nilai beragama yang dituntut terhadap penganut agama masing-masing.
e. Mencadangkan penubuhan satu Majlis Dialog Kebangsaan yang
beperanan menggubal dan melaksanakan pendidikan sepanjang hayat ke arah
memperkukuhkan permuafakatan dan perpaduan nasional merentasi semua kaum.
Agenda 3: Ekonomi Mapan, Seimbang
dan Saksama
a. Menyusun kembali prioriti pembangunan supaya ‘pertumbuhan’ bukan
sahaja dari kegiatan pembinaan dan infrustruktur mega-mewah, tetapi mestilah
menepati dan selaras dengan pembangunan mapan.
b. Memastikan
harga petrol dan disel kekal pada harga yang munasabah termasuklah melalui
pendekatan subsidi bagi menangani inflasi harga barang keperluan dan kos
perkhidmatan.
c. Menyemak kembali peraturan-peraturan yang mengawal pasaran dan
persaingan termasuklah pemberian permit import (AP) bagi barangan makanan utama
seperti gandum, gula, minyak masak dan beras supaya tidak berlaku monopoli dan
kartel yang mencekik pengguna.
d. Mewujudkan mekanisme yang akan memperbanyakkan pembekalan
barangan-barangan keperluan pengguna seperti membuka pasaran yang lebih luas
kepada kemasukan barangan daripada negara-negara membangun (fair trade)
dan memperluaskan jaringan rantaian perbekalan (supply chain).
e. Menekankan program-program pembasmian kemiskinan berasaskan
keperluan dengan berusaha mengeluarkan 40% rakyat Malaysia yang pendapatan
isirumah RM 1500 ke bawah daripada belengu tersebut, seperti memberi pembiayaan
perniagaan secara Mudharabah, Musharakah dan Qard al-Hasan.
Agenda 4: Pendidikan Berkualiti,
Berdaya Saing dan Boleh-capai
a. Memberi peruntukan mencukupi kepada sekolah-sekolah dengan
meningkatkan bantuan perbelanjaan per kapita dan memastikan perbelanjaan yang
telus dan berhemat supaya ibu bapa tidak lagi menanggung kos-kos tersembunyi
bagi menyekolahkan anak-anak mereka.
b. Memberi peruntukan khas kepada PIBG di sekolah-sekolah luar
Bandar bagi membantu kegiatan meningkatkan kecemerlangan pencapaian akademik
luar bandar.
c. Memberikan yuran pengajian percuma kepada anak-anak dari
keluarga luar bandar berpendapatan RM1500 ke bawah dan keluarga bandar
berpendapatan RM 2500 ke bawah untuk memasuki universiti-universiti awam.
d. Memberikan autonomi kepada universiti-universiti awam dan
menjana iklim akademik yang sihat demi meningkatkan daya saing pendidikan
tinggi di peringkat global.
e. Menjana institusi pengajian tinggi yang berprestasi cemerlang
dengan menambah peruntukan R&D dengan jumlah yang setara dengan peruntukan
R&D di negara-negara maju.
Agenda 5: Perkhidmatan Kesihatan
Cekap, Berkualiti dan Boleh-capai
a. Mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) bagi
kumpulan rakyat yang tidak mempunyai Skim Perlindungan Kesihatan daripada
majikan masing-masing agar dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang
berkualiti.
b. Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk mempertimbangkan
skim perkhidmatan kesihatan yang lebih munasabah demi mengelakkan ‘ketirisan
tenaga pakar’ kepada pihak swasta atau ke luar negara.
c. Memberikan perkhidmatan kesihatan percuma sepenuhnya kepada
golongan miskin, kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung.
d. Memberi pengiktirafan kepada kaedah-kaedah perubatan alternatif untuk
mempelbagaikan pilihan kepada masyarakat memperolehi perkhidmatan kesihatan
yang sesuai dengan mereka.
e. Memberi insentif kepada badan-badan masyarakat madani untuk
terlibat aktif di atas semangat kesukarelaan dalam menyampaikan perkhidmatan
kesihatan langsung kepada masyarakat terutama di luar bandar.
Agenda 6: Kebajikan Langsung,
Menyeluruh dan Mesra-rakyat
a. Memperkukuhkan dan memperkemaskan pengurusan zakat, wakaf dan
lain-lain dengan memberi lebih kuasa dan peranan kepada masjid sebagai pusat
sehenti kebajikan masyarakat Muslim.
b. Meminimakan karenah birokrasi sehingga penyampaian perkhidmatan
dan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan boleh berlaku dengan cekap dan
cepat kepada si penerima.
c. Meningkatkan harga hartanah golongan isirumah berpendapatan RM
15000 ke bawah dengan menukarkan status hartanah ‘leasehold’ kepada ‘freehold’
bagi memberikan pengiktirafan hak yang kekal dan boleh diwarisi.
d. Membanyakkan jumlah perumahan kos rendah dan mampu milik dengan
kualiti dan persekitaran yang selesa bagi mengurangkan beban rakyat
berpendapatan isi rumah RM 3000 ke bawah dan menangani kesesakan penduduk di
perumahan flat sedia ada.
e. Mewujudkan rumah-rumah sewa di bawah majlis kerajaan tempatan di
bandar-bandar besar dengan sewa yang minima untuk keluarga-keluarga yang
memerlukan kediaman transit sebelum mereka memiliki kediaman sendiri.
Agenda 7: Keluarga Harmoni, Bahagia
dan Bermoral
a. Menginstitusikan undang-undang perkahwinan dan kekeluargaan
berdasarkan agama-agama anutan masing-masing untuk memelihara keharmonian
kehidupan berkeluarga.
b. Memberikan peluang kepada pasangan suami-isteri untuk
memperolehi pendidikan keluarga sepanjang hayat dan motivasi keibubapaan yang
percuma melalui mekanisme pemberian voucer.
c. Mewujudkan pusat kekeluargaan (family centre) di setiap
lokaliti sebagai sebuah institusi yang menggalakkan program-program
kekeluargaan di peringkat komuniti.
d. Memupuk gaya hidup kekeluargaan yang memenuhi fitrah semulajadi
manusia melalui kempen-kempen berterusan seperti menggalakkan kawasan kediaman
bebas dari sebarang aktiviti selepas tengahmalam.
e. Mewujudkan tabung
khusus untuk surirumah-surirumah sepenuh masa di bawah akaun Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami mereka bertujuan membela nasib ibu-ibu tunggal
yang tidak berkerjaya selepas ditinggalkan atau kematian suami.
Agenda 8: Pekerja Produktif, Berdaya
Saing dan Terbela
a. Menyemak semula secara komprehensif struktur gaji dan terma
perkhidmatan sektor awam ke arah mewujudkan struktur gaji sektor awam yang
lebih saksama untuk merapatkan jurang pendapatan sektor awam dan sektor swasta,
selaras dengan halatuju menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
b. Menaikkan dan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (COLA) bagi kakitangan
sektor awam dari RM 300 sebulan (bandar besar), RM 200 sebulan (bandar
sederhana) dan RM 150 sebulan (lain-lain tempat) kepada RM 500 sebagaimana
tuntutan CEUPACS.
c. Menyelaraskan seluruh institusi yang berkaitan dengan pendidikan
tenaga vokasional seperti IKBN, Kolej Komuniti dan lain-lain bagi memberi fokus
yang menepati keperluan semasa dalam melahirkan pekerja separa mahir dan juga mengelakkan
pertindihan untuk menjimatkan kos.
d. Meminda akta berkaitan dengan gaji minima berdasarkan
pemuafakatan di antara majikan dan kesatuan sekerja, sesuai dengan jenis
pekerjaan dan keperluan tuntutan kualiti hidup yang munasabah.
e. Meletakkan seluruh kesatuan atau persatuan yang berkaitan dengan
pekerja di bawah Akta Kesatuan Sekerja bukan di bawah Akta Pertubuhan sepertimana
yang wujud pada sebahagian besar kesatuan atau persatuan pekerja hari ini,
sebagai satu usaha mengiktiraf suara yang mewakili golongan ini.
Agenda 9:
Kemudahan Prasarana Berkualiti, Cekap dan Bertaraf Dunia
a. Memperluas dan memperkayakan peranan institusi wakaf supaya
dapat dimanfaatkan untuk penyediaan prasarana awam kepada orang ramai
sebagaimana yang telah diamalkan sejak zaman Rasulullah s.a.w.
b. Menggalakkan penyertaan dan persaingan sektor swasta dalam menyediakan
prasarana awam dengan satu mekanisme perlaksanaan yang telus.
c. Mewujudkan satu tabung khas dari dana awam yang bertanggungjawab
menyediakan prasarana awam di kawasan-kawasan yang sektor swasta merasakan
tidak mendapat pulangan setimpal untuk menyediakannya.
d. Membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap dengan
memperluaskan jaringan jalan-jalan raya dan rel-rel keretapi di Pantai Timur
Semenanjung dan Malaysia Timur.
e. Membina prasarana yang mencukupi untuk golongan kurang upaya
yang setaraf dengan prasarana yang terdapat di negara-negara maju demi
mengupayakan dan memudahkan golongan ini
melaksanakan urusan seharian mereka.
Agenda 10: Alam Sekitar Segar,
Terpelihara dan Lestari
a. Melaksanakan sepenuhnya program 3R (reduce, reuse, recycle)
di seluruh majlis kerajaan tempatan dengan mempergiatkan pendidikan kesedaran
alam sekitar yang meluas untuk seluruh rakyat melalui kerjasama badan-badan
masyarakat madani, institusi pendidikan, institusi agama dan lain-lain.
b. Menguatkuasakan dengan bersungguh-sungguh dan telus akta-akta
dan peraturan-peraturan berkaitan pemuliharaan alam sekitar untuk mengelakkan
tragedi-tragedi berkaitan alam sekitar seperti tanah runtuh, banjir kilat dan
lain-lain.
c. Menggubalkan peruntukan tertentu di bawah Akta Kualiti Alam
Sekitar yang membuka ruang kepada penyertaaan masyarakat awam bersuara terhadap
projek-projek yang tidak termasuk di bawah keperluan menyediakan EIA.
d. Mengeluarkan laporan kualiti alam sekitar yang telus dan
menyeluruh setiap tahun bagi memastikan masyarakat awam sentiasa peka dengan
kualiti alam sekitar mereka.
e. Mempelopori usaha-usaha serantau untuk mencegah masalah alam
sekitar yang merentasi sempadan seperti kejadian jerebu dan pencemaran laut.
PENUTUP
Berdasarkan tasawwur tersebut,
Negara Berkebajikan yang diusahakan oleh PAS begitu berbeza dengan dakwaan
‘Negara Kebajikan’ UMNO yang tidak berpijak kepada paksi-paksi yang disebutkan,
sehingga simptom-simptom kegagalan konsep ‘Negara Kebajikan’ mereka semakin
ketara hari ini. Kebejatan yang berleluasa, rasuah dan salahguna kuasa dengan
tata-kelola kelompok manusia berkuasa yang saling membolot kekayaan negara
merupakan gambaran-gambaran yang jelas kegagalan ‘Negara Kebajikan’ yang ditaja
oleh UMNO.
No comments:
Post a Comment