Proses tarbiyah Islamiyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan
yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal dari perkataan
Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya
bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat
al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Bila mana kita menyebut ianya
sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi
satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan terhadap unsur-unsur yang
akan menlahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam
sebagai sistem yang
syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat
juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan
bahawa usrah hendaklah merupakan satu
kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya
sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak
menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam
gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini
bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang
tersusun.
Sehubungan itu, organisasi usrah di
setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya akan
dapat menguntungkan Islam dan jamaah.