My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Sunday 1 September 2013

30 Ogos 2013 - Kukuhkan Ukhwah Mantapkan Jamaah



KERTAS KERJA
LIQO’ AL-FIKRI PAS KEDAH KALI KEDUA BAGI TAHUN 2013
KUKUHKAN UKHWAH MANTAPKAN JAMAAH


                Jentera  parti perlu diperkukuhkan samaada dari segi fizikal atau meterial. Bukan senang untuk menghadapi kekuatan dan bala tentera musuh yang dengan berbagai kelengkapan dan penggunaan media, wang dan jentera kerajaan. Selain daripada kekuatan kewangan dan pasarana pilihanraya, maka faktor kemanusiaan adalah amat diperlukan. Jalinan ukhwah yang mendalam di kalangan anggota parti daripada pimpinan hingga ahli biasa adalah amat diperlukan. Supaya jentera akan mantap laksana susunan binaan yang tersusun kukuh.

Seperti Firman Allah SWT "Sesungguhnya Allah suka kepada hambanya yang berjuang di jalan Allah dengan tersusun kukuh laksana bangunan yang kukuh"  Surah As-Saf Ayat  4.

            Atas asas  ini Rasulullah SAW sewaktu mendirikan negara Islam pertama di Madinah dengan menitik berat soal ukhwah. Ini agenda awal yang baginda laksanakan ketika baginda tiba di Madinah, iaitu selepas mendiri masjid Quba'. Baginda sedar ketika saat getir ini asas ukhwah mesti dieratkan antara Muhajirin dan Ansar, jika tidak akan ada golongan munafik yang akan menyusup masuk untuk menggangu kerja baginda SAW di Madinah.Beberapa langkah yang perlu ada untuk membentuk ukhwah di kalangan anggota
 parti, antaranya :

            1.Betulkan nawaitu, bahawa kita menjadi ahli PAS dan berjuang kerana Allah SWT. Tidak ada yang lain daripada itu. Berjuang bersama PAS bukan kerana hendak berniaga dengan ahli PAS kerana ahli PAS hampir satu juta. Berjuang bukan kerana hendak menjadi calon, kerana calon pilhanraya amat terhad. Menyertai parti bukan kerana pangkat atau jawatan, kerana jawatan di dalam PAS satu bebanan bukan kemuliaan. Menyertai PAS bukan kerana hendak mendapat projek jika Pakatan Rakyat memerintah. InsyaAllah betul nawaitu  maka akan memantapkan ukhwah.

            2.Semua mesti berfikir bagaimana untuk mengukuhkan parti dan kemenangan parti. Jika semua berfikir ke arah itu maka semangat ini akan memberi kekuatan kepada parti. Tidak ada masa untuk bertelagah sesama sendiri sehingga merencat kerja parti ke arah kejayaan.

            3. Berbaik sangka dengan semua ahli PAS. Mereka yang tidak ikhlas akan terkeluar atau dikeluarkan oleh ahli, kerana PAS ialah jamaah yang terdiri dari kalangan orang yang soleh. Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri tidak akan berjaya. Oleh itu berbaik sangka dengan sahabat adalah perlu. Jauhkan perasangka buruk sesama anggota. Jangan mudah menuduh ahli yang berbaik dan berbual dengan ahli Umno terus dilebel sebagai orang yang tidak boleh dipercayai.

            4.Sifat meraikan semua ahli yang berbagai latar belakang status kedudukan dan tahap akademik adalah perlu. Janganlah kita mudah mengeluarkan perkataan bodoh jika ahli yang diarah melaksanakan kerja tersilap menerima arahan. Anggaplah tahap pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Jika kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sahabat bagaimana ikatan ukhwah hendak ditautkan.

            5.Lahirkan sifat kasih sesama anggota. Biarlah menampakkan kita kasih kepada amilin bawahan terutamanya. Lemparkan senyuman dan manis muka dan ringan mulut untuk berbicara dan bertanya khabar. Ahli PAS bukan wang yang diminta, tetapi ialah kemesraan dan layanan yang diutamakan. Mereka begitu berbangga jika pimpinan mereka seolah-olah mengambil berat terhadap mereka.

            6. Berilah keutamaan kepada ahli PAS ketika untuk memberi bantuan. Lihatlah ahli dan amilin yang memang susah dan layak menerima bantuan. Memang kebiasaan ahli PAS tidak meminta walaupun mereka ini orang susah, tetapi kita sebagai pimpinan perlu mengambil berat terhadap keperluan mereka.
            7. Apabila semua pakat memikirkan untuk mengalahkan Umno BN maka jamaah akan kuat. Selalunya orang yang tidak bekerja untuk parti memang terlalu nampak kesalahan sahabat sedangkan beliau hanya asyik mengkritik tanpa apa-apa sumbangan kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.Kelompangan dalam saf jamaah akan memberi tempat kepada syaitan untuk menyusup masuk ke dalam saf jamaah.

            Parti akan kukuh seperti acuan keluli di mana syaitan dan musuh parti tidak dapat mencari lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan. Walaupun syaitan datang dengan bala tentera yang banyak untuk menyerang dari luar atau dalam, semua usaha ini akan menemui kegagalan.Sifat kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi di kalangan anggota tidak akan memberi peluang kepada syaitan dan musuh-musuh Allah untuk mengadu domba supaya wujud pergaduhan sesama sendiri.



YB UST HAJI IDRIS BIN HAJI AHMAD
Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat
2/7/13