My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Monday 8 July 2013

PERSAUDARAAN SUATU NIKMAT AGUNG




MAUIDZAH TUAN GURU NIK ABD AZIZ NIK MAT
HARAKAH 6-8 RABIUL AWWAL 1434 / 18-20 JANUARI 2013
FIKRAH M/S 9

PERSAUDARAAN SUATU NIKMAT AGUNG

Tidak terlindung natijah daripada perangai yang elok itu ialah sifat “ulfah” (jinak berjinak), tiada peragai negatif seperti iri hati , dengki dan sebagainya yang terbit daripadanya.
Dinyatakan Al-Quran, hadis Nabi S.A.W serta atsar (kata-kata sahabat dan tabiin), tentang memuji pekerti ulfah. Lebih-lebih lagi andainya hubungan mereka berdasarkan agama,takwa serta kasih sayang kerana Allah S.W.T . Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud : “ …Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (ketika jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara .” (Surah Ali Imran ayat 103)
Melalui ayat tersebut Allah S.W.T pamer nikmat-Nya yang besar. Dalam begitu banyak ayat-Nya ada ayat yang hendak membangkit nikmat yang telah dikurniakan. Itulah hak istimewa Allah S.W.T untuk tujuan menyedarkan hamba-Nya
Allah S.W.T murka terhadap perbuatan mengungkit budi yang diberikan manusia sesamanya, meskipun untuk menyedarkan mereka supaya mengenang budi.
Kenang budi atau tidak terserah kepada Allah S.W.T untuk menilainya. Ada kalanya  manusia perlu disedarkan dengan membangkit nikmat-Nya, misalnya firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah An Nahl ayat 78).
Membangkit kurnia Allah S.W.T melalui ayat tersebut , untuk menyedarkan bahawa bayi yang dilahirkan dalam situasi tidak tahu suatu apa pun.
Allah S.W.T mekarkan kuntum kasih sayang di hati ibunya, dan menerbitkan susu ibu sebagai rezeki khusus untuk bayinya.
Tetapi jika Tuhan tidak kurniakan bayi itu perasaan ingin menghisap susu ibu, nescaya ia akan kebuluran meskipun susu ibu penuh tepu.
Kerana ibu tidak upaya mendatangkan perasaan tersebut kepada bayinya , kecuali Allah S.W.T yang berkuasa  mengurniakan perasaan istimewa itu kepada bayi yang tidak tahu apa pun.
Terlalu bayak ayat bentuk membangkit bongkar di dalam Al-Quran. Apabila membacanya dan bertemu dengan ayat-ayat sedemikian , sewajarnya ada perasaan; adakah ayat Allah S.W.T itu, sedang membangkit kurnia-Nya kepada manusia yang banyak dinikmatinya.
Manusia menitiskan air mata keinsafan mengenangkan kurnia Allah S.W.T, yang telah menjadikan manusia bertukar daripada bermusuhan jadi bersahabat setia, apabila didatangkan Nabi dan Rasul akhira zaman dengan membawa agama Allah (habibillah).
Inilah nikmat-Nya yang besar, menukar para penentang Islam menjadi pendukungnya yang gigih. Seperti terjadi kepada Umar Al-Khattab dan Abu Shufian, ramai lagi yang tercatat dalam sejarah Islam.
Masing-masing hidup bersatu padu berpegang dengan agama Allah (Islam). Setelah sekian lama bermusuhan lantaran menganut pelbagai fahaman sesat.
Firman-Nya yang  bermaksud : “ Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam) dan jangan kamu berpecah belah.” (Surah Ali Imran ayat 103).
Sejarah perpecahan dikalangan manusia itu akan berulang melanda masyarakat, sekiranya manusia tidak berpegang teguh dengan ‘tali (agama)Allah’.
Sebaliknya manusia kembali berpegang dengan aneka fahaman ciptaan ; seperti sosialis, nasionalis, komunis, demokrasi dan sebagainya, yang menjerumuskan mereka kepada peperangan sesama sendiri di dunia kini.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Orang yang paling rapat dengan majlisku (syurga) di akhirat kelak ialah manusia yang berakhlak mulia, iaitu mereka yang sanggup merendahkan diri, orang yang berjinak-jinak (ulfah) kepada orang lain dan sebaliknya.”
Banyak dalil Al-Quran dan hadis serta atsar dekemukakan, agar manusia hidup bersifat ‘ta-aluf’ (berjinak-jinak) dan ‘tawaffuk’ (bekerja sama) bukan masing-masing membawa diri.
Seorang alim besar bernama Qubael bin Iyadh berkata; setiap manusia berhasrat untuk memasuki syurga Allah S.W.T, tetapi  apakah amalan makruf yang telah dilakukan untuk  layak memasukinya.
Beliau mengemukakan soalan yang minta dijawab, misalnya sepanjang hayat berapa kali kamu telah tinggalkan  perkara idaman nafsu. Berapa kali kamu marah orang lain,sedangkan kamu mampu mengekang perasaan itu.
Seterusnya berapa kali kamu menentang perkara mungkar yang dilakukan kaum keluarga dan saudara karibmu sendiri? Berapa ramai orang jauh yang tidak kamu kenali, tetapi kamu jadikan mereka umpama waris sendiri kerana mereka taat kepada Allah S.W.T?
Oleh kerana perasaan kasih adalah suatu yang bersifat rahsia di hati sukar dimengerti, Allah S.W.T sendiri adalah Zat yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala.
Perasaan kasih dan cinta, sulit untuk dihuraikan. Begitu juga rasa kasih kepada Alllah S.W.T, Zat yang tidak dapat dijamah sukar hendak dijelaskan. Justeru itulah hakikat kasih sesama insan  kerana Alllah S.W.T, tidak kerana yang lain.

Thursday 4 July 2013

Kenyataan Tok Guru Nik Abd Aziz berhubungan kejatuhan kerajaan Mesir

Mesir : Detik Hitam Sedang Berulang

Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang berulang semula dalam sejarah Mesir.

Saya menyaksikan sidang media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi. Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu celik politik.

Sheikh al-Azhar ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga dengan jawatan mufti. Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah mereka.

Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihanraya yang sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalanraya. Jika Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.

Insya-allah, sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada hari ini!

Doa dan solidariti untuk Mesir.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 25 Syaaban 1434H bersamaan 4 Julai 2013M

Taqwa: Objektif Madrasah Ramadhan



Nasrudin bin Hassan at Tantawi 
September 2008

Taqwa: Objektif Madrasah Ramadhan

Merujuk kepada Ayat 183 surah al Baqarah :

يا يها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt.

( Surah al Baqarah : Ayat 183 )

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difadhukan ini ialah Taqwa. Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah swt.

Maksud yang seerti dengannya ialah puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini . Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai . Inilah yang iasa disebut sebagai management by objective .

Prof. Doktor Wahbah az Zuhaili . ( di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua /muka surat 130 . Cetakan Darul Fikri Damsyik ) ketika menafsirkan ayat ini menyebut nahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt melalui beberapa faktor :

1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. ( Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar dihadapan manusia tetapi tidak dihadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)

2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .)

3. Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . ( Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik )

4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi Allah swt.)

5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas system ( yang benar dan menepati fitrah ) dan mendisiplinkannya.

6. Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad .

Definisi Taqwa :

Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.[1]

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.

( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )[2]

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.

Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.[3]

Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.[4]

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[5]

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[6]

Martabat Taqwa .

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;[7]

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”.

( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.[8]

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).”

( Surah Ali Imran. Ayat : 102 )

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa .

Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak , moral dan aqidah.

Saksikanlah , bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah , sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia .

Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .

Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .

Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa

1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat

Pejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti.

“….maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan”.

( Surah Al – Maidah. Ayat : 100 )

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan”.

( Surah An-Naba’: Ayat 31 )

Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu gugat oleh musuh – musuh Allah swt.

Renungkanlah firman Allah ini :

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.

( Surah Al-A’raf : Ayat 96 )

Menurut para mufassirin , yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan.

Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah.[9]

Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah Aali Imran : Ayat 133 )

“Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh keni`matan”.

( Surah al-Maidah: Ayat 65 )

2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh Allah

Antara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya.

Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

(Surah al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta`ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.

( Surah Al-Ahzab: Ayat 71 )

Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan (السيئات) yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka (الصغائر), dan adapun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar (الكبائر).[10]

Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ (السيئات) ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ (الذنوب) ialah dosa-dosa besar.

Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat”.[11]

3. Pejuang yang bertaqwa sentiasa akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah

Orang-orang bertaqwa akan senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah. Mereka senantiasa berada di atas jalan yang benar dan terhindar dari kesesatan atau membuat pilihan yang salah dalam urusan hidup mereka. Firman Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah…”.

( Surah Al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya (yakni hidayah dan pertunjuk) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

( Surah Al-Hadid: Ayat 28 )

Kata Imam Ibnu Kathir; “Orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya, ia akan diberi taufik (pertunjuk) oleh Allah untuk mengenal yang hak dari yang batil.

Inilah yang menjadi punca ia beroleh kemenangan, keselamatan dan jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) dalam urusan-urusan duniawinya serta menjadi punca kebahagiaannya di akhirat, jua punca pelupusan segala dosa-dosanya dan punca ia beroleh pahala yang besar dari Allah”.[12]

Kitab al-Quran yang diturunkan Allah hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk darinya. Ini kerana hanya mereka sahaja yang menyedari betapa tingginya nilai al-Quran dan bagaimana untuk mengambil manfaat dari ajaran dan hukum-hakamnya.[13]

“Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”.

( Surah al-Baqarah: Ayat 2 )

“(Al Qur'an) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah Aali Imran: Ayat 138 )

4. Pejuang yang bertaqwa akan sentiasa dibantu dan diberi pertolongan oleh Allah

Orang-orang bertaqwa adalah kekasih Allah. Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan mereka; membimbing, menjaga, memelihara dan membantu mereka.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah At-Taubah : Ayat 4)

“…dan ketahuilah bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah At-Taubah : Ayat 36 )
Orang yang menjadi kekasih Allah, ia tidak akan diabaikan Allah. Apabila ia berada dalam kesusahan atau kesempitan, Allah akan mengurniakan pertolongan kepadanya dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang dihadapinya.

Bahkan orang-orang bertaqwa dikurniakan rezki oleh Allah dari jalan-jalan yang tidak disangkanya.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.

( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”.

( Surah Yunus : Ayat 62-63 )

Kata Ibnu Abbas; “Orang yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyelamatkannya dari segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat”.

Menurut Abu ‘Aliyah; “Orang yang bertaqwa , Allah akan bukakan untuknya jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) bagi segala macam kepayahan/kesusahan yang dihadapinya”.[14]

Apabila berhadapan dengan musuh, orang-orang bertaqwa akan sentiasa dinaungi dan dijaga oleh Allah sehingga perancangan jahat dan tipu-daya musuh-musuh mereka tidak akan mampu memudaratkan mereka sedikitpun.

“Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan”.

( Surah Aali Imran: Ayat 120 )