My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Thursday 31 January 2013

Siri Tarbiyah Kawasan 12 - RIYA’ DAN SUM‘AH (BHG.3)





Firman Allah SWT;

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya’ kepada manusia...”                                                              (al-Anfal:47)

MUQADDIMAH

Penyakit yang sering melanda para aktivis dalam gerakan adalah riya’ dan sum‘ah. Islam telah memberikan gambaran penyakit ini dengan jelas, baik pengaruh mahupun jalan menjauhkan diri daripadanya. Seperti mana penyakit ini memberi kesan yang mendalam terhadap para aktivis, ia turun memberi kesan yang besar terhadap perjuangan.

KESAN RIYA’ DAN SUMAH TERHADAP PERJUANGAN
           
Setelah dibahaskan  riya’ atau sum‘ah menimbulkan pengaruh dan kesan terhadap para aktivis, hakikatnya ia juga mempengaruhi gerakan dan perjuangan Islam. Pengaruhnya terhadap perjuangan Islam dapat diringkas sebagai berikut:

a-Jalan panjang dan banyak beban

Hal ini berlaku kerana orang-orang yang bersifat dengan riya’ dan sifatnya sum‘ah dalam kerja buatnya, ia tidak mungkin mendapat kejayaan, akibatnya ia tidak akan ditolong oleh Allah dan  ia bakal menempuh jalan yang sangat panjang dan banyak ujian:

“Allah tidak akan membiarkan orang-orang beriman seperti keadaan kalian alami sekarang hingga Dia membezakan antara yang buruk dengan baik....” (Ali Imran: 179)

“Apakah orang-orang mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman dan tidak diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka sehingga Allah menjadi benar-benar tahu orang yang benar dan mengetahui orang dusta. (al-Ankabut: 2-3)

“Apakah kalian mengira bahawa kalian akan dibiarkan sedang Allah belum mengetahui orang yang berjihad di antara kalian dan tidak menjadikan selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman sebagai penolong dan Allah Maha Mengetahui setiap kalian lakukan.” (at-Taubah: 16)

CARA MENGUBATI  RIYA’ DAN SUM’AH

Cara untuk mengubati riya’ atau sum‘ah dapat diringkaskan seperti berikut:

1.            Mengingati akibat duniawi dan ukhrawi sebagaimana telah dipaparkan sebelum ini kerana hal itu berkesan dalam menggerakkan hati bagi orang yang mempunyai hati lalu akan akan dapat menghindarkan serta membuang virus atau penyakit yang berbahaya ini.

2.            Meninggalkan persahabatan dengan orang yang dikenali riya’ atau sum‘ah. Kemudian berusaha untuk bergaul dengan orang yang ikhlas dan benar, kerana hal ini sangat berkesan baginya untuk membuang virus itu dari dirinya hingga benar-benar bebas.

3.            Mengenal Allah S.W.T dengan pengenalan yang sebenar-benarnya. Kerana pengenalan ini akan membantunya untuk menghargai Allah secara seimbang kemudian menghiasi diri dengan keikhlasan. Caranya adalah dengan berhubung rapat dengan al-Qur‘an dan Sunnah.

4.            Mujahadun nafs (mengendalikan nafsu) hingga terkawal dari kebiasaan diri yang menyukai riya’ dan sum‘ah. Justeru orang yang riya’ dan sum’ah adalah mendambakan kedudukan dan kepemimpinan selain tamak terhadap segala yang ada di tangan orang lain dan suka disanjung dan dipuji.

5.            Kepatuhan para pemegang amanah terhadap penilaian, kerana kepatuhan tidak berada pada suatu hal kecuali menghiasinya dan tidak hilang dari sesuatu kecuali menodainya.

6.            Komitmen dengan adab dan etika Islam dalam mu‘amalah sehingga tidak berlebihan dalam menghormati dan menghargai, namun tidak mengabaikan mahupun mengurangi. Mengambil di tengah-tengah, kerana sebaik-baik urusan adalah pertengahannya.

7.            Meneliti kisah dan akibat dideritai orang yang riya’. Hal ini dapat membantu untuk menjauhi penyakit atau virus ini. Supaya kesannya tidak sepertimana yang menimpa mereka itu.

8.            Secara rutin merenungi dan mendengar nas-nas yang mendorong keikhlasan dan memberi peringatan mengenai riya’. Kerana, untuk meninggalkan kesalahan itu dan komitmen pula kepada kebenaran, bermula dari pengamatan yang jelas dan persepsi yang benar. Orang yang tidak mengenali sesuatu biasanya akan memusuhinya sebagaimana Allah berfirman:

“Bahkan mereka mendustakan akibat dari perkara yang tidak mereka punyai ilmu dan kerana keterangannya belum datang kepada mereka.”(Yunus: 39)

9.            Menilai diri secara terperinci untuk mengetahui kekurangan yang ada, kemudian membebaskan diri dari kekurangan tersebut.

10.         Penuh pasrah kepada Allah dan memohon pertolongan kepada-Nya. Kerana orang yang pasrah dengan sebenar-benarnya kepada Allah serta sentiasa memohon pertolongan-Nya, nescaya Allah pasti akan mendokong dan menolongnya. Benar sebagaimana dikatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam khutbah yang pernah disampaikan Baginda:

“Wahai sekalian manusia, waspadalah terhadap kemusyrikan ini, kerana ia lebih tersembunyi dari semut yang merayap.”

Seseorang bertanya, “Bagaimana kami dapat berwaspada terhadapnya sedangkan ia lebih tersembunyi dari semut yang merayap wahai Rasulullah?”

Baginda S.A.W menjawab:

“Ucapkan, ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari menyekutukan-Mu dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun kepada-Mu kerana hal-hal tidak kami ketahui.”[1]
PENUTUP

Sentiasalah kita selalu bermuhasabah dan mengingati bahawa segala sesuatu di alam ini berjalan sesuai dengan qadha dan qadar Allah:

Tidak ada suatu musibah yang menimpa di bumi mahupun dalam diri kalian kecuali telah ada di dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami memberlakukannya, sesungguhnya hal itu mudah bagi Allah.”(al-Hadid: 22)

Bagi makhluk, bagaimanapun kekuatan dan kekuasaannya, tidak akan mampu mendatangkan kemanfaatan atau menghindarkan kemudaratan dari diri mereka sendiri, apatah lagi untuk melakukannya bagi orang lain.

“Sesungguhnya pihak-pihak yang kalian seru selain Allah adalah hamba-hamba semisal kalian. Kerana itu serulah mereka dan biarlah mereka memberi jawapan kepada kalian, jika kalian adalah orang-orang yang benar.” (al-A’raf: 194)

“Sesungguhnya mereka tidak akan dapat melindungi kalian dari Allah sedikitpun.” (al-Jatsiyah: 19)

Semoga kita semua sentiasa diselamatkan oleh Allah SWT daripada penyakit yang merbahaya ini,  insyaAllah.













[1] Hadis oleh Imam Ahmad dalam Al-Musnad 4/403 dari hadis Abu Ali, lelaki dari Bani Kahil yang mengatakan telah berkhutbah di hadapan kami Abu Musa Al-Asy‘ari berkata, “Wahai sekalian manusia, waspadalah terhadap kemusyrikan ini, kerana ia lebih tersembunyi dari semut yang merayap.” Maka berdirilah Abdullah bin Hazan dan Qais bin Madharib lalu berkata, “Demi Allah! Kamu tidak harus mentakhrij perkara yang kamu katakan itu atau (kalau tidak) kamu harus mendatangkan Umar, baik kami diizinkan atau tidak.” Abu Musa berkata, “Bahkan aku akan mentakhrij perkara yang aku katakan itu.” .....Telah berkhutbah kepada kami Rasulullah S.A.W pada suatu hari lalu berkata, “Wahai sekalian manusia....(hingga akhir hadis)” Al-Mundziri menyebutkannya dalam Targhib wa tarhib bab tarhib terhadap ruya. Tidak ada suatu pun tersembunyi dari yang diperkatakan. 1/76 dan membicarakan dengan pernyataannya, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan Thabrani, perawi-perawinya sampai kepada Abu Ali, mereka digunakan sebagai hujah dalam As-Salih. Abu Ali dianggap thiqah oleh Ibnu Hibban, sementara saya tidak melihat ada seorang pun yang mentakhrijnya. Abu Ya’la meriwayatkan seperti itu dari hadith Hudzaifah, hanya ia mengatakan di dalamnya, “Ia mengucapkannya setiap hari tiga kali.”

TEKS USRAH BULAN JANUARI 2013




DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH

Siri Tarbiyah Pemuda 5 (13)

UJIAN PELENGKAP PERJUANGAN

MUQADDIMAH
Maksudnya :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah ( sebagaimana yang diketahui NYA) orang-orang yang berjihad antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman ? Dan (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan (At-Taubah :16)

Setiap kita yang menggerakkan perjuangan Islam wajar mengetahui dan memahami bahawa perjuangan yang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T. Justeru itu setiap gerak kerja yang dilakukan hendaklah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya. Selain itu adalah suatu yang wajar difahami oleh para petugas gerakan ialah bahawa perjuangan ini tidak akan terlepas daripada mehnah dan tribulasi.

MEHNAH DAN TRIBULASI
Mehnah berasal daripada perkataan arab yang membawa maksud ujian atau cabaran. Tribulasi pula berasal daripada perkataan Inggeris tribulation yang membawa maksud kesengsaraan atau kesusahan. Tribulasi juga boleh membawa maksud ujian, cuma ia adalah dalam bentuk kesusahan.
Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah, para pejuang di perjalanan ini pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas di dalam jalan yang benar ini tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Rasul dan siapa yang bersama mereka, para ulama’ pewaris Nabi dan sekalian da’ie telah membenarkan janji Allah bahawa jalan ini sentiasa beronak dan berduri. Secara pastinya, ujian pasti akan datang menguji . Hal ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada perjuangan Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.


PARA RASUL DAN MEHNAH
Sejarah perjuangan Islam bermula dengan lahirnya Nabi Adam a.s. Perjuangan berserta mehnah dan tribulasi ini kemudiannya terpaksa dihadapi oleh Rasul-rasul dan pejuang-pejuang selepasnya. Nabi Musa a.s yang menghadapi kezaliman Fir’aun dalam melaksanakan dakwahnya seperti mana yang diceritakan di dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakn” (Surah Al-Qasas : 4)

Nabi Luth a.s juga menghadapi cabaran dalam menyebarkan dakwahnya apabila baginda di lengkongi umatnya yang tidak mahu mengikut sunah kejadian manusia. Mereka hidup dalam kemungkaran apabila mengamalkan tabiat homoseksual. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud :
“Luth berkata : “Sesungguhnya mereka adalah tamuku, maka janganlah kamu memberi malu (kepadaku). (Surah Al-Hijr : 68)

Rasulullah SAW juga tidak terlepas daripada menerima tentangan musuh-musuh Islam yang mengengkari  dakwah yang baginda sampaikan . Segala bentuk komplot, penghinaan, cacian dan penghinaan, fitnah dan penyeksaan fizikal serta mental baginda diuji. Namun, segala cabaran dan mehnah yang datang tidak pernah menggentarkan Rasulullah SAW untuk terus menyebarkan risalah Islam bersama para sahabatnya.

MEHNAH DAN UMAT ISLAM
Umat Islam dewasa ini menghadapi mehnah dalam pelbagai bentuk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Orang mukmin sentiasa di ambang 5 dugaan yang susah ; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.
Terdapat pelbagai cabaran yang membentang menuju puncak kegemilangan dan keagungan Islam. Di antaranya ialah ;
a)      Perancangan Yahudi (Zionis) untuk menghancurkan Islam
b)      Umat Islam lupa diri dan berada jauh dari nilai-nilai Islam yang sebenar
c)       Kelemahan pemikiran umat Islam
d)      Keruntuhan  akhlak dan iman umat Islam

TUNTUTAN DALAM MENGHADAPI MEHNAH
Seperti mana telah dijelaskan bahawa perjuangan Islam yang telah kita mulai langkah-langkahnya ke mercu kemenangan ini tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Kita akan sentiasa diuji sepanjang perjalanan ini. Allah SWT tidak akan membiarkan perjuangan ini berlalu tanpa ujian. Setiap mereka yang menggerakkan perjuangan pasti akan diuji. Hanya dengan ujian dapat dibuktikan siapa yang benar dalam perjuangan dan siapa yang dusta
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah Al-Ankabut :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ . وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ .
Maksudnya :
Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan : “Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji . Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.

Dari ayat ini jelas kita fahami mengapa sebenarnya difardhukan jihad. Hikmah daripada kefardhuan jihad adalah suatu iktibar dan ujian daripada Allah untuk dibuktikan siapa yang sebenar-benar sebagai hamba yang mentaatiNya dan siapa pula yang menderhakaiNya. Justeru itu tahan ujian adalah tuntutan yang wajib dalam perjuangan

HIKMAH DARI MEHNAH
Antara hikmah mehnah dan tribulasi yang akan dapat dikecapi oleh para Mukmin termasuklah :
·         Menunjukkan sifat kehambaan, tanggungjawab serta pergantungan kepada Allah SWT
·         Menampakkan yang haq dan yang batil
·         Sebagai satu bentuk pentarbiyyahan diri
·         Melahirkan individu yang berjiwa besar untuk kebangkitan Islam
·         Membersihkan diri orang-orang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap
·         Mendidik generasi menjadi sabar, tangkas dan mempunyai azam yang kuat

BAGAIMANA MENGHADAPI MEHNAH
Mehnah akan dapat dilepasi dengan :
·         Ikhlas dalam perjuangan
·         Mendidik jiwa dan ketahanan menerusi latihan kerohanian
·         Berada dalam jemaah
·         Meletakkan cita-cita tertinggi “syaheed dalam perjuangan” sebagai matlamat utam

PENUTUP
Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan ketikanya apabila lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Semoga noktah akhir kehidupan ini akan berakhir dengan hakikat bahawa kita tertulis sebagai hamba yang diredhaiNya, justeru kita telah berjaya dan lulus di dalam medan perjuangan Islam yang maha suci ini. Allahu Akbar!!!