My Blog List

My Blog List

album lajnah tarbiah

Sunday 20 November 2011

RIBAT MUJAHIDIN DALAM JIHAD PILIHANRAYA KE 13


RIBAT MUJAHIDIN DALAM JIHAD PILIHANRAYA KE 13

Pendahuluan

Pilihanraya ke 13 yang bakal disertai oleh PAS merupakan salah satu kerja jihad semasa bagi gerakan Islam. Jihad ini menuntut pengorbanan dari para pejuang dari sudut harta, jiwa dan juga masa. Justeru, konsep Ribat fi Sabilillah (رباط) yang disebut di dalam al-Qur’an dan Hadis perlu diaplikasikan bagi memaksimakan penyertaan tenaga kerja pilihanraya seterusnya memaksimakan kemenangan Islam dalam memerintah Malaysia.

Konsep Ribat fi Sabilillah

Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah Muwatta, Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki.[2] Seterusnya ia digunakan dengan maksud-maksud berikut:

Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah. 

Menurut pengarang al-Muntaqa, maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. Ia merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). [3]
Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya  Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad.

Dalilnya ialah firman Allah Taala:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ  [ الأنفال : 60 ].
Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu gunakannya  untuk menggerunkan musuh Allah dan juga musuh kamu.”

Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (البقرة: 261 )
Maksudnya: Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui. 
(Surah al-Baqarah: 126)

Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan
Ribat ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan Negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang islam daripada musuh. [4]

Ribat ini dirujuk oleh firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu, sama-samalah bersabar (berhadapan dengan musuh), lakukanlah ribat dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.
Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi saw antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا[5]
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya.
Muslim meriwayatkan daripada Salman al-Farisi r.a katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ    [6]
Maksudnya: Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezkinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).
Dalam riwayat Tirmizi daripada Salman al-Farisi menyebut Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ وَرُبَّمَا قَالَ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَمَنْ مَاتَ فِيهِ وُقِيَ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَنُمِّيَ لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ [7]
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal –mungkin beliau berkata – lebih baik – berbanding puasa dan qiyam selama sebulan. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan Ribat terselamat daripada ujian kubur dan dicambahkan untuknya amalannya sehingga ke hari Qiamat.
Nasaei pula meriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Nabi saw bersabda:
إِنَّ رِبَاطَ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ يَوْمٍ مِمَّا سِوَاهُ فَلْيُرَابِطْ امْرُؤٌ حَيْثُ شَاءَ[8]
Maksudnya: Sesungguhnya Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal daripada seribu hari selainnya. Maka hendaklah melakukan ribat seseorang itu di mana sahaja dia mahu.
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Makhul r.a bahawa Nabi saw bersabda:
تمام الرباط أربعون يوما[9]
Maksudnya: Kesempurnaan Ribat ialah 40 hari.

Ketiga : Ribat Dalam Ibadah
Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda:
أَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ[10]
Maksudnya: Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wudu’ di waktu sukar, membanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat.
Menurut Ibn Kathir, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif mentafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid.[11]
Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.[12]

Pilihanraya Sebagai Wasilah Menegakkan Khilafah

Melantik pemerintah Islam yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama adalah satu kewajipan yang telah disepakati oleh Sahabat Nabi saw dan para ulama. Dalilnya ialah ijma’ Sahabat melantik Khalifah selepas kewafatan Nabi saw.
Dalam konteks Malaysia, pilihanraya menjadi satu wadah yang dibenarkan menurut perundangan negara  untuk memilih pemerintah. Pilihanraya akan menentukan sama ada pemerintah yang terpilih memerintah menurut al-Qur’an dan Hadis atau menurut hawa nafsu. Berasaskan kepada hakikat ini penglibatan gerakan Islam dalam pilihanraya merupakan satu keperluan semasa bagi memastikan negara diperintah menurut Islam. Penglibatan dalam pilihanraya merupakan satu jihad fi sabilillah.
Kaedah Fiqh menegaskan: sesuatu yang tidak sempurna kewajipan lain melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib. Dalam konteks semasa perundangan Malaysia harini menegakkan khilafah yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama hanya boleh berlaku menerusi pilihanraya. Maka, penglibatan diri dalam pilihanraya adalah wajib.

Pilihanraya Wasilah Melaksanakan Jihad Menyatakan Kebenaran

Pilihanraya menjadi wasilah untuk menegur pemerintah yang khianat terhadap amanah kepimpinan dan melakukan kezaliman. Justeru, gerak kerja pilihanraya merupakan satu jihad fi sabilillah. Nabi saw bersabda:
أَلَا إِنَّ لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءً يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقَدْرِ غَدْرَتِهِ أَلَا وَأَكْبَرُ الْغَدْرِ غَدْرُ أَمِيرِ عَامَّةٍ أَلَا لَا يَمْنَعَنَّ رَجُلًا مَهَابَةُ النَّاسِ أَنْ يَتَكَلَّمَ بِالْحَقِّ إِذَا عَلِمَهُ أَلَا إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ[13]
Maksudnya: Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat mempunyai bendera pada hari Kiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah janganlah kehebatan manusia menjadi penghalang bagi seorang lelaki memperkatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim.

Ribat Dalam Gerakkerja Pilihanraya

Ketiga-tiga konsep Ribat di atas perlu dijelmakan dalam kerja-kerja Jihad melibatkan pilihanraya. Justeru Ribat dalam gerakkerja pilihanraya bermaksud
1.       Menyediakan kelengkapan kerja-kerja pilihanraya melibatkan harta.
2.       Mengikat diri untuk berada di medan pilihanraya sepenuhnya sekiranya mampu sepanjang tempoh kempen pilihanraya ke 13
3.       Menyiapkan gerak kerja yang boleh menggerunkan musuh
4.       Menjaga ibadah utama sepanjang tempoh kempen pilihanraya dengan menyempurnakan wudu’, bergerak ke markaz-markaz untuk mengerjakan solat berjamaah di markaz-markaz pilihanraya sepanjang tempoh kempen pilihanraya

Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta

Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya. Ketika berlangsungnya peperangan Tabuk, Othman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan semua unta berjumlah beserta dengan muatan yang berada di atas untuk  persiapan perang
Menurut hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi daripada Abd Rahman bin Hubab al-Sullami bahawa Uthman telaah menyediakan 300 ekor unta[14]. Menurut riwayat Abd Rahman bin Samurah, Uthman telah menyediakan 1000 dinar[15]. Riwayat yang lemah pula oleh Ibn `Adii daripada Huzaifah menyebut 10,000 dinar. Menurut Ibn Hajar barangkali ia bermaksud 10,000 dirham yang nilainya menyamai 1000 dinar ketika itu.
Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai  4000 dirham.[16] Umar pula memberikan separuh harta. Abd Rahman menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham. [17] Sahabat yang tidak berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma; separuh untuk keluarga dan separuh disediakan untuk perang.
Penutup
Penjelmaan konsep Ribat dalam pilihanraya ke 13 oleh para alim ulama merupakan saham besar kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya ke 13 insyallah. Para ulama boleh melaksanakan ketiga-tiga jenis Ribat yang telah dijelaskan. Saham utama mereka ketika Ribat ialah masa yang diperuntukkan untuk membuat penjelasan-penjelasan ilmu kepada orang-orang jahil, harta benda yang boleh disumbangkan dan ketulusan ibadah mereka sepanjang pilihanraya untuk menggamit kemenangan dikurniakan oleh Allah.

RUJUKAN
1.       Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, http://www.al-islam.com
2.       Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, Dar Tayyibah, 1420/1999.
3.       Al-Muntaqaa syarh al-Muwatta’, http://www.al-islam.com
4.       Musannaf Ibn Abi Syaibah
5.       Musnad Ahmad. http://www.al-islam.com
6.       Nawawi, Syarah Sahih Muslim, http://www.al-islam.com
7.       Sahih Bukhari
8.       Sahih Muslim
9.       Sunan Tirmizi
10.    Sunan Nasaei





[1]  Kertas ini disediakan oleh Ust. Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri, Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat sesi 2011-2012 untuk pembentangan dalam Ijtima’ Pilihanraya Ulama Haraki (HARAKI)anjuran Dewan Ulama PAS negeri-negeri dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Pusat sepanjang November 2011. Ia dibentang untuk pertama kali dalam Ijtima’ Pilihanraya Ulama Haraki di peringkat negeri Terenggganu oleh Ust Dr. Khairuddin dan di peringkat Johor oleh Ust Dr. Ahmad Nazri Mansur yang berjalan serentak pada hari Sabtu 19hb November 2011.
[2] Al-Muntaqaa syarh al-Muwatta’, juz 3, hlm. 22, http://www.al-islam.com
[3]  Ibid.
[4] Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, juz 9, hlm. 39.
[5] Hadis riwayat Bukhari, no 2678, juz 10, hlm 19, dan Tirmizi, no 1587, Bab Kelebihan Murabit, juz 6, hlm. 228.
[6] Hadis riwayat Muslim, no 3537, juz 10, hlm. 26
[7] Hadis riwayat Tirmizi No 1588, Bab Kelebihan Murabit, juz 6, hlm. 228. Menurut Abu Isa al-Tirmizi ianya Hadis Hasan.
[8] Hadis riwayat Nasaei, no 447, juz 10, hlm. 248
[9] Musannaf Ibn Abi Syaibah, Juz 4, hlm. 584. Maktabah Syamilah.

[10] Hadis Sahih Muslim, Bab Kelebihan menyempurnakan Wudu’, no 369, juz 2, hlm. 57. Dan juga riwayat Ibn Hibban, Abu Ya`la dan al-Bazzar dengan isnad yang sahih.
[11] Tafsir Ibn Kathir, Juz 2, hlm. 192. Dar Tayyibah, 1420/1999.
[12] Nawawi, Syarah Sahih Muslim, juz 1, hlm. 406, http://www.al-islam.com

[13] Hadis riwayat Ahmad, juz 22, hlm. 261. http://www.al-islam.com
[14] 300 ekor unta boleh dinilai harini dengan rm1.5 juta berdasarkan harga semasa seekor unta rm5000.
[15]1000 dinar bersamaan dengan rm859,000 menurut kiraan harini berdasarkan dinar emas Kelantan bernilai rm859 untuk 1 dinar.
[16]  4000 dirham ketika itu bersamaan dengan 400 dinar. Nilaian emas berdasarkan Dinar Emas kelantan pada hari ialah 400 x rm859=rm343,600.
[17] 2000 dirham ketika itu bersamaan dengan 200 dinar. Nilaian emas berdasarkan Dinar Emas kelantan pada hari ialah 200 dinar x rm859=rm171,800

Wednesday 16 November 2011

Siri Tarbiyah Kawasan 6 PERTOLONGAN ALLAH


Siri Tarbiyah Kawasan 6








PERTOLONGAN ALLAH


Firman Allah yang bermaksud;

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (As-Saf: 8-9)

MUQADDIMAH

Bagi kaum musyrikin Mekah, perangan Badar merupakan peperangan yang tersangat menyakitkan buat mereka. Mengapa tidak ? Tentera mereka banyak yang korban, sebahagiannya menjadi tawanan dan yang lainnya lari berselerakan menyelamatkan diri dengan meninggalkan harta benda yang tersangat banyak. Padahal mereka telah membuat persiapan untuk menghadapi pertempuran ini dengan persiapan yang secukupnya. Mereka membawa pasukan tempur dengan persenjataan dan logistiknya, jauh lebih besar dan kuat dibandingkan pasukan kaum muslimin.

Secara teknikel ketenteraan, mereka memang mengungguli segalanya dibanding kaum muslimin. Akan tetapi semua itu tidak menjadi jaminan kemenangan, apalagi kemenangan yang gilang gemilang. Sebaliknya tentera Islam yang selama ini mereka remehkan, ternyata teramat sulit untuk dipatah dan dikalahkan.

FAKTOR KEMENANGAN MUSLIMIN DI BADAR

Banyak faktor yang menjadikan tentara Islam di medan Badar sukar dipatahkan, sehingga akhirnya mereka telah beroleh kemenangan. Diantaranya :

a) Adanya motivasi yang kuat dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Semangat jihad fi sabilillah memang sulit untuk dipadamkan. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita betapa kesungguhan dan keikhlasan para mujahid Islam di medan Badar dalam membela agama Allah berjuang dengan mengorbankan segalanya adalah menjadi sebab kemenangan.

b) Ketaatan atau kepatuhan mereka kepada kepimpinan Rasulullah SAW

Ketaatan para sahabat terhadap Rasulullah SAW memang sukar dicari bandingannya. Ketaatan yang dijiwai oleh keimanan yang tertancap kuat di dalam dada mereka, sulit dipatahkan oleh hebat dan dahsyatnya pertempuran.

c) Pertolongan Allah yang turun di saat yang sangat tepat.

Pertolongan itu antara lain berupa turunnya hujan sebelum bermulanya peperangan. Hujan yang turun dengan lebat di daerah padang pasir dan bukit-bukit berbatu itu, banyak membawa keuntungan tersendiri bagi kaum muslimin. Bagi tentera Rasulullah SAW turunnya hujan itu, bagaikan mendapat ‘tentera bantuan’  yang sangat diperlukan di daerah yang kering kontang, sekaligus menghilangkan keragu-raguan dalam menghadapi musuh.

Maka benarlah, ketika Allah berfirman memberitahu kemenangan pasukan yang dibawa Rasul-Nya : "

Dan Dia ( Allah) telah menolong kamu dalam (perang) Badar, sedangkan jumlah kamu sedikit. Karena itu bertaqwalah kepada Allah, agar kamu berterimakasih ". (Ali Imran: 123)

UNDANG-UNDANG KEMENANGAN

Di dalam perjuangan, kemenangan tidak pernah datang secara tiba-tiba atau semberono tanpa sebab yang yang mendorong berlakunya kemenangan. Kemenangan hanya akan datang apabila berlalu undang-undangnya.

Undang-undang 1:
Kemenangan hanya datang daripada sisi Allah SWT. Siapa yang ditolong oleh Allah mereka tidak akan dikalahkan buat selama-lamanya, sekali apa pun perancangan yang disusun oleh musuh timur dan barat. Namun siapa yang Allah ingin hinakan, tiada siapa yang akan dapat membantu dan membantunya untuk memperoleh kemenangan. Undang-undang kemenangan ini dapat kita lihat dari peristiwa tentera Thalut yang dapat mengalahkan tentera Jalut sekalipun bilangan tenteranya sangat sedikit dibandingkan tentera Jalut. Demikian juga Allah telah pernah membantu tenteranya yang tidak memiliki senjata dan pengikut seperti yang berlaku kepada Rasulullah SAW pada ketika Nabi dan Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi di Gua Thur.

Undang-undang 2:
Allah tidak akan menolong siapa yang tidak menolongnya. Siapa yang menolong Allah, Allah pasti akan menolongnya, seperti firman Allah SWT;

Wahai orang-orang yang beriman. Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Yang dimaksudkan dengan menolong Allah ialah menolong agama-Nya dan berjuang untuk meninggikan kalimah-Nya serta berjihad untuk meletakkan syariat-Nya ditempat yang tertinggi. Kalau kita benar-benar berjuang dan kita benar-benar beriman kepada Allah kita pasti akan ditolong oleh Allah SWT, seperti firman-Nya;

Adalah menjadi tanggungjawab kami menolong orang-orang yang beriman (Ar-Rum: 11)

Undang-undang 3:
Seperti mana kemenangan tidak akan berlaku melainkan kepada orang-orang yang benar-benar beriman, maka demikian juga kemenangan tidak akan berlaku melainkan dengan sebab orang-orang yang beriman. Kemenangan Islam adalah hadiah untuk orang-orang beriman, dan ia juga akan berlaku dengan sebab mereka. Merekalah punca kemenangan Islam. Firman Allah yang bermaksud;

Dialah (Allah) yang telah memperkuatkan engkau (Wahai Muhammad) dengan kemenangan-Nya dan dengan sokongan orang-orang yang beriman (Al-Anfal:62)

GENERASI KEMENANGAN

Generasi perjuangan yang akan mewarisi kemenangan daripada Allah SWT adalah generasi yang lahir daripada ‘sumber Islam’ yang suci dan memahami Islam dengan kefahaman yang tepat mengenai Islam. Mereka tidak hanya Islam pada nama, tetapi merekalah generasi yang hidup dalam praktikal Islam. Kelainan mereka daripada orang lain, sehingga mereka dianggap asing, namun mereka hidup di tengah-tengah masyarakat menampilkan ketinggian akhlak Islam dan peradaban kemanusian yang sungguh tinggi. Mereka tidak pernah berduka oleh sedikitnya orang seperti mereka, yang menyebabkan timbul kekecewaan dalam diri mereka, kemudian mengambil sikap hidup bersendirian atau bersama kelompoknya sahaja, terasing diri daripada masyarakat, tetapi merekalah pendakwah yang sentiasa menyeru kepada Allah dan jalan-jalan kebenaran. Ciri-ciri generasi ini ialah;

a-Generasi yang hidup dalam reality yang nyata
Mereka berkerja dan berjuang di alam kenyataan. Mereka ‘tidak berenang di atas daratan dan tidak terbang tanpa menggunakan sayap’. Mereka memiliki impian, namun impian mereka bukan khayalan. Impian mereka adalah suatu yang tidak mustahil dapat dicapai. Mereka memahami sunnatullah di dalam perjuangan. Mereka memahami bahawa kejayaan di dalam perjuangan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Bahkan perjuangan memerlukan kesabaran yang sebegitu besar sebelum terciptanya sebuah kemenangan. Seumpama sepohon pokok yang rendang dan berbuah dengan lebat telah melalui proses yang panjang bermula ia adalah daripada sebiji biji benih.

b-Generasi yang berkerja
Mereka bukan golongan yang hanya tahu menyanyi terhadap kehebatan Islam di masa lampau, dan tidak juga hanya menyanyikan lagu-lagu bahawa Islam tetap akan menang pada masa akan datang, tapi mereka meyakini bahawa  kemenangan itu akan tercapai setelah mana berlaku usaha dan kerja yang tidak sedikit demi untuk menikmati harga sebuah kemenangan. Mereka meyakini bahawa kerja untuk mendaulatkan Islam adalah suatu kewajipan yang balasan pahalanya tetap ada di sisi Allah. Kerja mereka di medan jihad tidak pernah berhenti. Mereka tidak pernah terleka terhadap tugas-tugas jihad walau hanya untuk sesaat sahaja. Pertempuran mereka dengan musuh berterusan, samada musuh zahir ataupun musuh bathin. Mereka tidak pernah ‘membuang senjata’ dan tidak pernah ‘berhenti berehat’ oleh letihnya perjuangan.

c-Generasi yang bersifat Rabbani
Generasi yang bersifat Rabbani adalah generasi yang mereka hidup di atas muka dunia, tetapi dengan memiliki hati sebagai orang-orang akhirat. Mereka hidup di atas mukabumi, namun hati mereka menjangkau ke alam tinggi. Merekalah  tujuh golongan yang bakal bernaung di bawah arash Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan melainkan arash Allah SWT di akhirat nanti. Hati mereka sentiasa bergantung kepada Allah, sementara lidah mereka tidak pernah kering daripada menyebut nama Allah. Mereka sentiasa sebuk mentaati Allah, jikalau mereka mencintai seseorang adalah kerana Allah, demikian juga membenci pun juga kerana Allah. Yang paling nenonjol sifat mereka ialah ‘mukhlisin’, mereka penuh sedar bahawa mereka diciptakan hanya untuk menjadi hamba kepada Allah. Mereka sedar bahawa apabila hidup di atas muka dunia sudah tersasar daripada matlamat ubudiyyah kepada Allah, mereka tidak akan mencapai kemuliaan dan ketinggian hidup di atas muka dunia.

TAZKIRAH KEMENANGAN

Adalah perlu menjadi peringatan kita, pertolongan Allah itu tidak hanya berlaku sebelum terjadinya peperangan, namun juga setelah peperangan berakhir. Iaitu ketika kaum musyrikin hendak menuntut balas atas kekalahan mereka. Dalam kitab "Ar-Rahiqul Makhtum" susunan As-Syeikh Shafiyyur Rahman Al-Mubarakfury diungkapkan dengan jelas perancangan mereka untuk membunuh Nabi SAW, namun telah digagalkan dengan pertolongan daripada Allah SWT.

Ada dua orang tokoh musyrikin Mekah. Umair bin Wahab dan Sofwan bin Umayyah, keduanya masing-masing diliputi dendam yang membara terhadap Nabi Muhammad SAW. Dendam keduanya bukan sekadar kerana pasukan mereka kalah besar di medan pertempuran, tetapi juga keduanya kehilangan anggota keluarganya yang terkasih. Umair kehilangan anak kesayangannya, Wahab bin Umair, yang ditawan kaum muslimin. Dan Sofwan kehilangan ayahnya dan anaknya yang mati terbunuh. Keduanya bertemu di Hijr, saling menghibur diri dan bersepakat untuk membunuh Nabi.

Kata Sofwan kepada sahabatnya, sesudah kekalahan di Badar, pasti akan datang kemenangan. Umair menyambutnya " engkau benar. Demi Allah, kalau tidak karena aku masih ada hutang yang harus aku lunasi dan kalau tidak karena keluarga yang kutakutkan akan musnah setelah kematianku, niscaya pada saat ini aku menunggang unta, akan ku temui Muhammad dan akan aku bunuh dia. Apalagi sekarang anakku menjadi tawanannya.". Sofwan menyahut :" Jika itu tekadmu, aku akan menanggung seluruh hutang-hutangmu. Aku akan melunasinya. Keluargamu adalah keluargaku juga. Tidak usah dibimbangkan, aku akan menjaganya selama mana mereka masih hidup. Aku tidak keberatan sama sekali melindungi mereka "." Kalau begitu, rahasiakan kesepakatankita ini" , balas Umari. " Akan kulakukan" jawa Sofwan mantap.

Umair lalu meminta pedangnya, dan mengasahnya hingga tajam, kemudian segera berangkat ke Madinah. Ketika Umair tiba di Madinah, ia bertemua Umar Ibnul Khattab yang sedang berada bersama para sahabat yang lain di Masjid. Melihat kedatangan Umair, Umar seperti mendapat menelah perkara yang buruk. Ia segera menemui Nabi seraya berkata : " Wahai Nabi Allah, di luar Umair musuh Allah datang menghunuskan pedangnya" Nabi menjawab : " Suruh dia masuk". Sebelum Umar menyuruh Umair masuk, ia meminta kepada beberapa orang Anshar untuk masuk lebih dulu, duduk di sekitar Nabi, menjaga berbagai kemungkinan buruk yang akan dilakukan Umair kepada Baginda SAW. Setelah Umair masuk ke ruangan Nabi SAW, Umar langsung saja memegang tali pedang Umair di lehernya. Melihat tindakan Umar, Nabi menenangkan: " Biarkan saja, wahai Umar". Umair lalu mendekat ke Nabi sambil berkata: " Selamat pagi buat kalian semua" Nabi membalas: " Allah telah memuliakan kami dengan ucapan selamat yang jauh lebih baik dari ucapan selamatmu, wahai Umair. Itulah ucapan selamat para penghuni surga".

Nabi lalu bertanya: " Apa maksud kedatanganmu wahai Umair ?". Umar menjawab:" Aku datang untuk urusan tawanan yang berada di tangan kalian. Berbuat baiklah terhadap para tawanan itu". "Lalu untuk apa pedang di lehermu itu? " tanya Nabi. " Semoga Allah memburukkan pedang-pedang yang ada. Apakah pedang-pedang ini masih berguna bagi kami? " jawab Umair. " Jujurlah padaku. Apa maksud kedanganmu ?" tanya Nabi. " Hanya untuk itu tujuan kedanganku" Jawab Umair.

Nabi kemudian bersabda, membukakan persekongkolan jahat mereka: "Bukankah kamu pernah duduk-duduk bersama Sofwan bin Umayyah di Hijr, lalu kalian berdua menyebut-nyebut orang-orang Quraisy yang di masukkan ke dalam lubang, kemudian kamu berkata : " Kalau tidak karena aku masih punya hutang yang harus kulunasi, dan kalau tidak karena keluarga yang ku takutkan akan musnah serelah kematianku, niscaya pada saat ini aku akan menunggang unta, akan kutemui Muhammad dan ku bunuh dia? " Bukankah Sofwan hendak menanggung hutang-hutangmu dan keluargamu agar kamu dapat membunuhku ? Demi Allah, mustahil kamu dapat melaksanakannya.

Mendengar sabda Nabi SAW, Umair terkejut dan berkata: " Aku bersaksi bahwa engkau memang Rasul Allah. Wahai Rasulullah, dulu kami selalu mendustakan apa yang engkau sampaikan kepada kami, berupa pengkhabaran dari langit dan wahyu yang turun kepada engkau. Padahal tidak ada yang tahu masalah ini kecuali aku dan Sofwan. Demi Allah, kini aku benar-benar tahu bahwa apa yang datang kepada engkau adalah dari Allah. Segala puji bagi Allah yang telah menunjukki aku kepada Islam dan menuntunku ke jalan ini".

Umair lalu mengucapkan dua kalimat syahadat, memeluk Islam dan menjadi salah seorang sahabat Nabi yang setia. Bahkan dialah yang banyak membawa orang-orang di Mekah memeluk Islam.

Inilah salah satu contoh satu bentuk pertolongan Allah yang diberikan kepada para hamba-Nya yang bersungguh membela agama-Nya. Orang-orang musryikin dan kafirin sentiasa melakukan konspirasi untuk menghancurkan Islam, umatnya dan gerakannya, namun Allah tetap melindunginya. Benarlah firman Allah seperti ayat di atas;

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”.

PENUTUP

Generasi kemenangan sekalipun sebegitu keras dan tegas dengan perinsip perjuangan, tetapi mereka adalah golongan yang mudah untuk dibawa berbincang. Mereka tahu mana suatu yang sifatnya usul dan mana suatu yang sifatnya furu’. Mereka dalam permasalahan usul adalah seperti besi, tetapi dalam permasalahan furu’ mereka adalah selembut sutera.

Generasi kemenangan, sekalipun mereka sentiasa berada di medan, tetapi mereka tidak pernah leka untuk sentiasa ‘kembali kepada Allah’. Mereka sentiasa mengawas diri daripada maksiat seperti mereka sentiasa mengawas diri daripada musuh Allah dan musuh mereka. Mereka lebih takut kepada maksiat hati lebih dari takut mereka kepada maksiat zahir. Perasaan takabbur, merasa taajjub terhadap diri sendiri, riya’, serta bersangka jahat kepada orang lain adalah di antara maksiat hati yang teramat mereka takuti, justeru mereka tahu bahawa dengan tumbuhnya perasaan-perasan itu, jauhlah mereka daripada Allah, dan segala kerja jihad mereka di dunia ini bakal menjadi debu yang berterbangan di akhirat nanti.

Semoga kitalah generasi kemenangan yang dibicarakan di dalam kertas ini, insya-Allah.

Monday 14 November 2011

Menjawab isu tanah wakaf dalam pembangunan kompleks Tunku Yaakob

Jawapan Exco Kerajaan Negeri

Pindah wakaf surau sudah dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri

dipetik dari Wartakedah.net 
ALOR SETAR - Cadangan pemindahan surau wakaf Salihiah Kanchut adalah selepas perkara tersebut dirujukkan kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah dan ia tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya memandangkan surau tersebut adalah harta yang diwakafkan oleh individu tertentu.
Demikian penjelasan yang diberikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah kepada Warta Darul Aman.
Menurut beliau, apabila cadangan pembangunan Kompleks Tunku Yaakob melibatkan tanah premis Madrasah Salihiah yang dijadikan surau maka beliau bagi pihak kerajaan negeri, berjumpa dengan Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang mengetuai Majlis Fatwa; bagi mendapatkan pandangan.
Hasilnya, pihak jawatankuasa Fatwa yang bermuzakarah membenarkan surau tersebut dipindahkan ke lokasi lain dengan kaedah 'Istibdal' iaitu lokasi baru yang dipindahkan mendapat manfaat yang lebih besar dari lokasi asal.
"Contoh yang mudah ialah jika surau wakaf lama hanya dimakmurkan oleh 10 orang tetapi jika dipindahkan ia boleh dimakmurkan oleh 100 orang bersama lain-lain manfaat yang lebih besar, maka tempat wakaf asal itu boleh untuk dipindah atau ditukarganti ke tempat lain," ujar Amiruddin.
Apa yang berlaku terhadap surau Salihiah itu, kata Amiruddin, ia hanya menjadi tempat berjemaah untuk jumlah yang kecil iaitu para pekerja di sekitar itu sahaja. Surau tersebut tidak terletak di kawasan perkampungan atau taman perumahan.
Menurut Amiruddin, pihak kerajaan telah berunding dengan pemaju supaya membina sebuah surau dengan keluasan yang lebih besar (dari surau asal) dalam kompleks tersebut.
"Pihak pemaju telah bersetuju untuk membina surau tersebut di aras bawah kompleks bagi memudahkan umat Islam mengerjakan solat berjemaah serta lain-lain aktiviti," ujarnya.
Katanya, bagi pandangan Majlis Fatwa, oleh kerana tempat asal tersebut adalah surau, maka 'imej surau' hendaklah dikekalkan pada binaan kompleks baru bagi memaklumkan kepada umat Islam bahawa terdapat surau di situ.
"Hal tersebut juga turut dipersetujui oleh pihak pemaju," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, surau tersebut bukanlah ganti wakaf kepada surau asal. Ganti wakaf kepada surau asal akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang menjadi pemegang amanah kepada surau tersebut setelah diberikan pampasan oleh pihak pemaju sebanyak RM1.6 juta.
"Majlis Agama nanti yang akan mengenalpasti dan menguruskan tapak wakaf baru yang akan memberi manfaat lebih besar dari yang asal," katanya.
Mengenai kenyataan pihak pengurusan surau tersebut yang masih mempertahankan fatwa bahawa surau asal tidak boleh dirobohkan, Amiruddin memberitahu bahawa apabila terdapat fatwa baru yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa maka dengan sendirinya ia memansuhkan fatwa yang terdahulu.

(Warta Darul Aman akan cuba mendapatkan penjelasan lengkap Dato' Mufti berhubung isu berkenaan)

Wednesday 2 November 2011

Siri Tarbiyah Kawasan 5 ISLAM RISALAH ‘ALAMIN (Bhg. 2)

Siri  Tarbiyah Kawasan 5

ISLAM RISALAH ‘ALAMIN
(Bhg. 2)


Firman Allah yang bermaksud;

Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”


MUQADDIMAH

Sudah tiada sebab lagi bagi setiap yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam al-Quran untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku. Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, dan adalah suatu yang tidak sepatutnya berlaku bilamana umat Islam hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokkan dirinya semata-mata sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku yang berupa kebokbrakan idealogi, pembunuhan, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran. Pengetahuan tentang perkara tersebut telah meletakkan suatu tanggungjawab besar di atas bahu umat Islam iaitu menerangkan tentang ajaran Islam dan keindahan-keindahan yang dibawa olehnya dan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran. Kita seharusnya menyakini bahawa hanya dengan kebangkitan Islam sahajalah dunia ini akan diliputi dengan kesejahteraan dan keamanan.


KEBANGKITAN ISLAM DAN KEMATANGANNYA



Kebangkitan ini tidak seharusnya tergendala di tengah jalan. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menggariskan langkah-langkah menuju kematangan kebangkitan Islam atau membimbing kebangkitan Islam dari zaman kekeliruan kepada pencerahan. Berikut adalah langkah yang diutarakannya :



1-                Dari format dan symbol kepada hakikat
 
Ada di antara manusia yang memerhatikan aspek luaran yang bersifat formaliti daripada isi kandungan, hanya mementingkan bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah memanjangkan janggut, memendekkan pakaian, membawa siwak, mengharamkan semua jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita. Umat Islam seharusnya perlu mencurahkan perhatiannya kepada roh ajaran Islam itu sendiri daripada mengutamakan format dan bentuk. Islam sebagai akidah, ruhnya adalah tauhid, sebagai ibadat ruhnya adalah keikhlasan, sebagai tuntutan moral ruhnya adalah kasih sayang, sebagai syariat ruhnya adalah keadilan, sebagai peradaban ruhnya adalah keseimbangan. Al-Qaradawi membawa contoh golongan yang suka kepada pengetahuan teori semata-mata, terlalu banyak bergelut dengan hal yang mengundang perbezaan daripada yang menjadi kesepakatan dalam topik keimanan kepada Allah. Beliau menyeru supaya hanya ibadat hati yang perlu didambakan. Mereka perlu mencurahkan usaha untuk meraih hal itu dengan cara beriman, bertawakal dan mengharap rahmat-Nya. Menurutnya, banyak pendakwah Islam melupakan aspek ini  yang merupakan ruh agama serta bahagian terpenting daripada keimanan.Mereka lebih mementingkan perbuatan kasar yang dilakukan oleh tubuh badan.Hal semacam itu memang penting tetapi ia tidak bermakna apabila tidak disertai dengan perbuatan hati. Padahal perbuatan hati ini merupakan asas mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. 

2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan
     
Di antara sikap negative yang perlu dihindari  ialah bangga dengan sejarah lampau tanpa mengubahnya dalam bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan masa kini dan mengembangkannya ke arah yang lebih baik. Membicarakan sejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendorong untuk terus memacu kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus hanya berbangga dengan sejarahnya sahaja. Termasuk dalam sikap ini juga ialah tenggelam dalam kenangan pahit lalu dan tidak melakukan usaha positif untuk mengatasinya atau mengatasi kemungkinan berulangnya tragedi yang sama. Termasuk dalam sikap ini juga ialah membicarakan kesalahan orang lain, perdebatan yang tidak sihat dalam persoalan yang tidak memberi apa-apa faedah selain ia melahirkan kesombongan diri dan membuang waktu. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk melakukan amalan yang lebih baik dan memiliki matlamat dan tujuan yang jelas. Orang Islam tidak pernah hidup tanpa tujuan serta tidak melakukan sesuatu secara melulu. Kita harus menentukan jalan untuk menuju matlamat tersebut sesuai dengan keadaan dan kemampuan yang kita miliki.  Di samping kita mencurahkan perhatian utama kepada bidang politik semata-mata, kita tidak boleh melupakan  bidang pemikiran, pendidikan dan sosial. Kita tidak boleh bercakap seperti golongan yang hidup di menara gading di dalam dunia teori yang idealistik tetapi tidak pernah turun ke medan masyarakat untuk bertindak..
      
3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.

Seorang muslim pasti dapat mengawal perasaan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan ilmiah,ia tidak bersikap ekstrem dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam dunia khayalan dan kecenderungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa berusaha untuk memerhatikan perkara yang benar. Manifestasi sikap emosional ini juga adalah sikap melupakan sunnatullah yang berlaku ke atas alam dan kehidupan manusia. Kita tidak sepatutnya berlebih-lebihan dalam menggambarkan sesuatu, baik yang bersifat material ataupun kerohanian. Oleh itu, gerakan Islam perlu bangun dalam tradisi ilmiah dan perencanaan masa depan. Gerakan Islam perlu membebaskan diri daripada kecenderungan emosional kepada rasional, objektif dalam menilai sesuatu aktiviti, memahami realiti dan sejarah dalam menentukan sesuatu keputusan. Antara ciri-ciri ilmiah ialah melihat segala sesuatu kejadian dan perkataan secara objektif tanpa terpengaruh dengan identiti pelakunya, menghormati kepakaran seseorang dalam bidangnya, mampu melakukan muhasabah diri dan mengakui kesalahan yang terlanjur serta berusaha  mengambil pengajaran daripadanya dan menghormati adab perbezaan pendapat. Semangat ilmiah harus terus subur dalam gerakan Islam dan menjadikan pola berfikir  berdasarkan ilmu seharusnya menjadi aspek yang dominan dalam semua aspek kehidupan kita. Pandangan ilmiah dijadikan sebagai ukuran penentu dalam mengeluarkan pandangan dan keputusan gerakan. Orang yang beriman hidup dalam keadaan keyakinan, menolak perasaan sangkaan dan mengikut taklid buta atau sikap gaya jumud.

   4. Dari orientasi masalah cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama

Menurut al-Qaradawi perkara utama gerakan Islam kini ialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan kaderisasi. Pada hematnya, aktivis gerakan Islam tidak seharusnya menyibukkan diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang bersifat makruh sehinggakan daam waktu yang sama yang menitikberatkan perintah yang bersifat fardu atau larangan-larangan yang bersifat haram. Seorang muslim perlu memperuntukkan fikiran dan waktu untuk melaksanakan perkara-perkara yang wajib dahulu, barulah amalan sunat. Antara kesilapannya ialah bersikap keras dalam masalah sunat sehingga menganggapnya sebagai wajib serta mengutamakan ibadat sunat daripada ibadat fardu. Gerakan Islam perlu keluar dari lingkungan persoalan khilafiyah yang mengandungi potensi polemik kepada persoalan-persoalan yang disepakati bersama sehingga boleh merumuskannya menjadi agenda yang besar. Perkara yang merosakkan iklim kebangkitan Islam adalah adanya golongan yang cenderung memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang tidak disepakati oleh para ulamak dalam masalah penghalalan atau pengharaman. Mereka menjadikan persoalan khilafiah ini sebagai ukuran dan penilaian terhadap tindak tanduk sesama manusia. Seolah-olah perkara khilafiah ini merupakan pokok keimanan dan landasan utama ibadat. Menurut al-Qaradawi perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap pendapat yang mereka pegang dalam masalah khilafiah sebagai kebenaran yang tidak mungkin salah, kurang memperhatikan persoalan-persoalan agama yang telah disepakati, suka berdebat dan menyakiti orang lain sehingga memecah-belah umat, takabbur dan bangga pada diri sendiri yang merupakan titik tolak kepada kehancuran diri.
      
5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira

Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini  bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan.



Firman Allah SWT yang bermaksud;

Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran (Al-Baqarah: 185)

Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Kita tidak perlu lagi mengatakan dunia Islam kini seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela. Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.

PENUTUP


Ambillah iktibar dari sejarah. Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selainnya, kita akan dihina oleh Allah . Umat yang tidak mahu menoleh kepada sejarah adalah umat yang teramat rugi. Umat yang tiada sejarah adalah umat yang tiada baginya masa depan. Sesungguhnya kita mesti menjejak kembali perjalanan semalam yang telah dilupakan. Sejarah adalah modal besar untuk umat Islam kembali ke persada politik yang bersifat lebih global. Di dalam konteks Malaysia, PAS mesti menjadi kelompok yang disedari kewujudannya oleh masyarakat malah diperlukan oleh massa. Dengan cara ini sahajalah sokongan yang padu terhadap perjuangan PAS boleh ditingkatkan di dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Semoga mendung hitam yang membaluti tanahair ini akan tersisih pergi bersama mentari kebangkitan Islam yang bakal disaksikan nanti. Allahu Akbar!!!