Ustaz Idris Hj Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat/ Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat.
MUQADDIMAH
Apabila Baginda
Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, tiga perkara asas yang baginda lakukan iaitu
mendirikan masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, menegakkan
syariat Allah. Ukhwah diberi perhatian yang lebih kerana ia adalah tonggak
kepada pembinaan sebuah negara. Negara goyang jika ukhwah longgar, begitu juga
di dalam jamaah. Oleh sebab itu jika perkara ini diabaikan ia mendatangkan
musibah yang tidak baik kepada perjalanan jamaah.
PENTINGNYA UKHWAH DI DALAM JAMAAH.
1- Boleh
merapatkan saf kepimpinan di dalam jamaah. Bila ukhwah renggang banyak kerja
jamaah akan terencat. Sebab itu ikatan ukhwah mesti dipelihara demi
kelangsungan perjuangan. Perjalanan jamaah bergerak secara sukarela, bukan
dengan paksa. Bagaimana jamaah hendak bergerak jika perasaan mahabbah tidak ada
di kalangan anggota.
2- Hilang perasaan buruk
sangka sesama sahabat, kerana syaitan gagal menghasut. Sebarang keraguan terus
mendapat penjelasan dan penerangan. Kerana punca hubungan renggang berpunca
daripada sangka buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai
orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari
prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan
janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain" Al-Hujurat
49:12.
3- Mengelak daripada
musuh jamaah dapat bertapak di dalam parti. Mereka gagal untuk berlakon dan
menjadi virus pemusnah di dalam jamaah, kerana segala tingkah laku mereka
sentiasa diperhati di kalangan ahli. Semua ahli akan mengawal daripada semua
sudut menjadi SB jamaah untuk melaporkan kalau ada pengkhianat dalam parti.
SEBAB UKHWAH MUSNAH
1- Tidak ada program
yang disusun oleh jamaah. Akhirnya ahli membawa cara fikir dan tindakan
menurut kehendak masing-masing. Maka jadilah kapal yang banyak nakhoda.
2- Mendengar
pandangan orang lain, tanpa mengambil kira pandangan sesama jamaah. Seorang
itu lebih percaya orang luar daripada ahli sendiri. Maka akan berlakulah jamaah
dalam jamaah.
3- Zaman media baru,
pandangan jamaah tidak dipedulikan. Kadang-kadang ahli lebih percaya kepada
persepsi yang berjaya dibentuk. Maklumat yang diperolehi kadang-kadang daripada
ejen musuh yang berlakon ahli PAS. Mereka inilah yang membuat adu domba
sehingga kita berselerak dan ukhwah hancur. Inilah dilema gerakan Islam seluruh
dunia ketika menghadapi zaman langit terbuka. Ia juga menimpa kepada Gerakan
Islam di dunia hari ini. Rujukan mereka ialah Face book, portal dan blog.
Akhirnya musuh bertepuk tangan.
4- Ahli tidak sedia untuk
mengikuti program khusus seperti usrah, tamrin, liqa al-fikri. Mereka lebih
selesa ikut program umum daripada program khusus.
5- Apabila jarang bertemu
dan bersua mata, maka banyak maklumat diambil daripada media baru, akhirnya
membentuk persepsi negatif kepada jamaah dan pimpinan.
6- Pimpinan tidak turun ke
peringkat akar umbi untuk memberi pengisian dalaman dan dialog terbuka bersama
ahli.
7- Masalah ahli yang tidak
suka dirinya ditarbiah. Puncanya kerana merasa dirinya sudah hebat. Akhirnya
timbul sikap ego di dalam jamaah. Sinilah bibit ukhwah rosak di dalam jamaah.
CARA HENDAK ATASI
1- Bacalah kisah-kisah
sahabat yang menunjukkan ukhwah yang mantap melalui madrasah Rasulullah SAW.
Terutama orang Ansar dan Muhajirin, sehingga Allah merakamkan di dalam
al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan orang-orang (Ansar)
dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang
yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati
mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka
mengutamakan (Muhajirin) , atas dirinya sendiri meski pun mereka juga memerlukan"
( Al-Hashr 59:9)
2- Mesti
tanamkan di dalam diri ahli PAS di semua peringkat bahawa perpecahan di dalam
jamaah akan menguntungkan pihak musuh. Firman Allah SWT
"Janganlah kamu bertelingkah, nanti akan hilang kehaibatan kamu"
3- Kita mesti mengelak untuk
mewujudkan faktor-faktor yang boleh merenggangkan ukhwah di kalangan ahli.
Contohnya di dalam mesyuarat kalau tidak bersetuju biarlah dengan bahasa
yang beradab. Jangan menghina pandangan ahli mesyuarat. Tidak bersetuju tidak
mengapa tetapi jangan menghina. Biarlah mesyuarat dengan suasana penuh ukhwah
bukan 'adawah (permusuhan). Jadikan mesyuarat tempat untuk subur kasih sayang.
Biarlah ahlinya seronok untuk datang mesyuarat, bukan bosan apabila hadir
mesyuarat.
4- Segera mendapat maklumat
daripada batang tubuh sahabat jika beliau adalah orang yang dituduh. Supaya
penjelasan ini akan menamatkan tuduhan dan fitnah kepada setiap ahli.
5- Program kerohanian mesti
dirancakkan di dalam organ parti. Kerana manhaj tarbiah PAS merangkumi
pembinaan akal, jasmani dan rohani. Kadang-kadang terlepas pandang, sehingga
sudut tarbiah ruhiah dikesampingkan akhirnya bibit-bibit perpecahan mudah
menyerap masuk di dalam jamaah.
6- Usrah yang
menjadi tunggak kepada gerakan PAS perlu diaktifkan daripada peringkat Pusat
hingga ke cawangan. Usrah merupakan siri pertemuan di kalangan ahli
dengan skala kecil, tetapi mempunyai impak yang besar. Seboleh mungkin
pertemuan mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Usrah akan
mengikat talian ukhwah yang tinggi di kalangan ahli yang hadir. Komunikasi dua
hala akan berlaku dengan mudah. Tidak bosan, kerana ia boleh berpeluang tukar
pandangan, bertanya, berdialog. Segala kekusutan dalam jamaah akan dapat
diatasi dengan mudah. Sebagai mana kita maklum, permasalahan di dalam jamaah
berlaku akibat daripada kekusutan kecil tidak diselesaikan di peringkat awal
sehingga merebak besar. Usrah adalah satu daripada mekanisme yang boleh
mengurangkan ketegangan dalam jamaah.
7- Usah gunakan media untuk
mengkritik sesama ahli, walaupun kita rasakan pandangan kita betul. Orang awam
melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Mereka tidak melihat
permusuhan itu bersifat peribadi antara si Mamat dengan si Dolah, tetapi mereka
menempelak kenapa sesama ahli pun bergaduh. Perlu diingat jika kita menggunakan
media, maka rakan kita satu jamaah juga akan menggunakan media. Hasilnya orang
awam akan menghukum kita.
TERUS BERISTIQAMAH
Di susun dan
disampaikan oleh,
YB Ustaz
Idris Bin Haji Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Pengarah Jabatan Tarbiah PAS
Pusat
Dalam Liqa'
Al-Fikri PAS Kedah
kali ke-4 sesi 2014/2015
30
Januari 2015 / 9 Rabiul Akhir 1436