Pendahuluan
Pilihanraya ke 13 yang bakal disertai oleh PAS merupakan salah satu
kerja jihad semasa bagi gerakan Islam. Jihad ini menuntut pengorbanan dari para
pejuang dari sudut harta, jiwa dan juga masa. Justeru, konsep Ribat fi
Sabilillah (رباط) yang
disebut di dalam al-Qur’an dan Hadis perlu diaplikasikan bagi memaksimakan
penyertaan tenaga kerja pilihanraya seterusnya memaksimakan kemenangan Islam
dalam memerintah Malaysia.
Konsep Ribat fi Sabilillah
Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah Muwatta, Ribat
pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki.[2]
Seterusnya ia digunakan dengan maksud-maksud berikut:
Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah.
Menurut pengarang al-Muntaqa, maksud mengikat kuda di jalan Allah
ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. Ia merupakan salah satu bentuk
kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun
dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia
tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad
dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). [3]
Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat
tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia
mendapat pahala jihad.
Dalilnya ialah firman Allah Taala:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ
تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
[ الأنفال : 60 ].
Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu
mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu
gunakannya untuk menggerunkan musuh
Allah dan juga musuh kamu.”
Konsep Ribat ini termasuk dalam
sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan
oleh Allah Taala menerusi firman-Nya:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ
حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (البقرة: 261 )
Maksudnya: Bandingan mereka yang menginfaqkan
harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang
menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan
Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas
lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah: 126)
Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan
Ribat ini
bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan Negara Islam. Menurut
Ibn Hajar al-`Asqalani, Ribat
bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir
untuk menjaga orang islam daripada musuh. [4]
Ribat ini dirujuk oleh firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا
وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu, sama-samalah
bersabar (berhadapan dengan musuh), lakukanlah ribat dan bertaqwalah
kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.
Kelebihan Ribat ini disebut
dalam banyak hadis Nabi saw antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl
bin Sa`ad al-Sa`idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا
وَمَا عَلَيْهَا[5]
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada
dunia dan isinya.
Muslim meriwayatkan daripada Salman
al-Farisi r.a katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ
وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ
رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ [6]
Maksudnya: Ribat sehari semalam lebih baik daripada
berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan
berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezkinya pula akan
diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).
Dalam riwayat Tirmizi daripada Salman
al-Farisi menyebut Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ وَرُبَّمَا قَالَ
خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَمَنْ مَاتَ فِيهِ وُقِيَ فِتْنَةَ الْقَبْرِ
وَنُمِّيَ لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ [7]
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal
–mungkin beliau berkata – lebih baik – berbanding puasa dan qiyam selama
sebulan. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan Ribat terselamat daripada ujian
kubur dan dicambahkan untuknya amalannya sehingga ke hari Qiamat.
Nasaei pula meriwayatkan daripada Uthman bin
Affan r.a bahawa Nabi saw bersabda:
إِنَّ رِبَاطَ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ
يَوْمٍ مِمَّا سِوَاهُ فَلْيُرَابِطْ امْرُؤٌ حَيْثُ شَاءَ[8]
Maksudnya: Sesungguhnya Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal
daripada seribu hari selainnya. Maka hendaklah melakukan ribat seseorang itu di
mana sahaja dia mahu.
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Makhul
r.a bahawa Nabi saw bersabda:
تمام الرباط أربعون يوما[9]
Maksudnya: Kesempurnaan Ribat ialah 40 hari.
Ketiga : Ribat Dalam Ibadah
Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa
Nabi saw bersabda:
أَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ
الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ
وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ
فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ[10]
Maksudnya: Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh
Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya
beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wudu’ di waktu sukar, membanyakkan
langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan
solat. Semua itu adalah Ribat.
Menurut Ibn Kathir, Ribat atau Murabatah
ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti
Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif mentafsirkannya sebagai menanti waktu solat
selepas dikerjakan satu solat di masjid.[11]
Menurut Imam Nawawi, Ribat
asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya
untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan
sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa
nafsu.[12]
Pilihanraya Sebagai Wasilah Menegakkan Khilafah
Melantik pemerintah Islam yang akan menegakkan
agama dan mentadbir Negara dengan agama adalah satu kewajipan yang telah
disepakati oleh Sahabat Nabi saw dan para ulama. Dalilnya ialah ijma’ Sahabat
melantik Khalifah selepas kewafatan Nabi saw.
Dalam konteks Malaysia, pilihanraya menjadi
satu wadah yang dibenarkan menurut perundangan negara untuk memilih pemerintah. Pilihanraya akan
menentukan sama ada pemerintah yang terpilih memerintah menurut al-Qur’an dan
Hadis atau menurut hawa nafsu. Berasaskan kepada hakikat ini penglibatan
gerakan Islam dalam pilihanraya merupakan satu keperluan semasa bagi memastikan
negara diperintah menurut Islam. Penglibatan dalam pilihanraya merupakan satu
jihad fi sabilillah.
Kaedah Fiqh menegaskan: sesuatu yang tidak
sempurna kewajipan lain melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib. Dalam
konteks semasa perundangan Malaysia harini menegakkan khilafah yang akan
menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama hanya boleh berlaku menerusi
pilihanraya. Maka, penglibatan diri dalam pilihanraya adalah wajib.
Pilihanraya Wasilah Melaksanakan Jihad Menyatakan Kebenaran
Pilihanraya menjadi wasilah untuk menegur
pemerintah yang khianat terhadap amanah kepimpinan dan melakukan kezaliman. Justeru,
gerak kerja pilihanraya merupakan satu jihad fi sabilillah. Nabi saw bersabda:
أَلَا إِنَّ لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءً يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقَدْرِ غَدْرَتِهِ
أَلَا وَأَكْبَرُ الْغَدْرِ غَدْرُ أَمِيرِ عَامَّةٍ أَلَا لَا يَمْنَعَنَّ رَجُلًا
مَهَابَةُ النَّاسِ أَنْ يَتَكَلَّمَ بِالْحَقِّ إِذَا عَلِمَهُ أَلَا إِنَّ أَفْضَلَ
الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ[13]
Maksudnya: Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat mempunyai bendera
pada hari Kiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar
pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah
janganlah kehebatan manusia menjadi penghalang bagi seorang lelaki
memperkatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya
sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim.
Ribat Dalam Gerakkerja Pilihanraya
Ketiga-tiga konsep Ribat di atas perlu dijelmakan dalam kerja-kerja
Jihad melibatkan pilihanraya. Justeru Ribat dalam gerakkerja pilihanraya
bermaksud
1.
Menyediakan kelengkapan kerja-kerja pilihanraya melibatkan harta.
2.
Mengikat diri untuk berada di medan pilihanraya sepenuhnya sekiranya
mampu sepanjang tempoh kempen pilihanraya ke 13
3.
Menyiapkan gerak kerja yang boleh menggerunkan musuh
4.
Menjaga ibadah utama sepanjang tempoh kempen pilihanraya dengan
menyempurnakan wudu’, bergerak ke markaz-markaz untuk mengerjakan solat
berjamaah di markaz-markaz pilihanraya sepanjang tempoh kempen pilihanraya
Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta
Sirah para sahabat menunjukkan
kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan
harta antaranya. Ketika berlangsungnya peperangan Tabuk, Othman yang sudah
bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan semua
unta berjumlah beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang
Menurut hadis
riwayat Ahmad dan Tirmizi daripada Abd Rahman bin Hubab al-Sullami bahawa
Uthman telaah menyediakan 300 ekor unta[14].
Menurut riwayat Abd Rahman bin Samurah, Uthman telah menyediakan 1000 dinar[15].
Riwayat yang lemah pula oleh Ibn `Adii daripada Huzaifah menyebut 10,000 dinar.
Menurut Ibn Hajar barangkali ia bermaksud 10,000 dirham yang nilainya menyamai
1000 dinar ketika itu.
Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai 4000 dirham.[16] Umar pula memberikan
separuh harta. Abd Rahman menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham. [17] Sahabat yang tidak
berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu
Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma; separuh untuk keluarga dan separuh disediakan
untuk perang.
Penutup
Penjelmaan konsep Ribat dalam
pilihanraya ke 13 oleh para alim ulama merupakan saham besar kepada kemenangan
PAS dalam pilihanraya ke 13 insyallah. Para ulama boleh melaksanakan
ketiga-tiga jenis Ribat yang telah dijelaskan. Saham utama mereka ketika
Ribat ialah masa yang diperuntukkan untuk membuat penjelasan-penjelasan
ilmu kepada orang-orang jahil, harta benda yang boleh disumbangkan dan
ketulusan ibadah mereka sepanjang pilihanraya untuk menggamit kemenangan
dikurniakan oleh Allah.
RUJUKAN
2. Ibn Kathir, Tafsir
al-Qur’an al-`Azim, Dar Tayyibah, 1420/1999.
4. Musannaf Ibn Abi
Syaibah
5. Musnad Ahmad. http://www.al-islam.com
7. Sahih Bukhari
8. Sahih
Muslim
9. Sunan Tirmizi
10. Sunan Nasaei
[1] Kertas ini disediakan oleh Ust. Dr. Mohd
Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri, Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat sesi
2011-2012 untuk pembentangan dalam Ijtima’ Pilihanraya Ulama Haraki (HARAKI)anjuran
Dewan Ulama PAS negeri-negeri dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Pusat sepanjang
November 2011. Ia dibentang untuk pertama kali dalam Ijtima’ Pilihanraya
Ulama Haraki di peringkat negeri Terenggganu oleh Ust Dr. Khairuddin dan di
peringkat Johor oleh Ust Dr. Ahmad Nazri Mansur yang berjalan serentak pada
hari Sabtu 19hb November 2011.
[3] Ibid.
[4] Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, juz 9, hlm. 39.
[5] Hadis riwayat Bukhari, no 2678, juz 10, hlm
19, dan Tirmizi, no 1587, Bab Kelebihan Murabit, juz 6, hlm. 228.
[6] Hadis riwayat Muslim, no 3537, juz 10, hlm. 26
[7] Hadis riwayat Tirmizi No 1588, Bab Kelebihan
Murabit, juz 6, hlm. 228. Menurut Abu Isa al-Tirmizi ianya Hadis Hasan.
[8] Hadis riwayat Nasaei, no 447, juz 10, hlm.
248
[9] Musannaf Ibn Abi Syaibah, Juz 4, hlm. 584.
Maktabah Syamilah.
[10]
Hadis Sahih Muslim, Bab Kelebihan menyempurnakan Wudu’, no 369, juz 2, hlm. 57.
Dan juga riwayat Ibn Hibban, Abu Ya`la dan al-Bazzar dengan isnad yang sahih.
[11] Tafsir Ibn Kathir, Juz 2, hlm. 192. Dar
Tayyibah, 1420/1999.
[12] Nawawi, Syarah Sahih Muslim, juz 1, hlm.
406, http://www.al-islam.com
[14]
300 ekor unta boleh dinilai harini dengan rm1.5 juta berdasarkan harga semasa
seekor unta rm5000.
[15]1000 dinar bersamaan dengan rm859,000 menurut kiraan harini berdasarkan dinar emas Kelantan
bernilai rm859 untuk 1 dinar.
[16] 4000 dirham ketika itu bersamaan dengan 400
dinar. Nilaian emas berdasarkan Dinar Emas kelantan pada hari ialah 400 x
rm859=rm343,600.
[17] 2000 dirham ketika itu bersamaan dengan 200 dinar. Nilaian emas
berdasarkan Dinar Emas kelantan pada hari ialah 200 dinar x rm859=rm171,800