PERANAN TARBIAH
KEPADA PETUGAS PILIHANRAYA
Muqaddimah
Pilihanraya adalah
satu medan amal untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan Islam di negara ini.
PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang sudah lama bertapak di
negara ini, telah mengambil pendekatan pilihanraya sebagai satu uslub.
Penyertaan dalam pilihanraya adalah wajib bagi memastikan Islam berdaulat dan
berkuasa. Islam tidak boleh hanya berlegar di dalam masjid dan berdakwah
semata-mata, tanpa ada kuasa untuk menghalang sesiapa yang zalim di atas muka
bumi ini. Islam yang hendak diperjuangkan oleh PAS tidak ke mana kalau hanya
bersandar di tiang seri masjid, tetapi ia mesti bersandarkan kepada tiang
negeri. Maka kerja amal yang kita lakukan ini adalah satu jihad untuk
memastikan kedaulatan ini tercapai.
Maka pilihanraya
adalah medan untuk kita beramal dan berdakwah untuk mengajak manusia kembali
kepada jalan Allah SWT.
Walaubagaimanapun
peranan tarbiah kepada petugas pilihanraya PAS adalah menjadi keistimewaan
kepada petugas PAS yang tidak boleh memisahkan dengan tarbiah walaupun dalam
apa jua suasana. Kerana tarbiah memberi sumber kekuatan roh kepada petugas
walaupun kita mempunyai kekurangan yang lain.
Petugas
pilihanraya yang berjaya ialah mereka yang mempunyai kekuatan hubungan dengan
Allah SWT. Bukan senang hendak menarik sokongan masyarakat kepada PAS, kerana kita
tidak mempunyai tawaran kebendaan.
Kerja ini
memerlukan kemampuan dan semangat yang waja, dan memerlukan beberapa pra syarat
untuk berjaya. Di sinilah letaknya peranan tarbiah kepada petugas pilihanraya
1. Beriman Dengan Fikrah
Perjuangan Islam
Seorang petugas
yang baik beriman dengan fikrah perjuangan yang dibawa oleh PAS seperti yang
terkandung yang di dalam perlembagaan PAS Fasa 3 “ Dasar PAS ialah ISLAM”.
Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah islam yang lengkap, merangkumi semua
perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain
merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu memperjuangkan Din wa daulah
( Agama dan
Negara)
Islam yang
diperjuangkan oleh PAS ialah satu ajaran yang menyeluruh seperti yang
diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Ia bukan satu tempelan dalam perkara tertentu
dan meninggalkan pada perkara tertentu. Jika Rasulullah SAW dan para sahabat
berjihad untuk mendaulatkan agama Allah atas muka bumi ini maka kita sebagai
orang yang kasih kepada baginda mesti melaksanakan arahan ini seperti yang
baginda lakukan selama ini. Nabi kita Muhammad SAW tidak perlu berhijrah jika
Islam yang hendak ditegakkan hanya kepada Islam yang sempit seperti yang diajar
dan diamalkan oleh negara ini. Maka PAS berusaha untuk menegakkan Islam
berdasarkan realiti di negara ini bagi memastikan matlamat ini tertunai. Maka
kerja ynag dilakukan oleh PAS, adalah merupakan satu jihad.
Sekiranya Islam
tidak didaulatkan maka selagi itulah Islam dihina dan dipermainkan oleh musuh
yang akhirnya fitnah dan kekufuran berkuasa di bumi ini. Penghinaan terhadap
apa yang Allah perintah secara qat’ie tidak boleh dilaksanakan kerana Islam
berada dibawah kuasa orang lain. Maka usaha untuk menegakkan kuasa inilah satu
kerja jihad.
Di dalam fasa 5.
Tujuan PAS ialah:
1)
Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan
yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju
keredhaan Allah.
2)
Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Di dalam fasal ini
jelas bahawa PAS berusaha untuk membentuk masyarakat Islam sejak dari awal
penubuhan lagi.
Meletakkan dalam
dirinya senang sahaja berjuang. Memikirkan untuk menarik sokongan orang kepada
perjuanagn Islam seperti hendak kempen barang jualan langsung, adalah tanggapan
yang silap. Sebaliknya apa yang berlaku sukar dan payah.
Firman Allah SWT
yang bermaksud :
“Alif Lam Miim.
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “ kami
telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah
menguiji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar benar beriman dan sesungguhnya dia mnegetahui
orang-orang yang berdusta”
Al – Ankabut : 1-3
2. Memahami Agama Islam Dengan
Baik
Petugas
pilihanraya mesti memahami agama dengan baik, akan dapat memberi petunjuk
kepada orang lain. Justeru itu, ia perlu menguasai tentang agama Allah kerana
ianya tidak akan dapat memberikan petunjuk ke jalan Allah, jika beliau sendiri
gagal untuk memahami Islam yang sebenar. Sekurang-kurangnya perkara asas ia
mesti mengetahui kerana ia hendak meyakinkan orang kepada perjuangan yang kita
bawa adalah perjuangan suci yang bukan menjanjikan benda, sebaliknya
menjanjikan perkara sam’iyat . Sekiranya ia jahil tentang agama bagaimana ia
hendak menguasai fikrah masyarakat. Seperti kata pepatah Arab “ seseorang
yang fakir tidak boleh memberikan sesuatu”
Sedangkan golongan
sekular di negara ini memperalatkan agama dan memutarbelitkan agama demi
kelangsungan perjuangan batil mereka. Mereka mencari orang-orang agama yang
boleh dijadikan kuda tunggangan supaya menghalalkan segala bentuk kezaliman dan
perkara yang bertentangan dengan agama yang suci. Maka petugas pilihanraya
mesti menguasai ilmu ini sebagai benteng pertahanan untuk menangkis
diayah ini. Memperalatkan agama bukan perkara baru dalam UMNO dan BN, semua ini
memerlukan keyakinan, tawakal kepada Allah disamping ilmu pengetahuan. Tanpa
senjata ini petugas PAS akan kecewa dan meraba-raba dalam melakukan tugas yang
berat ini. Program untuk memahamkan masyarakat ini boleh dijalankan melalui
dakwah “amah (umum) seperti kuliah, ceramah, muzakarah, risalah. Mesejnya jelas
iaitu untuk memahamkan mereka kepada mereka tentang Islam yang syumul bukan
sahaja Islam hadhari yang tidak bertolak daripada asas akhidah, sekarang “Islam
Wasatiah.” Maka diharapkan kepada semua petugas untuk menguasai ilmu secara
berterusan dan tidak boleh berpada dengan apa yang ada sahaja.
Di zaman serba
bermaklumat dan dunia tanpa sempadan maka penguasaan ilmu dan pemahaman agama
yang mantap adalah asas. Zaman mu’tazilah moden yang pakai akal tanpa wahyu, rasional
tanpa Al-quran, logik tanpa al-sunnah. Maka petugas yang tegar dengan pegangan
agama sahaja yang mampu untuk melawan kesesatan ini.
Oleh itu, semua
petugas di jalan Allah daripada semua peringkat samada yang bergelar pemimpin
sampai pengikut biasa hendaklah bersedia mendalami ilmu agama untuk meyakinkan
mereka apa yang kita bawa. Kita hendaklah berusaha daripada semasa ke
semasa tanpa jemu. Kerana ilmu hari ini berkembang seperti kilat sekiranya kita
tidak bersedia untuk “up to date” maklumat, maka kita akan tertinggal ke
belakang.
Petugas
pilihanraya mesti bersedia untuk memenuhi majlis ilmu yang diadakan di mana
sahaja, supaya kita dapat menjadi ahli PAS yang mempunyai nilai tambah. Guru
yang kita hendak menadah kitab biarlah mereka yang mursyid yakni guru yang
boleh memberi petunjuk kepada perjuangan, bukan hanya berteori di dalam surau
dan masjid sahaja. Kita tidak mahu mereka hanya berteori dan tidak turun
bergelomang dengan perjuangan yakni bersama meneroka medan dan kerja lapangan
di dalam jemaah. Minimum standard biarlah mereka membimbing kuliah dan menjadi
naqib di dalam program PAS, kalu pun mereka tidak mahu berada di atas pentas
PAS untuk berceramaah. Ataupun sekurang-kurangnya mereka ini memimpin cawangan
dan terlibat dalam organisasi parti. Guru seperti inilah baru kita dapat
melihat bagaimana ruh jihad akan menular kepada muridnya.
- Bersifat Ikhlas
Kerja pilihanraya
tidak boleh bergerak sekiranya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota
dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah PAS
sehingga mereka berjuang bukan kerana individu tetapi kerana Islam dan
Jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa PAS telah berjaya menanamkan
kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan.
Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh PAS. Tidak hairanlah kepada kita
beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang telah mengkhianati perjuangan namun
ahli PAS tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian
daripada tarbiah untuk melihat sejauh manakah mereka yang telah tahan diuji
semasa dalam perjuangan. Pemimpin PAS yang keluar daripada PAS hidup menderita
apabila mereka melihat sejak ketiadaan mereka PAS semakin berkembang bukan
semakin lemah. Ini yang menambahkan barah perasaan dan mental di dalam diri
mereka. Fanatiknya ahli-ahli PAS kerana perjuangan dan dasar PAS. Prinsip
perjuangan yang tidak pernah luntur daripada Islam. Selain daripada itu,
keikhlasan yang ada dikalangan ahli-ahli PAS jugalah merupakan sebab Allah
mengekalkan PAS dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seperti mana
wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat pada tahun 1964
sebelum beliau meninggal dunia,
“Saya perlu
memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah
keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin
tidak kuat. Tapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat
dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik, pandai, kuat, sekiranya kita tidak
ikhlas dengan apa yang kita perjuangkan. Kita suci tujuan kita kepada itu. Kita
ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang
tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari
apa-apa yang kita tuju dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu
pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita
tanam, kita pupuk pada diri kita”
Mewarisi Kepimpinan Anbiya’ 1991 : 7
- Muraqabah Dengan Allah SWT
Kerja yang
dilakukan penuh dengan cabaran yang berliku maka petugas pilihanraya mesti
melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalam sunat, beruzlah dari
kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberikan
kekuatan dalam menjalankan dakwah. Inilah senjata yang paling utuh perlu
diterap dalam jiwa petugas terutama menghadapi suasana yang getir pada waktu
sekarang ini. Kita mesti meletakkan perjuangan menghadapi kezaliman sekarang
tidak boleh lagi berada di zon selesa. Semua para petugas perlu memperbanyakkan
amalan fardhiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca
Al-Quran, berzikir, solat sunat kesemuanya ini akan membuahkan keikhlasan dalam
diri para petugas.
- Qudwah Hasanah
Suri contoh
teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang
kepada perjuangan. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan
daripada bahasa lidah.
Kisah seorang
Yahudi bernama Zaid bin Saanah yang memberi hutang kepada Rasulullah
SAW. Sebelum 2 atau 3 hari tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya
bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang
ada waktu itu hendak memancung lelaki tersebut. Baginda melarang sebaliknya
menyuruh Saidina umar menjelaskan hutang dan ditambah 20 gantang tamar. Maka
yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? Maka Saidina Umar memberitahu sebagai
ganti kjepda perbuatanku yang telah menggerunkan engkau . Akhirnya yahudi
tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekahkan kepada umat
Muhammad SAW.
Kita pernah
mendengar bagaimana seseorang masuk PAS kerana melihat Al—Marhum Ustaz Fadhil
Nor sebagai Presiden PAS berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang
menjemput beliau memotong giliran.
Bagaimana orang hendak
ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang
tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik,
dengan ini mendatangkan rugi kepada jamaah. Bahasa badan (lisanul hal) lebih
berkesan daripada bahasa percakapan
- Bekerja Secara Berjamaah
Tarbiah mengajar
kita supaya bekerja secara berjamaah. Tugas yang berat ini tidak dapat dicapai
jika bekerja secara personal (fardi) ia memerlukan kepada tugas yang dipikul
bersama dengan anggota lain. Kerana musuh kita juga bekerja secara berjamaah
untuk mematikan cahaya Islam. Apabila kita bekerja dengan cara organisasi maka
ia akan memberi keselesaan bergerak sesama dengan kita. Bukan senang untuk
mengajak manusia untuk beriman dengan Islam dan fikrah perjuangan yang dibawa
oleh PAS. Kita akan kecewa sekiranya kita gagal. Tetapi dengan bekerja secara
berjamaah ia akan menjadi penawar kepada petugas jamaah. Petunjuk yang
dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri dengan para sahabat dalam
menyusun strategi perjuangan bersama-sama dengan jamaah yang dibentuk pada
peringkat awal. Baginda boleh bekerja seorang diri sekiranya baginda ingin
melakukan tetapi baginda mengajar para sahabat untuk bekerja dalam satu pasukan
yang hendak mencapai satu objektif untuk menegakkan agama Allah di muka bumi
ini. Bagaimana hebat dan pandai seorang petugas pilihanraya, ia tidak mampu
bekerja seorang diri.
- Sabar
Menarik manusia ke
jalan perjuangan adalah bukan suatu perkara yang senang, kesemua ini memerlukan
kesabaran.
Oleh itu, para
petugas pilihanraya perlu bersabar dalam menjalankan amanah ini. Amat payah
untuk memberi kesedaran dalam jangka masa yang singkat. Maka sifat sabar akan
menjadikan petugas itu tetap menyatakan Islam tanpa mengira jangka masa. Kerana
dalam menjalankan kerja Islam itu terpaksa berdepan dengan pelbagai telatah
tingkah laku yang menggoncang perasaan, kerana orang yang tidak faham Islam itu
bercakap apa sahaja dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk memuaskan hawa
nafsunya.
Sepanjang
menjalankan kerja, petugas pilihanraya perlu juga sabar dengan petugas yang
lain.
- Kepentingan Meletakkan Jamaah Melebihi Kepentingan Peribadi
Mereka meletakkan
bahawa Islam dan jamaah adalah segala-galanya sehingga mereka tidak kisah apa
yang ada pada diri mereka. Seorang petugas pilihanraya yang baik ia tahan lasak
dan bersusah payah dengan ahli dan orang bawahan. Sentiasa insaf dengan
kesusahan pengikutnya dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib dan cita
mereka. Dengan ini, akan melahirkan gerakan yang dinamik untuk menggerakkan
organisasi. Orang ramai akan melihat bagimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh
petugas, yang tidak sayang pula menghabiskan wang, tenaga dan buah fikiran
untuk Islam.
- Bersikap Tawadhuk
Sifat yang penting
untuk kita mudah mendekati masyarakat ialah rendah diri. Kerana sifat takbur ia
menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia malahan menjadi
asing di kalangan masyarakat.
Tanda-tanda sifat
takbur:
- Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya lebih suka mendekati golongan yang kaya
- Memberatkan soal pakaian secara berlebihan
- Tidak mahu berucap kecuali terdapat ramai hadirin yang datang
- Bahasa berbunga dan sukar difahami. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya
Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih kata-kata
dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih rumput dengan lidahnya”.
Riwayat Abu Daud
dan Al-Tirmizi
- Bangga dengan Ilmu sendiri dan memperbodohkan orang lain.
Orang yang
tawadhuk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang,
bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan kasih semua orang. Dia
memberi khidmatnya kepada orang bukan minta khidmat mereka. Beliau sentiasa
berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka. Walaupun
beliau bijak macammana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku
sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin adalah 1 jamaah Islam, bukan
badan kerajaan ataupun swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja sukarela
bukan ada gaji. Jika ini dapat dibuktikan InsyaAllah ia akan merancakkan gerak
kerja dan melebarkan pengaruh PAS kepada orang luar.
Sekiranya petugas
pilihanraya memimpin PAS dengan sifat ego, dan merasakan dirinya pandai dan
bijak maka ia tidak boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang
yang mempunyai sifat ego dan sombong akan memalapkan usaha dan perancangan
Jamaah. Kita mesti ada perasaan merendah diri apabila bertugas, kerana ia akan
menarik perhatian orang ramai untuk bersama dengan perjuangan kita.
- Disiplin Dalam Jamaah
Disiplin adalah
perlu untuk menggerakkan Jamaah terutama sewaktu pilihanraya. Tanpa disiplin
walaupun kita berada di atas jalan yang benar akan menemui kegagalan. Peristiwa
kegagalan tentera Islam dalam perang Uhud kerana tidak ada disiplin. Kerjasama
yang baik dan semangat yang baik dan bertindak secara Jamaah. Walaupun kita
mempunyai kekuatan dan kelebihan ahli yang ramai , ahli yang taat, kekuatan
jihad yang tinggi tetapi jika tidak mempunyai disiplin ia akan menemui
kegagalan.
Saidina Ali
menyatakan yang bermaksud
“Kebenaran tanpa
penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”
- Lemah Lembut dan Pembelas Kasihan
Tidak ada manusia
yang suka kekerasan. Kita bukan sahaja hendak melontarkan fikrah semata-mata
untuk mereka menerima, tetapi juga menyelami permasalahan mereka. Kita
mengemukankan hujah kepada orang ramai supaya membolehkan mereka ini mendapat
hidayah Allah. Di sinilah perlunya kita bersikap lemah lembut supaya mereka
mudah menerima seruan dakwah.
Kita wajib kasihan
terhadap masyarakat yang derita akibat dicengkam dan dizalimi dengan sistem
jahiliah yang ada pada masa sekarang sehingga mereka merempat di bumi sendiri.
Kita sebagai penyelamat, mestilah bermuamalah dengan mereka dengan pandangan
rahmah bukan bermusuhan dan mesti berusaha untuk memindahkan mereka kepada
nikmat Islam.
Firman Allah SWT
yang bermaksud
“Orang yang
menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang
menahan kemarahannya dan maafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang yang
berbuat
kebajikan”
Al-Imran : 134
- Memudahkan Bukan Menyusahkan
Menerangkan Islam
dengan bentuk yang mudah supaya ia nampak rahmahnya Islam. Elakkan pendekatan
yang menghukum, lebihkan pendekatan yang positif supaya ia merasa perlu Islam
disokong kerana menyelamatkan dunia dan mendatang kebahagiaan dunia dan
akhirat.
Sabda Rasulullah
SAW bermaksud,
“Kamu permudahkan
dan jangan persusahkan, berilah khabar gembira dan janganlah kamu liarkan”
Riwayat Al-Bukhari
- Manis Muka
Manis muka dan
indah tutur kata amat mudah untuk menarik perhatian dan menguasai pengundi.
Muka lambang apa
yang ada dalam diri seseorang. Muka yang manis melambangkan kelembutan dan
ketenangan. Manakala muka yang masam melambangkan keserabutan dan kesempitan
dada.
Wajah yang manis
bukan bererti muka yang cantik dan keindahan rupa paras, kerana boleh jadi rupa
paras cantik tetapi tidak terdapat padanya kemanisan, boleh jadi rupa yang
tidak cantik tetapi penuh kemesraan dan keriangan.
Kita mesti melatih
dan membiasakan wajah meskipun kita tengah sarat dengan masalah.
- Pemurah
Lebar tangan dan
suka menolong orang ramai merupakan tanda kuat yang menunjukkan kemurahan hati
seseorang. Manakala sifat bakhil tamak dan haloba menunjukkan kebakhilan
dan ketamakan. Apabila sifat bakhil bertakhta di hati maka orang akan menjauhi
kita dan memandang serong dengan dakwah yang kita seru.
Kekadang dalam
sesetengah keadaan kita hendak menarik sokongan masyarakat amat memerlukan wang
untuk dibelanjakan supaya dapat menjinakkan mereka kepada kita. Kerana mahalnya
nilai manusia kepada kita maka kita terpaksa untuk membelanjakan wang yang agak
lebih berbanding dengan yang lain.kita jadikan harta sebagai alat memberi
hidayah dan dakwah bukan sebaliknya. Tidak ada siapa yang papa kerana dia
pemurah untuk kepentingan Islam.
Sikap suka menjamu
makan adalah salah satu pendekatan yang perlu dilakukan sebagai tanda pemurah.
- Memberi khidmat kepada orang lain
Kerja Islam
bukanlah untuk menyampaikan idea dan arahan semata-mata malah pendakwah
menukarkan diri sehingga membolehkan ia menghayati penderitaan orang ramai dan
sama-sama memikul keperitan yang diamali oleh mereka dengan menghulurkan
khidmat bakti untuk meringankan beban.
Sesetengah
masyarakat yang hidup susah sukar untuk menerima seruan dakwah kerana mereka
hanya memikirkan keperluan hidup mereka sahaja. Kecuali orang yang sudah
bersedia menerima perjuangan Islam seperti orang PAS tegar. Kita mesti membuka
tembok pemisah antara kita denagn mereka melalui khidmat yang dicurahkan kepada
mereka. Pejuang yang sebenar adalah ia hidup untuk orang lain bukan hidup untuk
dirinya. Mereka bekerja untuk kerehatan orang lain walaupun dirinya sendiri
terpaksa mengorbankan kesenangan dirinya. Mereka akan bahagia apabila melihat
orang lain bahagia dan merasa senang melihat orang lain senang.
Sebenarnya inilah
cara berkesan untuk menarik sokongan untuk orang menerima seruan perjuangan
kita. Sebenarnya inilah medan berkesan daripada pidato semata-mata dan gerak
kerja dakwah bukan berbentuk ucapan semata-mata. Maka amilin mestilah hidup
bersama mereka, berbincang dan berbual bersama dengan mereka samaada program
rasmi ataupun tidak.
Rasulullah
bersabda bermaksud
“ Di antara
perkara yang memastikan mendapat keampunan daripada Allah SWT ialah dengan
engkau memasukkan kegembiraan kepada saudaramu yang muslim”
Riwayat At-Tabrani
Program Tarbiah
Kepada Petugas
- Ikhlaskan hati kerana Allah
- Berusaha meninggalkan dosa besar dan tidak mengejal dosa kecil
- Sentiasa berwuduk
- Solat berjamaah di masjid mahupun surau
- Membaca mathurat
- Membaca yasin
- Hidupkan malam dengan solat tahajud, solat hajat
- Membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 1 muka surat
- Menjaga muamalat lelaki dan perempuan ketika bertugas serta lain2 keadaan
- Pelihara aurat dan dilarang bertabaruj keterlaluan
- Perbanyakkan muhasabah diri,
- Bersedia menerima teguran
- Berlapang dada dengan sahabat ketika bertugas
- Elakkan bersikap mando/ bos kerana yang datang adalah sukarela
- Wujudkan suasana mahabbah dan ukhwah sepanjang masa.
- Elakkan bertengkar
- Kurangkan senda gurau
Kesimpulan /
penutup
Tarbiah memainkan
peranan yang penting samada di waktu tenang mahupun di waktu peperangan..maka
pelaksanaan adalah penting untuk memastikan perjuangan menegakkan baldatun
toiyibatun warabul ghafur tercapai. InsyaAllah kita mengharapkan dengan tarbiah
yang PAS berikan selama ini kepada ahlinya, ia akan mampu menyelamatkan parti
daripada kemusnahan. Mereka yang mnghayati dan memahami konsep tarbiah dan
mengikut manhaj jamaah sahaja yang mampu untuk hidup bersama dengan perjuangan
Islam. InsyaALLAH.