My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Sunday 16 June 2013

TARBIAH KITA SEMAKIN MEROSOT




Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
17 Jun 2013

PAS dan tarbiyah menjadi sinonim sejak tercetusnya era kepimpinan ulamak. Untuk tempoh masa yang agak panjang, PAS sangat berbangga dengan kelebihan ahli-ahlinya yang jauh lebih berkualiti berbanding lawan tradisinya Umno. Ikhlas (kerja tanpa upah), syaksiyah diri dan keluarga mengikut Islam, walak kepada kepimpinan, ukhuwah yang mantap sesama ahli, komitmen tinggi terhadap perjuangan - adalah PAS ketika tempoh gemilang itu.

Kemenangan dalam pilihanraya muncul kadang-kadang dan jarang-jarang namun semangat di dada ahli tetap membara sepanjang masa, seolah-olah tak pernah kenal derita kalah. Para pemuda tidak pernah jemu berehlah, bermukhaiyam, berqiyamullail serta dapat menghadiri program-program membina kekuatan kerohanian tanpa banyak songeh.

Hari ini PAS berjaya meletakkan diri sebagai pemain utama politik negara, memacu sebuah pakatan alternatif yang sudah dua kali PRU nyaris-nyaris menumbangkan gergasi tua BN di peringkat Persekutuan. PAS wujud dan tumbuh di mana-mana, termasuk di negeri yang dahulunya menjadi tanah gersang perjuangan PAS.

Namun di sebalik kejayaan dan kegagahan di mata masyarakat itu catatan dalamannya pula tidak secantik dahulu. Zaman kegemilangan tarbiyah itu seolah-olah berlalu pergi.

Dalam mana-mana organisasi, Islam atau sekular, perbezaan sikap dan pandangan adalah perkara biasa. Berbeza pandangan bukan satu jenayah. Wujudnya mazhab yang empat adalah kerana berbeza fahaman, pandangan dan ijtihad. Allah menganugerahkan dua pahala untuk ijtihad yang betul dan satu pahala untuk ijtihad yang tidak tepat. Sebabnya, Allah suka hambanya yang berfikir dan berfikir pula mestilah berlandaskan ilmu.

Anehnya, berbeza pandangan dalam jamaah mutakhir ini dihadapi oleh golongan tidak sealiran bukan dengan hujah-hujah ilmiah tetapi dengan persendaan melampau serta penghinaan yang bertubi-tubi. Kewujudan media sosial dijadikan platform untuk melepaskan geram terhadap pemimpin-pemimpin tertentu tanpa batasan akhlak. Asal terungkap 'kesilapan' atau salah pengertian dari kenyataan pemimpin tertentu maka akan dilanyak bertali temali.

Sebenarnya Islam sangat menggalakkan muhasabah atau kritikan untuk membaiki. Tapi muhasabah adalah lahir lubuk nurani yang ikhlas untuk membetulkan. Ia berbeza dengan sindiran, penghinaan atau kutukan. Istilah seperti 'Fil qudha', 'kari ayam', 'tahan teksi', 'komunis' dan sebagainya sengaja dikeluarkan untuk mengejek pemimpin tertentu dalam parti. Rasanya ajaran syiah sekalipun tidak mengajar pengikutnya sebiadap ini. Kebiadapan seperti ini bukan baru, malahan berlarutan sejak bertahun.

Oleh kerana berbeza pandangan diraikan dalam Islam dan berhujah berlandaskan ilmu digalakkan oleh Islam, apakah salahnya golongan yang tidak berpuas hati terhadap kenyataan pemimpin tertentu berjumpa secara berdepan meminta penjelasan atau berhujah dari akal, hati dan lidah. Bukankah sepatutnya itu manifestasi tarbiyah?

Saya tertarik dengan kenyataan terbaru Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi perihal pentingnya amal tarbawi dalam jamaah. Katanya, tanpa amal tarbawi atau perlaksanaan amal tarbawi yang lemah serta tidak konsisten bakal mengundang 1001 masaalah dalaman yang mencetus konflik atau krisis.

"Apabila Amal Tarbawi mula tidak diendah atau perlaksanaannya bersifat acuh tidak acuh lantaran memberi keutamaan kepada skil politik seperti penampilan imej, kenyataan media, penampilan di tengah-tengah kemelut masyarakat, mengupas dan menjuarai isu, enggagement dengan pelbagai pihak dan sebagainya lagi yang saya tidak nafikan kepentingannya, maka ia membawa implikasi yang besar dan sukar buat masa depan perjuangan.

"Kita kelak mungkin dilihat hebat dan gah pada zahirnya dek penampilan dan penonjolan imej politik yang luar biasa tetapi individu anggota dan jamaah itu sendiri terdedah kepada hakisan nilai fundemental dan spiritual Harakah Islamiyyah," ujarnya.

Entahlah, melihat situasi terkini kadang-kadang terasa macam ahli-ahli PAS sedang 'ditarbiyah' oleh pihak lain. Pesanan Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat rasanya menepati situasi terlajak ahli-ahli PAS ini. Katanya, "Jangan kita gopoh untuk mendapat kemenangan sehingga kita lupa asas perjuangan. Kadang-kadang kita sudah hilang adab dalam berjamaah. Bermusuh sesama sendiri, kutuk sesama sendiri. Sehingga sudah tidak tahu membezakan antara prinsip dan strategi. Hendak menjaga hati orang luar, lebih daripada hendak menjaga hati sesama sahabat. Manakah sikap kita sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: "Merendah diri dengan orang Mukmin dan menujukkan izzah dengan orang bukan Islam" 

PRU13 yang baru berakhir adalah masa terbaik bermuhasabah, merancang dan melaksanakan program menguatkan parti. Parti selamanya akan lemah dan bermasalah jika tiada kecekapan di kalangan ahli untuk menguruskan perbezaan pendapat.

Dalam sejarah moden, PAS telah kehilangan sebuah negeri dalam PRU di mana salah satu faktor kekalahan itu disumbangkan oleh kegagalan menguruskan perbezaan, sehingga seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa mereka sedang bertelagah. Negeri tersebut adalah Kedah.

­­­­Kini kalau perbezaan di peringkat lebih tinggi pula gagal diuruskan dengan baik, maka kita hakikatnya sedang membuat persiapan mengekalkan kuasa BN di Pusat untuk kali ke 14. Terpulanglah kalau ada yang redho dengan keputusan yang akan disumbangkan oleh pertelagahan dalaman yang sia-sia itu.


GERAKAN AMAL TARBAWI WAJIB DIPERKASA



13hb Jun 2013

1. Sebagai sebuah Gerakan Islam , Amal Tarbawi menjadi tunjang kekuatan dan keutuhannya mendepani cabaran dan menyerap tekanan. malah Amal Tarbawi melengkapi segala zat dan galian yang diperlukan oleh Gerakan Islam bagi menguatkan otot serta memperkasakan stamina guna menggalas berat beban perjuangan mendaulatkan Syariat Allah swt .

2. Tanpa Amal Tarbawi atau perlaksanaan Amal Tarbawi yang lemah serta tidak konsisten bakal mengundang 1001 masaalah dalaman yang mencetus konflik atau krisis . Besar kemungkinan bahawa segala konflik dan krisis dalaman itu berlarutan dan sukar pula diatasi ekoran dari lemah dan lembabnya perlaksanaan Amal Tarbawi .

3. Amal Tarbawi sangat berkait rapat dengan pengkaderan serta pembinaan aqidah , fikrah dan syakhsiyyah . Agar setiap anggota Gerakan Islam samaada pemimpin atau ahli biasa , wakil rakyat atau staff pejabat memiliki skima pentarbiyyahan yang mantap dan lengkap .

4. Aqidah mereka aqidah yang tulen , fikrah mereka fikrah Islamiyyah dan syakhsiyah mereka pula adalah syakhsiyyah yang soleh . Inilah rahsia kekuatan Gerakan Islam sehingga ia mampu bertahan dalam menangkis dan mengelak serangan musuh yang bertubi arus dari segenap sudut.

5. Apabila Amal Tarbawi mula tidak diendah atau perlaksanaannya bersifat acuh tidak acuh lantaran memberi keutamaan kepada skil politik seperti penampilan imej , kenyataan media , penampilan di tengah - tengah kemelut masyarakat , mengupas dan menjuarai isu , enggagement dengan pelbagai pihak dan sebagainya lagi yang saya tidak nafikan kepentingannya , maka ia membawa implikasi yang besar dan sukar buat masa depan perjuangan .

6. Kita kelak mungkin dilihat hebat dan gah pada zahirnya dek penampilan dan penonjolan imej politik yang luar biasa tetapi individu anggota dan jamaah itu sendiri terdedah kepada hakisan nilai fundemental dan spiritual Harakah Islamiyyah .

7. Contoh mudah yang boleh saya ketengahkan ialah merosotnya nilai ukhuwwah fillah lantaran sejak lama dulu , usrah di abaikan , tamrin ditinggalkan , qiamulail dilupakan , ziarah diketepikan . Mungkin kerana kita nak beri tumpuan kepada ceramah umum , pertemuan - pertemuan politik dengan rakan saingan politik yang lain , hubungan dengan pihak media agar menyiarkan kenyataan politik kita , mesyuarat merangka strategi untuk saling mendahului antara satu sama lain terutama menjelang musim muktamar yang ada pemilihan kepimpinan .

8. Sedang usrah memberi peluang kita mempertaut hubungan atau ukhuwwah fillah dikalangan kita melalui bertanya khabar , makan setalam , bertentang mata , bahu membahu , sama - sama mengaminkan doa rabitah dan lain - lain elemen [ disamping usrah menggarap fikrah melalui tasawwur Amal Islami yang jelas ,] yang mungkin kita lihat ianya kecil tetapi nilainya besar dalam mengukuhkan silah dan rabitah perjuangan antara anggota Gerakan Islam .

9. Tanpa usrah , tamrin dan lain - lain aktiviti Amal Tarbawi , dapat dilihat kesannya hari ini . Bermula dengan renggang hubungan antara anggota sesama anggota mahu pun anggota dengan pimpinan , ianya mengheret kita kepada suasana yang lebih sukar iaitu mudah berburuk sangka dan mudah tercetus pergeseran sesama sendiri hanya dengan sedikit khilaf atau isu kecil yang saya percaya ianya tidak akan mencetus pergeseran apalagi pertegkaran jika ukhuwwah diantara kita tebal dan kebal .

10. Sementara itu , tiada siapa yang boleh menafikan bahawa ukhuwwah sangat penting bagi sebuah Gerakan Islam . Ianya menguatkan benteng atau kubu perjuangan dari asakan musuh yang mahu memcahbelahkan saf kita , semangat kerja berpasukan , melancarkan orientasi gerakkerja yang dirancang , mengelak krisis dan perpecahan dalaman dan sebagainya .

11. Lebih bermakna jika perjuangan yang kita dokong ini bertunjangkan ukhuwwah fillah yang mantap lantas ia menghasilkan kemanisan berjuang dan kelazatan berjamaah . Kemanisan dan kelazatan ini bagai formula yang paling kental bagi mengelak berlakunya futur dalam perjuangan apalagi insiden keluar jamaah meninggalkan perjuangan atau pecah wala' dan retak thiqah kepada pimpinan .

12. Itu baru kita bercakap soal ukhuwwah . Masih banyak lagi perkara lain yang juga penting seperti soal wala' , thiqah , dengar dan taat , iltizam atau komitmen , istiqamah atau pro aktif , tadhiyyah atau pengorbanan dan banyak lagi , yang hanya mahu dihasilkan melalui Amal Tarbawi .

13. Kesimpulannya , adalah menjadi kewajipan kita di semua peringkat , cawangan , kawasan , negeri , pusat bahkan dewan - dewan untuk melihat semula isu Amal Tarbawi yang sedikit sebanyak mengalami gangguan perlaksanaannya masa kini .

14. Mudah untuk dikesan , saya sebutkan disini betapa jika kita cadangkan program bermalam seperti 2 hari satu malam atau lebih , akan ada pandangan yang menolaknya dengan alasan kalau kita buat program melibatkan aktiviti bermalam , bimbang penyertaan kurang atau program itu bakal tidak mendapat sambutan . Lebih parah , pandangan seperti ini mewakili ramai dikalangan ajk mesyuarat tersebut .

15. Aktiviti Amal Tarbawi tidaklah sekadar usrah dan tamrin justeru Tarbiyyah bukan suatu yang rigid . Kita boleh menampilkan apa jua bentuk aktiviti asal sahaja membawa kita ke arah pencapaian yang menepati piawaian sebuah Gerakan Islam dengan elemen - elemen yang saya sebutkan tadi .

16. Kreativiti dalam menganjurkan aktiviti agar tidak dilihat stereo type atau jumud dan sebagainya sangat diperlukan . Yang penting kita perkasakan Amal Tarbawi . Harap gesaan ini mendapat sambutan semua pihak organ parti atau jamaah .

17. Segala kelemahan jangan dibiarkan berlarutan kelak ia membarah . Segala kekurangan jangan dipandang sebelah mata kelak ia membusung . Segala masaalah jangan dianggap remeh kelak ia meruncing .

Selamat memperkasakan Amal Tarbawi .

Nasrudin Hassan

CIRI-CIRI KEBERKESANAN TARBIAH





 1.Dasar.
Dasar kepada sebuah jamaah menentukan keberkesanan tarbiah. Jika Islam sebagai dasar maka ia akan memberi kekuatan perjalanan tarbiah. Matlamat tarbiah ialah untuk mengukuhkan Islam dan Akidah. Ia bukan bermatlamat supaya taksub kepada individu. Inilah kekuatan tarbiah PAS, bukan tarbiah untuk taksub kepada mana-mana peribadi. Sebab itu seorang pemimpin disanjung apabila beliau masih bersama dengan PAS. Apabila dia kianat perjuagan maka ia akan menjadi kera sumbang. PAS pernah kehilangan YDP Pertua PAS Ustaz Hj Ahmad Fuad, Datuk Asri, Panglima Jihad Ust Hasan Adli, Ustaz Osman Hamzah Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung PAS. Ustaz Nakhaei Ahmad bekas Naib Presiden dan Ahli Majlis Syura. PAS  tetap segar bogar walaupun ketiadaan mereka. Tidak ada siapa yang terpengaruh dengan mereka.

2.Manhaj
Ia sebagai satu panduan yang penting untuk menentukan keberkesanan tarbiah untuk semua anggota parti supaya ada wehdatul fikri dan wehdatul amal. Ia sebagai panduan kepada semua anggota parti. Lari daripada manhaj  ini ia akan membawa musibah yang tidak baik kepada perjuangan. Di antara manhaj tarbiah PAS ialah al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, Qias, Sirah, Perlembagaan PAS,Pengalaman Gerakan Islam luar negara.

3.Qiadah (kepimpinan)
Kejayaan tarbiah banyak bergantung kepada qiadah yang minat kepada program tarbiah. Otak qiadah juga nampak tentang pentingnya tarbiah. Baru anak buah minat dengan tarbiah. Jika qiadah sendiri tidak minat dengan program tarbiah maka perjalanan tarbiah tidak berkesan.
"Manusia ikut agama pemimpinnya"

4.Murabbi
Ia merupakan orang yang berdamping dengan anak buahnya. Segala tingkah laku beliau akan mempengaruhi anak buahnya yang lain. Seorang naqib dan mereka yang menguruskan tarbiah mesti berusaha menjadi murabbi.

5.Persekitaran
Biah Solehah (persekitaran yang baik) perlu ada untuk membantu kejayaan tarbiah. Maksud persekitaran yang baik bermula daripada keluarga lagi. Rakan dan jiran juga merupakan biah solehah. Oleh itu kita diperintah berkawan dengan rakan yang baik. Sabda Rasulullah SAW bermaksud"Manusia bersama dengan rakannya, perhatikan siapakah rakannya". Jika kita berkawan dengan rakan yang malas ke usrah maka kita juga akan malas.

6.Husnu Thiqah Billah
Di antara perkara yang boleh membantu keberkesanan tarbiah ialah kita mesti ada sangka baik dengan Allah. Kita mesti yakin bahawa Allah akan membantu kerja buat kita di dalam segala segi. Tugas kita hanya bekerja menentukan kejayaan ialah Allah.

7.Ukhwah
Tarbiah berkesan jika tautan ukhwah dipereratkan. Ahli merasakan satu kemanisan di dalam jamaah. Prihatin di kalangan ahli cukup penting supaya semua ahli merasa nikmat daripada program tarbiah. Ahli akan  merasa diri mereka tidak keseorangan.  Inilah hikmah baginda menitik berat soal ukhwah semasa baginda sampai di Madinah.

8.Taat
Tarbiah tidak berkesan jika tidak ada unsur taat. Program tarbiah tidak berjalan dengan baik, jika tidak ada unsur taat, segala perancangan tarbiah akan tergendala.

9.Sabar.
Tarbiah tidak boleh dilihat dalam masa yang singkat. Ia memakan masa yang lama.  Tanpa kesabaran tarbiah akan gagal. Firman Allah SWT bermaksud"Wahai orang yang beriman hendaklah bersabar dan hendaklah teguh pendirian".

10. Kesungguhan
Kesungguhan ialah anak kunci segalanya, tanpa kesungguhan tarbiah akan gagal. Tarbiah perlu ada kesungguhan daripada semua ahli dan pimpinan.

11.Kehendak  Sendiri.
Kejayaan atau kegagalan mesti bermula daripada diri sendiri. Hebat macam mana pun pemimpin dan mempunyai murabbi yang cekal dan manhaj yang tersusun tidak memberi apa-apa bekas kepada perjalanan tarbiah seandainya tidak bermula daripada kehendak diri masing-masing.

Ust Hj Idris Bin Hj Ahmad
Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat.
27 Mac 2013 / 15 Jamadil Awwal 1434